Assalamualaikum.
(i) Inspirasi dalam Berkarya
Saya tidak pernah bertemu muka dengan Azizi Hj Abdullah (Allahyarham), namun begitu, saya amat meminati karyanya. Sedaya upaya saya mengumpul dan membaca setiap karya yang dihasilkan baik yang sudah lama diterbitkan hinggalah yang terakhir iaitu Mandala Dunia Kedua.
Karya-karyanya banyak memberikan inspirasi kepada saya untuk berkarya. Tema yang diangkat dalam setiap karyanya sangat mesra dengan masyarakat tempatan-memperjuangkan hak masyarakat, memartabatkan budaya tempatan, menunjang jati diri dalam kekeluargaan. Sementara bahasanya mudah difahami. Sesekali terselit juga bahasa daerah atau dialek dalam karyanya.
Hasil Karya
Saya pernah meneliti sebuah novelnya, Kawin-kawin terbitan Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd. Setelah itu, tercetus satu hasil penulisan-Citra Dialek Kedah dalam Kawin-kawin yang kemudiannya disiarkan dalam Pelita Bahasa, Januari 2013. Tidak sekadar itu, saya turut menghasilkan puisi yang berjudul Azizi Sasterawan Rakyat yang kemudiannya disiarkan di Jendela Utara.
Saya masih menanti sebuah lagi hasil tulisan saya yang dihantar ke meja editor sebuah majalah tentang sebuah kumpulan cerpen terkini Allahyarham iaitu Sepi Makin Memanjang. Doakan hasil penulisan ini diterima dan seterusnya diterbitkan untuk perkongsian bersama.
Sesungguhnya, karya-karya yang dihasilkan Allahyarham meninggalkan banyak khazanah yang harus digali dan dikaji, baik dari aspek budaya, bahasa, kemasyarakatan mahupun jati diri sesebuah bangsa.
(ii) Cerbisan Cerita di PBAKL
Sewaktu saya mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014 tempoh hari, saya ada melawati reruai (booth) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dalam saya sibuk "mengeledah" setiap rak buku yang dipamerkan, terdengar saya perbualan seorang pengunjung dengan pekerja di situ.
Dia bertanya tentang buku Seorang Tua di Kaki Gunung. Namun malangnya, buku itu sudah tidak ada kata pekerja itu. Saya sepertinya hendak memberitahu bahawa saya tahu di mana buku itu boleh didapatkan. Tetapi tidak mungkin saya ingin memberitahu bahawa buku itu boleh dicari di Toko Buku Cahaya Baru di Kedah.
(iii) Koleksi Buku Azizi Hj Abdullah
Kisahnya begini, sewaktu saya ghairah mengumpul buku Azizi Hj Abdullah ini (kalau tidak salah buku pertama Allahyarham yang saya baca ialah Harga Sebuah Maruah) setiap kali saya keluar masuk ke kedai buku pasti saya akan bertanya dan mencari buku-buku langka seperti Seorang Tua di Kaki Gunung ini. Namun begitu, buku lama ini sudah tidak diterbitkan lagi. Stoknya pun tidak pasti sama ada masih ada ataupun tidak.
Apabila saya menemui Toko Buku Cahaya Baru wakil pengedar buku terbitan DBP ini saya menggeledah buku yang ada di rak mereka. Rasanya berkali-kali juga saya mengunjungi kedai ini dan barulah saya terjumpa dengan Seorang Tua di Kaki Gunung.
Ya, bukan sebuah buku ini dijumpai, sebaliknya jika tidak salah hampir 10 buah. Saya hanya memilih sebuah sahaja untuk dimiliki. Berasa rugi pula ketika ini apabila difikirkan semula. Mengapa saya tidak membeli lebih daripada itu. Jika tidak bolehlah dijual ataupun diberi kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk membacanya. Hal ini kerana, harganya sekadar serendah RM5.50 sebelum diskaun.
Pemenang Hadiah Novel GAPENA
Buku ini merupakan (Pemenang Kedua Hadiah Novel GAPENA-Yayasan Sabah II 1981). Kemudian, pada tahun 1982 baru diterbitkan. Setelah itu, buku ini dicetak ulang kali kedua pada tahun 1984. Cetakan ketiga juga dilakukan pada tahun 1984. Oleh itu, buku yang berada di tangan saya sekarang ini adalah cetakan 1984.
