Assalamualaikum.
Alhamdulillah, saya masih berpeluang untuk mencatat sesuatu pada blog ini. Sudah beberapa kali saya hendak mencatatkan tentang UPSR yang sudah belalu, tetapi asyik tertangguh. Akhirnya, pada malam ini saya nekad untuk menulis juga.
Reda seorang guru. Besar tajuk ini untuk dihuraikan. Namun bagi seorang guru, saya reda dengan kebarangkalian yang akan berlaku. Sebelum UPSR berlangsung, kami guru-guru sudah bertindak dan merancang beberapa program yang difikirkan boleh membantu murid-murid.
Antaranya, kelas tambahan. Kelas tambahan dijalankan pada hari Sabtu dari pukul 8.00 pagi hingga 11.30 pagi. Selain itu, aktiviti kokurikulum untuk murid Tahun 6 ditangguhkan kerana pada waktu itu, kelas tambahan dijalankan pada pukul 3.15 petang hingga 5.30 petang.
Tidak cukup dengan itu, satu inisiatif lain diambil untuk membantu murid-murid agar persediaan mereka cukup dengan mengadakan kelas malam. Kelas malam dijalankan pada hari Isnin dan Selasa pada pukul 8.00 malam hingga 9.30 malam. Diikuti dengan hari Jumaat bermula pukul 3.00 petang hingga 10.00 malam.
Harapan kami sebagai guru agar apa-apa yang dijalankan ini dapat membantu murid dalam menghadapi UPSR. Akhirnya, segalanya telahpun berlalu. Kita doakan sahaja semuanya baik dan apabila keputusan diumumkan nanti ada sesuatu hasil yang boleh dibanggakan.
Inilah pengalaman pertama saya membawa murid Tahun 6 daripada Tahun 4 lagi. Entah mengapa, saya berasa amat rapat dengan mereka. Apabila menyebut murid Tahun 6 ini, sedikit sebanyak saya dapat membaca sikap dan tingkah laku mereka. Barangkali keakraban dan jalinan selama 3 tahun yang terbina itu membuatkan kami rapat.
Sesungguhnya, harapan saya bukan sekadar sebagai seorang guru, bahkan boleh saya katakan, mereka ini seperti anak-anak saya sendiri. Saya doakan kamu semua beroleh kecemerlangan. Dan pesanan saya, jika keputusan yang kamu capai ini tidak seperti apa yang kamu hajati redalah. Tidak semestinya kejayaan itu hanya bergantung pada keputusan UPSR. Jauh lagi kembara dan pendakian yang harus ditempuhi. Cekal dan tabah menghadapinya.
Setelah berjaya nanti, ingatlah seorang guru yang pernah mendidik dan membimbing kamu. Kejayaan bagi seorang guru bukanlah pada keputusan yang dicatat semata-mata, bahkan ingatan dan doa daripada seorang anak murid.
assalam helmi.. lama kak aiza tak singgah sini.. selamat maju jaya kepada semua murid-murid yang menduduki peperiksaan upsr pada tahun ini..
BalasPadamRindu pula zaman UPSR. Zaman kanak-kanak, tapi dah berhadapan dengan satu peperiksaan yang sangat penting. Dulu, saya tak pernah sangka kehidupan ini terlalu panjang, sehinggalah saya menghadapinya sendiri dan menjadi siapa saya pada hari ini.
BalasPadam