Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.
Pagi ini saya ambil kesempatan untuk mengemas dan menyusun rak
majalah pula. Sepanjang saya menulis secara eceran, inilah sebahagian
majalah yang saya simpan.
1] Pada awalnya saya beli majalah untuk bacaan dan membuat rujukan. Baca dan analisis.
2] Dengan membeli majalah tersebut, saya dapat menyemak alamat e-mel editor yang mengendalikan ruangan kreatif.
3] Saya pernah melanggan majalah Dewan Sastera, Pelita Bahasa dan Tunas Cipta pada tahun 2014, 2015 dan 2016.
4] Mulai tahun 2017, saya membuat keputusan untuk membeli sendiri Dewan Sastera dan Tunas Cipta di kedai.
5] Majalah terbitan DBP yang lain saya akan beli mengikut beberapa pertimbangan tertentu.
6] Pada awal dahulu, malu juga nak belek majalah perempuan. Orang pandang lain macam saja. Tapi kini, saya buat "bodoh" saja.
7] Ada sebahagian majalah ini pernah menyiarkan puisi, cerpen dan artikel saja. Oleh itu, saya beli dan simpan.
8] Saya mula menghantar karya ke majalah menggunakan perkhidmatan pos.
9] Pertama kali saya mendapat panggilan telefon daripada editor yang
mengendalikan ruangan cerpen majalah Jelita meminta saya menge-melkan
cerpen - Hantaran yang saya hantar melalui pos. Rasa seronok bukan main
lagi.
10] Ada majalah yang saya hantar karya melalui pos tidak disiarkan. Tetapi apabila saya hantar melalui e-mel, disiarkan.
11] Ada majalah URTV yang pernah menyiarkan puisi dan cerpen saya, tak
sempat nak beli sebab tak tahu yang karya tersebut disiarkan.
12] Dahulu pernah juga, dalam sebulan, empat buah cerpen saya disiarkan dalam majalah.
13] Ada karya saya yang pernah disiarkan dalam majalah telah saya
bukukan dalam Tetamu Istimewa, Madu di Tangan dan Bila Ayah Berkaca Mata
Hitam.
14] Dua buah cerpen saya yang disiarkan dalam majalah
Harmoni pernah menang HSKU pada tahun 2010 dan 2011. Kini majalah
Harmoni telah menggugurkan ruangan kreatif.
15] Ada juga majalah yang pernah menyiarkan karya saya telah menutup operasi penerbitannya.
Kalau nak cerita, tak habis. Cukuplah 15 fakta yang saya senaraikan ini
untuk dikongsikan dengan rakan-rakan. Saya yakin, setiap orang penulis
ada pengalaman masing-masing.
Saya suka membaca tulisan berkaitan pengalaman seseorang penulis! Daripada situ saya dapat belajar sesuatu.
Teruskan menulis!
Mohd Helmi Ahmad
Penulis Karya Eceran
nice sharing
BalasPadam