Assalamualaikum.
Sudahkah kalian menjengah ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014? Alhamdulillah, pada tahun ini, saya berkesempatan untuk pergi kali kedua. Kali pertama inilah hasil tangkapannya: Meraikan Pesta Ilmu di PBAKL 2014. Boleh klik untuk mengetahui buku apa yang dibeli.
Pada 1 Mei 2014 yang lalu iaitu Hari Pekerja, saya mencuri kesempatan itu untuk mengunjungi PBAKL buat kali kedua. Semangat dan dorongan itu sangat mendesak biarpun kebanyakan orang bercakap tentang kesesakan mengunjunginya pada waktu cuti umum begitu. Hasilnya, inilah sejumlah khazanah ilmu yang bakal mengisi kepustakaan di rumah saya nanti.
Sebab utama juga saya mengunjungi PBAKL buat kali kedua adalah untuk mendapatkan buku Tatabahasa Dewan Edisi Sekolah Rendah ini yang terbit dalam tiga siri atau buku (1-3). Biarpun saya sudah memiliki Tatabahasa Dewan, saya berasakan Tatabahasa Dewan Edisi Sekolah Rendah ini dapat dijadikan rujukan pantas apabila hendak digunakan nanti. Tatabahasa Dewan Edisi Sekolah Rendah ini juga telah ditandatangani oleh Cikgu Ghalib Yunus (salah seorang penulisnya) sendiri yang kebetulan berada di booth DBP ketika itu.
Selain itu, Kamus Saku yang dibeli ini untuk dibawa ke sekolah dan bilik darjah. Tidak mungkin untuk saya mengusung ulang alik Kamus Dewan yang sedia maklum tebal. Jadi, alternatif terbaik saya beli Kamus Saku ini untuk rujukan pantas anak-anak murid saya di dalam bilik darjah.
Saya pernah memperkenalkan majalah Dewan Pelajar kepada murid saya di sekolah. Ternyata, mereka sangat teruja dengan majalah ini. Bagi mereka, inilah kali pertama mereka berhadapan dengan majalah yang begitu asing bagi mereka. Sebelum ini mereka hanya terdedah dengan majalah Asuh dan Kuntum.
Dewan Pelajar pernah saya gunakan dalam PdP untuk program NILAM dan saya gabung jalinkan dengan Peta Pemikiran i-THINK. Insya-Allah, jika ada kesempatan akan saya kongsikan dalam entri akan datang untuk guru-guru mempelbagaikan aktiviti dalam Program NILAM.
Dewan Pelajar saya beli dua set. Satu set mengandungi 12 naskhah dari bulan Januari-Disember 2013. Tujuannya adalah untuk menghadihkan kepada 24 orang murid saya yang cemerlang dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun dalam mata pelajaran Bahasa Melayu yang bakal bermula pada minggu depan. Saya berharap murid-murid saya itu menyukainya dan dapat memanfaatkan DP sebagai bahan bantu memperoleh ilmu dan mengasah bakat menulis mereka.
Saya perhatikan murid saya gemar membaca novel kanak-kanak. Oleh itu, saya mengambil kesempatan di PBAKL ini untuk membeli 4 buah novel kanak-kanak terbitan Karangkraf untuk dijadikan hadiah kepada murid yang cemerlang dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun nanti.
Pada mulanya hendak beli lebih daripada ini, memandangkan keupayaan saya untuk mengangkut novel dan buku yang lainnya terhad saya kira cukuplah sebagai permulaan ini. Moga bahan bacaan ini dapat menggalakkan budaya membaca dalam kalangan murid dan memupuk budaya membaca sejak dari kecil lagi.
Cinta Sekerdip Embun, Cempiang Jalan merupakan antologi pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Buku ini sangat murah harganya. Barangkali terbitan lama. Namun begitu, ilmu yang berada dalam buku ini lebih daripada itu. Kepada penulis baharu atau muda yang ingin belejar menulis cerpen remaja bolehlah dapatkan buku ini.
Di Padang Ilmu akhirnya berjaya saya genggam setelah kembara kali pertama gagal. Kumpulan Puisi Remaja ini merupakan karya terakhir Allahyarham Jamaludin D. sebelum beliau pergi. Sakura karya Mahaya Mohd Yassin ini sempat saya sambar sewaktu beratur untuk membayar buku di kaunter bayaran. Terpandang sahaja buku berwarna merah jambu ini cepat mata saya tertawan berbantukan pula nama penulisnya yang sangat sinonim dengan karya kanak-kanak. Kedua-dua buah buku ini telah selesai saya hadam untuk pusingan pertama. Ternyata tidak rugi saya memilikinya.
Sebenarnya, ITBM ada menawarkan tawaran pembelian karya pemenang Sayembara ITBM-PENA-BH melalui pembelian set kumpulan cerpen, kumpulan puisi dan novel. Memandangkan saya sudah membeli beberapa buah karya tersebut, maka saya hanya membeli bakinya sahaja. Namun begitu, masih belum lengkap.
Jadi, kesempatan di PBAKL ini untuk kembara kali kedua, saya mendapatkan pula karya pemenang kategori kumpulan cerpen Tempat Kedua (Sayang Perahu Mudik Hilir) dan Ketiga (Sagu, Ikan Salai). Insya-Allah, jika masih ada rezeki saya akan mencari baki yang belum dimiliki untuk melengkapkan 10 karya pemenang setiap kategori dalam sayembara ini.
Jika pembaca novel Alaf 21 sudah pasti kenal dnegan susuk nama Sri Diah. Wanita Tahanan Reman merupakan kumpulan cerpen yang diterbitkan oleh ITBM. Buku ini sangat tebal kerana 28 buah cerpen terkandung di dalamnya. Buku ini sudah pastilah menjelmakan sisi lain seorang novelis popular apabila memasuki pentas penulisan sastera.
