Pengikut

Sabtu, 31 Mei 2014

Buku dan Nilainya Pada Masa Depan

Assalamualaikum.



(i) Inspirasi dalam Berkarya


Saya tidak pernah bertemu muka dengan Azizi Hj Abdullah (Allahyarham), namun begitu, saya amat meminati karyanya. Sedaya upaya saya mengumpul dan membaca setiap karya yang dihasilkan baik yang sudah lama diterbitkan hinggalah yang terakhir iaitu Mandala Dunia Kedua

Karya-karyanya banyak memberikan inspirasi kepada saya untuk berkarya. Tema yang diangkat dalam setiap karyanya sangat mesra dengan masyarakat tempatan-memperjuangkan hak masyarakat, memartabatkan budaya tempatan, menunjang jati diri dalam kekeluargaan. Sementara bahasanya mudah difahami. Sesekali terselit juga bahasa daerah atau dialek dalam karyanya. 

Hasil Karya


Saya pernah meneliti sebuah novelnya, Kawin-kawin terbitan Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd. Setelah itu, tercetus satu hasil penulisan-Citra Dialek Kedah dalam Kawin-kawin yang kemudiannya disiarkan dalam Pelita Bahasa, Januari 2013. Tidak sekadar itu, saya turut menghasilkan puisi yang berjudul Azizi Sasterawan Rakyat yang kemudiannya disiarkan di Jendela Utara

Saya masih menanti sebuah lagi hasil tulisan saya yang dihantar ke meja editor sebuah majalah tentang sebuah kumpulan cerpen terkini Allahyarham iaitu Sepi Makin Memanjang. Doakan hasil penulisan ini diterima dan seterusnya diterbitkan untuk perkongsian bersama. 

Sesungguhnya, karya-karya yang dihasilkan Allahyarham meninggalkan banyak khazanah yang harus digali dan dikaji, baik dari aspek budaya, bahasa, kemasyarakatan mahupun jati diri sesebuah bangsa. 

(ii) Cerbisan Cerita di PBAKL


Sewaktu saya mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014 tempoh hari, saya ada melawati reruai (booth) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dalam saya sibuk "mengeledah" setiap rak buku yang dipamerkan, terdengar saya perbualan seorang pengunjung dengan pekerja di situ. 

Dia bertanya tentang buku Seorang Tua di Kaki Gunung. Namun malangnya, buku itu sudah tidak ada kata pekerja itu. Saya sepertinya hendak memberitahu bahawa saya tahu di mana buku itu boleh didapatkan. Tetapi tidak mungkin saya ingin memberitahu bahawa buku itu boleh dicari di Toko Buku Cahaya Baru di Kedah

(iii) Koleksi Buku Azizi Hj Abdullah


Kisahnya begini, sewaktu saya ghairah mengumpul buku Azizi Hj Abdullah ini (kalau tidak salah buku pertama Allahyarham yang saya baca ialah Harga Sebuah Maruah) setiap kali saya keluar masuk ke kedai buku pasti saya akan bertanya dan mencari buku-buku langka seperti Seorang Tua di Kaki Gunung ini. Namun begitu, buku lama ini sudah tidak diterbitkan lagi. Stoknya pun tidak pasti sama ada masih ada ataupun tidak. 

Apabila saya menemui Toko Buku Cahaya Baru wakil pengedar buku terbitan DBP ini saya menggeledah buku yang ada di rak mereka. Rasanya berkali-kali juga saya mengunjungi kedai ini dan barulah saya terjumpa dengan Seorang Tua di Kaki Gunung

Ya, bukan sebuah buku ini dijumpai, sebaliknya jika tidak salah hampir 10 buah. Saya hanya memilih sebuah sahaja untuk dimiliki. Berasa rugi pula ketika ini apabila difikirkan semula. Mengapa saya tidak membeli lebih daripada itu. Jika tidak bolehlah dijual ataupun diberi kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk membacanya. Hal ini kerana, harganya sekadar serendah RM5.50 sebelum diskaun. 

Pemenang Hadiah Novel GAPENA


Buku ini merupakan (Pemenang Kedua Hadiah Novel GAPENA-Yayasan Sabah II 1981). Kemudian, pada tahun 1982 baru diterbitkan. Setelah itu, buku ini dicetak ulang kali kedua pada tahun 1984. Cetakan ketiga juga dilakukan pada tahun 1984. Oleh itu, buku yang berada di tangan saya sekarang ini adalah cetakan 1984. 

Oh, tidak mustahil pada pemikiran saya sekiranya buku-buku langka atau malar segar sebegini akan meningkat harganya sekiranya dijual kepada pembaca atau pencinta buku yang mencarinya. Tidak mustahil juga daripada harga RM5.50 boleh dijual berkali-kali ganda daripada harga asalnya. Namun begitu, saya tidak bercadang untuk menjual koleksi yang saya ada ini. Buku ini tetap akan menjadi koleksi dalam perpustakaan saya.

(iv) Buku dan Nilainya Pada Masa Depan


Besar harapan saya sekiranya, pihak DBP mencetak ulang Seorang Tua di Kaki Gunung bagi memperingati Allahyarham. Bahkan, karya-karya penulis lain yang difikirkan sesuai dicetak ulang untuk bacaan generasi kini. 

Ramai yang berbicara tentang buku dan nilainya pada masa depan. Bagi saya buku tetaplah buku yang mempunyai auranya tersendiri. Biar sekalipun, pelbagai teknologi seperti e-book, dan gajet-gajet lain yang boleh digunakan untuk mendapatkan bahan bacaan tidak akan sama kepuasannya memegang dan menatap sebuah buku yang penuh dengan nilai tradisi menyampaikan ilmu. 

Kata Sasterawan Negara, Baha Zain: Buku Tidak Mati dan Selalu Menunggu (boleh baca artikel ini sepenuhnya dalam Dewan Sastera, Mei 2014).

Dalam tulisan tersebut, amat tertarik saya pada kata-kata ini: "Terbitkanlah sebanyak-banyak memoir, autobiografi dan biografi lagi kerana kisah pengalaman manusia kita adalah sejarah negara kita; dan cermin hati nurani bangsa".


Rabu, 28 Mei 2014

Berusaha Keluar dari Perangkap Masa

Assalamualaikum.



Semakin hari semakin tumpul pena penulisan saya. Pelbagai kekangan yang merempuh masa saya untuk menulis. Paling ketara, semangat untuk terus menulis merudum dan kemalasan yang berjungkir balik itu telah mengaburi segala-galanya. Saya harus lekas keluar dari perangkap masa ini agar saya tidak terus terperangkap di dalamnya. 

Bagaimanapun, semangat untuk saya membaca semakin membara pula. Saya fikir, penulis tidak hanya perlu menumpukan pada fasa penulisan sahaja. Ada kalanya, perlu menyeimbangkan dengan aktiviti membaca untuk memperbaiki dan menambah apa yang kurang. 

Namun begitu, saya sangat merindui perjalanan masa saya sewaktu ghairah menulis dan mengirimkan karya kepada editor di setiap media penerbitan surat khabar mahupun majalah. Boleh dikatakan, hampir dua minggu sekali pasti saya akan mengirimkan karya. Saya berasa amat rugi jika saya tidak menulis. Ya, saya perlu berterima kasih pada masa itu, hingga saya boleh mencapai apa yang saya capai sekarang ini.

Ayuh, kita semua jangan terperangkap dalam perangkap masa yang kita pasang sendiri. Adalah rugi terperangkap dalam perangkap masa yang melekakan. 

Sepanjang saya tidak menerbitkan entri ini, pelbagai peristiwa yang telah saya hadapi sebenarnya. Inilah kembara perjalanan hidup sebagai seorang guru. Saya merasai bagaimana hangatnya menggalas tanggungjawab sebagai seorang guru. 

Bermula dengan persiapan sambutan Hari Guru, kemudian perkhemahan unit beruniform selama tiga hari dua malam pada hujung minggu lepas, sambutan Israk dan Mikraj, dan berakhir dengan Lawatan Penanda Aras Kelas Lima Bintang di SK Bukit Beruntung 2 semalam. Hari ini hendak berehat seketika sambil menyiapkan Laporan Pentaksiran Berasaskan Sekolah PLBS sebelum berangkat pulang ke Kedah esok, Insya-Allah. 


Khamis, 22 Mei 2014

Tetamu Istimewa 4 Bintang di "Goodreads"

Seperti yang saya tulis dalam PRAKATA-Tetamu Istimewa, sebenarnya bukan mudah untuk saya memilih dan menyaring sejumlah cerpen yang dilabel cerpen remaja sebelum senarai terakhir yang dimuatkan dalam buku pertama saya ini berjumlah 15 buah cerpen. 

