Pengikut

Jumaat, 4 April 2014

Kembalinya Penyair Jamaluddin D.

Assalamualaikum.

Itulah yang sudah tercatat di lohmahfuz-Nya. Giliran demi giliran sudah terpanggil. Sedang kita menanti dan terus menanti. Saya mendapat perkhabaran bahawa penyair yang saya sifatkan sangat prolifik hingga ke akhir hayat iaitu Jamaluddin D. telah kembali ke rahmatullah petang semalam. Marilah sama-sama kita bacakan Al Fatihah kepadanya. Takziah juga diucapkan kepada keluarga allahyarham. 

Saya bukanlah terlahir dalam era kepengarangan Jamaluddin D. namun beberapa buah kumpulan puisinya telah saya hadam. Malah, puisi-puisinya membawa inspirasi kepada saya untuk terus menulis. Saya pernah ke pesta buku di Kedah. Ketika itu saya singgah di gerai yang menjual buku terbitan DBP. Lalu saya mengambil sebuah buku allahyarham dan membelek-beleknya. 

Kata seorang yang berdiri di sebelah saya, belilah buku ini. Nanti boleh dapat tandatangan sekali. Apabila saya bertanya, di mana penulisnya? Jawabnya, sayalah penulisnya. Tanpa berfikir panjang, saya membayar harga kumpulan puisi tersebut yang tercatat padanya nama Jamaluddin D. Betapa bertuahnya saya dapat berjumpa dan mendapatkan tandatangan daripada penulisnya sendiri. Namun, itulah kali pertama dan terakhir saya berjumpa dengannya. 

Buku terbitan terkini allahyarham ialah Bunga Kepingin Kelopak Rindu dan Tangkai-tangkai Gemuruh yang diterbitkan oleh ITBM. 


Allahyarham Jamaluddin D (kiri) bersama mantan editor ITBM

BIODATA 

JAMALUDDIN D (Jamaluddin bin Darus)
LAHIR : 19 Julai 1946, di Kampung Keladi, Kulim, Kedah.
ALAMAT : 4123 A (L), Blok D1, Kampung Kastam, Jalan Penarak, Kuah, 07000 Langkawi, Kedah Darul Aman.

Semasa di sekolah menengah, Jamaluddin amat menggemari mata pelajaran Bahasa Melayu dan karangannya sering mendapat pujian guru.  Ini mendorong beliau membaca buku-buku cerita dan secara tidak langsung bercambahlah minatnya terhadap penulisan.  Minat ini dipupuk dan akhirnya lahirlah beberapa buah puisi dengan alam semula jadi dan suasana persekitaran tercerna dalam ciptaannya.

Jamaluddin D mula mendapat pendidikan awal di kampung kelahirannya, iaitu di Sekolah Melayu Keladi dari tahun 1953 hingga 1958.  Kemudian, pada tahun 1959, Jamaluddin D berpindah belajar di Sekolah Melayu (Lelaki) Kulim.  Beliau menamatkan persekolahan menengahnya di Sekolah Sultan Badlishah, Kulim hingga peringkat Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1965.

Setelah tamat persekolahan, Jamaludin D pergi ke Alor Setar dan belajar hal-hal kewartawanan dengan bapa saudaranya, sambil menjadi pemberita kadet untuk akhbar Utusan Melayu dan Warta Negara. Dengan pengalaman ini, beliau dipanggil bertugas dengan kedua-dua buah akhbar tersebut di Pulau Pinang. Di sini, beliau diberi tanggungjawab sebagai pemberita mahkamah di samping menjalani kerja-kerja penterjemahan, penyuntingan dan menjadi kolumnis “Kisah Sehari” akhbar Warta Negara.

Di Warta Negara, beliau berkenalan dengan beberapa orang teman seperti Syed Abdul Malek, Misbah Tahir, Hassan Hanafiah, Gamah Embi dan Othman Saat.  Para Wartawan ini banyak membantu beliau dalam hal-hal yang bersangkutan dengan penulisan dan kewartawanan.  Jamaluddin tidak lama bertugas sebagai orang surat khabar kerana pada 18 Disember 1967, beliau memasuki perkhidmatan kerajaan sebagai Pegawai Kastam di Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Seberang Prai.  Kini beliau menetap di Langkawi dengan pekerjaan sebagai Pegawai Kastam Kanan.

Jamaluddin berjinak-jinak dengan bidang penulisan semasa sekolah menengah dengan cuba menulis cerpen untuk majalah sekolah tetapi cerpennya yang berjudul “Bertuah” tidak mendapat tempat dalam majalah tersebut.  Semasa tinggal di Kampung Simpang Tiga Keladi, Kulim, Jamaluddin berkawan dengan guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan Kulim, iaitu Tajura A.R., Mustaffa Mahmud dan A. Ghaffar Ibrahim yang telah lama menghasilkan puisi.  Hubungan ini menjadikan Jamaluddin beralih minat dan cuba-cuba menulis puisi pula.

3 Disember 1966 merupakan tarikh penting bagi Jamaluddin D apabila dua buah puisinya tersiar dalam Warta Mingguan (akhbar mingguan Warta Negara, anak Syarikat Utusan Melayu).  Puisi-puisinya itu bertajuk “Senyum Simpati di Jalan” dan “Putih Mata”.  Dari tarikh tersebut, minatnya bertambah untuk menghasilkan puisi dan genre inilah yang menjadi pilihannya hingga ke hari ini.

