Pengikut

Rabu, 17 April 2013

Kursus i THINK untuk Guru Pemulihan Hulu Selangor

Alhamdulillah, kursus i THINK untuk guru pemulihan Hulu Selangor telah berjaya dilaksanakan hari ini di Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1, Bukit Beruntung Selangor. 

Buat pertama kalinya, setelah saya mengikuti kursus ini kemudian memberi latihan dalaman kepada guru-guru di sekolah saya, hari ini saya dijemput untuk memberi kursus tersebut kepada guru pemulihan pula. Saya tidak menjangka sama sekali kerana saya bukanlah Jurulatih i THINK dan saya hanyalah pemandu i THINK sekolah sahaja. 

Pada asalnya ada dua orang penceramah, namun setelah penceramah seorang lagi menarik diri atas sebab-sebab tertentu jadinya, saya mengambil alih tempat tersebut bersama Puan Zaiton Mohktar dari SJKT Ladang Batang Kali untuk menyampaikan kursus tersebut walaupun kami ini bukanlah guru pemulihan. 

Saya berharap guru-guru ini memahami apa-apa yang telah di sampaikan dan dapat mengaplikasikannya setelah pulang ke sekolah nanti.   

Guru-guru yang bertungkus lumus menyediakan peta pemikiran yang diberikan
Puan Zaiton yang sedang memberi penerangan

Kumpulan yang ditugaskan untuk membuat peta buih


Untuk pengetahuan semua, i THINK adalah satu alat yang digunakan untuk menjana pemikiran murid ke arah berfikir pada aras tinggi. 8 peta pemikiran telah dibangunkan oleh Kesrel Education di United Kingdom dan diperkenalkan di Malaysia.

1) Peta Bulatan (Mendefinisikan sesuatu konsep)
2) Peta Buih (Menerangkan kata/frasa adjektif)
3) Peta Buih Berganda (Membuat banding beza)
4) Peta Pokok (Membuat pengelasan)
5) Peta Dakap (Hubungan seluruh bahagian)
6) Peta Alir (Turutan)
7) Peta Pelbagai Alir (Sebab dan kesan/akibat)
8) Peta Titi (Membuat analogi)

Isnin, 15 April 2013

Cerita Menjelang Pesta Buku PWTC 2013

Sudahkah anda membaca cerpen di BH Ahad dan Mingguan Malaysia hari ini? Itulah rutin saya setiap pagi Ahad. Selepas tema yang termuat dalam kedua-dua akhbar ini berkaitan Pencerobohan di Lahat Datu, kini temanya beralih pula pada Pilihanraya. 

Beberapa hari lepas, ayah saya ada menelefon saya dan memberitahu bahawa bayaran cerpen saya yang disiarkan di Dewan Budaya, Mac 2013 telah masuk. Dan bayarannya di luar jangkaan saya. Selama ini paling minimum saya menerima untuk bayaran sebuah cerpen ialah RM 80.00, dan paling banyak saya dapat RM 200.00 iaitu bayaran dari Tunas Cipta dan Pelita Bahasa. Tetapi, bayaran untuk Dewan Budaya lebih daripada itu. Alhamdulillah. Bolehlah nanti duit itu saya gunakan untuk 'berborong' di Pesta Buku Antarabangsa, PWTC yang tidak lama lagi bakal berlangsung. Senarai buku telah pun dibuat. Kebanyakkannya buku dari penerbitan ITBM. 

Kumpulan Cerpen
1) 3 Kuntum Hujan - Darma Mohammad
2) Sejingga Musim Luruh - Ghazali Lateh
3) Pemberani - Norhisham Mustaffa
4) Ayam Patah Kepak - Hafizah Iszahanid
5) Hanya Batu Nisan - Mad Sakiran Sulaiman







Kumpulan Puisi
1) Perjalanan Teluki - Tuah Sujana
2) Negeri Wangi - Ramlie A.R
3) Tercipta dari Tanya - Anwar Ridhwan


Novel
1) Pagi di Hujung Senja - Kathrina Susanna Tati

Buku Umum/Penulisan
1) Tip Mengarang Cerita Kanak-kanak 
2) Jom Menulis - Marsli N.O (Utusan Publications)



P/S Sumber foto daripada Facebook ITBM

Senarai ini akan bertambah sehingga menjelang PBAKL nanti. 

Sabtu, 13 April 2013

Cerpen: Bendul di Rumah Nenek di Mingguan Wanita


Alhamdulillah, lama juga menanti cerpen ini sebelum disiarkan dalam Mingguan Wanita, edisi 12-18 April 2013. Terima kasih kepada editornya. 

BENDUL DI RUMAH NENEK ini telah lama saya tulis. Dan beberapa kali juga bertukar tajuk. Sebenarnya, susah juga untuk menjudulkan sesebuah karya. Kadangkala tajuk yang diberi langsung tidak berkaitan. Adakalanya pula, tajuk yang diberi mudah diterka oleh pembaca. Akhirnya, tidak lagi menimbulkan suspen untuk pembaca. Segala-galanya perlukan ketelitian dan kekreatifan penulis dalam menukang karyanya. 

Selamat membaca!

P/S: Hendak menulis cerpen tetapi tidak ada masa. Kalau adapun sempat mengedit cerpen lama sahaja. Hampir 10 buah cerpen yang saya hantar sepanjang tahun ini. Kebanyakannya cerpen lama yang saya murnikan semula. Kalau percubaan tahun-tahun lepas tidak menjadi, harap-harap tahun ini dapatlah hasilnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78