Pengikut

Ahad, 13 November 2011

Rancanganku RancanganMu

Tahun lepas kami ke Pulau Langkawi. Dua tahun lepas kami ke Bali. Boleh dikatakan tiap-tiap tahun tiba musim cuti semester tidak menghampakan. Ada sahaja aktiviti yang akan dilakukan. Ada sahaja tempat menarik yang dilawati. Baik dalam negara mahupun luar negara.
            “Amirul, maafkan abah. Cuti semester kali ini abah tidak dapat bawa Amirul ke Cameron Hingland. Abah ada seminar di Pangkor.”
            E-mel yang masuk sehari lepas itu betul-betul membuatkan diriku baran. Aku lekas padam e-mel yang dikirim abah itu. Aku memandang polos skrin komputer riba. Pada asalnya mahu saja aku menghentak komputer riba itu yang membawa perkhabaran yang kurang menyenangkan. Tetapi aku berjaya mengawal diri. Dan aku biarkan komputer riba itu terhidang begitu sahaja dijamah habuk dan angin. 
Semangatku hilang. Pengumuman abah itu betul-betul merentap segala keindahan yang bakal aku nikmati. Semua perancangan telah kami atur. Kami akan bercuti selama tiga hari dua malam. Aktiviti dan tempat-tempat menarik di Cameron Highland telah diatur. Di saat akhir semuanya hancur berkecai.
Keinginanku menikmati strawberi dari jenis Camarosa yang berasal dari Belanda tidak menjadi kenyataan. Aku mahu melawat ladang teh. Aku mahu melihat ladang kaktus dan bunga-bungaan. Aku mahu memetik sekuntum mawar dan kuhadiahkan kepada abah. Itulah perancangan awal yang tidak menjadi.         
“Sementara abah tidak ada di sini abah akan hantar Amirul ke rumah nenek di Kedah. Amirul jaga diri baik-baik tau.”
            Mudah bagi seorang abah menuturkan kata-kata seperti itu. Baginya tanggungjawabnya telah lepas. Dia tidak perlu lagi memikirkan hal rumah tangga. Hal anak-anak. Apa yang perlu ditumpukan hanya kepada kerja-kerja yang bakal dihadapi.
Jiwa seorang anak ini menjadi tertekan. Andai hanya anak sahaja mengerti hati seorang abah bila masanya pula abah mengerti perasaanku yang kian hancur lumat ini. Walau bagaimanapun aku ‘dipaksa’ memahami tuntutan kerjayanya yang mengkehendaki abah selalu berurusan di luar. 
            “Ayah, mak, tolong jaga anak saya ni. Saya ada seminar di Pangkor. Selesai saja seminar tu saya akan terus ke sini.”          
            Kereta Perdana hitam itu meluncur laju meninggalkan halaman rumah atuk.  Hatiku begitu panas walhal cuaca di kampung tidaklah bergelora. Pertama kali aku menjejakkan kaki ke negeri Jelapang Padi ketika umurku berusia 2 tahun. Dan kali terakhir adalah tahun lepas semasa umat Islam menyambut hari raya Aidiladha. Selepas itu abah jarang membawaku pulang ke kampung. Dan aku juga tidak mahu pulang ke kampung. Suasana kampung yang terlalu sunyi sedikit sebanyak menyeramkan.
            Angin dari sawah padi menghembus gebu. Masuk hingga ke dalam bajuku. Seolah-olah menyambut kedatanganku kembali. Kicau burung yang hinggap di dahan membingitkan suasana. Di sebelah rusuk kiri rumah atuk ayam kampung berkeliaran. Ada yang membawa anak-anaknya mencari makan. Kanak-kanak berderet-deret mengayuh basikal di batas ban.  Lembu kerbau pula leka meragut rumput di tepi sungai yang dirimbuni rumput-rumput hijau.
“Jom Amirul kita naik! Meh nenek tunjukkan bilik!”
Aku tidak banyak bercakap. Sekali ditanya sepatah yang dijawab. Hubunganku dengan nenek dan atuk sebelah abah tidak semesra hubunganku dengan nenek dan atuk sebelah arwah ibuku.
            “Amirul rehat-rehat dulu. Nanti nenek siapkan makan malam.”
            Peluh di muka ku mula merenik. Aku membuka jendela. Dari jauh di tengah sawah kelihatan ada jentera yang bewarna kuning. Bunyinya dari jauh sudah kedengaran.
Aku berlari keluar ingin melihat dari dekat. 
            “Nek Amirul keluar sekejap.”
            “Eh, Amirul nak ke mana tu?”
