Pengikut

Isnin, 28 April 2014

PBAKL 2014: Apakah yang Diharapkan?


Selamat petang semua. Tatkala saya menaip entri ini, hujan belum reda semenjak turunnya sekitar pukul 3 petang lagi. Bagaimanapun, kedinginan itu tidak sesekali membekukan peristiwa pada hari sabtu lalu yang masih tersimpan rapi di laci ingatan saya. 

Saya mulakan entri mengulas buku yang saya beli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014 dengan satu pertanyaan kecil, "Apakah yang anda harapkan di PBAKL 2014?" Sekiranya hendak disenaraikan sebab musababnya sudah pastilah pelbagai yang barangkali merangkumi perkara berikut:

1. Inginkan buku baharu terbit
2. Potongan harga (diskaun)
3. Buku yang sukar ditemui di kedai buku biasa
4. Bertemu dengan penulis

Gambar yang saya perturunkan dalam entri ini boleh menjelaskan perkara yang saya senaraikan di atas. Ada ketika, apa yang kita hasratkan tercapai ada kalanya pula tersasar dan tergantung begitu sahaja. Seperti yang saya katakan sebelum ini Majalah Dewan Tamadun Islam dan Pelita Bahasa yang menyiarkan karya saya, sukar untuk saya  temui. Alhamdulillah, di PBAKL segalanya terlaksana.

Selain itu, satu-satunya buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang saya beli ialah KELAMBU KALBU, karya Jamaludin D. (allahyarham). Saya pernah berkongsi kisahnya di sini: Kembalinya Penyair Jamaludin D. Sebenarnya, saya inginkan lebih buku terbaharu terbitan DBP, malangnya harapan saya itu tergantung begitu sahaja. Saya disogokkan dengan beberapa alasan yang saya fikir, sangat dangkal untuk diterima bulat-bulat.

Sewaktu di PBAKL 2014 saya terpaksa hadapi senario ini.

Ikuti dialog ini:

Boleh saya tolong
Saya nak cari buku Di Padang Ilmu
Siapa penulisnya?
Awang (bukan nama sebenar). Dah allahyarham.
(jurujual itu pun mencarinya sekitar rak buku)
Betul ke terbitan XXX?
Betul.
Rasanya ZZZ.
Bukan. Memang terbitan XXX.
Terbitan bila?
2014.
Rasanya bukan penulis XXX. Tak pernah dengar pun nama tu.
(jurujual itu masih mencari)
Saya tengok dalam portal OOO. Kalau tak percaya boleh semak.
Jurujual itu ke meja di bersebelahan kaunter untuk membuat semakan. Saya kemudiannya, mengekorinya.
Berkali-kali dia menaip tajuk buku tersebut. Akhirnya, muncul juga. Kemudian, dia mencapai katalog buku mereka yang sudah tersedia di kaunter pembayaran.
Oh, ini ke bukunya?
Ya, mungkin tak masuk pasaran lagi.
Sekali lagi saya hampa. Saya memintanya mencari buku lain, penulis yang sama.
Apabila tidak jumpa buku tersebut, dia memaklumkan kepada saya: selalunya kami tak bawa semua buku ke sini (PBAKL). Kalau nak, kena oder.
Tanpa membuang masa, saya meninggalkan gerai tersebut.

Entri ini bukan hendak mengaibkan mana-mana pihak. Tetapi pada pandangan saya selaku syarikat penerbitan yang gah dan besar harus menitikberatkan apa yang saya perkatakan ini. Jika tidak, PBAKL sekadar gah dari segi nama sahaja. 

1. Jurujual harus bersedia untuk melayan pelangan dengan maklumat yang cukup.
2. PBAKL sekiranya mampu, dijadikan pasaran terbaik memasarkan buku terbitan terbaharu. 

Saya kagum dengan syarikat penerbitan Indie-Fixi. Jika anda berkesempatan ke sana, jurujualnya cukup bergaya dan yakin mempromosikan buku terbitan mereka, malah akan mensyorkan pula buku-buku terbitan mereka itu dengan penerangan sinopsis yang menarik.

Apa yang hendak saya sampaikan dalam entri ini barangkali sama seperti apa yang saya tulis dalam satu artikel ini: Menghayati Budaya Menghargai Buku.



11 ulasan:

  1. kelemahan mereka kot.. agaknya nanti boleh laa perbetul balik kesilapan mereka..:)

    BalasPadam
  2. pada acik mereka terbaik dalam handle customer.. ada kelemahan itu biasa dan perlu di pertingkatkan lagi

    BalasPadam
  3. mgkn dgn entri ini, mampu buat penganjur alert dengan aktiviti akan datang..

    BalasPadam
  4. mungkin masalah jurujual kurang pengetahuan berkenaan buku2 ni.. kurang persediaan untuk menjadi jurujual buku..

    BalasPadam
  5. Salam Cikgu Helm;

    Harap-harap pada tahun hadapan tidak berlaku lagi perkara seperti di atas. Perkongsian yang menarik cikgu, mohon saya linkkan entri ke dalam fb saya.

    BalasPadam
  6. kalau bab customer service ni, saya tahu sikit
    maklumlah lebih 10 tahun pengalaman
    sbenarnya dalam bidang CRM ni, kena ada minat
    bila ada minat baru skill bercambah
    kalau tak memang tak jadi apa =)

    BalasPadam
  7. hmm..selalu jadi kes macam tu lah..

    BalasPadam
  8. Perkara biasa...syarikat besar biasanya hanya mahu jual dan untung, tidak melihat perkara lain dgn serius.

    BalasPadam
  9. Huhu sabarlah memang dah adat mereka kan
    Orang besar cikgu
    Tak de orang tengok kesilapan sekalipun
    Sebab kesalahan mereka dah ditutupi dengan kemegahan

    BalasPadam
  10. Setuju dgn pandangan cikgu.. bila buat acuh tak acuh & meremeh2kan pelanggan waktu acara spt ini sebenarnya merosakkan imej acara2 ilmu spt ini. Tiada etika... tiada integriti...

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78