Pengikut

Isnin, 25 Mei 2015

Buku, Saya dan Penulis

Assalamualaikum.

Sesekali menulis dalam blog ada kepuasannya walaupun jarak berselang hari ataupun bulan berbanding Facebook yang setiap hari diuliti. 



Rasa tidak lengkap catatan pada tahun ini sekiranya saya tidak berkongsi tentang hasil belian buku saya sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2015. 

Pada tahun ini seperti biasa, saya memilih untuk ke sana berseorangan. Saya berasa lebih selesa kerana saya boleh berlama dan mencatur arah tuju di mana dan ke mana harus saya berada untuk memburu buku. 

Pada PBAKL 2015 saya tidak "merayau" ke banyak reruai. Pilihan saya hanya beberapa sahaja seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Utusan Publications, Ana Muslim, Karangkraf dan beberapa lagi. Reruai ITBMlah saya berlama di sana. 

Buku merupakan "makanan" saya sebagai penulis. Ada yang menyatakan bahawa pembaca tidak semestinya penulis, tetapi penulis ialah pembaca. Dalam kata lain, untuk menjadi penulis yang berilmu dan berjaya haruslah membaca. 



Pasti ramai yang tertanya-tanya bolehkah saya menghabiskan bacaan buku sebanyak ini? Susah juga untuk saya menjawabnya kerana proses membaca dan waktu membaca itu tidak pernah tamat. Ada buku yang tersusun itu sukar untuk diperolehi. Jadi, apabila ada peluang untuk membelinya saya akan membelinya tanpa memikirkan pada waktu bila untuk saya membacanya. 

Seperti yang pernah saya maklumkan bahawa saya berhasrat untuk memiliki perpustakaan mini yang menghimpunkan sejumlah koleksi buku saya. Jika benar perpustakaan ini memiliki manfaatnya bukan untuk saya seorang, sudah pastilah bakal dibukakan kepada sesiapa sahaja yang berhasrat untuk membaca dan membuat rujukan. Wallahuaklam.




Sabtu, 16 Mei 2015

Guru: Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak

Assalamualaikum.



Guru: Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak.

Pada usia yang terlalu mentah dalam dunia pendidikan tiada apa-apalah sangat yang ditertimba, terjaring, tercabar-mencabar berbanding ranjau yang dilalui oleh guru-guru yang telah mendarah daging pengalamannya.

Oleh itu, saya lebih memilih untuk mengenang dan menghargai jasa guru yang telah membina ilmu dan menyempurnakan akhlak saya hingga berdiri saya sebagai guru pada hari ini.

Terima kasih, terima kasih, terima kasih kepada guru-guru yang pernah mendidik saya di Tadika KEMAS, Alor Ibus, Sekolah Kebangsaan Haji Hasan Itam, Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Aziz, Universiti Putra Malaysia, Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis, guru mukadam yang telah kembali kerahmatullah dan semua guru yang tidak tertulis dengan kata-kata. Jasa kalian besar amat. Selamat Hari Guru!

SJKC Choong Chee
SK Batang Kali
(20 Oktober 2011 - 16 Mei 2015)

‪#‎maduditanganitbm‬

Jumaat, 15 Mei 2015

Belasungkawa Rahimidin Zahari Penyair Sejati

Assalamualaikum.

Sebulan lebih saya "berehat" tanpa menerbitkan sebarang entri. Namun, sesekali saya menjengah juga blog ini. Alhamdulillah, biarpun tiada sebarang entri kala tempoh hibernasi itu, paparan pageviews Tetamu Istimewa masih mencatatkan kedatangan pembaca yang barangkali membuat rujukan bagi entri-entri tertentu. 

Hari ini saya terpanggil untuk berkongsi dan mencatat sesuatu dalam blog ini. Biarpun cerita dan kisahnya mengundang air mata dan sebak, namun hakikatnya hanya satu, kebenaran - mati itu pasti.