Gara-gara tertarik dengan ulasan buku daripada Fadli al-Akiti editor Dewan Sastera kedua-dua novel pemenang sayembara ITBM-PENA-BH ini saya beli. Pertemuan Musim Semi memenangi tempat Ketiga dan Semenanjung Menangis memenangi sagu hati dalam sayembara ini. Kedua-dua novel ini memaparkan cerita yang sangat baik untuk ditelaah oleh rakyat Malaysia.
Sesayup Jalan merupakan karya pertama Zurinah Hassan. Kumpulan Puisi ini terbitan Universiti Sains Malaysia. Sebelum ini sekadar membaca coretan ringkasnya dalam buku Catatan Perjalanan Zurinah Hassan tentang buku ini. Tidak puas rasanya jika tidak membaca keseluruhannya. Akhirnya, buku ini berjaya saya miliki.
Ikan Dalam Jiwa terbitan ITBM ini merupakan himpunan puisi Fahd Razy yang pada perkiraan saya menghimpunkan karya terbaiknya kerana sekali imbas, pada catatan bawahnya mencoretkan pemenang sayembara dan pertandingan yang bukan calang-calang di Malaysia ini.
Ikan Dalam Jiwa terbitan ITBM ini merupakan himpunan puisi Fahd Razy yang pada perkiraan saya menghimpunkan karya terbaiknya kerana sekali imbas, pada catatan bawahnya mencoretkan pemenang sayembara dan pertandingan yang bukan calang-calang di Malaysia ini.
Itik Gembor-gembor merupakan antologi puisi kanak-kanak selenggaraan Sharif Putera. Pasti ada sesuatu yang boleh saya pelajari daripada buku ini. Mana tahu, suatu hari nanti saya juga memiliki kumpulan puisi kanak-kanak.
Kapsul Nurani menyenaraikan 50 catatan penulis-pembaca. Kata jurujual di booth yang menjual buku ini, Kapsul Nurani akan dilancarkan pada hari Ahad nanti. Kepada yang berkesempatan bolehlah menyaksikan pelancarannya dan sesi memperkenalkan 50 orang penulis buku ini.
Inilah serba sedikit coretan saya berkaitan buku-buku yang dibeli di PBAKL 2014 buat kali kedua. Selain daripada untuk menghadam kandungan buku-buku tersebut, sudah pastilah tujuan saya adalah untuk memperkasakan kepustakaan di rumah saya.
Bagi saya, setiap rumah sekarang ini perlu ada perpustakaan sendiri. Tidak kiralah kecil atau besar, banyak atau sedikit bukunya paling tidak, selangkah kita menyediakan tempat atau ruang untuk mengudap ilmu, kita telah mencorak masa depan kita, bahkan anak-anak kita jua pada satu tahap yang lebih baik
Mini library pun tak apa. :)
BalasPadamWah! Untung siapa jadi anak murid cikgu. Mendapat sokongan padu membaca bahan bacaan berkualiti. Saya sokong usaha cikgu.
BalasPadamalhamdulillah, kini ada library kecik dalam bilik anak perempuan mama..
BalasPadamTiba-tiba saya rasa hiba sangat selepas membaca entri ini... pertama saya teringat balik ayah saya... beliau seorang peminat sastera dan memang bekas cikgu sastera (dah pencen)... dulu masa saya kecik memang terdedah dengan banyak novel sebab ayah saya rajin beli novel dan himpunan cerpen... selain dari tu, majalah Dewan Pelajar tu memang ayah saya akan beli setiap keluaran... selain dari seronok membaca majalah, saya suka mewarna gambar dan sertai perasuan dalam majalah Dewan Pelajar tu... Kedua, saya sedih sebab tak jadi macam ayah saya... mungkin sebab anak-anak saya boleh membaca di internet, saya tak beli majalah-majalah macam tu... rasanya nak kena beli jugak...
BalasPadamTerasa rindu pulak kepada majalah-majalah seperti Dewan Sastera, Dewan Masyarakat dan Siswa... Ayah saya pernah kata, kalau nak mahir Bahasa Melayu kena banyak dan rajin membaca novel dan majalah...
Tuan memang seorang yang istimewa, saya rasa bangga dapat berkenalan di alam maya dengan seorang guru seperti tuan...
dulu kathy pun ada mini library gara² kami adik beradik ulat buku.sekarang pun penuh rak dengan buku juga noverl dan majalah,namun taklah sebanyak dulu.
BalasPadamKita pun ada perpustakaan kat rumah. Memang best..macam-macam buku ada...
BalasPadamsusahnya nak ada mini library, sebab sekarang masing2 lebih suka mengadap skrin..:(
BalasPadamSalam Cikgu Helmi:
BalasPadamTahniah Cikgu, banyak borong buku tu, bolehlah simpan dalam mini perpustakaan tu nanti, boleh diwariskan nanti untuk anak-anak masa hadapan.
Wah!!! Banyaknya buku cikgu. Paling saya tertarik dengan hadiah buku untuk pelajar cemerlang. Satu inisiatif yang sangat bagus! Beginilah cara nak memperkenalkan dan memupuk minat membaca kepada murid-murid. Cuba dedahkan dengan perkara-perkara baharu. Insyaallah mereka suka.
BalasPadamSempat juga pergi di hari terakhir tempohari. Memang sesak... Dapatlah juga menambah koleksi perpustakaan dirumah :)
BalasPadamMmg sebaiknya kita perlu ada perpustakaan mini di rumah, kami memanggilnya bilik bacaan.. Alhamdulillah.. bertambah koleksi ye cikgu.. :) :)
BalasPadam