Pengikut

Memaparkan catatan dengan label Belasungkawa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Belasungkawa. Papar semua catatan

Jumaat, 15 Mei 2015

Belasungkawa Rahimidin Zahari Penyair Sejati

Assalamualaikum.

Sebulan lebih saya "berehat" tanpa menerbitkan sebarang entri. Namun, sesekali saya menjengah juga blog ini. Alhamdulillah, biarpun tiada sebarang entri kala tempoh hibernasi itu, paparan pageviews Tetamu Istimewa masih mencatatkan kedatangan pembaca yang barangkali membuat rujukan bagi entri-entri tertentu. 

Hari ini saya terpanggil untuk berkongsi dan mencatat sesuatu dalam blog ini. Biarpun cerita dan kisahnya mengundang air mata dan sebak, namun hakikatnya hanya satu, kebenaran - mati itu pasti.


Sesungguhnya saya tidak mengenali penulis yang bernama Rahimidin Zahari secara dekat. Dengan kata lain, saya tidak pernah berjumpa dan bercakap dengan beliau. Saya hanya mengenali beliau melalui lewat puisi-puisi yang diterbitkan dalam media eceran dan buku.

Saya tidak "berkawan" dengan Rahimidin, tetapi saya berkawan dengan sepupunya yang juga merupakan rakan guru di sekolah saya. Melalui sepupunya setidak-tidaknya saya dikenalkan dengan sosok penulis yang hebat ini.

Katanya, Rahimidin Zahari menanam minat dalam bidang penulisan sejak daripada kecil lagi. Rahimidin suka duduk di sebuah pondok di tengah sawah. Mungkin ini dikatakan proses perenungan dan pencarian ilham. Kemudian, selepas beliau pulang ke rumah akan terciptalah karya.

Seingat saya pula, beliau pernah membalas komen saya pada satu status tentang pengumpulan karya Allahyarham Azizi Hj Abdullah. Ketika itu saya bertanya, kenapa tidak diterbitkan buku yang memperkatakan Azizi Hj Abdullah seperti yang pernah diselenggarakan dan diterbitkan oleh ITBM tentang Shahnon Ahmad dan A. Samad Said. Katanya, beliau pernah mengusahakan tetapi ketika itu hanya beberapa tulisan tentang Azizi yang diterimanya. Barangkali, usaha itu tertangguh begitu sahaja. Selepas ini saya berharap akan ada pula usaha penerbit, penulis dan rakan-rakan yang mengenalinya mengusahakan sebuah buku memperkatakan tentang sosok penulis bernama Rahimidin Zahari.

Saya sangat terkesan dengan sosok penulis yang mendarah daging dengan kecintaannya terhadap sastera negara.

Memetik Prakata dalam kumpulan puisi Sehelai Daun Kenangan, ITBM-2015, "Setelah 30 tahun, saya terus menulis. Saya tidak peduli sangat, sama ada saya diterima sebagai penyair atau tidak. Saya masih menyimpan beratus-ratus puisi yang masih belum disiarkan atau diterbitkan di mana-mana media penerbitan. Saya simpan dan simpan. Ada yang saya hantar dan ada yang saya terus menyimpannya. Pada saya, seorang penulis itu setiap hari harus menulis. Tanpa menghasilkan karya dan menerbitkan buku, apakah maknanya seorang penulis?"

Oleh itu adakah karya-karya yang masih tersimpan itu akan terus tersimpan, ataupun ada penerbit yang tampil untuk menerbitkan setidak-tidaknya sejumlah karya itu dalam bentuk buku yang bakal menjadi khazanah persuratan negara?



Sepanjang saya mengenali dan berada dalam dunia penulisan sempat saya menelaah beberapa naskhah hebat karnyanya. Antaranya, Sekepal Tanah, Bayang Beringin, Pewaris, Laut Tujuh Gelombang Buih dan Sehelai Daun Kenangan.

Rahimidin Zahari merupakan penulis puisi Anak Laut yang pernah menjadi teks Komponen Sastera (KOMSAS). Sekarang ini, cerpen Air Mata Dalang turut terpilih menjadi teks pembelajaran pelajar sekolah menengah.