Sesungguhnya saya tidak mengenali penulis yang bernama Rahimidin Zahari secara dekat. Dengan kata lain, saya tidak pernah berjumpa dan bercakap dengan beliau. Saya hanya mengenali beliau melalui lewat puisi-puisi yang diterbitkan dalam media eceran dan buku.

Saya tidak "berkawan" dengan Rahimidin, tetapi saya berkawan dengan sepupunya yang juga merupakan rakan guru di sekolah saya. Melalui sepupunya setidak-tidaknya saya dikenalkan dengan sosok penulis yang hebat ini.

Katanya, Rahimidin Zahari menanam minat dalam bidang penulisan sejak daripada kecil lagi. Rahimidin suka duduk di sebuah pondok di tengah sawah. Mungkin ini dikatakan proses perenungan dan pencarian ilham. Kemudian, selepas beliau pulang ke rumah akan terciptalah karya.

Seingat saya pula, beliau pernah membalas komen saya pada satu status tentang pengumpulan karya Allahyarham Azizi Hj Abdullah. Ketika itu saya bertanya, kenapa tidak diterbitkan buku yang memperkatakan Azizi Hj Abdullah seperti yang pernah diselenggarakan dan diterbitkan oleh ITBM tentang Shahnon Ahmad dan A. Samad Said. Katanya, beliau pernah mengusahakan tetapi ketika itu hanya beberapa tulisan tentang Azizi yang diterimanya. Barangkali, usaha itu tertangguh begitu sahaja. Selepas ini saya berharap akan ada pula usaha penerbit, penulis dan rakan-rakan yang mengenalinya mengusahakan sebuah buku memperkatakan tentang sosok penulis bernama Rahimidin Zahari.

Saya sangat terkesan dengan sosok penulis yang mendarah daging dengan kecintaannya terhadap sastera negara.

Memetik Prakata dalam kumpulan puisi Sehelai Daun Kenangan, ITBM-2015, "Setelah 30 tahun, saya terus menulis. Saya tidak peduli sangat, sama ada saya diterima sebagai penyair atau tidak. Saya masih menyimpan beratus-ratus puisi yang masih belum disiarkan atau diterbitkan di mana-mana media penerbitan. Saya simpan dan simpan. Ada yang saya hantar dan ada yang saya terus menyimpannya. Pada saya, seorang penulis itu setiap hari harus menulis. Tanpa menghasilkan karya dan menerbitkan buku, apakah maknanya seorang penulis?"

Oleh itu adakah karya-karya yang masih tersimpan itu akan terus tersimpan, ataupun ada penerbit yang tampil untuk menerbitkan setidak-tidaknya sejumlah karya itu dalam bentuk buku yang bakal menjadi khazanah persuratan negara?



Sepanjang saya mengenali dan berada dalam dunia penulisan sempat saya menelaah beberapa naskhah hebat karnyanya. Antaranya, Sekepal Tanah, Bayang Beringin, Pewaris, Laut Tujuh Gelombang Buih dan Sehelai Daun Kenangan.

Rahimidin Zahari merupakan penulis puisi Anak Laut yang pernah menjadi teks Komponen Sastera (KOMSAS). Sekarang ini, cerpen Air Mata Dalang turut terpilih menjadi teks pembelajaran pelajar sekolah menengah.

Saya akhiri tulisan ringkas ini dengan sebuah puisi yang dipetik dalam Sehelai Daun Kenangan:

Ketika Bibirku 
Kehilangan Kata

musibah apakah yang Engkau kirimkan, sehingga
hamba-Mu yang hina dan penuh dosa ini 
kehilangan kata. hamba-Mu ini amat gementar 
dan takut hingga tak sekeping foto pun dirakamnya 
sehinggalah badai itu berakhir ke laut.

kembali menatapi sisa-sisa lumpur dan kehidupan
yang berserpihan - bahawa hidup ini hanya
kesementaraan dan yang abadi hanya Engkau

kami tunduk berserah.

Wallahuaklam
Al-Fatihah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78