            Aku menghampiri sawah padi. Hamparan padi yang kuning keemasan membuatkan hatiku terpegun. Maha luasnya sawah padi yang ditanam di Kedah. Aku pegang tangkai yang menguning dengan butir-butir padi. Baru pertama kali aku dapat memegang buah padi dengan tanganku sendiri. Sebelum ini aku tidak berpeluang. Hanya dapat melihat dalam gambar sahaja. 
Mesin padi semakin berleluasa di tengah sawah.
            “Amirul kamu nak buat apa tu?” tanya atuk.
            “Amirul nak naik mesin tu.”
            “Nak buat apa naik. Miang! Malam nanti tergaru sana tergaru sini.”
            “Alah Amirul teringin sangat nak naik.” Tanpa kusedari rengekanku itu tidak ubah seperti kanak-kanak yang berusia awal belasan tahun.
            Atuk mengangkat tangan kepada pemandu mesin padi tersebut. Lalu mesin padi itupun berhenti. Aku dan atuk memanjat tangga kecil mesin padi lalu melangkah naik ke tempat duduk di sisi hadapan. 
“Wah, bestnya atuk!”
            “Siapa ni Tok Wan?”
“Oh, cucu! Anak Deris.”
            “Deris yang duduk Kuala lumpur tu ke tok?”
            “A’ah. Siapa lagi anak yang aku ada. Dia ada kerja sikit. Dia tinggalkan budak ni dekat aku. Lagipun sekarang ni cuti semester.”
            Walaupun sekejap menaiki mesin padi keseronokannya amat terasa. Pada malam itu seperti yang diduga badanku gatal-gatal. Kerana miang jerami. Aku tergaru sana tergaru sini. Atuk dan nenek senyum dari jauh melihat keletahku.
            Pagi itu nenek awal-awal lagi sudah bangun menyediakan sarapan. Kami bertiga bersarapan bersama-sama. Nenek sediakan pulut kukus bersama nyiur kukur yang berlauk ikan haruan kering yang telah digoreng ranggup.
            “Makanlah Amirul! Bukan senang nak dapat makan macam ni. Kat Kuala Lumpur tu bukannya ada.”
            Bertapa peliknya aku melihat santapan orang kampung. Kadang-kadang tu pucuk-pucuk kayu dikutipnya makan. Aku mencubanya. Lain daripada yang lain. Sedap memang sedap. Lebih sedap daripada makanan di Kuala Lumpur. Tetapi aku perlu mengambil masa sedikit untuk menyesuaikan diri. 
Usai saja sarapan atuk bersiap-siap menyarung baju kebiasaannya  ke sawah.
            “Atuk nak ke mana?” aku menyoal.
            “Atuk nak pergi tangkap ikan?”
            “Kenapa tak beli saja?” pantas aku menyoal kembali.
            Atuk dan nenek menguntum senyum.. Senyuman itu seolah-olah memerliku. Seperti juga ada benda yang tidak kena.
“Buat apa nak beli. Kan banyak dekat sawah tu. Tangkap saja banyak mana mahu.”
            “Amirul nak ikut?”
            “Tak payahlah. Kotor! Duduk saja dengan nenek.”
            “Alah atuknya... biarlah cucu nak ikut. Biar dia tahu macam mana abah dia dulu  tangkap ikan. Abah kamu tu memang suka main kat selut tu. Suka sangat berkubang. Dah macam kerbau nenek tengok,” seloroh nenek.
            Abah tidak pernah bercerita tentang kisah-kisah semasa dia kecil dahulu. Dia lebih suka bercerita tentang bagaimana dia mendaki tangga kejayaan sebelum dia berjaya hingga ke hari ini. Semuanya berkat usaha gigihnya sehingga dia berjaya. Dia tidak pernah berputus asa. Prinsipnya mahu seribu daya, tak mahu seribu dalih.
            “Kalau macam tu, pergi salin baju dulu. Atuk tunggu kat bawah.”
            Atuk membawa sebiji serkap buluh yang dibuatnya sendiri. Aku ditugaskan membawa raga buluh yang juga dibuatnya sendiri atuk. Raga itu digunakan untuk mengisi ikan nanti. Atuk seperti biasa turun menyerkap di dalam sawah. Aku tunggu di atas batas ban.
            “Kata nak tangkap ikan. Meh la turun. Buat apa tunggu dekat atas.”
            “Amirul takutlah atuk. Amirul takut lintah. Mesti pacat pun banyak kan. Kawan Amirul pernah cerita dekat sawah ni banyak pacat dengan lintah. Geli lah atuk.”
            “Sekarang ni mana ada lintah. Pacat pun dah takut dengan manusia.”