Sepanjang keterlibatannya dalam dunia penulisan, lebih daripada 300 buah puisi dihasilkan oleh Jamaluddin D yang tersiar dalam akhbar dan majalah tanah air, Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Utusan Zaman, Dewan Sastera, Mastika, Dewan Masyarakat, Mingguan Timur, Pemimpin dan Pengaman.  Kebanyakan puisi beliau termuat dalam antologi bersama seperti Guru Oh Guru (1989), Menara Dua (1989) dan Surat dari Kuala Lumpur (1990).  

Setakat ini,Jamaluddin D berjaya menerbitkan empat buah kumpulan puisi iaitu Jalur-jalur Rindu (1991), Gunung Putih Bunga Benua (1993), Kawah Gelombang (1985) dan Garis Bukan Pemisah (1999). Sebanyak 158 puisi yang termuat dalam Gunung Putih Bunga Benua ini merupakan segugus puisi yang dihasilkan ketika beliau bertugas di Butterworth, Kroh, Padang Besar dan Langkawi. Kumpulan puisi Garis Bukan Pemisah pula menghimpun 146 puisi yang dihasilkannya dalam tempoh 1991-1995.

Dalam proses penciptaan, Jamaluddin D tidak dapat lari daripada pengaruh alam sekitar.  Puisi-puisinya diangkat daripada seribu kekayaan khazanah alam semesta.  Penciptaannya membawakan nada lembut mendayu yang menjadi identiti tersendiri di samping pemilihan tema yang kelihatan menjadi semacam obsesi kepadanya. 

Di samping itu, Jamaluddin D tetap menyuarakan gejolak kehidupan masyarakat tanpa menghindari nilai-nilai kemurnian dan keindahan. Jamaluddin D gemar mengembara dan melihat negara-negara jiran.  Antara negara yang pernah dilawati setakat ini ialah Thailand dan Indonesia (Kalimantan Barat).  Bersama-sama rombongan GAPENA, beliau melawat Indonesia dan Sri Lanka.  Manakala bersama-sama PENA, beliau berkunjung  ke Frankfurt, Paris dan London.  Kini beliau ialah Ketua Satu ASASI (Angkatan Sasterawan Nasional Kedah)dan Ahli Jawatankuasa Majlis Kebudayaan bagi  daerah Langkawi.

Selain itu, Jamaluddin D juga sering diminta untuk membaca puisi dalam beberapa acara.  Pada hari Ahad, 6 Jun 1975, di Kroh, perbatasan Malaysia/ Thailand, Jamaluddin D membaca puisi secara spontan dan sukarela bersama-sama penduduk sebagai menyambut kepulangan Pasukan Polis Hutan Malaysia yang tamat bertugas di Bentong.

Sebagai penyair yang gemar menimba pengalaman, Jamaluddin D menyedari menganggotai sesuatu persatuan penulis besar faedahnya bagi penulis muda seperti dirinya.  Lantaran itu, ketika bertugas di Perlis, beliau menganggotai Persatuan Penulis Perlis. 

KARYA

Puisi
- Sematan (antologi bersama).  Kuching: Gabungan Persatuan Penulis Sarawak, 1985.
- Cerdik Tidak Berakal (antologi bersama).  Kuala Lumpur: ‘K’ Publishing & Distributors Sdn. Bhd., 1985.
- Sayang Telani (antologi bersama).  Kuala Lumpur: ‘K’ Publishing & Distributors Sdn. Bhd., 1985.
- Selagi Ombak Mengejar Pantai 5 (antologi bersama).  Klang: KEMUDI, 1986.
- Gema Membelah Gema 9 (antologi bersama).  Kuala Terengganu: Hari Puisi ke-11, 1988.
- Malaysia dalam Puisi (antologi bersama).  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988.
- Sekayu (antologi bersama).  Kuala Terengganu: PELITA, 1989.
- Guru Oh Guru (antologi bersama).  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989.
- Titian Laut II (antologi bersama).  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989.
- Muara Dua (antologi bersama).  Medan: Firma Madju Medan, 1989.
- Surat Dari Kuala Lumpur (antologi bersama).  Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., 1989.
- Puisi Baharu Melayu 1961-1986 (antologi bersama).  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990.
- Jalur-jalur Rindu.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991.
- Titian Laut III (antologi bersama).  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993.
- Kawah Gelombang.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995.
- Garis Bukan Pemisah.  Kuala Lumpur: Persatuan Muzium Malaysia, 1999.
- Lamunan Sang Pengharap.  Langkawi: Angkatan Sasterawan Nasional Kedah, 2000.
- Erti.  Langkawi: Angkatan Sasterawan Nasional Kedah, 2000.

Kredit sumber: Portal DBP
Kemaskini 2008

9 ulasan:

  1. Al fatihah buat allahyarham. semoga rohnya ditempatkan bersama golongan yang beriman. membaca biodatanya mengajar kak...apa yang dapat kak berikan untuk masyarakat. selama ni, apa yang dilakukan hanyalah untuk diri sendiri:-

    BalasPadam
  2. semoga rohnya ditempatkan bersama orang2 yg soleh..
    harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan jasa.. :)

    BalasPadam
  3. Beberapa bulan ini kita telah ramai kehilangan para penyair. Semoga ditempatkan dikalangan hamba-hambanya yang bertaqwa.

    BalasPadam
  4. al-fatihah.. semoga ditempatkan di kalangan orang yang beriman..

    BalasPadam
  5. Al-Fatihah. Pernah membelek-belek buku yang seprti dalam gambar, cuma tidak pernah kenal dan tahu penulisnya.

    BalasPadam
  6. Semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas rohnya & menempatkan beliau dikalangan org2 yg beriman.. Al Fatihah... aamiin..

    BalasPadam
  7. Innalillah dan al fatihah buat beliau...semoga ditempatkan dikalangan orang2 beriman

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78