Pascakata Selepas Terbitnya Tetamu Istimewa

Pada asalnya saya telah menyenaraikan 20 buah, namun begitu, setelah mendapatkan pandangan daripada beberapa orang penulis yang lebih senior atau mapan, eloklah saya bersederhana dengan menyenaraikan 15 cerpen sahaja. Maka, baki 5 buah lagi itu saya simpan untuk projek yang seterusnya. 

Seringkali saya bertingkah dengan diri sendiri, adakah cerpen yang saya rangkumkan dalam Tetamu Istimewa sesuai untuk dikategorikan sebagai cerpen remaja. Paling utama dalam perletakkan cerpen remaja, wataknya haruslah menunjang remaja sebagai teraju utama ataupun remaja dijadikan sebagai subjek penceritaan. Hal ini penting untuk membezakan cerpen remaja dengan cerpen umum atau dewasa. 

Fasa Kepengarangan Awal

Sememangnya saya terlahir dalam fasa kepengarangan awal dalam lingkungan "usia remaja" ini. Jika disingkap kembali kebanyakan karya saya bertemakan remaja, hinggalah beberapa buah cerpen saya seperti Bunga Telur Kenduri Kahwin, Kuih Bakul Limau Mandarin, Rombongan Masuk Jawi diberi hadiah penghargaan dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExonMobil (HSKU) kategori Cerpen Remaja. 

Tidak sekadar itu, tiga buah cerpen saya lagi turut layak ke peringkat akhir kategori ini iaitu Rancanganku Rancangan-Mu, Piala Penentuan dan Cikgu. Lima daripada enam buah cerpen ini saya masukkan dalam Tetamu Istimewa kecuali cerpen Cikgu. 

Insya-Allah, jika masih diberikan peluang dan rezeki cerpen Cikgu dalam perancangan saya untuk projek kumpulan cerpen remaja saya yang seterusnya. Masa dan ketikanya sahaja belum pasti akan terlaksananya. 





Tetamu Istimewa 4 Bintang di Goodreads

Goodreads merupakan perpustakaan bagi pencinta buku menyimpan buku mereka setelah dibaca. Dengan kata lain, setelah pembaca atau pemilik akuan ini membaca buku mereka akan memuat naik ulasan buku tersebut dan kemudian mereka akan memberikan rating (bintang) tahap nilaian buku yang dibaca tersebut. 

Saya tidak mempunyai akaun goodreads ini. Namun sesekali, saya "curi" juga membaca ulasan buku yang telah dimuatnaikkan pembaca. Ada kalanya, saya mengintai sekiranya ada pembaca yang telah membaca Tetamu Istimewa dan memuatnaik ulasan mereka. 

Alhamdulillah, ada seorang pembaca yang telah membaca dan berkongsi buku yang dibacanya itu dalam perpustakaannya itu. Biarpun ulasan tidak disertakan, namun rating (bintang) tahap nilaian yang diberikan itu sudah cukup menggugah rasa teruja saya. 




Wah, 4 BINTANG! Terima kasih saya ucapkan kerana sudi membaca Tetamu Istimewa. Saya berharap penilaian ini adalah jujur berdasarkan hasil pembacaan yang telus bahawa Tetamu Istimewa layak diberi 4 BINTANG.


Kerana Terpaksa Aku Relakan Full Episod - Tonton Online (Kepala Bergetar)

Assalamualaikum.

Kerana Terpaksa Aku Relakan 


Satu lagi drama adaptasi novel menghiasi kaca televisyen bagi menggantikan drama Aku Isterinya. Kerana Terpaksa Aku Relakan karya Umie Nadzimah ini bersiaran di slot Akasia TV3 pada pukul 7.00 petang

Menampilkan pelakon seperti Izreen Azminda (Indah Halina), Amar Baharin (Tajul Razin/Zen), Dian P.Ramlee (Datuk Safiyah), Syafik Kyle (Tajul Fahin), Eddy Asraf (Tajul Zahin), Aliza Shadan (Mak Mariah), Nadia Aqilah (Zawati), Hairi Safwan (Yazid) dan Afzan (Saiful). 

Boleh tonton online Kerana Aku Terpaksa Aku Relakan Full Episod di sini di blog Kepala Bergetar

Lagu tema Patah Sayap ciptaan Hafiz Hamidun dalam Kerana Terpaksa Aku Relakan adalah nyanyian NadiaAqila Bajuri (Zawati kakak tiri Indah). 

Contoh Soalan Ujian MEdSI 2014

Assalamuaalikum.

Tahniah diucapkan kepada calon yang berjaya dipanggil menduduki Ujian MEdSi 2014 ataupun (Malaysian Educators Selection Inventory). Calon haruslah membuat persediaan rapi untuk menduduki ujian ini berdasarkan format berikut:

Format Ujian MedSi


  • Mengandungi 300 soalan dan dijawab dalam masa 1 Jam
  • Mempunyai  4 bahagian
  • Bahagian 1 : Personaliti 110 item
  • Bahagian 2 : Minat kerjaya 60 item
  • Bahagian 3 : Nilai intergriti 70 item
  • Bahagian 4 : Kecerdasan emosi 60 item


Contoh Soalan Ujian MEdSI 2014



    



Untuk soalan seterusnya boleh klik di sini

Semoga berjaya!


Rabu, 21 Mei 2014

Penulis Akan Mati Setelah Karya di Tangan Pembaca

Assalamualaikum.



Saya tidak tahu bagaimana saya tergerak untuk menerbitkan entri baru pada hari ini. Lama saya berdiam kerana tidak ada perkara menarik untuk dikongsikan. Apabila difikirkan semula, saya terbaca entri yang ditulis oleh blogger Yumida dengan tajuk entrinya Tetamu Istimewa (Cerpen Remaja)-Mohd Helmi Ahmad menyebabkan saya tergerak untuk merespons entri tersebut. Terima kasih saya ucapkan kepada Yumida yang sudi membeli Tetamu Istimewa. Entri ini saya anggap sebagai penghargaan kepada saya selaku penulis daripada pembaca. 

Sebelum itu, saya juga ingin meluahkan keterujaan saya membaca ulasan buku Tetamu Istimewa yang ditulis oleh saudara Wanariahamiza. Ulasan ini ditulis untuk menyertai pertandingan ulasan buku yang dianjurkan oleh ITBM. Bagi saya, saudara Wanariahamiza telah berjaya menyelongkar apa yang terkandung dalam 15 cerpen yang dimuatkan dalam kumpulan cerpen remaja ini. 

Saya mendoakan Wanariahamiza berjaya dalam pertandingan ini. Kepada yang masih teragak-agak untuk mendapatkan buku ini, bolehlah membaca ulasan tersebut di sini terlebih dahulu. Moga ulasan ini membuka minat kalian untuk mendapatkan buku ini dan membaca dengan lebih lanjut lagi.  

Sebagai penulis, apabila karya sudah di tangan pembaca, penulis akan mati. Dengan kata lain, pembaca bebas mentafsir karya tersebut berbekalkan pengalaman, ilmu dan sudut pandang selaku seorang pembaca. Saya menerimanya secara alamiah sekiranya ulasan yang dilontarkan itu demi menambahbaik karya saya pada masa depan. 

Ahad, 18 Mei 2014

Semakan Ujian MEdSI Ambilan September 2014/2015

Assalamualaikum.



Semakan Menduduki Ujian MEdSI

Bagi Ambilan September Sesi 2014/2015


Sila isikan No Kad Pengenalan anda
( tanpa '-' e.g. 880809065356 )

  
Perhatian: Semakan panggilan Ujian MEdSI bagi calon-calon yang berada Di Sarawak, tarikh semakan akan dimaklumkan kemudian. Harap maklum.

Sebarang maklumat lanjut mengenai Universiti Pendidikan Sultan Idris 
bolehlah melayari Laman Web: www.upsi.edu.my atau mengemukakannya di alamat seperti berikut:

Unit Kemasukan,
Bahagian Hal Ehwal Akademik,
Universiti Pendidikan Sultan Idris,
Kampus Sultan Abdul Jalil Shah,
35900 Tanjung Malim,
Perak.

No. Tel : 05-450 6929/6930/6932
No. Faks : 05-4582670
( untuk tujuan pertanyaan/surat-menyurat sahaja)

Sabtu, 17 Mei 2014

Permohonan Rayuan UPU Online 2014

Assalamualaikum.



