Pengikut

Sabtu, 15 Ogos 2015

Cerpen: Usain Bolt dari Kampung Kami

Assalamualaikum.

Sebagai penulis sudah pastilah akan berasa gelisah sekiranya tidak dapat menulis. Kata lainnya, tidak ada karya yang terhasil dan tersiar dalam tempoh tertentu. Namun begitu, rutin membaca tidak dapat tidak ditinggalkan. Walaupun tidak menulis, proses membaca akan tetap berlaku. 



Alhamdulillah, setelah lama saya menyepi akhirnya cerpen Usain Bolt dari Kampung Kami hadir sebagai suntikan semangat kepada saya untuk kembali menulis cerpen. Cerpen ini disiarkan dalam majalah Harmoni edisi 15-30 Ogos 2015

“Hanya kejayaan dan kegemilangan yang dapat mengubah pandangan orang ramai terhadap kau. Sebelum ini, mereka pandang kau sebelah mata sahaja kerana kau itu gelap, bukan berkulit sawo matang seperti orang Melayu yang lain. Itu belum lagi kekurangan lain yang tidak perlu aku sebutkan. Dunia telah membuktikan bahawa Usain Bolt yang berkulit gelap itu dipandang tinggi setelah dia berjaya menakluk dunia. Kejayaannya itu telah menutup kekurangan fizikalnya itu.”

Cerpen ini bukanlah cerpen terbaharu yang saya hasilkan. Cerpen ini dihasilkan pada akhir tahun lepas. Kemudian, saya hantar ke satu media untuk penilaian editor. Setelah menunggu lebih daripada enam bulan, saya mengambil keputusan untuk menghantarnya kepada editor majalah Harmoni. Alhamdulillah, nampaknya editor majalah Harmoni menerimanya. 

Saya dan majalah Harmoni tidak asing lagi. Sejumlah cerpen saya pernah disiarkan dalam majalah ini sebelum ini. Ada antaranya yang pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Exxonmobil (HSKU). 

Saya harap kepada bakal penulis dan penulis baharu, janganlah mudah berputus asa jika karya yang dihantar kepada editor ditolak. Kadangkala proses penolakan ini dapat memberi peluang kepada penulis untuk menilai kembali karyanya itu. 

Tidak mustahil juga, karya yang ditolak itu bukan kerana tidak bagus tetapi tidak sesuai disiarkan dalam media tersebut kerana muatan kandungan media tersebut berbeza dengan karya yang dihantar. Oleh itu, untuk mengurangkan peratusan karya ditolak, analisis dahulu media tersebut sebelum menghantar karya. Selamat mencuba. 



1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78