Pengikut

Rabu, 30 November 2011

Mendekati Seni Penulisan Kreatif -Lim Swee Tin

Seandainya anda bercita-cita mahu menjadi penulis. Seandainya anda tergerak hati untuk menjadi seorang penulis seperti idola anda. Anda tidak tahu bagaimana caranya. Anda perlu memiliki buku ini. Mendekati Seni Penulisan Kreatif tulisan Lim Sween Tin (sekadar cadangan). Seorang penulis bukan Melayu yang cukup hebat dan prolifik di dunia penulisan kreatif.

Buku ini berharga RM 20.00, terbitan Citra Kurnia, cetakan pertama pada tahun 2008. Saya membelinya di KUPUTRA koperasi UPM.

Berikut merupakan petikan yang ditulis oleh penerbit akan buku ini. "Buku ini ialah sebuah buku tentang  bimbingan penulisan kreatif dalam genre puisi dan cerpen. Akan tetapi pendekatan yang digunakan dalam penulisan amat berbeza daripada yang dilakukan orang sebelum ini. Membacanya akan membuatkan anda berasa begitu santai sekali. Jikalau anda menggunakannnya secara proaktif percayalah buku ini akan sangat membantu."

Setelah membacanya saya mengakui buku ini mempunyai ramuan yang cukup kepada bakal penulis. Dengan gaya bahasa yang menarik, ringkas dan mudah difahami. Pengarang menggunakan watak An untuk  bahagian puisi dan Lia untuk bahagian cerpen. An dan Lia akan membawa anda mengembara dalam dunia masing-masing. Segala persoalan yang dihadapi oleh bakal penulis akan dilontarkan oleh mereka berdua ini. Media perantara adalah emel. Bentuk penceritaan begini dilihat lebih efektif kerana setiap persoalan dihuraikan serta diberikan contoh yang relevan. Pengarang cuba melatih An untuk menulis puisi dari peringkat awal bermula dengan teknik 'Bermain dengan Kata-kata, Dari Kata kepada Baris' dan seterusnya. Begitu juga dengan bahagian cerpen pengarang cuba membimbing Lia tentang apa itu cerpen, bagaimana mendapatkan idea, sudut pandangan, teknik, watak dan sebagainya.

Apa yang menambahkan keistimewaan kepada buku ini dan mengapa harus anda mendapatkannya adalah kerana di bahagian lampiran belakang ada contoh surat lampiran dan alamat penerbit.  Sebenarnya sampai sekarang saya menyimpan dan menggunakan panduan yang diberikan oleh Prof Madya Dr Lim Swee Tin yang juga merupakan pensyarah saya semasa di UPM dahulu.

Di sini saya perturunkan contoh surat lampiran itu.

Alamat sendiri...........................,
................................................,
..................................................

Alamat penerbit..........................,
...................................................,
...............................................,                                        Tarikh surat

Tuan,

Sajak/Cerpen:1....................................
                        2.....................................

Dengan hormatnya disertakan sajak /cerpen berjudul di atas untuk perhatian dan pertimbangan seterusnya jika bersesuaian dapatlah kiranya dimuatkan dalam ruangan puisi majalah kelolaan tuan. Karya ini asli ciptaan saya, dan belum pernah dikirimkan ke mana-mana media penerbitan.

Atas perhatian dan pertimbangan tuan itu saya dahului dengan ucapan terima kasih yang tidak terhingga.

Sekian.
Salam takzim,


                  tandatangan
(NAMA DENGAN HURUF BESAR)
K/P:XXXXXX 0X XXXX
No Akaun GIRO: XXXXXXXXXXXXXXXX

Sebelum itu izinkan saya memetik beberapa ungkapan yang baik untuk dihayati bersama.
"Penulisan, apalagi penulisan kreatif adalah kerja yang serius, membebel atau melepas geram tidak menentu bukanlah kerja yang terpuji." 

Saya kira cukuplah sekadar ini dahulu. 

(Nota: Alhamdulillah, urusan pemeriksaan kesihatan saya telah selesai dan selamat, tunggu masa untuk diposkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Malaysia.)

Selasa, 29 November 2011

Kawal Diri

Hari ini dah masuk hari yang ketujuh saya ke Klinik Kesihatan Simpang Empat untuk pemeriksaan tekanan darah. Semalam catatan yang direkodkan 140/80 mmhg. Sebelumnya juga begitu 140/80mmhg. Hari ini ingatkan boleh  menurun, rupa-rupanya lagi naik 144/88 mmhg. 

Tak tahulah di mana silapnya. Saya dapat rasakan saya tidak dapat kawal diri semasa pemeriksaan dilakukan. Bukan disebabkan penyakit darah tinggi. Walaupun ibu saya mengidap penyakit darah tinggi. 

Pembantu perubatan itu menasihati saya untuk berjumpa doktor kali terakhir esok untuk mengambil keputusan ujian air kencing supaya memberitahu bahawa saya selalu gemuruh dan tidak dapat kawal diri. Nanti bolehlah mereka mengambil kira faktor itu sama. Kalau tidak saya risau keputusan pemeriksaan saya akan tersangkut. 

"Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini. Tenangkan hatiku, fikiranku supaya segala-galanya berjalan dengan lancar."

Isnin, 28 November 2011

Godaan Nafsu

Walaupun buku-buku yang baru dibeli dalam bulan ini juga belum habis lagi membacanya saya sudah membelinya lagi. Entahlah, seolah-olah saya tidak tahan dengan godaan nafsu. Nafsu untuk mendapatkan buku-buku kreatif ini sangat membara.