Oh, tidak mustahil pada pemikiran saya sekiranya buku-buku langka atau malar segar sebegini akan meningkat harganya sekiranya dijual kepada pembaca atau pencinta buku yang mencarinya. Tidak mustahil juga daripada harga RM5.50 boleh dijual berkali-kali ganda daripada harga asalnya. Namun begitu, saya tidak bercadang untuk menjual koleksi yang saya ada ini. Buku ini tetap akan menjadi koleksi dalam perpustakaan saya.
(iv) Buku dan Nilainya Pada Masa Depan
Besar harapan saya sekiranya, pihak DBP mencetak ulang Seorang Tua di Kaki Gunung bagi memperingati Allahyarham. Bahkan, karya-karya penulis lain yang difikirkan sesuai dicetak ulang untuk bacaan generasi kini.
Ramai yang berbicara tentang buku dan nilainya pada masa depan. Bagi saya buku tetaplah buku yang mempunyai auranya tersendiri. Biar sekalipun, pelbagai teknologi seperti e-book, dan gajet-gajet lain yang boleh digunakan untuk mendapatkan bahan bacaan tidak akan sama kepuasannya memegang dan menatap sebuah buku yang penuh dengan nilai tradisi menyampaikan ilmu.
Kata Sasterawan Negara, Baha Zain: Buku Tidak Mati dan Selalu Menunggu (boleh baca artikel ini sepenuhnya dalam Dewan Sastera, Mei 2014).
Dalam tulisan tersebut, amat tertarik saya pada kata-kata ini: "Terbitkanlah sebanyak-banyak memoir, autobiografi dan biografi lagi kerana kisah pengalaman manusia kita adalah sejarah negara kita; dan cermin hati nurani bangsa".
Salam Sabtu Cikgu...macam menarik kisahnya..
BalasPadamwah..bukan pernah di adaptasi ke novel seorang tua di kaki gunung ni?maaf kalau kathy tersilap..
BalasPadamSalam Cikgu Helmi;
BalasPadamPerkongsian menarik, saya pun harap begitu agar buku-buku Almarhum dapat dicetak semula, setakat ini saya hanya mempunyai 3 buah karya beliau, antaranya, Tukcai, Memoir Seorang Guru dan Zikir Rindu. Penulis mati, buku takkan mati!.
walaupun dunia makin maju, ada internet, ebook, dan sebagainya, buku fizikal tetap ada kekauatannya yg tersendiri...
BalasPadambanyak point yang fizi dapat :)
BalasPadampencinta sastera serta novel ada di mana - mana . pasti ada pembelinya wpun mungkin jumlahnya tidak seperti yg diharapkan .
BalasPadamMinggu lepas saya ke Chowrasta mencari buku Pak Azizi. Yang jumpa hanya sebuah (tak ingat tajuk apa) terus ambil...susah nak jumpa Seorang Tua di Kaki Gunung ni lagi. Rare ni... :( saya plg suka buku ni.
BalasPadamDulu masa sekolah selalu dengar budak2 sastera bercerita pasal novel seorang tua di kaki gunung ni...pasti ceritanya amat menarik.
BalasPadamPernah mengetahui ttg beliau, ttp hampir2 lupa sehingga cikgu Helmi berkongsi info dlm entri ini... mmg menarik...
BalasPadamSaya teringin membaca pandangan cikgu terhadap pengambilan semula hak penerbitan DBP daripada Dawama.
BalasPadamSaya kira akan ada perubahan penting dalam dunia penerbitan DBP nanti. Cuma saya kurang arif tentang itu. Mohon cikgu buat satu entri akan hal penting ini nanti.
Terasa banyak kurangnya apabila saya tidak memiliki dan membaca karya-karya bagus ini. Mungkin faktor lambakan karya moden dan terbaharu membuatkan generasi muda seperti saya mudah hilang fokus. Kena usaha lagi ni,
BalasPadam