Hanya calon yang gagal mendapat sebarang tawaran sahaja yang layak mengemukakan permohonan rayuan.

Rayuan ke IPTA

Rayuan ke IPTA bagi Program Pengajian Lepasan SPM/Setaraf hanya boleh dicapai setelah Keputusan Kemasukan Ke Politeknik Konvensional/ METrO, Kolej Komuniti & ILKA diumumkan iaitu mulai 16 Mei 2014 jam 12.00 tengah hari sehingga 26 Mei 2014 di URL berikut :-


Rayuan ke IPTA bagi Program Pengajian Lepasan STPM/Setaraf dibuka untuk capaian mulai 12 Ogos 2014 jam 12.00 tengah hari sehingga 22 Ogos 2014 (Tentatif) di URL berikut :-



Rayuan Politeknik Premier

Rayuan ke Politeknik Premier hanya boleh dicapai setelah Keputusan Kemasukan Ke Politeknik Konvensional/ METrO, Kolej Komuniti & ILKA diumumkan iaitu mulai 16 Mei 2014 jam 12.00 tengah hari sehingga 26 Mei 2014 di URL berikut :-



Rayuan ke Politeknik Konvensional/ METrO, Kolej Komuniti & ILKA

Rayuan ke Politeknik Konvensional/ METrO, Kolej Komuniti & ILKA dibuka untuk capaian mulai 16 Mei 2014 jam 12.00 tengah hari sehingga 26 Mei 2014 di URL berikut :-


Nota: Terima kasih kepada rakan-rakan blogger yang mengucapkan Selamat Hari Guru kepada saya. 

Khamis, 15 Mei 2014

Teks Perutusan Sambutan Hari Guru 2014 - Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia



PERUTUSAN SAMBUTAN HARI GURU 2014 
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA 


“GURU: PENCETUS KREATIVITI, PENJANA INOVASI” 

Bismillahirrahmanirrahim 
 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 
Salam Sejahtera, Salam Perpaduan 
dan Salam 1Malaysia 



Saudara dan saudari warga pendidik 
dan murid-murid yang dikasihi sekalian, 

1. Tanggal 16 Mei merupakan hari yang amat bermakna kepada individu yang bergelar guru atau lebih sinonim dengan gelaran „cikgu‟, kerana hari ini merupakan hari yang diiktiraf sebagai hari guru. Seperti biasa, tarikh keramat 16 Mei disambut dengan meriah bagi meraikan para guru yang bertungkus lumus mendidik anak-anak kita tidak kira di ceruk mana sahaja berada untuk menjadi orang yang berguna. Pada hari ini, guru-guru diraikan oleh anak-anak didik mereka sebagai tanda sokongan dan penghargaan atas usaha bakti yang telah dicurahkan. 

2. Marilah kita semua bersyukur ke hadrat Allah swt kerana sekali lagi kita dapat menyambut Hari Guru kali ke-43 pada tahun ini. Selamat Hari Guru dan terima kasih serta setinggi-tinggi penghargaan terhadap komitmen, keikhlasan, dedikasi dan prestasi tinggi para guru kepada bangsa dan negara. Jasa dan pengorbanan guru serta seluruh warga pendidikan terhadap pembangunan pendidikan negara sentiasa relevan dan dihargai.Tugas sebagai seorang guru dipandang tinggi dan amat mulia sebagai pemangkin pembangunan negara, pembentuk generasi dan menjadi asas kemajuan pendidikan negara di samping memacu kejayaan rakyat. Guru-guru perlu mempunyai jati diri dan semangat yang tinggi untuk menabur bakti kepada anak bangsa tanpa menghirau penat lelah, tanpa menghirau jarak dan sempadan malah mereka diakui mampu melahirkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh dan boleh memacu pembangunan dan ekonomi negara ke arah yang lebih baik. 

3. Kini kita telah pun melangkah ke tahun kedua pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM). Saya akan meneruskan amanah yang diberikan untuk terus memastikan PPPM ini berada pada landasannya. Ini bertujuan untuk memastikan transformasi pendidikan negara ini dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan mencapai matlamatnya. Bagi mencapai hasrat itu, pendidikan perlu bersifat dinamik dan holistik yang sentiasa segar serta berubah mengikut keperluan masa dan persekitarannya. 

4. Salah satu aspek penting dan utama yang diberi penekanan menerusi pelan tersebut adalah berkaitan profesion keguruan. Tumpuan akan diberi kepada usaha-usaha peningkatan kualiti guru serta menjadikan profesion ini sebagai profesion pilihan. Menerusi pelan ini juga, para guru di seluruh negara adalah diharap dapat meneruskan peningkatan keilmuan masing-masing sejajar dengan perkembangan teknologi dan persekitaran semasa. 

5. Guru-guru sepatutnya menjadikannya sebagai satu cabaran baru dalam meneroka dan meningkatkan lagi kebolehan, keupayaan masing-masing bagi menghadapi gelombang perubahan yang berlaku masa kini dan mendatang. 

6. Pada hemat saya selain daripada dasar dan pelan yang disediakan, guru-guru merupakan pemain utama dan penentu terhadap transformasi menyeluruh dalam sistem pendidikan. Segenap lapisan rakyat dalam negara ini sentiasa menaruh harapan kepada guru. Yakinlah bahawa pendidikan adalah harapan masa depan negara. 

7. Oleh itu, saya menyeru warga pendidik agar bersama-sama meletakkan keutamaan pada tahap tertinggi bagi memastikan semua perancangan dalam pelan pembangunan pendidikan berjalan lancar. Hal ini kerana, saya berpandangan bahawa sentuhan masa depan negara (touching the future) sebenarnya bermula di tangan guru. 

8. Dalam hal ini, saudara dan saudari para guru disaran agar lebih peka dengan realiti murid masa kini dan mengambil pendekatan kontemporari dalam mendidik. Tugas “memanusiakan manusia” bukanlah perkara yang mudah, guru juga harus memiliki jati diri yang jitu untuk menzahirkan akhlak mulia bagi menjadi contoh kepada anak didik mereka. Guru perlu memiliki personaliti yang cemerlang untuk menarik perhatian dan menjadi tempat rujuk murid. 

Saudara dan saudari yang dikasihi, 

9. Tema Hari Guru tahun ini “Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi” sangat bertepatan dengan dunia pendidikan pada masa kini. Kreativiti dan inovasi amat dituntut untuk melahirkan generasi murid berfikiran kelas pertama dalam abad ke-21 untuk bersaing dalam abad penuh cabaran ini. Para guru harus sentiasa meningkatkan keupayaan kreativiti dan inovasi dalam melaksanakan tugas yang semakin mencabar. Untuk itu, guru perlu peka dan sentiasa bersedia menambah ilmu untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif. 

10. Kreativiti ialah suatu bentuk proses pemikiran yang mendorong penjanaan idea baharu. Kreativiti melibatkan kombinasi antara idea baharu dan idea lama yang diproses semula, membuat pemilihan dan menukar ganti menjadi sesuatu yang baharu. Inovasi pula merupakan suatu idea, amalan atau objek yang baharu dan yang lebih baik. Inovasi dihasilkan oleh manusia kreatif yang dapat membina trend baharu dan menggunakan peluang semaksimum mungkin dalam ekosistem yang penuh persaingan. Sebagai contoh, jika dulu penggunaan telefon bimbit hanya sebagai alat perhubungan tetapi kini melalui inovasi, digunakan sebagai penyampai maklumat, pandu arah perjalanan, internet, kamera dan alat hiburan. 

11. Kreativiti amat penting dalam membangunkan masyarakat dan negara. Secara umumnya, para pemimpin, ahli perniagaan, saintis, ahli sejarah, pendidik dan ahli psikologi menyatakan bahawa kreativiti sangat diperlukan untuk kelangsungan hidup di dalam sesebuah negara terutamanya dalam era globalisasi, perubahan, cabaran, dan persaingan yang sedang dan akan terus berlaku. Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun dan berhasrat untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020, keperluan terhadap kreativiti semakin mendesak. Tambahan pula, perkembangan ekonomi yang berlaku akibat transformasi dasar kerajaan telah mengubah lanskap pendidikan negara. 

12. Guru memainkan peranan penting bagi menerapkan elemen kreativiti dan inovasi dalam pengajaran mereka. Oleh itu, guru perlu sentiasa berfikir untuk membudayakan elemen kreatif dan inovatif dalam setiap aspek pengajaran dan pembelajaran. Melalui budaya pemikiran kreatif dan inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran dapat mengaktifkan minda murid menjadi lebih dinamik, kreatif dan inovatif. Hasil atau outcome pembudayaan elemen kreatif dan inovatif ini, insyaallah akan menjadikan pengajaran guru dan pembelajaran murid lebih berkualiti. Oleh itu, untuk mencapai tujuan ini maka para guru mestilah sentiasa think again, think across and think ahead. 

