Pengikut

Isnin, 23 Jun 2014

Sihir Sebuah Buku

Assalamualaikum.


Setelah seminggu beralih dari musim cuti persekolahan pada hari bekerja, di rumah saya seolah-olah kesunyian. Selalunya, ada juga buku yang dipautkan berhampiran kusyen duduk untuk dibelek dan seringkali dibaca berdikit-dikit. Setelah semua buku yang dibeli di Pesta Buku Antarabangsa 2014 lalu dibawa pulang ke kampung sewaktu cuti persekolahan lalu, maka tiada apa yang tertinggal untuk saya baca. 

Pada Hujung Minggu


Lantaran itu, pada hujung minggu lepas, selepas menghadiri kelas tambahan saya membuat keputusan untuk ke Jalan Tunku Abdul Rahman seorang diri. Tidak mahu menyapa kawan atau mempelawa mereka turut sekali, kerana saya menganggapkan pasti mereka juga ada aktiviti sendiri, saya berkelana seorang diri di sana. 

Selepas membeli dua pasang baju kemeja di SOGO, yang hari ini dipakai di sekolah terus ditegur oleh anak murid: cikgu pakai baju baharu ya! Saya hanya senyum simpul sahaja, betapa kepekaan mereka memerhati penampilan guru sangat tinggi. 

Saya lantas, menuju ke beberapa buah kedai buku sambil membelek majalah keluaran terbaharu. Hanya dua buah majalah yang dibeli Pelita Bahasa, Mei 2014 dan Dewan Bahasa Jun 2014. Majalah lain telah saya langgan seperti Tunas Cipta, Dewan Sastera dan Pelita Bahasa. Hingga ke hari ini majalah langganan saya itu belum sampai. 

Sihir Sebuah Buku


Kemudian, sewaktu hendak pulang saya singgah ke kedai buku Pustaka Mukmin. Belek punya belek, saya terpandang sebuah buku Lim Swee Tin: Berkelana di Belantara Kata. Buku ini pernah saya lihat, pegang sewaktu belajar di UPM dahulu. Ketika itu saya ditugaskan untuk menjaga booth buku Persatuan Linguistik Melayu (PLM). Kini, hasrat untuk memiliki buku ini kuat dan bagaikan terkena sihir sebuah buku tanpa membuang masa saya terus ke kaunter untuk membayar harganya RM25

Sehari semalam saya membaca buku ini. Ungkapan yang terluah seusai membacanya, rugi saya tidak memilikinya dahulu. Buku terbitan Citra Kurnia Enterprise cetakan 2009 ini kaya dengan perkongsian pengalaman kreatif seorang penyair. Telah banyak saya membaca buku Lim Swee Tin, namun buku ini punya semangat dan kesunguhannya yang lain daripada yang lain. 

Menerbitkan Sendiri Karya


Paling melekat dalam diri saya adalah bagaimana kesungguhan dan semangat juang yang ada pada seorang penulis atau penyair bukan Melayu dalam menempatkan diri dalam dunia kesusasteraan Melayu. 

Persoalan lain yang dilontarkan, di bawah tajuk Menerbitkan Sendiri Karya: Dimensi dan Landskap Berkreatif yang lain sangat mengujakan saya. Cabaran menerbitkan buku dengan modal dan usaha sendiri sememangnya perlukan kekentalan dalam mengharungi apa jua cabaran. 

Memetik Mawar dan karya-karya lain


Saya tertarik apabila beliau berkongsi bagaimana proses dan perjalanan buku kumpulan sajak remaja: Kereta Api Malam (ditukar tajuk-menjadi Memetik Mawar). Buku ini katanya pernah diajukan kepada sebuah penerbitan, namun "malangnya" buku ini yang akhirnya diterbitkan sendiri oleh beliau. Jika hendak tahu apakah "malangnya" yang juga dikatakan beliau dalam buku ini, bolehlah baca sendiri coretan beliau. 

Memetik Mawar akhirnya berjaya diterbitkan sendiri oleh beliau. Paling membanggakan buku ini berjaya menggondol Hadiah Sastera Perdana Malaysia kategori kumpulan puisi remaja yang membawa pulang RM5000. Setelah hampir 10 tahun berlalu, hadiah untuk kategori ini masih tetap sama pada tahun 2013. 

Berkat kesabaran dan usaha gigih yang ditunjukkan oleh Lim Swee Tin, beliau telah dipilih untuk menerima S.E.A Write Awards tahun 2000 oleh Kerajaan Thailand. Antara buku persendirian yang telah diterbitkan ialah EVA (1981),  Akrab (1985, 1992), Menyusur Musim (1990), Seorang Anak Kecil dan Sajak-sajak Lain/Achild and Other Poems (1993), Masih (1997), Sebuah Fragmen Cinta (1998, 2000), Nota Waktu (bersama Zurinah Hassan, 2000), Nyanyian Sepi (2000) Citra Kurnia (2003, 2004), Sukma Cemara (2006), Potret Harum Kuntum-kumtum Zaiton (2006), Cakrawala Kemerdekaan (2006), Eva Masih untuk Sebuah Nama (2008), dan buku-buku esei yang lain. 

Sihir sebuah buku, itulah yang mampu saya ungkapkan apabila membaca tulisan Lim Swee Tin dalam buku ini. Saya bagaikan terpegun dengan setiap kata yang dicoretkan. Saya masih mengharapkan Lim Swee Tin (Dr.) terus berkarya dan dapat pula menerbitkan buku terbaharu untuk tatapan kami semua. 




10 ulasan:

  1. Salam Cikgu Helmi;

    Wah bagus buku tu, kalau dapat sebuah mesti best, cuba mahu cari nanti;), selamat membaca cikgu.

    BalasPadam
  2. Wah..selamat membaca helmi..

    BalasPadam
  3. begitu sekali kekuatan buku itu sehingga pembacanya blh terpukau ...

    BalasPadam
  4. setuju dengan cikgu, melihat luah cerita cikgu, cikgu seolahnya "mati kutu" kalau tiada bahan bacaan untuk ditelaah, bukan begitu? Ada masa saya juga begitu, lebih rela tiada telefon daripada tiada buku disisi jika sedang bersendiri.:)

    BalasPadam
  5. penangan sebuah buku..penulis tu memang glamer..

    BalasPadam
  6. Sihirnya sebuah buku.. Saya pula suka travel... Sihirnya jalan-jalan.

    BalasPadam
  7. kalau kena sihir buku ni...selagi tak habis baca, tak sanggup buat kerja lain.
    dok melekat kat buku

    BalasPadam
  8. Prihatin yer anak2 murid cikgu... :)

    BalasPadam
  9. Kata 'SIHIR' tu cukup menarik minat saya. Betapa kuatnya penangan sesebuah buku. Kalau baik bukunya, sihirnya juga baik. Kalau tidak pula, sihirnya berbentuk pengajaran. :)

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78