Pengikut

Rabu, 26 Ogos 2015

Penulis Karya Sastera Kanak-kanak Masih Kurang

Assalamualaikum.


Jika diambil kira pencalonan karya; buku sastera kanak-kanak dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Malaysia masih ketandusan penulis karya sastera kanak-kanak. Ketandusan hasil karya untuk genre cerpen, puisi dan drama terbukti apabila dalam kategori ini hanya mendapat beberapa sahaja pencalonan berbanding kategori dewasa. 

Oleh itu, untuk memupuk budaya membaca dan menyuburkan kecintaan kanak-kanak terhadap sastera agak terbantut berikutan bahan sokongan iaitu bacaan untuk genre ini tidak menyokong. Jumlah penerbitan untuk setiap tahun tidaklah membanggakan jika hendak diukur dari segi jumlah kanak-kanak yang ada di Malaysia untuk menampung keupayaan bacaan mereka. 



Untuk genre novel tidaklah membimbangkan penerbitannya. Hal ini demikian kerana genre ini ada sahaja penerbitannya untuk setiap bulan. Tetapi untuk genre kumpulan cerpen, puisi dan drama satu usaha yang jitu perlu disegerakan agar bahan bacaan untuk genre ini dapat diterbitkan. 

Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan adalah dengan menganjurkan sayembara untuk kategori kumpulan cerpen, puisi dan drama kanak-kanak agar penulis tertarik untuk menghasilkan karya kanak-kanak. 

Selain itu, bengkel-bengkel penulisan karya kanak-kanak juga boleh dianjurkan bagi memberi panduan dan dorongan kepada penulis untuk menulis dalam genre ini. 

Seharusnya, penulis karya sastera kanak-kanak tidak berasa rendah diri untuk berkarya, sebaliknya berbangga kerana bukan mudah untuk menulis karya kanak-kanak yang baik. Paling penting lagi, menulis karya sastera kanak-kanak adalah satu tanggungjawab yang harus dipikul oleh penulis demi membentuk kecintaan kanak-kanak terhadap ilmu, bahasa dan sastera negara.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78