13. Dalam hal ini juga, saya percaya bahawa kita perlu melihat apa yang berlaku di dalam kelas atau pembelajaran di bilik darjah. Pada saya, the classroom is the source of energy for positive vibrations – the nucleus of change. Slight ripple of improvement in the classroom will create a strong wave of transformation. Pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah harus menekankan kepada pedagogi. Fokus pembelajaran murid hendaklah menjadi agenda utama seseorang guru. Guru-guru disaran agar sentiasa berusaha meningkatkan kemahiran mereka dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. 


Saudara dan saudari yang dikasihi, 

14. Peranan pengurusan sekolah juga penting dalam membudayakan elemen kreativiti dan inovasi agar menjadi organisasi pembelajaran yang bermaklumat, menggalakkan pengembangan pengetahuan baharu, membudayakan ilmu saintifik dan teknologi termasuk menggunakan tenaga sumber secara maksimum. Barisan pentadbir sekolah haruslah bertanggungjawab bagi mencetuskan budaya kreativiti dan inovasi. 


15. Bagi mewujudkan suasana kreatif dan inovatif, sekolah perlu mengurangkan kerenah birokrasi dalam pengurusan demi memberi ruang kebebasan berkarya kepada warganya. Oleh itu, pihak pengurusan juga perlu menjadikan iklim sekolah sentiasa ceria, bersih, kemas dan bermaklumat. Pengurusan sekolah perlulah memastikan komunikasi dua hala, pengaliran maklumat lebih demokratik, gaya kepimpinan yang berhemah dan pembangunan insan yang harmoni bagi mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif. 

16. Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) secara meluas dapat membina imej baharu dalam pengurusan organisasi yang berprestasi tinggi. Ia akan menjadikan sekolah lebih berdaya saing dan menjadi lebih produktif. Guru juga disaran meneliti semula amalan bilik darjah yang sesuai dengan ciri serta situasi murid sekarang. Menurut Sternberg (2004), “minda manusia mempunyai tiga potensi utama iaitu kepintaran, kreativiti dan kebijaksanaan, ketiga-tiganya mesti dipupuk dan dirangsang agar manusia dapat menggunakan mindanya secara optimum.” 

17. Adalah menjadi tanggungjawab semua guru ke arah melahirkan murid yang mempunyai enam aspirasi, iaitu berpengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional seperti yang dihasratkan dalam PPPM. Guru juga perlu sentiasa menggunakan kemahiran dan pengetahuan pedagogi bersifat kreatif dan inovatif serta menerapkan 
unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) bagi menjadikan pembelajaran menarik dan menyeronokkan. 

18. Ciri budaya sekolah yang menggalakkan kreativiti dan inovasi akan mendorong semangat belajar yang tinggi dalam kalangan murid.Daya usaha murid sendiri dan sentiasa berusaha mengembangkan potensi diri dengan bimbingan dan sokongan guru-guru yang dedikasi, terlatih dan profesional akan membuahkan kejayaan. 

Saudara dan saudari yang dikasihi, 

19. Pembangunan modal insan merupakan unsur penting yang seharusnya diberikan tumpuan terutamanya dalam rangka negara kita sedang bergerak untuk mencapai Wawasan 2020 dan sekaligus menjadi lebih berdaya saing pada peringkat antarabangsa. Menyedari hakikat ini, pembangunan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan inovatif serta berdaya saing di peringkat antarabangsa penting untuk melahirkan tenaga kerja yang memiliki kemahiran, pengetahuan dan daya kreativiti agar mereka dapat menyelesaikan tugasan yang semakin kompleks. 

20. Di samping itu guru juga mempunyai tugas berat dalam menghasilkan generasi muda yang berpotensi dengan kemahiran pelbagai dan dapat membentuk ciri-ciri keperibadian agar selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Guru perlu mempunyai idea kreatif dan inovatif dalam menjana idea, konsep atau strategi baharu yang dapat meningkatkan amalan berkesan dalam menyampaikan ilmu kepada anak-anak didik. Saya amat berharap guru dan murid perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk membangunkan pendidikan negara. 

21. Hal yang demikian, guru perlu melengkapkan diri bagi menghadapi cabaran global. Guru perlu mencanai perancangan strategik serta menyatukan aspirasi bagi memastikan sekolah mampu melahirkan murid cemerlang. Di samping itu, para guru perlu ketelusan minda dalam mendidik murid, menyuntik semangat agar terus gigih, berinovatif, berdedikasi dan berintegriti dalam menggalas tanggungjawab. 

22. Di samping para guru melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang amat mencabar ini, saya juga amat memahami akan keluhan perasaan saudara dan saudari. Untuk itu, saya akan pastikan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia akan sentiasa berupaya mendengar, prihatin dan serius, sentiasa terbuka dan telus terhadap sebarang rungutan dan pandangan daripada saudara dan saudari. 

23. Namun saya juga berharap agar segala pandangan atau rungutan termasuk kritikan membina perlulah dilakukan secara tertib, berhemah serta mengikut peraturan dan saluran yang betul. Ini bertujuan agar profesion keguruan dapat sentiasa terpelihara dan dihormati oleh masyarakat. Kita perlu sentiasa menjaga imej kita sebagai guru disamping sentiasa berpegang kepada nilai-nilai murni yang menjadi amalan masyarakat kita serta menjadi nadi penggerak ke arah perpaduan negara. 


24. Marilah kita memperbaharui tekad dan azam dengan seluruh tenaga dan keupayaan demi membangunkan modal insan berkualiti. Saya yakin bahawa tanggungjawab berat yang digalas oleh saudara dan saudari para guru di samping tekanan yang dihadapi sedikit pun tidak melunturkan rasa kasih dan sayang kepada anak-anak didik semua. Saya amat yakin dan percaya bahawa saudara dan saudari para guru yang ada di hadapan murid-murid mereka adalah guru yang penyayang. Setiap murid di mata dan hati seorang guru adalah permata bersinar yang mempunyai keistimewaan dan kebolehan tersendiri. “Ketahuilah bahawa pendidikan anak-anak murid ini merupakan pelaburan jangka panjang dalam konteks pembangunan sesebuah negara”. 


Kepada anak-anak murid yang disayangi sekalian, 

25. Guru merupakan ibu dan ayah kepada anak-anak didik semua, kepada guru-gurulah harapan ibu bapa untuk menjadi pengganti mereka bagi mendidik anak-anak ketika berada di sekolah. Sekiranya ada antara murid-murid yang ditegur oleh guru, janganlah mudah berkecil hati atau merasa diri kurang disayangi. Anggaplah para guru sebagai ibu dan bapa di sekolah yang sentiasa mengambil berat dan menginginkan yang terbaik untuk murid-murid semua. 


Saudara dan saudari yang dikasihi, 

26. Besarlah harapan saya agar saudara dan saudari para guru yang dikasihi sekalian terus melaksanakan amanah yang diberi penuh dedikasi, bertunjangkan integriti dan berlandaskan etika perkhidmatan. Selaku pencetus, penggerak dan pemegang amanah 
kepada proses transformasi sistem pendidikan negara, saudara dan saudari mempunyai kedudukan tersendiri, disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Marilah kita teruskan amalan budaya kerja cemerlang, sikap kebertanggungjawaban, istiqamah dan semangat mujahadah setiap daripada kita untuk melakukan yang terbaik demi nusa dan bangsa. 


27. Saya mengambil kesempatan di sini, mengucapkan selamat hari guru dan terima kasih cikgu kepada semua insan yang bergelar guru dengan pesanan jadilah guru yang berdedikasi, komited, cemerlang, kreatif, inovatif, kaya maklumat dan bersemangat tinggi dalam perjuangan di arena pendidikan. Selain itu, jadilah guru yang prihatin 
serta sentiasa menyayangi muridnya. Sesungguhnya Malaysia amat memerlukan khidmat bakti saudara dan saudari para guru demi agama, bangsa dan negara tercinta. 


“SELAMAT HARI GURU” 

“TERIMA KASIH CIKGU” 


DATUK DR KHAIR BIN MOHAMAD YUSOF 
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia 

16 Mei 2014 



Rabu, 14 Mei 2014

Ibuku Bukan Ratu Kosmetik

Assalamualaikum.