Saya akhiri tulisan ringkas ini dengan sebuah puisi yang dipetik dalam Sehelai Daun Kenangan:

Ketika Bibirku 
Kehilangan Kata

musibah apakah yang Engkau kirimkan, sehingga
hamba-Mu yang hina dan penuh dosa ini 
kehilangan kata. hamba-Mu ini amat gementar 
dan takut hingga tak sekeping foto pun dirakamnya 
sehinggalah badai itu berakhir ke laut.

kembali menatapi sisa-sisa lumpur dan kehidupan
yang berserpihan - bahawa hidup ini hanya
kesementaraan dan yang abadi hanya Engkau

kami tunduk berserah.

Wallahuaklam
Al-Fatihah.

Khamis, 1 Januari 2015

Belasungkawa untuk Sasterawan Negara Abdullah Hussain

Assalamualaikum.

Belasungkawa untuk SN Abdullah Hussain.


Kita mempunyai 12 orang Sasterawan Negara.

1. 1981 : Kamaluddin Muhamad atau Keris Mas
2. 1982 : Prof. Emeritus Dato' Dr. Shahnon Ahmad
3. 1983 : Datuk Dr. Usman Awang
4. 1986 : Datuk Dr. A. Samad Said
5. 1988 : Muhammad Dahlan bin Abdul Biang atau Arena Wati
6. 1991 : Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh
7. 1993 : Datuk Noordin Hasan
8. 1996 : Datuk Abdullah Hussain
9. 2001 : S. Othman Kelantan atau Dr. Syed Othman Syed Kelantan
10. 2009 : Dato' Dr. Anwar Ridhwan
11. 2011 : Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) 
12. 2013 : Datuk Baha Zain

Namun seorang demi seorang telah kembali ke Negeri Abadi.

Karya pertama yang membuatkan saya terpikat dengan SN Abdullah Hussain ialah novel IMAM. Walaupun novel ini agak tebal, saya tidak pernah bosan untuk menghabiskannya.

Saya pernah menulis cerpen berjudul "Melakar Cinta di Dada Watan", yang disiarkan dalam Pelita Bahasa, November 2013. Cerpen ini mengambil subteks novel Interlok sebagai jalinan plot penceritaannya.



Moga rohnya SN Abdullah Hussain aman dan ditempatkan dalam kalangan oang beriman. Al-Fatihah.

Takziah kepada keluarga Allahyarham SN Abdullah Hussain.


Jumaat, 25 Mei 2012

Al Fatihah Kepada Ibu Saudara

kredit gambar dari noorizamsabran


Sebelum Berlepas Pergi
(al fatihah kepada ibu saudaraku Che Som Yaacob)

Sesungguhnya
kematian datang tanpa bersapa
walaupun tidak diminta
ia datang dengan pelbagai cara.

Sesungguhnya
kematian tidak boleh ditolak
apatah lagi dihindarinya
kerana setelah giliran sampai
berpisahlah roh dari jasad.

Sesungguhnya
kematian akan meninggalkan
segala-galanya
biar wang setinggi gunung
biar cinta seluas lautan
biar tangisan membasah kesedihan
namun diharapkan
sebelum berlepas pergi
sediakan dulu bagasi amal
moga cukup bekalan
sementara menunggu
hari kiamat kelak.

Mohd Helmi Ahmad
25/5/2012
Batang Kali, Selangor

Khamis, 1 Mac 2012

Zahari Hasib dalam Kenangan



Kredit gambar daripada blog Karyawan  PK

Rasanya tidak terlalu lewat untuk saya mengucapkan takziah kepada keluarga Tuan Hj Zahari Hasib yang baru sahaja pulang ke rahmatullah pada (26 Februari 2012). Walaupun beliau tidak mengenali saya dan saya juga tidak kenal dengan lebih dekat dengan beliau tetapi saya menyatakan bahawa semangat menulis beliau sangat mengkagumkan saya. Perjuangannya dalam dunia penulisan kreatif terutama sajak sedikit sebanyak menyuntik semangat untuk saya terus menulis. Jujur saya katakan yang saya begitu 'cemburu' sekali setiap kali nama beliau sering kali terpampang dalam akhbar Mingguan Warta Perdana mengisi ruangan puisi. Begitu juga dalam media-media yang lain.