Senarai buku yang berjaya digeledah:-
1. Seorang Tua di Kaki Gunung -Azizi Haji Abdullah
2. Pertiwi -Azizi Haji Abdullah
3. Beberapa Pembetulan - S. Othman Kelantan
4. Menganyam Pelangi - Rejab F.I
5. Meniti Kala - Arena Wati
6. Sandera - Arena Wati
7. Mevrouw Toga - Arena Wati
8. Penjara Waktu - Abdullah Tahir
9. Bintang Mengerdip - Susunan Dharmawijaya
10. Opera - T. Alias Taib
11. Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur - Keris Mas 
12. Dewan Sastera

Boleh dikatakan buku-buku ini cetakan lama. Kesemuanya mendapat diskaun yang sangat luar biasa. Sebenarnya buku-buku ini 'dilonggok' di tepi berdekatan pintu masuk. Sememangnya bukan untuk promosi tetapi disebabkan rak-rak buku telah dipenuhi buku baru. Jadi buku-buku lama ini terpaksa diketepikan. 


Kepada yang tinggal di Kedah, Alor Setar, Tandop, Simpang Kuala dan kawasan yang sama waktu dengannya bolehlah mengunjungi Toko Buku Cahaya Baru yang berada di Jalan Langgar. Di sini mempunyai banyak koleksi karya yang baik dan bermutu. Sememangnya anda akan berpuas hati.

Buku yang sempat digeledah
Koleksi Arena Wati
Kumpulan Cerpen S. Othamn Kelantan dan Rejab F.I
Kumpulan Puisi dan Novel Keris Mas
Dewan Sastera Edisi Januari 2008 dan Julai 2006

Azizi Haji Abdullah (Allahyarham) 

Ahad, 27 November 2011

Selamat Menyambut Awal Muharram

Selamat menyambut Awal Muharram / Maal Hijrah 1433
kepada seluruh Umat Islam di dunia ini.
Berhijrahlah kepada kebaikan.

Jumaat, 25 November 2011

Lelaki Dari Dhaka

Mingguan Warta Perdana
Edisi 27 November 2011

Ini merupakan percubaan kedua saya menghantar cerpen ke Mingguan Warta Perdana. Alhamdulillah, diterima. Terima kasih saya ucapkan kepada editor. Dan tidak dilupakan juga kepada Effa (Nurul Farehah Jaamad) yang memberi sokongan.


Sebenarnya cerpen ini sudah lama dihasilkan. Setelah mengeditnya berkali-kali untuk menyesuaikan dengan kehendak editor yang mahukan karya yang dihantar tidak melebihi 30 hingga 40 perenggan atau lima kertas A4. 


Sememangnya agak sukar kerana cerpen ini melebihi kehendak itu. Walau bagaimanapun saya cuba membuang selumbar yang kadang-kadang menganggu. Mengetam duri-duri yang hadirnya tidak membantu. Unsur-unsur lewah dan berlebihan saya tarah. Dan akhirnya hasilnya inilah. 


Anda boleh membacanya di akhbar Mingguan Warta Perdana edisi 27 November 2011. Anda jangan pula terkejut kerana tarikhnya belum tiba tetapi cerpenya sudah tersiar. Sebenarnya Mingguan Warta Perdana terbit awal seminggu. Selamat membaca.

Khamis, 24 November 2011

Malu Bertanya Sesat Jalan

Masih relevan lagikah pepatah ini, Malu Bertanya Sesat Jalan????? Yang nak dijadikan cerita dua hari lepas saya ke sebuah Klinik.... untuk melakukan Pemeriksaan Kesihatan. Selepas selesai mengisi borang dan melakukan pemeriksaan kesihatan termasuk timbang berat, ukur tinggi dan periksa tekanan darah saya dikehendaki naik ke tingkat 1 untuk ke makmal bagi pemeriksaan air kencing. Selepas itu saya pun naiklah.

Sebelum ini saya tidak pernah pun ke klinik ini (dahulunya Hospital Besar tapi dah berpindah setelah hospital baru siap dibina). Apabila saya naik, terdapat beberapa kaunter di situ. Saya pun kurang pasti kaunter yang mana satu. Saya pun bertanyalah. Sebelum itu bagi salam dulu. Seorang jururawat di situ yang boleh dikatakan sudah 40 tahun usianya pun menjawab. "Encik jalan terus, belok ke kiri." Lebih kurang macam itulah. Selepas saya pusing saja belakang. Terdengarlah suara-suara sumbang. "Eshy.... tak baca ke papan tanda." Ketika itu saya merasakan saya ini seperti buta huruf. Sampaikan jururawat itu boleh berkata begitu. 

Saya pun mengucapkan terima kasih. Entah di dengarnya ataupun tidak. Wajahnya tetap sama (masam). Tak tahulah kalau begitu asal muasalnya. Saya berjalan mengikut arah yang ditunjukkan jururawat sebentar tadi. Ya, papan tandanya ada di dinding. Tapi tulisannya agak kecil. Dari jauh memang kurang jelas. 

Saya tertanya juga kalau orang yang lebih tua daripada saya bagaimana dia mahu melihat tulisan itu. 

Akhirnya sampai juga ke makmal. Setelah selesai dan saya akan menanti keputusan ujian air kencing yang akan keluar pada 30 haribulan November nanti. Dan selepas itu akan diteruskan dengan X-ray.

Rabu, 23 November 2011

Bunga Sejambak di Konvokesyen

Puisi ini merupakan puisi kedua saya yang disiarkan 
di Harian Metro
Saya rasa semua orang yang pernah bergelar pelajar menantikan saat-saat ini, iaitu konvokesyen. Masa inilah segala suka duka bercambah. Segala penat lelah berbalas. Segala budi meranum. Bunga sejambak hanyalah tanda penghargaan. Tidak lebih daripada apa-apapun. Pada graduan janganlah berduka cita seandainya bunga yang diidam-idamkan tidak dapat didakap. Pada ibu bapa pula usahlah merasa berkecil hati seandainya bunga sejambak itu tidak dapat diraih. Kerana kehadiranmu pada hari yang penuh sejarah itu adalah hadiah yang lebih bermakna.