Alhamdulillah, habis semak kertas Peperiksaan Pertengahan Tahun 2014. Cuma yang belum selesai adalah memasukkan markah ke dalam Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS). 

Ibuku Bukan Ratu Kosmetik merupakan cerpen saya yang disiarkan di majalah Jelita, Mei 2014. Cerpen ini bukanlah cerpen baharu, sebaliknya cerpen yang sudah lama terperam dalam bank karya. Setelah dimurnikan semula, saya hantar ke majalah Jelita. Alhamdulillah, tersiar bersempena Hari Ibu. 

Bagaimanapun, saya amat suka dengan permulaan cerpen ini. Oleh itu, saya kongsikan di sini untuk membuka minat kalian semua untuk terus membaca nanti. 

Maaf, bukan sengaja saya hendak membiarkan emak bersusah payah membeku di dalam bas ekspres selama enam jam. Kemudian, membiarkan jantung emak tergantung di atas landasan Transit Aliran Ringan tatkala menaiki LRT dari stesen Plaza Rakyat. Saya harap emak memahami keadaan saya yang baru sahaja bekerja dan belum stabil pendapatan untuk menjemput emak dengan kereta sendiri. Walau bagaimanapun, emak perlu juga hadir ke Kuala Lumpur. Bukan hendak dibawa melihat menara KLCC mahu pun bermandi lampu-lampu di Bukit Bintang tetapi jemputan yang emak terima itu lebih penting daripada segala-galanya.  

Cerpen ini bukan sekadar cerpen tentang Hari Ibu. Di sebalik itu, ada hal dan peristiwa yang lebih besar untuk diraikan dan diperkatakan, jika bukan hanya kerana Bedak Sejuk. Untuk mengetahui kisah selanjutnya bolehlah dapatkan majalah Jelita, Mei yang sudah berada di pasaran. 

Dalam kesibukan orang ramai menyambut kedatangan tetamu kehormat, saya terpandang susuk tubuh lelaki berbadan sasa yang berjalan di belakang tetamu kehormat itu begitu iras Abang Long. Kalau ya, buat apakah dia di sini?


Selasa, 13 Mei 2014

Lirik Lagu Kami Guru Malaysia - Lagu Hari Guru

Assalamualaikum.



Lirik Lagu Kami Guru Malaysia (Lagu Hari Guru)

Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita

Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua

Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta

Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan

Lagu & Lirik : Hashim Ahmad


Tanggal 16 Mei 2014 (Jumaat) pasti lagu Kami Guru Malaysia akan berdendang dengan penuh bersemangat di sekolah-sekolah di seluruh Malaysia. Lagu keramat ini mempunyai kekuatan lirik dan komposisi lagu yang sangat kuat. 

Nota: Selamat menyambut Hari Wesak kepada penganut agama Buddha dan selamat bercuti kepada seluruh rakyat Malaysia. 


Isnin, 12 Mei 2014

Pengalaman Temu duga Guru IPG 2014

Assalamualaikum.


Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada calon guru yang berjaya dipanggil untuk ditemuduga yang bermula pada hari ini 12 Mei 2014. 

Beberapa entri yang saya terbitkan melalui blog ini adalah sebagai rujukan dan panduan sahaja. Tidak sama sekali perkongsian itu 100 % akan sama dengan sesi temu duga yang bakal anda hadapi.

Pengalaman Diz Zati - temu duga guru Bahasa Melayu


Untuk lebih pencerahan, salah seorang calon guru yang telah selesai menghadiri temu duga pada hari ini telah berkongsi pengalamannya atau dengan kata lain memberi sedikit gambaran bagaimana sesi temu duga guru IPG ini dijalankan. Katanya:
  •  Temu duga dijalankan selama 1jam. 
  • 30 minit perbincangan dalam kumpulan (perlu beri penjelasan mengenai video pendek) dan;
  • 30 minit lagi disoal secara individu. Selain itu, 
  • Helaian pernyataan hasrat tidak perlu ditulis. 
Terima kasih! Saya temu duga untuk mata pelajarn BM. Kalau ujian amali saya tak tahu sebab tiada calon yang temuduga yang ambil bidang muzik, pendidikan islam ataupun bahasa arab pada masa saya temu duga.

Temuduga berjalan selama 1 jam. 30 minit perbincangan kumpulan.(ada video pendek dan calon perlu huraikan apa yang difahami atau yang dilihat dalam video tersebut.)
30 minit lagi, panel temuduga memberi satu soalan dan perlu dijawab seorang demi seorang. Contoh soalan:

-kenapa bahasa kebangsaan menjadi rosak?
-apa beza ayat majmuk dan ayat tunggal?
-sebagai seorang guru, macam mana anda ingin mempertingkatkan BM kepada murid anda?

***saya tak berapa pasti tetapi lebih kurang macam itu soalan yang disoal.

isu semasa pendidikan tidak ditanya sama sekali. (tetapi calon perlu tahu juga untuk kaitkan soalan yang diberi dengan isu semasa)

Dan yang PENTING, calon BM perlu bersiap sedia menjawab soalan dalam BI. Soalan yang ditanya dalam bahasa inggeris tidak susah dan jika tidak tahu ingin becakap apa, beri sahaja pandangan anda kerana panel temuduga nak lihat semua orang bercakap.

Itu sahaja yang dapat saya kongsikan.

Pengalaman temu duga guru Bahasa Melayu


Assalamualaikum. Saya telah ditemuduga tadi, untuk subjek Bahasa Melayu. Kita akan ditayangkan dengan satu video dan kita kena berbincang secara berkumpulan berkenaan video tersebut. Penemuduga takkan masuk campur. Kita akan berbincang bersama ahli kumpulan. Kumpulan saya terdiri daripada 8 orang. 2 lelaki dan 6 perempuan. 

Apa boleh saya katakan, bersedialah dari segi fizikal dan mental. Jawab soalan apa yg ditanya. Cuba untuk bercakap. Ahli kumpulan lain juga diperlukan antara satu sama lain untuk membantu ahli yang lain. Jangan terlalu gementar. Kawal diri.


Selepas itu, masih dalam kumpulan, kita akan diajukan soalan secara individu. Antara soalan yg diajukan:
-Sila perkenalkan diri.
-Selain minat,kenapa anda hendak menjadi guru?
-Bagaimana kerajaan ingin meningkatkan profesion perguruan.
-dan banyak lagi

Ada juga yang ditanya mengenai falsafah pendidikan kebangsaan, sajak, peribahasa dan sebagainya. Itu semua calon perlu tahu. Alhamdulillah, kami tidah ditanya dalam bahasa Inggeris. Penemu duga kami juga sangat baik orangnya. Mereka membantu kami untuk bercakap. 

Nasihat saya kepada rakan-rakan, siapkan segala dokumen dan sijil2 yang dinyatakan dalam surat tawaran. Sila bawa dokumen asal dan salinan yang TELAH DISAHKAN. Hal ini kerana ada yang terlepas pandang. Itu sahaja. Harap dapat membantu calon yang bakal ditemuduga. Semoga berjaya !
Saya mengalu-alukan perkongsian calon guru yang telah menghadiri temu duga untuk berkongsi pengalaman masing-masing. 

Pengalaman temu duga guru Bahasa Inggeris


Alhamdulillah, saya sudah lepas temuduga semalam. Sebenarnya saya ingin berkongsi dengan lebih awal selepas habisnya temuduga itu tetapi tidak kesampaian. Dan diberitahu bahawa hari ini adalah hari terakhir temuduga tersebut. Apa-2 pun saya kongsikan sajalah.

Seperti apa yang telah dialami oleh Cik Stongan, kami akan diberi tayangan video pendek. Contents video tersebut adalah secara random. Memandangkan saya mengambil MP Bahasa Inggeris, secara keseluruhan kami akan bertutur dalam Bahasa Inggeris. Selepas itu mulalah soalan yang ditanya oleh penemuduga.

Soalan yang ditanya, (dalam bahasa inggeris)
1. What do you see in the video? , If you have the opportunity, will you do it and why? ( Secara individu )
2. What makes the content of the video so interesting and if so, what is your opinion to raise the interest towards space? ( Secara berkumpulan, macam berdebat )
3. Rumusan keseluruhan video itu

*lebih kuranglah

Yang penting kita kena menonjolkan diri, banyakkan bercakap even though ada yang salah. Cakap dengan yakin, suara yang jelas. Tak kisah panjang lebar sebab penemuduga itu sendiri yang cakap, 'the more you talk, the better, the more scores you'll gain'.