Terima kasih Tuan Osman Dol kerana sudi memberitahu saya. Sebenarnya saya pernah menanyakan Tuan Osman Dol hal Zahari Hasib berkenaan blog sekiranya beliau mempunyai blog agar mudah untuk saya mengikuti perkembangannya. Tetapi Tuan Osman Dol juga tidak menjumpainya.

Saya pernah memiliki kumpulan puisi remaja Zahari Hasib yang berjudul Kuntum Harapan. Himpunan puisi-puisi di dalamnya  menggunakan bahasa yang mudah tetapi mengandungi mesej yang baik. Pasti selepas ini saya akan merindui karya-karya beliau itu.

Al-Fatihah.


Isnin, 27 Februari 2012

Perginya Seorang Cendekiawan Masyarakat

Hari ini sekolah saya menerima Utusan Pengguna dalam tiga bahasa Mandarin (Cina), Inggeris dan Bahasa Melayu. Ketika masa terluang saya pun cubalah membelek-belek Utusan Pengguna itu. Belek punya belek hingga sampai ke akhir muka surat terpampang ruangan Belasungkawa. Saya lihat wajah Allahyarham Azizi Abdullah. Lantas ingatan terus mengingati karya-karya beliau yang selama ini menjadi koleksi bacaan saya.

Penulis yang prolifik ini juga dikenali penulis sayembara kerana banyak memenangi sayembara yang disertai. Antaranya Senja Belum Berakhir (memenangi novel terbaik Hadiah Sastera Malaysia 1971), Seorang Tua di Kaki Gunung (memenangi Hadiah Kedua Sayembara Menulis Novel Gapena-Yayasan Sabah 1982), Wi & William (Hadiah Sako, 1999), Kawin-Kawin (Hadiah Sako 2001), Sangeetha (Hadiah Sastera Mastera ke-5 pada 2007).

Allahyarham yang pernah bekerja sebagai editor Utusan Pengguna (CAP), seringkali menggangkat kemiskinan, penderitaan, kemelaratan, kesusahan sebagai subjek utama  dalam penulisannya.  Saya begitu senang menguliti karya-karyanya. Nampak segar, gaya bahasa yang baik-terasa jujur. Di sini saya petik daripada Utusan Pengguna  akan  kata-kata Allahyarham di Majlis Sepetang Bersama Penulis Anjuran Dewan Bahasa & Pustaka, Pulau Pinang.

Proses Kreatif

* Bahan menulis seorang pengarang:
Alam dan manusia.
* Cetusannya ialah dari:
Daya intelek dan pancaindera
*Kebiasaan seorang pengarang mendapat bahan hasil daripada dua perkara di atas ialah:
Sentuhan rasa.
Mendengar dengan kritis.
Kepekaan melihat kemudian mentafsir.
Pengalaman.
Penyampaian idea atau dedahan pemikiran.
*Contoh:
Seorang nelayan atau seorang penganggur mengalamai kemalangan ngeri.
Pengarang yang peka, sensitif, kritis akan melihat berlainan sekali dengan seorang wartawan.
Wartawan hanya melaporkan kejadian.
Penulis kreatif akan mentafsir tentang kejadian itu.
*Penulis juga:
Mesti mendapat rangsangan.
Merancang sehingga menjadi masak dalam fikiran.
Membawa persoalan yang hendak ditulis ke mana-mana.
Membuat kajian. Jika tersangkut, berhenti.
Ambil masa berfikir dan buat penyelididkan/membaca semula/mengadu kepada kawan-kawan/solat istikharah.
Ambil waktu yang agak lama dalm satu masa ketika menulis. Seperti dua jam sekali menulis.
Menulis apa yang anda tahu.

Allahyarham telah menulis kurang lebih 30 buah novel, 200 buah cerpen, beberapa skrip drama tv dan radio juga pentas. Novel terbaru ialah Mandala Dunia Kedua terbitan PTS.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78