Selasa, 22 November 2011

Selamat Bercuti-Balik Kampung

Sesi persekolahan baru saja berlabuh. Pejam celik, pejam celik sudah hampir sampai ke akhir tahun. Cuti kali ini saya pulang ke kampung. Setelah Hari Raya Aidiladha lalu saya tidak berkesempatan pulang. Namun dalam masa bercuti ini saya terpaksa menguruskan beberapa perkara. Hal ini berkaitan dengan tawaran pelantikan saya sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah. Walau bagaimanapun saya telah menyelesaikan beberapa proses yang perlu saya lakukan seperti Akuan Sumpah, Surat Akuan Janji dan Tapisan Keselamatan. Cuma yang belum selesai adalah pemeriksaan kesihatan dan X-ray. Setelah itu saya perlu menghantar segala dokumen yang telah siap diuruskan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dalam masa 60 hari dari tarikh arahan lapor diri iaitu 20 Oktober 2011 lalu. Maknanya sebelum 20 Disember segalanya sudah selesai. Harap-harap dipermudahkan-Nya.

Dikesempatan ini saya mengucapkan selamat bercuti kepada murid-murid dan guru-guru di SJK (C) Choong Chee dan kepada sesiapa saja yang terlibat secara langsung ataupun tidak dalam dunia perguruan.

Khamis, 17 November 2011

Bila Kejayaan yang Digapai

Hari ini keputusan UPSR diumumkan. Tahniah kepada murid yang telah berjaya setelah berusaha bersungguh-sungguh. Setiap pengorbanan itu ada balasannya. Yang kurang berjaya jangan mudah putus asa. Masih ada masa untuk membuktikan bahawa anda boleh berjaya seperti orang lain.

Namun, dalam kita meraikan kejayaan itu jangan lupa mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang banyak bertungkus-lumus mencurahkan segala ilmu. Di samping ibu bapa yang banyak memberi sokongan, kawan-kawan dan sesiapa sahaja yang telibat secara langsung ataupun tidak. Bagi yang beragama Islam sujudlah kesyukuran  kepada Allah SWT.

Hari ini juga  pengarang terkenal S.M. Zakir yang berwibawa telah diangkat menerima Anugerah  Penulisan Asia Tenggara (SEA) 2011. Tahniah diucapkan.

Penerima Anugerah Penulisan Sea (Malaysia)

* SN Datuk (Dr) A Samad Said (1979)
* Datuk (Dr) Baharuddin Zainal (1980)
* SN Datuk Abdullah Hussein (1981)
* SN Allahyarham Datuk (Dr) Usman Awang (1982)
* Adibah Amin (1983)
* A Latiff Mohidin (1984)
* SN Allahyarham Arena Wati (1985)
* Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah (1986)
* SN Datuk Noordin Hassan (1987)
* Azizi Abdullah (1988)
* Dr Siti Zainon Ismail (1989)
* SN Allahyarham Dr Syed Othman Syed Omar (1990)
* Allahyarham Yahya Husin (Jihaty Abadi) (1991)
* Ismail Abbas (1992)
* Allahyarham Kamaruzzaman Abdul Kadir (1993)
* Prof Dr A Wahab Ali (1994)
* Suhaimi Muhammad (1995)
* Zaharah Nawawi (1996)
* Prof Dr Muhammad Salleh (1997)
* Allahyarham Dr Othman Puteh (1998)
* Khadijah Hashim (1999)
* Dr Lim Swee Tin (2000)
* Zakaria Ariffin (2001)
* SN Datuk Dr Anwar Ridhwan (2002)
* Prof Dr Zakaria Ali (2003)
* Dr Zurinah Hassan (2004)
* Abdul Ghafar Ibrahim (2005)
* Jong Chian Lai (2006)
* Prof Madya Rahman Shaari (2007)
* Prof Dr Hatta Azad Khan (2008)
* Azmah Nordin (2009)
* Zaen Kasturi (2010)

(Sumber Berita Harian-17/11/2011)

Rabu, 16 November 2011

Taklimat Orientasi Penempatan Guru Sekolah Rendah

Pukul 5.30am 
Bangun pagi, urus diri, solat.

Pukul 6.15am
Bertolak ke sekolah SJK (C) Choong Chee-terima kasih kepada Pakcik Bahari yang sudi menghantar saya ke sekolah. 

Pukul 6.30am
Menanti Cikgu Zainudin datang bersama Pembantu Am sekolahnya. Saya dan Dayang (cikgu baru dari Sarawak) menumpang Zainudin ke PPD Hulu Selangor di Kuala Kubu.

Pukul 7.00am
Naik bas yang sudah menunggu di PPD Hulu Selangor.

Pukul 7.10am
Bas Bertolak ke Auditorium SJK (C) Pandamaran A, Pelabuhan Klang.

Pukul 9.00am
Selamat sampai ke destinasi.

Pukul 9.10am
Mendaftar. Mendapat fail dan butiran yang sepatutnya.

Pukul 9.15am
Mengambil sarapan pagi (Roti, cup cake, air kotak, dan mineral water yang comel).

Pukul 9.40am
Majlis dimulakan.
Taklimat Orientasi Guru Baharu.
Inventori Personaliti TAJMA. 

Pukul 10.30am
Ucaptama Tuan Abdullah Mad Yunus
Pengarah Pelajaran Selangor. 

Pukul 1.00pm
Rehat. 
Makan tengah hari (nasi dan ayam).

