Pengikut

Sabtu, 9 Januari 2016

Laporan Panel HSPM 2014 tentang Kemenangan Tetamu Istimewa

Assalamualaikum.

Ahli panel telah dilantik oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menilai dua katergori iaitu kategori sastera remaja dan kategori sastera kanak-kanak. Untuk sastera remaja beberapa genre telah dinilai iaitu novel remaja sebanyak 46 buah kumpulan cerpen remaja sebanyak 13 buah. Kumpulan puisi remaja 12 buah dan cerpen eceran remaja sebanyak 10 buah. Sementara untuk kategori kanak-kanak, panel telah menilai 10 buah novel kanak-kanak, 2 buah kumpulan cerpen, 44 buah cerita bergambar dan 5 buah kumpulan puisi kanak-kanak. Jumlah bagi kategori remaja sebanyak 81 buah, kategori kanak-kanak 61 buah. Jumlah keseluruhan sebanyak 142 yang  telah dinilai terdiri daripada berbagai genre.

KUMPULAN CERPEN REMAJA



TETAMU ISTIMEWA KARYA MOHD HELMI AHMAD

Kumpulan cerpen Tetamu Istimewa mengandungi 15 buah cerpen yang mesejnya berkisar kehidupan keluarga, guru dan masyarakat. Isu tentang masalah ibu bapa dengan anak-anak: anak yang suka berfoya-foya, menghabiskan harta ibu bapa, pengorbanan ibu bapa demi pelajaran anak-anak, bagi keluarga Tionghua, sikap membenci anak perempuan kerana dianggap membawa sial kepada keluarga diolah dengan kreatif dengan memberi penyelesaian yang menginsafkan. Kepentingan pendidikan agama kepada anak-anak ditonjolkan dalam buku ini.

Selain dari itu hubungan antara guru atau pensyarah dengan murid dan pelajarnya juga  menjadi isu yang diangkat oleh pengarang. Kisah seorang guru yang membenci muridnya kerana suka ponteng sekolah akhirnya berasa insaf kerana muridnya yang miskin membantu neneknya yang telah tua. Soal kemiskinan murid juga membawa konflik antara guru dan murid yang tidak bercita-cita tinggi. Akhirnya setelah diselidik didapati murid itu bekerja menangkap ikan haruan membantu ayahnya sehingga murid tersebut selalu ponteng sekolah.

Dalam kehidupan bermasyarakat pengarang juga mengangkat isu ini. Cerpen yang menggambarkan semangat gotong royong di kalangan masyarakat kampung yang telah diwarisi sejak turun temurun, terutama mengerjakan kenduri kahwin. Kumpulan cerpen Tetamu Istimewa seperti yang dinyatakan di atas, menampilkan penceritaan yang boleh dikatakan mantap dengan tema yang pelbagai dan plot yang menarik dan meyakinkan pembaca. Tema yang banyak mendedahkan kehidupan berkeluarga, hubungan guru/pensyarah dan hubungan dengan masyarakat,  pengarang ingin memaparkan manusia yang bertanggungjawab mendidik anak-anak, para pelajar dan masyarakat desa. Jelas bahawa cerpen-cerpen yang dipaparkan banyak  menekankan persoalan pembelajaran dan pendidikan. Institusi pendidikan iaitu ibu bapa, guru dan pensyarah merupakan institusi penting bagi mendidik generasi muda.

Oleh yang demikian ahli panel bersetuju kumpulan cerpen Tetamu Istimewa karya Mohd. Helmi Ahmad menerima HSPM 2014.

1 ulasan:

  1. Tahniah! Selayaknya anugerah itu buat abang Helmi. Berkali-kali terasa ingin membaca Tetamu Istimewa sekali lagi, cuma masa tak mengizinkan.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78