Pengikut

Ahad, 1 April 2012

Cerpen Untuk Siswa: Setitis Budi Semarak Kasih

kredit gambar dari portal dewan siswa

Rumah itu ada dua bilik. Ruang tamu yang kecil serta bilik air. Hazwani dan rakannya menjadi penyewa sementara di rumah itu. Sambil-sambil itu, mereka bekerja sebagai pelayan di sebuah kedai makan. Katanya, untuk mencari pengalaman dan duit poket sementara menunggu keputusan peperiksaan akhir diumumkan.

Di ruang tamu yang kecil itulah Hazwani mundar-mandir. Dia sendiri tidak pasti tentang apa-apa yang ada dalam fikirannya. Fikirannya menjadi sesempit ruang itu. Yang pasti, perkara itu sangat merunsingkan mindanya. Tidak tahan berdiri Hazwani melabuhkan punggung di kerusi kayu yang ditempatkan di tepi dinding berteman sebuah meja kecil. Dia menongkat dagu di atas meja. Dia membiarkan perasaannya menerawang jauh ke kampung halaman.

“Wani … ayah akan berusaha untuk mendapatkan wang supaya kaudapat sampai ke universiti juga.”
“Perbelanjaannya tinggi ayah.”
“Dah katanya peringkat tertinggi, semestinya belanjanya pun tinggi,” Seloroh Pak Leman. Dia tidak berasakan bebanan yang besar untuk menghantar Hazwani ke universiti. Walhal dia juga tahu belanja untuk memasuki universiti agak tinggi. Apabila ditolak, ditambah, didarab, pendapatannya masih belum mampu menyara keluarga, inikan pula hendak menghantar Hazwani ke universiti. Pak Leman sedar itu semua.

Hazwani masih menanti sisa senyuman ayahnya itu tamat sebelum dia menyambung bicara.
“Ayah perlukan wang untuk perbelanjaan rumah. Adik-adik ramai lagi yang bersekolah.” Dua hujah itu diharap mampu mematikan hasrat ayahnya untuk menghantarnya ke universiti. Benar, masuk universiti merupakan cita-citanya, tetapi bukan sekarang. Dia tidak boleh mementingkan diri sendiri.
‘Bodohlah aku kata orang sekiranya menolak tawaran itu; menolak tuah. Peluang hanya datang sekali,’ bisiknya.
“Tangan, kaki ayah ini masih kuat, sihat. Syukur kepada Allah SWT kerana hingga hari ini Dia meminjamkan kudrat ini kepada ayah,” sambung Pak Leman seraya menadah kedua-dua belah tangannya seperti orang sedang berdoa. Matanya turut memandang atap nipah yang bocor sana sini. Tatkala hujan lebat, dapatlah mereka dilihat “pesta” menadah besin.
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

Alhamdulillah dan terima kasih kepada editor Dewan Siswa kerana memberi peluang kepada cerpen ini dimuatkan dalam ruangan Cerpen Untuk Siswa. Selamat Membaca.

2 ulasan:

  1. Tahniah Helmi! Saudara sangat produktif dalam menghasikan karya. Kagum dengan semangat dan ketekunan saudara. (^_^)

    BalasPadam
  2. Terima kasih Ridhwan...alhamdulillah selagi mampu saya akan terus berkongsi.

    Namun setakat ini karya-karya yang tersiar adalah karya tahun lepas.

    Saudara juga produktif dalam penghasilan novel. Tahniah!

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78