Pukul 1.40pm
Sembahyang zohor.

Pukul 3.00pm
Sepatutnya 2.30pm majlis bermula.
Ucapan Tuan Haji Mahmud Karim
Timbalan Pengarah Pelajaran Selangor.

Pukul 4.40pm
Majlis tamat.

Pukul 5.00pm
Menaiki bas untuk pulang.

Pukul 5.15pm
Bas bergerak ke PPD Hulu Selangor.

Pukul 7.15pm
Sampai PPD. 
Bergerak ke masjid untuk solat Maghrib.

Pukul 7.35pm
Bergerak pulang ke rumah (terima kasih kepada Cikgu Khairul Sani dari Serendah, juga cikgu baru yang sudi menghantar saya, Zainudin dan Dayang pulang).

Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar. Walaupun letih namun berbalaoi di samping ilmu yang diperolehi. Serta dapat juga bertemu dengan kawan lama dari IPG Kampus Perlis-Dasuki, Shukri, Rosmawi, Nailul Ashraf, Datus, Renuga, Moku, Magesh, Jaya dan Masitah.

*Ayuh cikgu-cikgu semua dayung sudah di tangan apalagi berkayuhlah dengan penuh sabar, dedikasi dan bertanggungjawab. (Jangan lupa siapkan tugasan yang diberikan).

Isnin, 14 November 2011

Gangguan Bahasa Ibunda


*Artikel ini disiarkan di majalah Dewan Bahasa, edisi Oktober 2011. Terima kasih diucapkan kepada editor Dewan Bahasa yang sudi menyiarkan artikel ini untuk dikongsikan dengan pembaca semua.

Artikel ini menceritakan tentang gangguan bahasa ibunda yang dihadapi oleh murid yang belajar bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Ternyata bukan sahaja guru yang menghadapi cabaran dalam menjalankan proses Pembelajaran dan Pengajaran tetapi murid juga terkena tempiasnya. 

Dapatkan artikel ini untuk mengetahui kesulitan itu. Dan diakhirnya ada diusulkan beberapa cadangan kepada guru bagaimana untuk menjalankan P&P. Kepada murid-murid yang belajar bahasa Melayu sebagai bahasa kedua iaitu untuk murid di SJK (C) dan SJK (T) teruskan usaha anda. Semoga bahasa itu bukan menjadi penghalang kepada anda untuk terus mencapai kecemerlangan.

