Pengikut

Sabtu, 30 Disember 2017

Sejarah dan Pencapaianku dalam Penulisan 2017

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



Tahun 2017 bakal berlalu pergi. Mengimbas kembali perjalanan penulisan saya pada tahun ini agak perlahan, namun masih "hidup".

Jika melihat senarai karya eceran yang disiarkan tidaklah memberangsangkan. Hanya beberapa sahaja. Sebagai rekod peribadi dan perkongsian, saya catatkan di sini:

Puisi
1. Budi - Sinar Harian, 12 Februari 2017
2. Tanda Soal - Sinar Harian, 26 Februari 2017
3. Matahari Esok - Sinar Harian, 9 April 2017

Cerpen
1. Kelip-kelip di Hatiku - Asuh, Mac 2017
2. Orang-orang di Tengah Sawah - Asuh, Julai 2017
3. Jalan-jalan Kecil Seorang Sasterawan - Asuh, November 2017

Ya, hanya tiga buah puisi dan tiga buah cerpen kanak-kanak sahaja. Tidak ada karya yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian ataupun Mingguan Malaysia dan majalah terbitan DBP.

***
Jika mengikut perancangan awal, buku ke-4 saya diterbitkan pada tahun ini. Namun begitu, perancangan-Nya lebih adil dan besar. Buku ke-4 itu masih belum dapat diterbitkan.

Saya anggapkan, Allah nak bagi peluang kepada saya untuk terus mempromosikan buku saya yang telah terbit.

***
Ya, Allah itu maha adil. Buku ke-4 saya belum terbit tapi Dia berikan saya dengan "Kartunis Muda". Kartunis Muda ialah antologi cerpen kanak-kanak yang diterbitkan oleh DBP.

Antologi ini memuatkan tiga cerpen kanak-kanak saya yang disiarkan dalam Dewan Pelajar. Terima kasih Pak Cu Hamidi yang membuka peluang dan memilih cerpen tersebut.

Buku ini juga pernah menjadi buku terlaris untuk jualan buku DBP pada bulan November.

***
Sepanjang tahun ini juga saya lebih menumpukan kepada penyediaan manuskrip buku ke-5. Alhamdulillah, setelah setahun lebih menulis, mengumpul, menyusun dan menyunting, akhirnya manuskrip ini siap.

Insya-Allah, saya berhasrat untuk menghantar manuskrip ini kepada penerbit untuk dinilai pada awal tahun hadapan. Doakan agar manuskrip ini lulus diterbitkan.

***
Selain menguruskan manuskrip buku-5, saya turut menimba pengalaman menjadi penyelenggara antologi. Saya mengucapkan terima kasih kepada Pak Cu Hamidi, yang banyak memberi tunjuk ajar dalam menyelenggarakan antologi.

Bermula daripada cadangan untuk membukukan artikel Bicara Tunas dan Buah Pena Alumni MPR yang diterbitkan oleh Tunas Cipta, kini manuskrip tersebut telah lulus penilaian dan dijangkakan terbit pada tahun 2018.

Buku yang disarankan beli ini menghimpunkan perkongsian pengalaman 20 orang penulis muda negara.

***
Pada 28 November 2017 lalu menjadi sejarah dalam dunia penulisan saya apabila kali kedua naik ke pentas Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM).

Untuk HSPM 2015/2016 saya menerima pengiktirafan dalam Kategori Kumpulan Puisi Remaja melalui buku "Madu di Tangan" terbitan ITBM.

Besar amat pengiktirafan ini. Saya menyifatkan pengiktirafan ini sebagai amanat dan tanggungjawab untuk saya terus menghasilkan karya yang lebih baik.

***
#HEBAHANKARYAMHA dikatakan menjadi hantaran yang ditunggu-tunggu oleh rakan-rakan pada setiap hari Ahad. Insya-Allah, selagi terdaya saya akan teruskan.

Hantaran ini tidak lain tidak bukan bertujuan untuk menyemarakkan dunia penulisan negara. Melalui hantaran ini saya dapat menyebarkan berita gembira kepada penulis.

Selain itu, pembaca dapat berkenal-kenalan dengan penulis yang saya "tanda" namanya setiap kali karya disiarkan.

***
"Kehilangan" saya selama 100 hari tidak termasuk dalam sejarah penulisan saya.

***
Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang menyokong saya selama ini. Tidak ketinggalan saya ucapkan terima kasih kepada editor akhbar dan majalah yang membaca dan menilai karya eceran saya. Penerbit buku yang menerbitkan buku saya.

