Pengikut

Isnin, 3 Oktober 2016

Ingin Menjadi Penulis?

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



INGIN MENJADI PENULIS?

Ada yang menulis tanpa bermula dengan bakat. Ada pula yang menulis bermula dengan bakat. Bakat itu ada yang kata kurniaan-Nya. Ada yang kata bakat boleh diasuh dan dididik. Tidak kiralah tanpa bermula atau bermula dengan, "BAKAT" perlu hadir bersama disiplin dan kesungguhan yang jitu.

Ada yang mula menulis dengan karya eceran. Ada pula yang terus bermula dengan menulis buku. Kedua-duanya sudah pastilah menempuhi cabaran yang sama tetapi berbeza.

Boleh saya kongsikan di sini apa yang saya lakukan sebelum, semasa dan selepas menulis sebagai seorang penulis eceran.



SEBELUM
Sebelum menulis, saya akan membeli dan membaca surat khabar dan majalah terlebih dahulu. Boleh dikatakan, saya pernah menghantar hampir kesemua surat khabar dan majalah yang diterbitkan di negara kita ini.

Tujuan saya membeli dan membaca media tersebut, dapatlah saya tahu langgam karya yang disiarkan pada setiap minggu ataupun bulan. Selain itu, daripada situlah saya dapat menyemak alamat media tersebut untuk disertakan bersama surat rasmi penghantaran karya dan alamat e-mel editor media tersebut untuk menghantar karya. 

Setelah lama menulis eceran, seseorang penulis dapat memilih dua cara penghasilan karya:
(i) Pilih media dahulu barulah menulis dan menghantar karya.
(ii) Menulis dahulu kemudian barulah memilih media yang sesuai untuk dihantar karya tersebut.

Seterusnya, setiap kali penghantaran karya dibuat saya akan merekod tarikh penghantaran dan media terbitan pada satu rekod khas sebagai rujukan.

Nasihat saya, jangan lokek untuk membeli dan membaca akhbar dan majalah tersebut sebelum menghantar karya.



SEMASA
Selepas karya dihantar, setiap minggu ataupun setiap bulan, saya akan menyemak media terbitan tersebut untuk mengetahui karya yang dihantar itu disiarkan ataupun tidak. 

Jika tidak disiarkan, misalnya untuk akhbar biasanya dalam tempoh tiga bulan ke atas dan untuk majalah bulanan dalam tempoh enam bulan ke atas, saya akan bertanya kepada editor status karya tersebut. Hal ini bagi mengelakkan penyiaran karya yang bertindan dalam dua media berbeza sekiranya saya menghantar kepada media terbitan lain. 

Setelah editor menjawab pertanyaan tersebut, saya akan rekodkan pada ruangan status karya - dalam penilaian, menunggu giliran ataupun ditolak.

Sekiranya ada karya yang ditolak, saya akan cuba murnikan semula untuk dihantar kepada media lain pula. Begitulah rutin yang saya lakukan. Ada karya yang masuk percubaan kali ketiga dihantar ke media penerbitan baru disiarkan pun ada. 

Nasihat saya, untuk mengurangkan peratus karya ditolak kerana tidak sesuai dengan muatan media tersebut, eloklah beli, baca dan analisis terlebih dahulu media tersebut. 



SELEPAS
Rutin menyemak karya setiap minggu ataupun bulan tidak pernah jemu saya lakukan. Hal ini demikian kerana saya tidak mahu tercicir untuk mendapatkan karya saya yang disiarkan seandainya saya tidak membeli media tersebut untuk didokumentasikan.

Seandainya karya saya tersiar, saya akan membeli media tersebut untuk disimpan. Selalunya simpanan saya dalam bentuk salinan asal dan salinan yang difotostat. Salinan yang difotostat akan saya simpan dalam satu fail.

Seterusnya, saya akan merekodkan bahawa karya tersebut telah disiarkan dalam satu senarai. Selain itu, saya akan merekodkan sama ada media tersebut telah membayar honorarium ataupun belum bersama jumlahnya. 

Oleh sebab itulah, saya tahu akhbar dan majalah mana yang menyediakan ruangan cerpen dan puisi dan akhbar dan majalah mana yang membayar honorarium, bahkan jumlahnya.

Selepas ketiga-tiga fasa inilah barulah saya menyusun manuskrip kumpulan cerpen ataupun puisi untuk diterbitkan. 

Mohd Helmi Ahmad
Penulis Eceran Akhbar dan Majalah
Penulis Buku Tetamu Istimewa
Penulis Buku Madu di Tangan
Penulis Buku Bila Ayah Berkaca Mata Hitam

Sabtu, 24 September 2016

Senarai Buku Terbaru Sasterawan Negara Pertama Hingga ke-13

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.