Yang selebihnya, Cik Stongan sudah terangkan dengan lebih detail mengenai fail, dokumen dan sebagainya. Itu sajalah yang saya boleh kongsi.

Nota: Entri ini akan dikemaskini dari masa ke masa. 

Galeri Pengkarya Guru: Tetamu Istimewa

Assalamualaikum.


Setelah menerima kejutan apabila Tetamu Istimewa dilancarkan di MRSM Tun Dr. Ismail, Pontian Johor, kali ini saya menerima satu lagi kejutan apabila saudara Wanariahamiza mengirimkan foto yang diprintscreennya dari laman Facebook. Teruja saya apabila melihat Tetamu Istimewa dalam saiz yang sangat besar untuk ditatap dan dipegang. 

Berdasarkan penerangan daripada gambar ini, Tetamu Istimewa berada di Galeri Pengkarya Guru di PWTC sempena Sambutan Hari Guru pada 14 hingga 16 Mei 2014. Kepada warga pendidik semua, sudilah mendapatkan Tetamu Istimewa sebagai bahan bacaan santai. 

Besar harapan saya sekiranya Kementerian Pendidikan Malaysia sudi membeli Tetamu Istimewa untuk diedarkan ke seluruh perpustakaan sekolah di Malaysia.


Ahad, 11 Mei 2014

Hadiah Buat Ibu: Nazam Kasih Ayah dan Ibu (Lim Swee Tin)

Assalamualaikum.



Salah satu kursus yang saya ambil ketika di Universiti Putra Malaysia adalah Kursus Penglahiran Bakat dan Karya Kreatif. Setelah mengikuti kursus ini selama satu semester, pada akhir pengajian Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin dengan murah hatinya mendendangkan Nazam Kasih Ayah dan Ibu buat kami anak-anak muridnya. 


Bertapa ketika itu, ramai yang menitiskan air mata dalam kegelapan bilik kuliah yang sengaja dimatikan lampunya. Bersempena Hari Ibu hari ini, saya teringat kembali nazam ini, lalu saya mencarinya di You Tube. Ini bukanlah hadiah buat ibu yang istimewa untuk dipersembahkan. Namun begitu, apa yang hendak saya sampaikan marilah sama-sama kita hayati lirik Nazam Kasih Ayah dan Ibu dendangan Lim Swee Tin ini. 


Sabtu, 10 Mei 2014

Permohonan Online e Rayuan UPU SPM/STPM ke IPTA 2014/2015

Assalamuaalikum. 

Sehari dua ini menyepi bukannya apa, sebab banyak kerja yang perlu diselesaikan. Keduanya, sekali lagi saya diserang demam, batuk dan selesema. Antibodi semakin lemah. Bagaimanapun, blog ini tidaklah boleh dibiarkan sepi begitu sahaja. Oleh itu, sekurang-kurangnya entri ringkas ini dapat memberikan sedikit makluman kepada pembacan yang berkenaan.


Hebahan Makluman: 

Kepada calon yang gagal mendapat tawaran mengikuti kursus atau program lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) bagi sesi akademik 2014/2015 bolehlah membuat permohonan rayuan melalui sistem e Rayuan melalui pautan ini:


(Rayuan dibuka pada 16 Mei sehingga 26 Mei 2014)

Semakan Keputusan Rayuan UPU - Terkini
(12 Jun 2014)


"Dasar pemilihan rayuan adalah untuk mengisi kekosongan tempat mengikut program pengajian di IPTA/Politeknik Premier selepas pendaftaran pelajar baharu. 

"Keputusan rayuan pula akan diumumkan pada minggu kedua bulan Jun dan jika tiada sebarang tawaran diterima dari IPTA/Politeknik Premier dalam tempoh empat minggu selepas tarikh pendaftaran pelajar baharu, maka rayuan itu dianggap gagal," menurut kenyataan itu. 


Khamis, 8 Mei 2014

Falsafah Pendidikan Guru dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Assalamualaikum.

Jika hendak dibandingkan umur saya dengan pengalaman saya dalam bidang pendidikan atau perguruan bukan dekat jaraknya. Bagaimanapun, ada juga yang melontarkan pandangan bahawa penilaian terhadap pengalaman itu sangat subjektif yang mana biarpun seseorang itu telah lama berada dalam satu-satu bidang itu tidak memberi makna bahawa seseorang itu sangat berpengalaman. 

Apa yang memberatkan dan mempertajamkan neraca timbang pengalaman seseorang adalah sejauh mana seseorang itu berhadapan dan mengharungi pengalaman itu. Dengan kata lain, jika seseorang itu sudah lama menjadi guru jika tIdak teruji dan terpikul dengan cabaran dan tanggungjawab sama jugalah seperti seorang guru yang baharu sahaja melaporkan diri pada hari pertama. 

Saya menyeru semua warga pendidik untuk menghayati kedudukan kita dalam Sistem Pendidikan Malaysia moga tidaklah kita terpesong dalam mengemudi bahtera anak bangsa pada hari muka. Bertitik-tolak daripada itu, marilah sama-sama kita menunaikan amanah dan tanggungjawab yang telah terpatri dalam Falsafah Pendidikan Guru dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. 

FALSAFAH PENDIDIKAN GURU


FALSAFAH PENDIDIKAN KEBNGSAAN

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.


Rabu, 7 Mei 2014

Puisi Hari Ibu: Fatimah Bunga Hatiku

Assalamualaikum.




Puisi Hari Ibu

FATIMAH BUNGA HATIKU

Sudah terlalu banyak yang kau hulurkan
segala kudrat keringatmu tak terbayar
kasih sayangmu meranum di ranting kesetiaan
dan kebun perkasihanmu mekar mewangi.

Fatimah bunga hatiku
aku ini anakmu
lahir dari pelabuhan putihmu
persemaian benih suci
antara cinta di ladang nurani
lewat sang suria mengalihkan kalendar hari
aku dewasa dalam pelukkan asuhanmu.

Di teratak ini
pernah kita bertarung dengan langkisau
yang menyerang di segenap jerjak jendela.
Di teratak ini
pernah kita menadah hujan rahmat
yang tidak segan silu mengintai di balik atap nipah
di atas tikar mengkuang ini
pernah kita bersila sopan mensyukuri nikmat
yang tidak jemu disuapi ke mulut kecil ini.
Di teratak ini
kita merapatkan saf mengeratkan silaturahim
keranamu aku kenal kesabaran
ketabahan, keberanian dan keyakinan.

Terima kasih kuucapkan
kerana menjadikanku anak soleh
tidak putus-putus mendoakanmu
tidak lekang berzikir rindu
memuji kebesaran-Nya


Mohd Helmi Ahmad
Alor Setar, Kedah
Harian Metro, 8 Mei 2012


Nota: Hari Ibu di Malaysia disambut pada minggu kedua dalam bulan Mei. Oleh itu, pada tahun ini, tarikh itu jatuh pada 11 Mei 2014

Selasa, 6 Mei 2014

Surat Kepada Editor: Sasterawan Wanita Pertama Menerima Darjah Setia Diraja Kedah

Assalamualaikum.

Kandungan Dewan Sastera, Mei 2014

Hari ini merupakan hari pertama Peperiksaan Pertengahan Tahun di sekolah saya. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menduduki peperiksaan ini kepada semua murid Sekolah Kebangsaan Batang Kali. Buatlah yang terbaik. 

Alhamdulillah, bulan Mei 2014 dimurahkan rezeki lagi apabila karya pertama pada bulan ini menjelma menerusi ruangan Surat Kepada Editor: Sasterawan Wanita Pertama Menerima Darjah Setia Diraja Kedah. Karya ini merupakan coretan ringkas saya dan sebagai penghargaan kepada sasterawan wanita ini. Karya ini tersiar dalam Dewan Sastera, Mei 2014

Jika kalian berminat untuk mengetahui siapakah sasterawan wanita tersebut, boleh klik pautan entri ini.


Isnin, 5 Mei 2014

Tips dan Contoh Soalan Temu duga Guru IPG/KPM 2014

Assalamualaikum.