Saya mohon ampun dan maaf jika ada kesalahan ataupun tulisan dan komen saya yang menyinggung perasaaan rakan-rakan yang dilakukan tanpa disedari.

Mohd Helmi Ahmad
Saya Budak Baru Belajar. Berikanlah Tunjuk Ajar kepada Saya

Jumaat, 29 Disember 2017

21 Buku Terbaik ITBM Menang HSPM

 Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.

Sekadar Perkongsian Buku Terbaik ITBM
Semenjak penjenamaan ITNM kepada ITBM, buku-buku terbitan ITBM telah berjaya menggondol hadiah utama penulisan di negara kita. Buku-buku tersebut terdiri daripada pelbagai genre antaranya novel - dewasa, remaja dan kanak-kanak, kumpulan puisi - dewasa, remaja dan kanak-kanak, kumpulan cerpen - dewasa dan remaja, kumpulan drama - kanak-kanak, memoir dan buku kajian sastera.

 

21 Judul Buku Seperti Berikut:

HSPM 2012
1. Bijak Si Katak Bijak - Siti Zainon Ismail
2. Ke Pulau Sebatik 1 - Nur Mustika
3. Inspirasi Cinta - Rozninah Abd Azib
4. Selamat Datang ke Malaywood - Roslan Jomel
5. Alien Menchari Chinta - Ramzah Dambul

HSPM 2013
6. Tercipta dari Tanya - Anwar Ridhwan
7. Hujan Hujung Januari - Rebecca Ilham
8. Suteki Da Ne Aleena - Massruhaiza Ali
9. Pesanan Pendeta - Mahaya Mohd Yassin
10. Memoir Hasrat Menyala - Amir Haji Hassan
11. Mimpi Laila - Amelia Hashim
12. Qalam Kalbu - Sri Rahayu Mohd Yusop

HSPM 2014
13. Nenek - Razali Endut
14. Oksidentalisme: Dalam Sastera Melayu - Dr Saleeh Rahamad
15. Tetamu Istimewa - Mohd Helmi Ahmad
16. Mimpi Kotaku - Hilmi Rindu @ Mohd Abdullah 

HSPM 2015/2016
17. Bukan Orang-orang - Hafizah Iszahanid
18. Cerita Monyet, Anjing dan Pohon Ginkgo - Jasni Matlani
19. 77 Tuju (siri ingatan kepada kawan) - Zaen Kasturi
20. Obsesi Cintamu, Zulaikha - Nazri Hussein
21. Madu di Tangan - Mohd Helmi Ahmad

Oleh itu, rugi sekiranya buku-buku yang telah diiktiraf tahap kualitinya dalam HSPM misalnya, hanya terperuk di kedai buku dan stor sahaja. Selain itu, elok kiranya juga buku-buku ini dijadikan bahan kajian utama di universiti. Tahniah kepada penerbit dan penulis. Terima kasih kepada pembaca.

Rabu, 27 Disember 2017

Pulangnya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad ke Negeri Abadi

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.


Innalillahi wainna ilaihi rojiun.

~ Mati hidup dan susah senang dipegang oleh Allah S.W.T ~

Lahuma seorang petani.
Jeha, isteri Lahuma, juga seorang petani dan anak-anak Lahuma-Jeha:

Sanah
Milah
Jenab
Semek
Liah
Lebar
Kiah

Juga petani-petani yang pernah mengalami keperitan hidup dan mereka yang masih berada di kampung kelahiranku ini.

Dan:

Semak-samun
Ular tedung senduk dan lintah gajah
Kemarau dan banjir sepanjang musim
Ketam-ketam dan burung-burung tiak
Batang-batang menerung
Rumput bulu landak dan onak-onak nibung
Gila dan penyakit busung
Ulat-ulat
Nanah-nanah dan darah-darah

adalah bencana-bencana yang tidak bisa langsai selagi jantung berdegup dan nadi berdenyut. RANJAU SEPANJANG JALAN cuma dapat dirasai kalau bertafakur sejenak menginsafi perjuangan hidup pak-pak tani.

*Petikan daripada Novel Ranjau Sepanjang Jalan

Al-Fatihah

Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

SHAHNON AHMAD
13 Januari 1933 - 26 Disember 2017
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78