Pengikut

Khamis, 6 Februari 2014

Cara Betul Menggunakan Darjah Penghabisan dalam Binaan Ayat

Assalamualaikum semua.

Seringkali kita menggunakan darjah penghabisan yang salah dalam binaan ayat. 

Hal ini demikian berlaku kerana timbulnya kekeliruan untuk membezakan antara kata adjektif dalam bentuk perbandingan darjah biasa, darjah bandingan dan darjah penghabisan. 

Oleh itu, marilah sama-sama kita betulkan yang biasa dan biasakan yang betul. 


Darjah Penghabisan

(i) se- + kata adjektif + gandaan + kata nama
Penanda darjah penghabisan ialah awalan se- dan gandaan.
Contoh: 
sepandai-pandai tupai melompat
setinggi-tinggi gunung
sekeras-keras batu

(ii) ter- + kata adjektif
Penanda darjah penghabisan ialah awalan ter-.
Contoh:
terpandai
tertinggi
terbaik

(iii) paling + kata adjektif
Penanda darjah penghabisan ialah kata penguat paling yang hadir sebelum kata adjektif.
Contoh:
paling pandai
paling tinggi
paling baik

(iv) kata adjektif + sekali
Penanda darjah penghabisan ialah kata adjektif diikuti oleh kata penguat sekali.
Contoh:
pandai sekali
tinggi sekali
cantik sekali

Penanda darjah penghabisan ter-, paling dan sekali tidak dapat hadir serentak dalam satu binaan.
Contoh:
*terpandai sekali
*paling pandai sekali
*paling terpandai

(v) ter-, (amat,sangat) + kata adjektif
Awalan ter- yang digabungkan dengan kata penguat bebas amat atau sangat dan hadir sebelum kata adjektif merupakan penanda darjah penghabisan.
Contoh: 
teramat pandai
teramat baik
tersangat cantik

(vi) (amat, sungguh, sangat) + kata adjektif + sekali
Binaan darjah penghabisan boleh juga menerima kata penguat belakang sekali dengan kata penguat bebas amat, sangat atau sungguh yang hadir sebelum kata adjektif.
Contoh:
amat cantik sekali
sungguh ceria sekali
sangat manis sekali

Latihan:
Tandakan betul atau salah bagi ayat di bawah.

1. Rumah Ali terbesar sekali di kampung itu. (         )
2. Gadis itu teramat cantik. (         )
3. Ali paling pandai sekali daripada rakan-rakannya yang lain. (         )
4. Sungguh ceria sekali kawasan taman di sekolah itu. (          )
5. Aminah murid paling cerdik dalam kelas 5 Dedikasi. (          )

Sumber rujukan: Tatabahasa Dewan

11 ulasan:

  1. assalam,

    bagusnya cik gu, banyak pengajaran dapat kat sini...syabas cikgu...

    BalasPadam
  2. suka suka suka..boleh jadi panduan kathy mengajar anak²..

    BalasPadam
  3. Payah sikit nak faham... Rasanya no 3&4 salah...

    BalasPadam
  4. wah...pening kejab baca ni nak bagi paham
    saya rasa no 4&5 tu betul,
    yang lain semua salah

    betul ke cikgu? dapat berapa markah saya ni?

    BalasPadam
  5. Perkongsian yang bermanfaat.. terutama kepada anak2 sekolah... mak2 & ayah2 pun boleh belajar sama.. :D

    BalasPadam
  6. Terima kasih cikgu...haha mengulang kembali pelajaran yang kadang2 terlupa

    BalasPadam
  7. Wahh.. bagus ni utk rujukan kpd anak2.. t kasih.. :)

    BalasPadam
  8. bagus perkongsian ini helmi.. akak sendiri pun selalu salah menggunakannya.. hehe..

    BalasPadam
  9. Baca semua ni, teringat semula waktu belajar dalam kelas. Rindunya nak belajar Bahasa Melayu.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78