            Kami ketawa terkekeh-kekeh. Aku mula menjulur kaki ke dalam selut. Lahan-perlahan menuju ke arah atuk. Sungguh mengelikan hati apabila melihat pergerakkan atuk di dalam sawah yang terkedek-kedek berlari mengejar ikan.
“Cepat tuk cepat. Tangkap baik-baik nanti terlepas.”   
Atuk menggagau di dalam serkapnya. Air lumpur memercik ke mukanya. Penglihatan atuk menjadi kabur. “Atuk tak nampak. Cuba Amirul gagau pulak.”
“Atuk ada ikan besarlah. Ikan besar! Yahooo!” Aku menjerit sekuat hati.
“Pegang kepalanya kuat-kuat. Nanti terlepas.”
            Matahari mula tegak. Panasnya menyucuk-cucuk kulit kepala.
            “Dah banyak ni. Jomlah kita balik! Nanti boleh suruh nenek buat bantut.”
            Kami berjalan pulang dengan baju bersalut lumpur. Meskipun baunya tidak menyenangkan. Bagi penduduk kampung bau lumpur itu adalah lumrah.
            “Banyak dapat ikan?”
“Banyak nek. Amirul dapat ikan haruan, keli, puyu. Ikan sepat pun ada. Nanti nek buat bantut ya,” bersungguh-sungguh aku melaporkan.
            “Amboi sekarang ni dah pandai makan ikan darat ya.”
            Sekali lagi suasana menjadi bingit. Gelak ketawa bersahut-sahut. Aku tidak pasti apa yang telah berlaku kepada diriku. Perasaan benci dan geram itu mudah bertukar gembira. Hari demi hari, jam demi jam, minit demi minit, saat demi saat aku merasai kemeriahan hidup di kampung. Percutian yang tidak dirancang ini sememangnya lain daripada yang lain.
Petang itu aku bersama-sama atuk ke sawah yang lapang. Angin yang kuat betul-betul menyeronokkan. Ramai orang di sana yang sedang menaikkan wau.  
            “Amirul pernah main wau?”
            “Tak.”
            “Amirul tahu ni wau apa?”
            “Tak.”
            “Ni namanya wau bulan. Tengok bentuknya macam bulan sebab tu orang panggil wau bulan. Kalau wau kangkang kaki bawahnya kangkang sedikit.” terang atuk.
            “Oooo selama ni Amirul tak tahu pun. Amirul hanya tahu permainan yang dalam komputer tu saja atuk.”
            “Sekarang Amirul pegang tali ni. Biar atuk lambung wau ni. Nanti bila atuk dah lambung Amirul tarik tali ni jauh-jauh hingga dia terbang tinggi.”
            Pengalaman bermain wau tidak dapat kulupakan. Atuk banyak mengajarku mengenali warisan dan budaya orang Melayu. Dari menangkap ikan, makanan kampung hinggalah permainan tradisional. Kata atuk kalau kita yang tidak menjaganya siapa lagi. Jangan biarkan ia ditelan zaman. Ternyata percutian di kampung merupakan suatu percutian yang tidak terbanding di tempat-tempat lain. Selepas ini aku tidak lagi merasa malu untuk menceritakan pengalamanku bercuti di Kedah, negeri Jelapang Padi kepada kawan-kawanku. Apa yang pasti rancanganMu lebih hebat daripada rancanganku.

* Cerpen ini telah disenarai pendek ke peringkat akhir Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2010
* Kepada sesiapa yang sudi membacanya, sudilah meninggalkan komentarnya agar dapat saya memperbaiki mutu penulisan saya.

3 ulasan:

  1. Sungguh cerpen ni buat saya rasa macam saya pula yang ada di kampung. Saya pun tak pernah merasai pengalaman-pengalaman seperti yang cikgu ceritakan. Rumah saya kampung, tetapi tiada suasana kampung lagi. :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Wan Hanif yang sudi membaca cerpen ni. Inilah cerpen pertama yangs aya hantar ke Harmoni pakai emel. Sebelum ni pakai pos. Tapi tak satu pun yang disiarkan. Barangkali ada hikmahnya juga.

      Sebaiknya, hendak menulis cerpen tulislah yang dekat dengan diri kita. Barulah tidak nampak seperti cerpen itu direka-reka. Rakaman seperti ini barangkali boleh dijadikan rujukan kepada generasi akan datang.

      Selamat menulis!

      Padam
    2. Sama-sama. Memang selalunya yang dekat dengan diri lebih mudah diekspresikan. Nasihat penting ni. Akan saya semat dalam ingatan. Lagipun misi saya belum selesai. hehe.

      Padam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78