Pengikut

Khamis, 29 Mac 2012

Menulis Perlukan Perancangan dan Strategi


Percayakah anda kerja menulis juga perlukan perancangan dan strategi? Bukan sahaja penulis novel ataupun buku malahan penulis eceran yang juga menulis cerpen mahupun puisi perlukan perancangan dan strategi yang baik.

Pertamanya:-
1) Pastikan anda tahu karya yang anda hasilkan itu sesuai untuk dihantar dan dipertimbangkan di majalah atau surat khabar mana.
Contohnya: cerpen yang berkisar kekeluargaan haruslah memilih majalah yang sesuai seperti Jelita, Harmoni, Seri Dewi & Keluarga dan lain-lain.

2) Pastikan anda mengambil peranan selaku editor terlebih dahulu yang mana anda bertindak mengedit, menyunting karya anda sendiri. Penyuntingan barangkali melibatkan ejaan, struktur ayat, kosa kata yang sesuai dan lain-lain yang difikirkan perlu. Kurangkan melakukan kesilapan yang berulang. Sebolehnya menggunakan kamus untuk menyemak ejaan yang tidak pasti. Bahasa yang digunakan hendaklah sesuai dengan media yang dihantar. Jika untuk bacaan ibu-ibu janganlah guna bahasa yang tinggi dan tersirat maksudnya. Sebaliknya karya begitu lebih sesuai untuk bacaan majalah Dewan Sastera.

3) Pastikan anda tahu tarikh-tarikh penting setiap bulan.
Contohnya: karya yang bertema; iaitu seperti:-
Bulan Januari - Tahun Baru Cina
Bulan Mei - Hari Ibu, Hari Guru
Bulan Jun - Hari Bapa bulan Jun
Bulan Ogos - Hari Raya Aidilfitri, Kemerdekaan
Bulan November - Hari Deepavali
Bulan Disember - Hari Krismas
dan sebagainya mengikut perubahan.

Karya-karya bertema ini haruslah dihantar lebih awal dari tarikh penyiaran barangkali memerlukan dua atau tiga bulan awal.

4) Seperti yang saya sarankan dapatkan majalah atau surat khabar itu terlebih dahulu untuk mengetahui berapa halamankah yang diperuntukkan untuk ruangan cerpen atau berapa buah untuk puisi untuk setiap kali siaran. Bagi cerpen anda apasti dapat mengagak dari jumlah halaman yang diperuntukkan dan teliti jumlah perkataan keseluruhan cerpen tersebut. Barangkali anda sendiri perlu mengira jumlah tersebut untuk mengetahuinya. Jadi selepas itu cerpen yang dihantar tidaklah terlalu panjang ataupun pendek.

5) Pastikan anda mengikuti majalah atau surat khabar itu setiap bulan atau minggu. Hal ini perlu bukan sahaja untuk menyemak karya yang tersiar tetapi sebolehnya anda harus tahu bilakah media tersebut dikeluarkan. Maksudnya ada majalah yang keluar lebih awal dari tarikh sebenar seperti majalah WANITA. Selalunya WANITA akan keluar 10 ke 12 hari awal dari tarikh sebenar.

Selasa, 27 Mac 2012

Pertandingan Bercerita Peringkat Hulu Selangor


Pertandingan Bercerita Bahasa Cina Peringkat Daerah Hulu Selangor telahpun berlangsung dengan jayanya pagi tadi. SJKC CHOONG CHEE selaku tuan rumah sedaya upaya melakukan yang terbaik dengan persiapan tempat, kemudahan, makanan dan beberapa hal-hal yang lain. Tahniah kepada pasukan yang menang!

Setiap pasukan diwakili empat orang peserta. Mereka ini bekerjasama untuk menyampaikan cerita dengan gaya persembahan yang cukup menghiburkan. Saya rasa saya tidak seberani mereka ini pada umur sebaya mereka. Keletah mereka di atas pentas bukan sahaja memukaukan malah mengundang tepukan gemuruh dari pihak penonton.

Walaupun sekolah saya tidak mendapat sebarang tempat dalam pertandingan ini namun saya percaya mereka ini sudah memberikan yang terbaik. Mana tidaknya setiap kali rehat masa mereka 'dirompak' oleh guru (jurulatih) untuk mendengar mereka bercerita. Selepas itu akan diperbetulkan mana yang perlu diperbaiki. Saya rasa mereka ini boleh pergi lebih jauh lagi di masa akan datang kerana mereka ini baru darjah dua dan tiga.

Selepas ini menunggu giliran untuk pertandingan bercerita dan syarahan bahasa Melayu peringkat sekolah pula untuk dibawa ke peringkat daerah. Saya ditugaskan untuk memantau bahagian bercerita. Harap-harap berjalan dengan lancar. Dalam masa saya mengajar saya juga belajar. Situasi menang-menang ini adalah cara terbaik untuk saya meraih pengalaman.

Isnin, 26 Mac 2012

Karya Berganda di Akhbar



Alhamdulillah, ini merupakan puisi (gurindam) yang keempat tersiar di Berita Minggu pada tahun 2012. Terima kasih editor Berita Minggu kerana memberi peluang dan menerima gurindam ini. 



Sebenarnya ini merupakan puisi saya yang kedua tersiar di Mingguan Malaysia. Betapa susahnya hendak memecah tembok ruangan sastera Mingguan Malaysia. Syukur sebenarnya berkat usaha yang tidak pernah kenal putus asa akhirnya puisi saya dapat juga menempatkan diri. Terima kasih editor Mingguan Malaysia mempercayai puisi ini.

Kedua-dua buah puisi ini tersiar pada 25 MAC 2012. Kedua-dua buah puisi ini juga telah lama saya hasilkan. Sekitar tahun 2009.

Kepada kawan-kawan yang menghantar mesej tidak ketinggalan juga yang meninggalkan komen di blog saya ucapkan terima kasih. Sokongan anda semua amat saya hargai dan perlukan untuk terus menulis.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78