Saya tercari-cari sumber yang boleh dirujuk untuk mengetahui karya terakhir ataupun karya terkini (buku) oleh Sasterawan Negara daripada yang pertama hinggalah yang ke-13. Namun sukar ditemui.

Hasil daripada carian saya, di sini saya senaraikan buku tersebut. Mudah-mudahan sedikit banyak dapat dijadikan rujukan bersama.

SN ke-13 - Zurinah Hassan
- Kumpulan Cerpen: Murka Lautan, ITBM-2016


SN ke-12 - Baharuddin Zainal @ Baha Zain
- Kumpulan Puisi: Siang Tak Pernah Mungkin dan Kau Akan Dewasa, DBP-2015

SN ke-11 - Ahmad Kamal Abdullah @ Kemala
- Kumpulan 25 Cerpen Pilihan - Laut Takjub, DBP 2011

SN ke-10 - Anwar Ridhwan
- Potpuri Budaya, Sastera & Seni Jilid I,II dan III, ITBM-2016

SN ke-9 - Syed Othman Syed Omar @ S.Othman Kelantan
- Kumpulan Cerpen: Berjalan-jalan Di Sini, DBP-2004

SN ke-8 - Abdullah Hussain
- Proses Kreatif: Satu Pengalaman Rohani, DBP-2010

SN ke-7 - Noordin Hassan
- Kumpulan Drama Pilihan: Mana Setangginya?, DBP-2000

SN ke-6 - Muhammad Haji Salleh
- Ghairah Dunia Dalam Empat Baris, ITBM-2016

SN ke-5 - Muhammad Dahlan Abdul Biang @ Arena Wati
- Rindu Aroma Padi Bunting, DBP-2012

SN ke-4 - A. Samad Said
Kumpulan Puisi: Di Atas Padang Sejarah, Wira Bukit-2013

SN ke-3 – Usman Awang
- Puisi Pilihan Usman Awang 1 - Malam Ini Malam Berinai, ITBM-2016
- Puisi Pilihan Usman Awang 2 - Bunga Darah Merah, ITBM-2016
- Puisi Pilihan Usman Awang 3 - Di Atas Bara Kita Berdiri, ITBM-2016

SN ke-2 – Shahnon Ahmad
- Kumpulan Esei - Pabila Hujan Turun, DBP-2015

SN Pertama – Kamaludin Muhammad @ Keris Mas
- Koleksi Terpilih Sasterawan Negara: Cerpen, Esei dan Fragmen Novel, DBP-2000

*Jika terdapat maklumat yang terkini bolehlah maklumkan kepada saya untuk saya kemaskini.

Khamis, 22 September 2016

Rahsia Penulisan Berpengaruh - Khairul Hakimin Muhammad

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



Saya yakin kebanyakan daripada kita mempunyai ilmu, tetapi tidak banyak daripada kita yang "pandai" menggunakan ilmu itu dengan betul. Ibaratnya apa gunanya hidup seribu tahun tetapi tidak sembahyang. 

Oleh sebab itu, buku "Rahsia Penulisan Berpengaruh" tulisan Tuan Khairul Hakimin Muhammad memberikan panduan yang kecil tetapi bermanfaat, ringkas tetapi padat, sedikit tetapi besar kesannya dan paling penting santai tetapi mengujakan.

Saya tidak katakan buku ini bagus dan sempurna (barangkali aspek tatabahasa - ejaan boleh diperbaiki lagi) tetapi setidak-tidaknya apabila saya membaca buku ini akan terlintas di fikiran saya: oh, begini..oh, begitu! 

Andai selepas anda membaca buku ini pengikut anda tidak bertambah atau melebihi bapa viral ini yang sudah melebihi 80 000 pengikut ini, janganlah salahkan saya pula.

Hal ini kerana kejayaan bukan semata-mata diukur dengan kuantiti dalam tempoh waktu yang singkat sebaliknya jika di pihak kita ada perubahan kualitinya secara tekal atau berterusan itu sudah cukup memberi isyarat bahawa kita sudah berjaya keluar daripada kepompong yang selesa.

Isi Kandungan

Bab 1 Impak Gambar Profil dan Gambar Kaver
Bab 2 Impak Penggunaan Nama yang Betul
Bab 3 Ejaan dan Tatabahasa
Bab 4 Menulis Status Kehidupan
Bab 5 Menulis Ulasan
Bab 6 Teknik Mendapatkan Pengikut dan Sasaran
Bab 7 Interaksi, Bukan Berbual
Bab 8 Jangka Hayat Post
Bab 9 Posting Berimpak Tinggi
Bab 10 Punchline
Bab 11 Permulaan Pengikut Mengikut Facebook Kita
Bab 13 Fanpage
Bab 14 Larangan Keras
Bab 15 Jadi Pemilik, Bukan Kedai


Buku ini boleh dibeli dengan Cik Siti Rahmah Mohd Noor.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78