Ahad, 13 November 2011

Rancanganku RancanganMu

Tahun lepas kami ke Pulau Langkawi. Dua tahun lepas kami ke Bali. Boleh dikatakan tiap-tiap tahun tiba musim cuti semester tidak menghampakan. Ada sahaja aktiviti yang akan dilakukan. Ada sahaja tempat menarik yang dilawati. Baik dalam negara mahupun luar negara.
            “Amirul, maafkan abah. Cuti semester kali ini abah tidak dapat bawa Amirul ke Cameron Hingland. Abah ada seminar di Pangkor.”
            E-mel yang masuk sehari lepas itu betul-betul membuatkan diriku baran. Aku lekas padam e-mel yang dikirim abah itu. Aku memandang polos skrin komputer riba. Pada asalnya mahu saja aku menghentak komputer riba itu yang membawa perkhabaran yang kurang menyenangkan. Tetapi aku berjaya mengawal diri. Dan aku biarkan komputer riba itu terhidang begitu sahaja dijamah habuk dan angin. 
Semangatku hilang. Pengumuman abah itu betul-betul merentap segala keindahan yang bakal aku nikmati. Semua perancangan telah kami atur. Kami akan bercuti selama tiga hari dua malam. Aktiviti dan tempat-tempat menarik di Cameron Highland telah diatur. Di saat akhir semuanya hancur berkecai.
Keinginanku menikmati strawberi dari jenis Camarosa yang berasal dari Belanda tidak menjadi kenyataan. Aku mahu melawat ladang teh. Aku mahu melihat ladang kaktus dan bunga-bungaan. Aku mahu memetik sekuntum mawar dan kuhadiahkan kepada abah. Itulah perancangan awal yang tidak menjadi.         
“Sementara abah tidak ada di sini abah akan hantar Amirul ke rumah nenek di Kedah. Amirul jaga diri baik-baik tau.”
            Mudah bagi seorang abah menuturkan kata-kata seperti itu. Baginya tanggungjawabnya telah lepas. Dia tidak perlu lagi memikirkan hal rumah tangga. Hal anak-anak. Apa yang perlu ditumpukan hanya kepada kerja-kerja yang bakal dihadapi.
Jiwa seorang anak ini menjadi tertekan. Andai hanya anak sahaja mengerti hati seorang abah bila masanya pula abah mengerti perasaanku yang kian hancur lumat ini. Walau bagaimanapun aku ‘dipaksa’ memahami tuntutan kerjayanya yang mengkehendaki abah selalu berurusan di luar. 
            “Ayah, mak, tolong jaga anak saya ni. Saya ada seminar di Pangkor. Selesai saja seminar tu saya akan terus ke sini.”          
            Kereta Perdana hitam itu meluncur laju meninggalkan halaman rumah atuk.  Hatiku begitu panas walhal cuaca di kampung tidaklah bergelora. Pertama kali aku menjejakkan kaki ke negeri Jelapang Padi ketika umurku berusia 2 tahun. Dan kali terakhir adalah tahun lepas semasa umat Islam menyambut hari raya Aidiladha. Selepas itu abah jarang membawaku pulang ke kampung. Dan aku juga tidak mahu pulang ke kampung. Suasana kampung yang terlalu sunyi sedikit sebanyak menyeramkan.
            Angin dari sawah padi menghembus gebu. Masuk hingga ke dalam bajuku. Seolah-olah menyambut kedatanganku kembali. Kicau burung yang hinggap di dahan membingitkan suasana. Di sebelah rusuk kiri rumah atuk ayam kampung berkeliaran. Ada yang membawa anak-anaknya mencari makan. Kanak-kanak berderet-deret mengayuh basikal di batas ban.  Lembu kerbau pula leka meragut rumput di tepi sungai yang dirimbuni rumput-rumput hijau.
“Jom Amirul kita naik! Meh nenek tunjukkan bilik!”
Aku tidak banyak bercakap. Sekali ditanya sepatah yang dijawab. Hubunganku dengan nenek dan atuk sebelah abah tidak semesra hubunganku dengan nenek dan atuk sebelah arwah ibuku.
            “Amirul rehat-rehat dulu. Nanti nenek siapkan makan malam.”
            Peluh di muka ku mula merenik. Aku membuka jendela. Dari jauh di tengah sawah kelihatan ada jentera yang bewarna kuning. Bunyinya dari jauh sudah kedengaran.
Aku berlari keluar ingin melihat dari dekat. 
            “Nek Amirul keluar sekejap.”
            “Eh, Amirul nak ke mana tu?”
            Aku menghampiri sawah padi. Hamparan padi yang kuning keemasan membuatkan hatiku terpegun. Maha luasnya sawah padi yang ditanam di Kedah. Aku pegang tangkai yang menguning dengan butir-butir padi. Baru pertama kali aku dapat memegang buah padi dengan tanganku sendiri. Sebelum ini aku tidak berpeluang. Hanya dapat melihat dalam gambar sahaja. 
Mesin padi semakin berleluasa di tengah sawah.
            “Amirul kamu nak buat apa tu?” tanya atuk.
            “Amirul nak naik mesin tu.”
            “Nak buat apa naik. Miang! Malam nanti tergaru sana tergaru sini.”
            “Alah Amirul teringin sangat nak naik.” Tanpa kusedari rengekanku itu tidak ubah seperti kanak-kanak yang berusia awal belasan tahun.
            Atuk mengangkat tangan kepada pemandu mesin padi tersebut. Lalu mesin padi itupun berhenti. Aku dan atuk memanjat tangga kecil mesin padi lalu melangkah naik ke tempat duduk di sisi hadapan. 
“Wah, bestnya atuk!”
            “Siapa ni Tok Wan?”
“Oh, cucu! Anak Deris.”
            “Deris yang duduk Kuala lumpur tu ke tok?”
            “A’ah. Siapa lagi anak yang aku ada. Dia ada kerja sikit. Dia tinggalkan budak ni dekat aku. Lagipun sekarang ni cuti semester.”
            Walaupun sekejap menaiki mesin padi keseronokannya amat terasa. Pada malam itu seperti yang diduga badanku gatal-gatal. Kerana miang jerami. Aku tergaru sana tergaru sini. Atuk dan nenek senyum dari jauh melihat keletahku.
            Pagi itu nenek awal-awal lagi sudah bangun menyediakan sarapan. Kami bertiga bersarapan bersama-sama. Nenek sediakan pulut kukus bersama nyiur kukur yang berlauk ikan haruan kering yang telah digoreng ranggup.
            “Makanlah Amirul! Bukan senang nak dapat makan macam ni. Kat Kuala Lumpur tu bukannya ada.”
            Bertapa peliknya aku melihat santapan orang kampung. Kadang-kadang tu pucuk-pucuk kayu dikutipnya makan. Aku mencubanya. Lain daripada yang lain. Sedap memang sedap. Lebih sedap daripada makanan di Kuala Lumpur. Tetapi aku perlu mengambil masa sedikit untuk menyesuaikan diri. 
Usai saja sarapan atuk bersiap-siap menyarung baju kebiasaannya  ke sawah.
            “Atuk nak ke mana?” aku menyoal.
            “Atuk nak pergi tangkap ikan?”
            “Kenapa tak beli saja?” pantas aku menyoal kembali.
            Atuk dan nenek menguntum senyum.. Senyuman itu seolah-olah memerliku. Seperti juga ada benda yang tidak kena.
“Buat apa nak beli. Kan banyak dekat sawah tu. Tangkap saja banyak mana mahu.”
            “Amirul nak ikut?”
            “Tak payahlah. Kotor! Duduk saja dengan nenek.”
            “Alah atuknya... biarlah cucu nak ikut. Biar dia tahu macam mana abah dia dulu  tangkap ikan. Abah kamu tu memang suka main kat selut tu. Suka sangat berkubang. Dah macam kerbau nenek tengok,” seloroh nenek.
            Abah tidak pernah bercerita tentang kisah-kisah semasa dia kecil dahulu. Dia lebih suka bercerita tentang bagaimana dia mendaki tangga kejayaan sebelum dia berjaya hingga ke hari ini. Semuanya berkat usaha gigihnya sehingga dia berjaya. Dia tidak pernah berputus asa. Prinsipnya mahu seribu daya, tak mahu seribu dalih.
            “Kalau macam tu, pergi salin baju dulu. Atuk tunggu kat bawah.”
            Atuk membawa sebiji serkap buluh yang dibuatnya sendiri. Aku ditugaskan membawa raga buluh yang juga dibuatnya sendiri atuk. Raga itu digunakan untuk mengisi ikan nanti. Atuk seperti biasa turun menyerkap di dalam sawah. Aku tunggu di atas batas ban.
            “Kata nak tangkap ikan. Meh la turun. Buat apa tunggu dekat atas.”
            “Amirul takutlah atuk. Amirul takut lintah. Mesti pacat pun banyak kan. Kawan Amirul pernah cerita dekat sawah ni banyak pacat dengan lintah. Geli lah atuk.”
            “Sekarang ni mana ada lintah. Pacat pun dah takut dengan manusia.”
            Kami ketawa terkekeh-kekeh. Aku mula menjulur kaki ke dalam selut. Lahan-perlahan menuju ke arah atuk. Sungguh mengelikan hati apabila melihat pergerakkan atuk di dalam sawah yang terkedek-kedek berlari mengejar ikan.
“Cepat tuk cepat. Tangkap baik-baik nanti terlepas.”   
Atuk menggagau di dalam serkapnya. Air lumpur memercik ke mukanya. Penglihatan atuk menjadi kabur. “Atuk tak nampak. Cuba Amirul gagau pulak.”
“Atuk ada ikan besarlah. Ikan besar! Yahooo!” Aku menjerit sekuat hati.
“Pegang kepalanya kuat-kuat. Nanti terlepas.”
            Matahari mula tegak. Panasnya menyucuk-cucuk kulit kepala.
            “Dah banyak ni. Jomlah kita balik! Nanti boleh suruh nenek buat bantut.”
            Kami berjalan pulang dengan baju bersalut lumpur. Meskipun baunya tidak menyenangkan. Bagi penduduk kampung bau lumpur itu adalah lumrah.
            “Banyak dapat ikan?”
“Banyak nek. Amirul dapat ikan haruan, keli, puyu. Ikan sepat pun ada. Nanti nek buat bantut ya,” bersungguh-sungguh aku melaporkan.
            “Amboi sekarang ni dah pandai makan ikan darat ya.”
            Sekali lagi suasana menjadi bingit. Gelak ketawa bersahut-sahut. Aku tidak pasti apa yang telah berlaku kepada diriku. Perasaan benci dan geram itu mudah bertukar gembira. Hari demi hari, jam demi jam, minit demi minit, saat demi saat aku merasai kemeriahan hidup di kampung. Percutian yang tidak dirancang ini sememangnya lain daripada yang lain.
Petang itu aku bersama-sama atuk ke sawah yang lapang. Angin yang kuat betul-betul menyeronokkan. Ramai orang di sana yang sedang menaikkan wau.  
            “Amirul pernah main wau?”
            “Tak.”
            “Amirul tahu ni wau apa?”
            “Tak.”
            “Ni namanya wau bulan. Tengok bentuknya macam bulan sebab tu orang panggil wau bulan. Kalau wau kangkang kaki bawahnya kangkang sedikit.” terang atuk.
            “Oooo selama ni Amirul tak tahu pun. Amirul hanya tahu permainan yang dalam komputer tu saja atuk.”
            “Sekarang Amirul pegang tali ni. Biar atuk lambung wau ni. Nanti bila atuk dah lambung Amirul tarik tali ni jauh-jauh hingga dia terbang tinggi.”
            Pengalaman bermain wau tidak dapat kulupakan. Atuk banyak mengajarku mengenali warisan dan budaya orang Melayu. Dari menangkap ikan, makanan kampung hinggalah permainan tradisional. Kata atuk kalau kita yang tidak menjaganya siapa lagi. Jangan biarkan ia ditelan zaman. Ternyata percutian di kampung merupakan suatu percutian yang tidak terbanding di tempat-tempat lain. Selepas ini aku tidak lagi merasa malu untuk menceritakan pengalamanku bercuti di Kedah, negeri Jelapang Padi kepada kawan-kawanku. Apa yang pasti rancanganMu lebih hebat daripada rancanganku.

