Pengikut

Jumaat, 26 April 2013

Tawaran Diskaun Eksklusif 50% Pembelian Buku ITBM di PBAKL 2013

Hari ini merupakan hari pertama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 dibuka. Entah bagaimana ya, suasana dan keadaan di sana. Pasti meriah! 

Pada dua hari lepas, saya membuka emel dan agak terkejut dengan tajuk emel yang diterima. Diskaun Eksklusif 50% Pembelian Buku ITBM di PBAKL 2013. Wah, setahu saya hanya penulis di bawah ITBM sahaja akan menikmati tawaran ini. Kalau tak salah saya juga, diskaun 40% pun hanya dibuka sekitar 1 jam setiap hari iaitu pada pukul 10.30 pagi hingga 11.30 pagi. 

Sebelum menerima tawaran ini saya juga telah merancang untuk merebut diskaun 40% ini dengan menghadirinya sekitar jam yang telah ditetapkan. Tetapi, perancangan Allah SWT ternyata lebih baik. Diberinya tawaran ini kepada saya yang telah merancang untuk membeli buku terbitan ITBM dengan jumlah judul yang bagi saya agak banyak. Alhamdulillah (tidak sia-sia juga saya mengulas buku terbitan ITBM selama ini menerusi buku Gunting-Marsli N.O, Bidadari Burung-S.M Zakir, dan Merangkai Kisah Merenda Kata-Marsli N.O). Ternyata ITBM mampu menyemarakkan dunia penerbitan buku sastera di Malaysia ini.

Cara untuk membuat pembelian nanti, saya hanya perlu mencetak emel itu yang sudah tertera nama saya. Cukup dengan menunjukkan keratan emel itu bersama kad pengenalan saya sebagai bukti penerimaan tawaran tersebut kepada petugas di kaunter. Terima kasih kepada pihak ITBM, walau pun saya ini belum lagi layak digolongkan dalam penulis buku yang sebenarnya kerana manuskrip saya belum pun diberitakan lulus. Masih menanti dengan penuh kesabaran. 

Rabu, 24 April 2013

PBAKL 2013 Medan Pertemuan antara Penulis dengan Pembaca


Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 hampir tiba. Sudah bersediakan anda untuk menyerbunya nanti? Selain membeli buku dengan harga "runtuh" atau "promosi", apakah yang anda harapkan apabila mengunjunginya? Saya fikir, selain membeli buku, dapatlah bertemu atau bertentang mata dengan penulisnya. Jadi, pelbagai acara yang telah diaturkan. Saya lihat ITBM telah mengatur program bersama penulisnya, contohnya Wawancara Sofa Putih, sesi autograf. Oleh itu, rebutlah peluang untuk bertemu dengan penulis kesayangan anda. 

Saya juga bercadang untuk memperbaharui langganan majalah Tunas Cipta saya yang akan berakhir bulan Mei ini. Kemudian, mahu juga saya bertanya sekiranya langganan Dewan Sastera saya yang akan berakhir Jun nanti sudah boleh diperbaharui juga. Jika boleh, insyaallah akan saya mengambil peluang ini untuk memperbaharuinya. 

Para penerbit juga telah melancarkan perang promosi untuk menarik perhatian pembaca untuk membeli buku keluaran mereka. Di samping itu, sudah tentulah banyak buku baharu yang akan dilancarkan nanti. 

Alamak, bertambah gilanya saya apabila melihat buku-buku terbitan terbaharu ni. Rasanya kalau bawa RM 300.00 memang tak cukup. 

Selamat membaca! 

Khamis, 18 April 2013

Cerpen: Menghapus Cemburu di Mingguan Warta Perdana


Alhamdulillah, MENGHAPUS CEMBURU akhirnya tersiar juga di Mingguan Warta Perdana, edisi 28 April 2013. Cerpen ini merupakan antara cerpen terawal yang saya tulis setelah melibatkan diri dalam dunia penulisan. 

Ketika saya menulis pada awal pembabitan saya dahulu, saya hanya menghantar ke media tertentu sahaja. Hal ini kerana, saya belum terdedah dengan pelbagai media dan ketika itu saya hanya menghantar melalui pos. Jadi, agak terhad. 

Walau bagaimanapun, saya tidak mudah berputus asa, cerpen ini walaupun terperam lama dalam bank simpanan, saya mencuba lagi ke media lain. Akhirnya, saya berpuas hati, walaupun yang menyiarkannya hanyalah akhbar tabloid. 

Apabila kita selalu menghantar karya ke pelbagai media, kita akan tahu, karya bagaimanakah yang mudah untuk diterima oleh editor media tersebut. Dan tidak hairanlah sekiranya anda melihat dan membaca nama penulis itu sering sahaja menjadi pilihan editor untuk menyiarkan karyanya. 

Selamat membaca!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78