Pengikut

Khamis, 30 Mei 2013

Menuju ke Puncak Rindu

Alhamdulillah, saya telah selamat sampai ke puncak rindu, iaitu di mana tempat kampung halaman yang menghuni kedua ibu bapa saya dan keluarga yang tercinta. Bertolak pukul 6.00 petang dan tiba di stesen Alor Setar kira-kira pukul 1.00 pagi. Disambut oleh ayahanda saya. Terima kasih kepadanya yang tidak jemu menjemput saya pulang ke rumah.

Badan tidak berapa sihat. Jadi, aktiviti perlu dihadkan. Kerja-kerja penulisan yang tertangguh difikirkan hendak dilunaskan, sebaliknya perlu memberi ruang kepada diri untuk berehat dahulu. Rasanya sudah lama tidak demam. Barangkali inilah nikmat setelah berhempas pulas saya bekerja. Masa 'sakit' memberi peluang untuk saya merehatkan diri.

Setelah memasuki bilik yang menempatkan tiga buah rak buku saya, alangkah kecewanya saya apabila rak itu diselaputi habuk. Nampaknya, selama saya meninggalkan bilik itu, tiada sesiapa yang menjengah. Oh, adakah selama ini saya hanya syok sendiri. Bagaimanakah hendak saya membudayakan amalan membaca dalam keluarga saya?

Anak buah saya pernah menunjukkan minat untuk membaca. Abang saya iaitu ayahnya pernah menyuarakan pendapat supaya anaknya meminjam sahaja buku daripada koleksi saya. Dan, saya tidak pula keberatan. Bukankah itu lebih baik daripada terbiar sahaja di rak buku. Namun begitu, setelah meminjam haruslah pandai memulangkannya dan menjaga seperti mana yang saya jaga. Hingga hari ini, impian itu sekadar tinggal impian. Sebuah buku pun tidak dipinjamnya. Mungkin anak buah saya itu sibuk untuk mengulang kaji dan menumpukan perhatian untuk menghadapi UPSR. 

Sekian.



5 ulasan:

  1. Saya teringat dahulu bagaimana minat membaca mula tersemai dalam diri ini. Ini semua gara-gara setiap kali balik kampung, saya lihat di ruang tamu ada satu rak buku penuh dengan majalah Mastika. Kisah seram memenuhi hari saya sepanjang di kampung kala abang-abang sibuk bermain di parit.

    Selamat bercuti tuan!

    BalasPadam
  2. Saudara Wong, terima kasih atas perkongsian pengalaman.

    Ya, masing-masing ada pengalaman tersendiri dan tujuannya membaca.

    BalasPadam
  3. Salam ziarah,

    Tetamu Istimewa orang Kedah rupanya. :)

    Minat membaca perlu dipupuk. Saya juga menghadapi masalah yang hampir sama. Adik-adik punya minat tersendiri, jadi buku-buku yang menjadi koleksi diri sejak dulu terbiar begitu sahaja di rumah.

    Tetapi untungnya kini sejak berada di UPM dan berkesempatan ke Pesta Buku (PBAKL), ada ruang dan peluang untuk mendapatkan buku-buku terbaru dan terkini. Dapatlah dihadiahkan kepada adik-adik. Nampak juga impak positifnya.

    Pendek cerita, adik-adik ini mungkin mahukan buku baharu (mereka sebagai pembaca pertama) dan bukan buku yang diwarisi daripada saya dahulu. Jelas kelihatan depan mata, bila dihadiahkan mereka sudi juga menjamah dan membaca buku tersebut.

    Selera tinggi anak-anak sekarang :)

    *sekadar perkongsian.

    BalasPadam
  4. Ya, saya anak jadi Jelapang Padi.

    Terima kasih saudari Nur Hazlina atas perkongsian yang menarik.

    Tidak dinafikan juga, masing-masing ada minatnya sendiri. Kecenderungan mereka untuk memilih bacaan juga barangkali tidak seiring dengan koleksi bacaan saya. Kebanyakan koleksi bacaan saya sastera. Jadi, sukar untuk mereka telaah jika tiada minat dan kecintaan yang mendalam.

    BalasPadam
  5. Terus bersemangat dalam bidang yang didalaminya yaa, saya ingin belajar sedikit banyak bahasa dan sastra melayu dengan mengikuti tulisan-tulisan di sini :-)

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78