* Cerpen ini telah disenarai pendek ke peringkat akhir Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2010
* Kepada sesiapa yang sudi membacanya, sudilah meninggalkan komentarnya agar dapat saya memperbaiki mutu penulisan saya.

Siri Kumpulan Cerpen Pilihan Abad ke-20

Siri Kumpulan Cerpen Pilihan Abad ke-20 yang mengandungi 37 judul buku hasil karya 37 orang pengarang ini mewakili segugus pengarang penting Persekutuan Tanah Melayu/Malaysia yang telah mencambahkan puluhan ribu cerpen dalam tempoh satu abad yang baru berlalu. Pelbagai tema dan persoalan yang terungkap dalam sejumlah lebih 700 cerpen ini, secara tersirat dan tersuratnya, sejalur dengan gelora perjalanan sejarah tanah air. elemen dalaman cerpen-cerpen ini merupakan rakaman kreatif persekitaran masing-masing pengarang yang sekali gus memancarkan citra, cita-cita dan minda mereka sepanjang seabad perjalanan sejarah tanah air yang dilewati. Siri kumpulan cerpen ini merupakan perada warisan yang mengalaukan tamadun bangsa dan sekali gus menjadi mercu tanda klasik arena percerpenan yang terakam dalam bahasa Melayu. (Petikan daripada Siri Kumpulan Cerpen Pilihan Abad ke-20)

Untuk menjadi seorang penulis yang berwawasan, kita haruslah membaca karya-karya yang bermutu agar dapat meneliti, menghayati, mempelajari lenggok langgam gaya bahasa seseorang penulis hebat. Dari situ juga kita dapat melihat bagaimana penulis itu memburu idea, mengadun plot, menerap latar, mewujudkan unsur-unsur yang menjadikan sesebuah hasil karya itu menarik. 

Alhamdulillah, saya telah berjaya memiliki sejumlah daripada siri kumpulan cerpen ini. Antaranya:

1. Bunga-bunga Pulau - Fatimah Busu
2. Taman Uzlah - Zaen Kasturi
3. Pendoa yang Ikhlas - Azizi Hj Abdullah
4. Antara Dua Deru - Arenawati
5. Menyirat Nirmala - S.M. Zakir

Walau bagaimanapun saya berusaha untuk memiliki seberapa banyak siri kumpulan cerpen ini. Kepada penulis-penulis baharu di luar sana (termasuk saya) sesungguhnya membaca karya yang bermutu adalah makanan yang mengenyangkan.