Pada tahun ini, kursus atau program pengajian yang ditawarkan untuk mengikuti Program Persedian Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian (PPISMP) Ambilan Jun 2014 di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) adalah seperti berikut: 

Program PPISMP Ambilan Jun 2014

Bahasa Melayu (SK), Bahasa Melayu (SJKC), Bahasa Melayu (SJKT), Bahasa Inggeris (SK), Bahasa Inggeris (SJKC), Bahasa Inggeris (SJKT), Bahasa Cina (SK), Bahasa Cina (SJKC), Bahasa Tamil (SK), Bahasa Tamil (SJKT), Bahasa Iban (SK), Bahasa Kadazandusun (SK), Bahasa Arab (SK), Pendidikan Islam (SK), Pendidikan Islam (SJKC), Pendidikan Islam (SJKT), Sejarah (SK), Sejarah (SJKC), Sejarah (SJKT), Pendidikan Awal Kanak-Kanak (SK), Pendidikan Awal Kanak-Kanak (SJKC), Pendidikan Awal Kanak-Kanak (SJKT), Bimbingan dan Kaunseling (SK), Bimbingan dan Kaunseling (SJKC), Bimbingan dan Kaunseling (SJKT), Pendidikan Pemulihan (SK), Pendidikan Pemulihan (SJKC), Pendidikan Pemulihan (SJKT), Pendidikan Jasmani (SK), Pendidikan Jasmani (SJKC), Pendidikan Jasmani (SJKT), Pendidikan Khas (SK), Pendidikan Khas (SJKC), Pendidikan Khas (SJKT), Pendidikan Seni Visual (SK), Pendidikan Seni Visual (SJKC), Pendidikan Seni Visual (SJKT), Matematik (SK), Matematik (SJKC), Matematik (SJKT), Sains (SK), Sains (SJKC), Sains (SJKT), Reka Bentuk dan Teknologi (SK), Reka Bentuk dan Teknologi (SJKC), Reka Bentuk dan Teknologi (SJKT), Pendidikan Muzik (SK), Pendidikan Muzik (SJKC), Pendidikan Muzik (SJKT), Bahasa Arab - PPC, Pengajian Islam - PPC, Bahasa Perancis - PPC/Kembar, Bahasa Cina Pendidikan Rendah - UEC dan Pendidikan Islam Pendidikan Rendah -SMA/SMU.


Tapisan Awal atau Ujian Awal Guru

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada calon yang berjaya dipanggil temu duga. Hal ini bermakna, calon telah berjaya melepasti tapisan atau ujian awal setelah menduduki Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) tempoh hari.

Untuk entri ini, saya tidak mahu bercerita lagi tentang panduan temu duga. Jika calon berasakan calon memerlukan panduan itu, bolehlah rujuk entri saya ini: Panduan Temu duga Menjadi Guru. Saya juga telah berkongsi Panduan Menulis Pengalaman & Pernyataan Hasrat. Jika berminat dan berasakan panduan ini boleh dijadikan rujukan, calon boleh klik pautan tersebut.

Untuk entri ini saya ingin berkongsi tentang tips dan contoh soalan yang barangkali menjadi keutamaan untuk disoal semasa temu duga nanti.

Saya tegaskan di sini bahawa soalan yang saya kongsikan ini berdasarkan pengalaman saya menghadiri temu duga guru Bahasa Melayu.

Contoh Soalan Temu duga Guru IPG/KPM:
Soalan Individu dan Soalan Berkumpulan





  • Bagaimanakah Sains dan Teknologi Maklumat (ICT) dapat meningkatkan Proses Pengajaran dan     Pembelajaran?
  • Apakah yang dikatakan peranan atau tanggungjawab sebagai seorang guru?
  • Apakah langkah yang boleh diambil untuk memartabatkan Bahasa Melayu?
  • Bagaimanakah Bahasa Melayu tersebar di luar negara?
  • Berikan pandangan anda tentang penggunaan bahasa rojak dalam kalangan remaja.
  • Berikan pandangan anda tentang penggunaan bahasa SMS dalam peperiksaan sekolah.


*Selalunya soalan individu lebih menjurus kepada bidang yang ditawarkan. Jadi, buatlah persediaan yang secukupnya berkaitan bidang tersebut. Sebagai contoh, jangan nanti penemuduga bertanya tentang perbezaan Pendidikan Khas dan Pemulihan Khas pun calon tercengang. Sedangkan itulah kursus yang dipohon.

Soalan lain yang boleh ditanya:

Isu Semasa Pendidikan
  • Tema Hari Guru 2014-Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi.
  • Pelaksanaan KSSR dan PBS.
  • Pemberian Baucer Buku 1Malaysia 

Dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)

  • Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)
  • Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
  • Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI)
  • Literasi (Bahasa Malaysia) dan Numerasi (Matematik) (LINUS) 
  • LINUS 2.0- Bahasa Inggeris
  • 1 Murid 1 Sukan
  • Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)
  • Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025
  • i THINK (Inovatif Thing king) - 8 Peta Pemikiran.


Tips Temu duga Guru IPG/KPM:
1. Pastikan calon bersedia daripada segi-mental dan fizikal.
2. Buat persiapan awal berkaitan maklumat yang diminta dan akan dibawa semasa hari temu duga.

Nota: Saya akan kemas kini maklumat ini dari masa ke masa.

Jika blog ini bermanfaat untuk semua, sudilah follow atau menjadi ahli di bahagian atas sana. 


Teks Ucapan Wakil Murid Sempena Hari Guru

Assalamualaikum.



Tanggal 16 Mei 2014 tidak lama lagi bakal menjelma. Saya begitu yakin semua sekolah akan mengadakan Sambutan Hari Guru pada peringkat sekolah. Selain daripada ucapan Guru Besar dan bacaan perutusan Sambutan Hari Guru yang bertema "Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi", sudah pastilah akan ada ucapan daripada wakil murid

Setelah saya membelek-belek akhbar sisipan Didik-Berita Harian, saya terjumpa karangan ucapan Sempena Hari Guru. Oleh itu, saya berasakan karangan ini sesuai dijadikan teks ucapan wakil murid sempena Hari Guru nanti. Cuma teks ucapan ini boleh disesuaikan dengan sekolah masing-masing. Oleh itu, saya telah menambah beberapa perkara dalam teks ucapan tersebut untuk disesuaikan dengan tema hari guru pada tahun ini. 

Terima kasih Pengerusi Majlis. Salam sejahtera saya ucapkan kepada Yang Berusaha Tuan Guru Besar, Guru Penolong Kanan, guru-guru dan rakan sekalian. Saya sebagai wakil murid, ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Guru kepada semua guru di sekolah ini. 

Hadirin sekalian,
Hari ini merupakan hari yang amat sesuai untuk kita mengadakan sambutan bagi mengenang dan menghargai jasa guru. Tarikh 16 Mei setiap tahun telah dipilih sebagai Hari Guru. Pada tahun ini, Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi dipilih sebagai tema Hari Guru. Tema ini amat bertepatan sekali dengan dunia pendidikan sekarang yang amat mencabar untuk melahirkan murid yang lebih kreatif dan berinovasi. Segalanya bermula daripada inspirasi seorang guru. Lantaran itu, marilah kita menghargai dan mengingati jasa guru.

Rakan-rakan sekalian,
Insan yang mendidik, mengasuh dan membimbing kita sehingga kita dapat mencapai kejayaan haruslah kita sanjung. Kesabaran dan kesungguhan mereka mendidik kita amatlah besar nilainya. Seharusnya jasa itu dikenang sepanjang hayat. Guru tidak pernah jemu mengajar kita supaya kita dapat membaca, menulis dan mengira. 

Guru juga merupakan pengganti ibu bapa kita di sekolah. Oleh itu, kita mestilah menghormati guru. Segala nasihat dan tunjuk ajar guru mestilah kita dengar dan patuhi. Jangan sesekali kita abaikan segala nasihat dan bimbingan mereka. 

Rakan sekalian, 
Guru ialah orang yang sering memberi semangat kepada kita untuk rajin belajar sehingga kita berjaya. Mereka sedia mendengar segala masalah yang kita fahami dalam pelajaran. Oleh itu, guru merupakan pendidik yang sangat berdedikasi semasa mengajar kita di sekolah. 

Wahai para guru yang kami sayangi, jutaan terima kasih kami ucapkan kerana tidak pernah jemu mendidik kami dengan sabar. Jasamu sungguh bererti kepada kami semua. Terima kasih, cikgu. Saya akhiri ucapan saya ini dengan fragmen sajak Guru Oh Guru karya Usman Awang. 

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.


Sekian, terima kasih. 

Sumber: Didik-Berita Harian

Ahad, 4 Mei 2014

Semakan Online Keputusan UPU SPM, STPM IPTA Sesi 2014/2015

Assalamualaikum.

Hebahan Makluman:

Kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setaraf dengannya bolehlah membuat semakan keputusan dari masa ke semasa untuk permohonan UPU kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) sesi kemasukan akademik  2014/2015



Calon boleh membuat semakan di laman sesawang ini: 


Semakan temu duga calon SPM dan setaraf dengannya untuk program yang tertentu juga boleh membuat semakan. Boleh klik pautan yang disediakan. 