Sabtu, 12 November 2011

Pemboros?



Seperti melepaskan geram setelah berjaya memborong sejumlah novel yang telah lama diidam-idamkan. Ada yang mengatakan saya ini pemboros. Pemboroskah? Namun bagi saya yang tidak pernah berkira untuk menghabiskan duit kerana novel. Kerana saya tahu membeli buku/novel adalah sesuatu aktiviti yang berfaedah. 

Saya pun tidak pasti dengan sejumlah novel tersebut bilakah saya akan dapat menghabisinya. Semasa saya menuntut di UPM dahulu seorang pensyarah saya iaitu Dr Kamariah Kamarudin tidak jemu-jemu menyarankan kepada kami anak didiknya untuk membeli buku. Walaupun pada masa itu tidak sempat untuk membacanya. Apa salahnya menyimpannya dahulu. Kerana pada waktu kita hendak membacanya kita boleh sahaja mengambilnya dirak koleksi kita sendiri. Jika buku itu sudah tiada lagi dipasaran pada waktu kita hendak membacanya siapa yang melepas kita juga. Rugi... Rugi....
Novel yang Sempat Dibeli

Semasa saya dan kawan-kawan saya (Pito dan Tepah) ke Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) saya sempat memborong sejumlah judul novel yang telah lama saya mencarinya. Kehampaan mencarinya di Alor Setar, telah berjaya ditebus setelah menjumpainya di sini.

Berikut merupakan senarai novel yang saya beli di beberapa kedai di Jalan TAR, MPH Midvaly dan KUPUTRA, UPM:

1. Manikam Kalbu - Faisal Tehrani (RM 25.00)
2. Bila Tuhan Berbicara - Faisal Tehrani (RM 21.90)
3. Derik Kerisek - Faisal Tehrani (RM19.00)
4. Detektif Indigo Kembali - Faisal Tehrani (RM 16.00)
5. Suriati - Azizi Abdullah (RM 19.00)
6. Kawin-kawin - Azizi Abdullah
7. Cinta Fansuri - A. Samad Said (RM 14.90)
8. Merantau ke Deli - HAMKA (RM 16.50)
9. Tenggelamnya Kapal Van Der Vick - HAMKA (RM 23.00)
10. Di Dalam Lembah Kehidupan - HAMKA (RM19.50)
11. Kombinasi Bunga Cinta - Salina Ibrahim (RM 22.90)
12. Atas Nama Kasih - Salina Ibrahim (RM 18.90)
13. Tanda Sebuah Kurnia - Kamariah Kamaruddin (RM 14.90)*
14. IMPULS/ROH - Sri Rahayu Mohd Yusop (RM 20.00)*
15. Mendekati Seni Penulisan Kreatif - Lim Swee Tin (RM 20.00)
16. Antara Dua Deru - Arenawati (RM 21.00)
17. Pendoa yang Ikhlas - Azizi Abdullah (RM 32.00)*
18. Menyirat Nirmala - S.M. Zakir (RM 22.00)*

* Mendapat diskaun
  Karya Azizi Abdullah yang telah lama diidamkan
   Karya HAMKA  
Novel Salina Ibrahim

 
     Koleksi  Karya Faisal Tehrani     
  

 
Karya Sri Rahayu, A. Samad Said, Lim Swee Tin dan Kamariah Kamaruddin
             


Jumaat, 11 November 2011

Kenangan Terindah-HSKU 2010



Cerpen Bunga Telur Kenduri Kahwin telah meninggalkan kenangan terindah dalam dunia kepengarangan saya. Terima kasih saya ucapkan kepada panel penilai HSKU kerana sudi menggangkat cerpen 'kecil' ini. Walaupun hanya dengan hadiah penghargaan namun bagi saya yang baru setahun jagung dalam penulisan cerpen, itu sudah cukup untuk permulaan. 

Tidak tergambar gembiranya melihat cerpen saya dibukukan dalam antologi cerpen. Selama ini saya hanya mampu menatap antologi yang sama pada tahun 2008 yang mana cerpen Beranda karya Normaizura Md Zin rakan penulisan saya termuat dalam antologi Batu-batu Jalanan. Kini saya boleh berbangga dengan kelahiran antologi pertama itu. 

Idea untuk menulis cerpen ini sebenarnya telah lama. Namun sebelum cerpen ini disiarkan di Harmoni saya terlebih dahulu telah menulis beberapa draf perenggan dan kemudiannya terbengkalai. Setelah desakan yang kuat untuk menyelesaikan cerpen tersebut saya melangsaikan rutin itu. Akhirnya berjaya juga disiapkan.

Berbalik kepada idea penulisannya saya terpanggil untuk mencoretkan sedikit tentang budaya kenduri masyarakat Melayu yang kian terpinggir. Jika dahulu orang tidak terkejut sekiranya kenduri di bandar mengamalkan budaya makan secara katering dan bufet. Tetapi jika anda berpelung ke kampung hari ini budaya itu sudah tidak menjadi janggal lagi. Sebaliknya menjadi sesuatu yang pelik sekiranya majlis yang dianjurkan itu tidak menggunakan budaya katering dan bufet tadi. 

Pelbagai amalan tradisi yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita sudah kita tidak pedulikan lagi. Benarkah? Dan masih relevankan budaya itu diamalkan dalam zaman moden ini. Jawapannya hanya ada pada kita. Walau bagaimanapun selamilah dari sudut hati seorang tua. Hayatilah luahan hati seorang tua kepada cucunya yang dianggap sebagai generasi yang menjadi penentu kelangsungan sama ada meneruskan budaya kenduri di bandar atau di kampung . Semuanya akan dibongkarkan dalam cerpen Bunga Telur Kenduri Kahwin.   

Rabu, 9 November 2011

Berita Gembira


Alhamdulillah, dalam perjalanan ke Kuala Lumpur (melapor diri) adik saya telah menghubungi saya mengatakan bahawa ada surat dari Kumpulan Utusan. Surat itu menyatakan bahawa saya telah dijemput ke majlis penyampaian hadiah bagi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil (HSKU 2010) di hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 31 Oktober 2011. Dalam surat itu juga meminta saya menghubungi Puan Zurina bagi mengesahkan kehadiran saya. Katanya juga saya telah memenangi salah satu kategori yang dipertandingkan. Pada masa itu saya masih berteka-teki. Karya saya berbentuk cerpen telah disiarkan di beberapa buah majalah. Berikut saya senaraikan cerpen dan media tersebut:

1. Rancanganku RancanganMu - Harmoni, 15 April 2010
2. Namanya Ketum - Harmoni, 1 Jun 2010
3. Epilog Cinta Subsidi - Wanita, Julai 2010
4. Istikharah dalam Cinta - URTV, 15 Oktober 2010
5. Bunga Telur Kenduri Kahwin - Harmoni, 1 November 2010

Daripada sejumlah cerpen tersebut hati saya kuat mengatakan bahawa cerpen Bunga Telur Kenduri Kahwin layak disenaraikan ke peringkat akhir. Namun saya tidak menafikan hak cerpen-cerpen lain.

Setelah saya sampai di Putrajaya pada malam hari, ada mesej masuk dari seorang rakan (Mohd Haniff Mohammad Yusoff) meminta saya membeli Mingguan Malaysia, katanya ada sesuatu yang akan membuatkan saya gembira. Walaupun saya sudah dapat mengagak bahawa berita itu sudah tentu tentang HSKU namun saya sebenarnya masih belum mengetahui cerpen manakah yang layak disenarai pendek ke peringkat akhir. Seperti biasa 19 buah cerpen terbaik yang sesuai ditakrif sebagai cerpen remaja layak dipertandingkan. Saya tahu kebanyakan cerpen saya yang tersiar pada tahun 2010 adalah lebih kepada cerpen remaja. Di samping itu, saya mengakui masih banyak kelemahan yang perlu saya perbaiki. Tambahan pula saya terpaksa bersaing dengan penulis mapan sedangkan saya masih baru dalam dunia penulisan kreatif ini.

Betapa saya terkejut tatkala menatap akhbar keesokkan harinya yang mana dua buah cerpen saya berjaya layak ke peringkat akhir. Berikut adalah cerpen itu:

1. Rancanganku RancanganMu - Harmoni, 15 April 2010
2. Bunga Telur Kenduri Kahwin - Harmoni, 1 November 2010

Ternyata firasat Wadiossofi Jaafar tepat kerana sebelum senarai itu diumumkan beliau ada menelefon saya mengatakan bahawa cerpen Rancanganku RancanganMu mempunyai keistimewaannya tersendiri. Beliau suka cerpen itu. Terima kasih atas sokongan yang diberikan.

Selasa, 8 November 2011

Mula Bertugas


Akhirnya setelah berpenat lelah menimba ilmu di Institut Pendidikan Guru, Kampus Perlis selama setahun saya berjaya ditempatkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Choong Chee, Ulu Yam Lama, Batang Kali Selangor. Sudah dua minggu saya berada di sini. Betapa perjalanan melaporkan diri menuntut kesabaran saya. Sudahlah tarikh melapor diri yang dikeluarkan Jabatan Pelajaran Malaysia agak tergesa-gesa (tiada tempoh persediaan yang mencukupi). Setelah mendapat tahu saya dikehendaki melaporkan diri di SJKC Choong Chee saya menjadi gelabah.

Pertamanya kerana saya tidak tahu di mana tempat saya perlu melapor diri.
Keduanya, saya tiada kenalan yang menetap di Selangor.
Ketiganya, saya perlu bergegas ke Jabatan Pelajaran Selangor di Seksyen 4, Shah Alam untuk mengambil surat penempatan guru.
Keempatnya di mana pula saya hendak tinggal nanti (tempat tidur) dan masalah pengangkutan.

Alhamdulillah segala-galanya berjalan dengan lancar. Saya sangat bersyukur dengan rancangan-Nya walaupun pada mulanya di fikiran ini sarat dengan masalah, tekanan dan hanya Dia yang tahu. Terima kasih juga saya ucapkan kepada individu-individu yang telah bersusah payah membantu saya. Hanya Allah yang mampu membalasnya. Oleh itu, sudah tiba masanya tenaga saya diperlukan di sini untuk mendidik anak bangsa. Saya mengharapkan kerjasama daripada semua pihak.

Isnin, 7 November 2011

Kembali Bernafas


Akhirnya saya kembali bernafas dalam dunia blog ini. Saya mengharapkan ianya akan berterusan. Jika selama ini saya hanya menziarahi blog orang lain, tetapi kini saya memiliki sendiri. Dengan harapan pembukaan blog ini bukan sekadar tempat meluahkan perasaan, berkongsi pengalaman, pendapat, jauh lebih daripada itu iainya mampu mencetuskan minda dan bermanfaat untuk semua. Sebenarnya banyak lagi yang hendak saya kongsikan dengan pengunjung-pengunjung blog ini. Pastikan anda menantinya dengan penuh semangat dan harapan setiap kali anda mengetuk pintu blog ini anda akan dijemput masuk dan dihidangkan dengan juadah, santapan yang mengenyangkan jiwa. Wallahhualam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78