Semoga berjaya kepada calon.




PBAKL 2014: Memperkasakan Kepustakaan di Rumah

Assalamualaikum.

Sudahkah kalian menjengah ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014? Alhamdulillah, pada tahun ini, saya berkesempatan untuk pergi kali kedua. Kali pertama inilah hasil tangkapannya: Meraikan Pesta Ilmu di PBAKL 2014. Boleh klik untuk mengetahui buku apa yang dibeli. 

Pada 1 Mei 2014 yang lalu iaitu Hari Pekerja, saya mencuri kesempatan itu untuk mengunjungi PBAKL buat kali kedua. Semangat dan dorongan itu sangat mendesak biarpun kebanyakan orang bercakap tentang kesesakan mengunjunginya pada waktu cuti umum begitu. Hasilnya, inilah sejumlah khazanah ilmu yang bakal mengisi kepustakaan di rumah saya nanti. 


Sebab utama juga saya mengunjungi PBAKL buat kali kedua adalah untuk mendapatkan buku Tatabahasa Dewan Edisi Sekolah Rendah ini yang terbit dalam tiga siri atau buku (1-3). Biarpun saya sudah memiliki Tatabahasa Dewan, saya berasakan Tatabahasa Dewan Edisi Sekolah Rendah ini dapat dijadikan rujukan pantas apabila hendak digunakan nanti. Tatabahasa Dewan Edisi Sekolah Rendah ini juga telah ditandatangani oleh Cikgu Ghalib Yunus (salah seorang penulisnya) sendiri yang kebetulan berada di booth DBP ketika itu. 

Selain itu, Kamus Saku yang dibeli ini untuk dibawa ke sekolah dan bilik darjah. Tidak mungkin untuk saya mengusung ulang alik Kamus Dewan yang sedia maklum tebal. Jadi, alternatif terbaik saya beli Kamus Saku ini untuk rujukan pantas anak-anak murid saya di dalam bilik darjah. 


Saya pernah memperkenalkan majalah Dewan Pelajar kepada murid saya di sekolah. Ternyata, mereka sangat teruja dengan majalah ini. Bagi mereka, inilah kali pertama mereka berhadapan dengan majalah yang begitu asing bagi mereka. Sebelum ini mereka hanya terdedah dengan majalah Asuh dan Kuntum. 

Dewan Pelajar pernah saya gunakan dalam PdP untuk program NILAM dan saya gabung jalinkan dengan Peta Pemikiran i-THINK. Insya-Allah, jika ada kesempatan akan saya kongsikan dalam entri akan datang untuk guru-guru mempelbagaikan aktiviti dalam Program NILAM. 

Dewan Pelajar saya beli dua set. Satu set mengandungi 12 naskhah dari bulan Januari-Disember 2013. Tujuannya adalah untuk menghadihkan kepada 24 orang murid saya yang cemerlang dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun dalam mata pelajaran Bahasa Melayu yang bakal bermula pada minggu depan. Saya berharap murid-murid saya itu menyukainya dan dapat memanfaatkan DP sebagai bahan bantu memperoleh ilmu dan mengasah bakat menulis mereka. 


Saya perhatikan murid saya gemar membaca novel kanak-kanak. Oleh itu, saya mengambil kesempatan di PBAKL ini untuk membeli 4 buah novel kanak-kanak terbitan Karangkraf untuk dijadikan hadiah kepada murid yang cemerlang dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun nanti. 

Pada mulanya hendak beli lebih daripada ini, memandangkan keupayaan saya untuk mengangkut novel dan buku yang lainnya terhad saya kira cukuplah sebagai permulaan ini. Moga bahan bacaan ini dapat menggalakkan budaya membaca dalam kalangan murid dan memupuk budaya membaca sejak dari kecil lagi. 


Cinta Sekerdip Embun, Cempiang Jalan merupakan antologi pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Buku ini sangat murah harganya. Barangkali terbitan lama. Namun begitu, ilmu yang berada dalam buku ini lebih daripada itu. Kepada penulis baharu atau muda yang ingin belejar menulis cerpen remaja bolehlah dapatkan buku ini. 

Di Padang Ilmu akhirnya berjaya saya genggam setelah kembara kali pertama gagal. Kumpulan Puisi Remaja ini merupakan karya terakhir Allahyarham Jamaludin D. sebelum beliau pergi. Sakura karya Mahaya Mohd Yassin ini sempat saya sambar sewaktu beratur untuk membayar buku di kaunter bayaran. Terpandang sahaja buku berwarna merah jambu ini cepat mata saya tertawan berbantukan pula nama penulisnya yang sangat sinonim dengan karya kanak-kanak. Kedua-dua buah buku ini telah selesai saya hadam untuk pusingan pertama. Ternyata tidak rugi saya memilikinya. 


Sebenarnya, ITBM ada menawarkan tawaran pembelian karya pemenang Sayembara ITBM-PENA-BH melalui pembelian set kumpulan cerpen, kumpulan puisi dan novel. Memandangkan saya sudah membeli beberapa buah karya tersebut, maka saya hanya membeli bakinya sahaja. Namun begitu, masih belum lengkap. 

Jadi, kesempatan di PBAKL ini untuk kembara kali kedua, saya mendapatkan pula karya pemenang kategori kumpulan cerpen Tempat Kedua (Sayang Perahu Mudik Hilir) dan Ketiga (Sagu, Ikan Salai). Insya-Allah, jika masih ada rezeki saya akan mencari baki yang belum dimiliki untuk melengkapkan 10 karya pemenang setiap kategori dalam sayembara ini. 

Jika pembaca novel Alaf 21 sudah pasti kenal dnegan susuk nama Sri Diah. Wanita Tahanan Reman merupakan kumpulan cerpen yang diterbitkan oleh ITBM. Buku ini sangat tebal kerana 28 buah cerpen terkandung di dalamnya. Buku ini sudah pastilah menjelmakan sisi lain seorang novelis popular apabila memasuki pentas penulisan sastera. 



Gara-gara tertarik dengan ulasan buku daripada Fadli al-Akiti editor Dewan Sastera kedua-dua novel pemenang sayembara ITBM-PENA-BH ini saya beli. Pertemuan Musim Semi memenangi tempat Ketiga dan Semenanjung Menangis memenangi sagu hati dalam sayembara ini. Kedua-dua novel ini memaparkan cerita yang sangat baik untuk ditelaah oleh rakyat Malaysia. 


Sesayup Jalan merupakan karya pertama Zurinah Hassan. Kumpulan Puisi ini terbitan Universiti Sains Malaysia. Sebelum ini sekadar membaca coretan ringkasnya dalam buku Catatan Perjalanan Zurinah Hassan tentang buku ini. Tidak puas rasanya jika tidak membaca keseluruhannya. Akhirnya, buku ini berjaya saya miliki.

Ikan Dalam Jiwa terbitan ITBM ini merupakan himpunan puisi Fahd Razy yang pada perkiraan saya menghimpunkan karya terbaiknya kerana sekali imbas, pada catatan bawahnya mencoretkan pemenang sayembara dan pertandingan yang bukan calang-calang di Malaysia ini. 

Itik Gembor-gembor merupakan antologi puisi kanak-kanak selenggaraan Sharif Putera. Pasti ada sesuatu yang boleh saya pelajari daripada buku ini. Mana tahu, suatu hari nanti saya juga memiliki kumpulan puisi kanak-kanak. 

Kapsul Nurani menyenaraikan 50 catatan penulis-pembaca. Kata jurujual di booth yang menjual buku ini, Kapsul Nurani akan dilancarkan pada hari Ahad nanti. Kepada yang berkesempatan bolehlah menyaksikan pelancarannya dan sesi memperkenalkan 50 orang penulis buku ini. 


Inilah serba sedikit coretan saya berkaitan buku-buku yang dibeli di PBAKL 2014 buat kali kedua. Selain daripada untuk menghadam kandungan buku-buku tersebut, sudah pastilah tujuan saya adalah untuk memperkasakan kepustakaan di rumah saya. 

Bagi saya, setiap rumah sekarang ini perlu ada perpustakaan sendiri. Tidak kiralah kecil atau besar, banyak atau sedikit bukunya paling tidak, selangkah kita menyediakan tempat atau ruang untuk mengudap ilmu, kita telah mencorak masa depan kita, bahkan anak-anak kita jua pada satu tahap yang lebih baik 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78