Pengikut

Khamis, 7 Januari 2016

Kupasan Novel Tirani Komsas Tingkatan 5 2016

Assalamualaikum.


Novel Tirani merupakan novel Komsas Tingkatan 5 yang mula digunakan pada tahun 2016. Novel hasil karya Beb Sabariah ini merupakan terbitan DBP. Novel ini digunakan di  ZON 2 : NEGERI SELANGOR, NEGERI SEMBILAN, WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR & PUTRAJAYA


Sinopsis Tirani karya Beb Sabariah


Oleh: Rosani Hiplee

Novel Tirani karangan Beb Sabariah tidak sekadar sebuah novel yang sarat dengan penceritaannya tetapi lebih daripada itu. Pengarang turut menyelitkan warna budaya dan resam masyarakat setempat khususnya etnik Sarawak. Keunikan etnik Sarawak diketengahkan oleh pengarang menerusi usaha gigih watak utamanya, Waheeda dalam mempromosikan industri pelancongan negeri Sarawak di mata dunia.

Lumrahnya, kebanyakan novel akan menjalurkan pelbagai permasalahan semasa, terutama dalam skema hubungan interpersonal, seperti persahabatan, rumah tangga, ukhuwah, agama dan kekeluargaan. Watak-watak dalam novel Tirani nyata tidak terkecuali mengutarakan persoalan seumpama itu. Malah, pengarangnya bijak memanipulasikan gaya bahasanya bagi membangkitkan inti pati penceritaannya walaupun dengan menggunakan frasa daerah dan istilah saintifik yang sesuai.

Membaca novel Tirani juga persis menaakul dunia kehidupan manusia yang agak luas. Justeru pengarangnya berupaya membawa pembaca melangkau batas geografi dan budaya setempat.

Watak dan Perwatakan

Malah watak dan perwatakan (walaupun sekadar watak sampingan) turut digarap dengan pelbagai urna bangsa, selari dengan jalan cerita yang banyak menyorot dalam industri pelancongan antara Sarawak (Tajau Emas), Singapura (Flamingo Resort), dan berakhir di Kuala Lumpur (Calet Aya-Sajinah). Selain itu, Tirani juga seperti mencitrakan jati diri kewanitaan yang mahu diungguli pengarangnya menerusi watak Waheeda.

Kecantikan selalunya disinonimkan dengan wanita. Waheeda, wanita terpelajar dan tersenarai dalam kelompok wanita korporat masih diasak rasa tidak wajar akan fizikalnya yang yang bermata kuyu dan berhidung pesek. Imbasan digunjing rakan-rakan semasa zaman kanak-kanak sering menghantui emosinya. Tetapi keyakinan bahawa setiap kekurangan itu harus ditangani dengan wajar selalu dipupuknya dalam diri sehingga beroleh kejayaan yang lain.

“Kekurangan yang disedari secara bijaksana dapat menjadi pendorong yang tidak terduga.” Tiba-tiba Waheeda menyuarakan satu ungkapan kata-kata hikmat daripada diari Muslimah miliknya, yang sering ditatap, disimpan dan menjadi perangsang kepadanya.

Keterujaannya mahu menjadi wannita tercantik dan sempurna melalui proses pembedahan plastik sentiasa meluap-luap. Tetapi halangan kedua orang tuanya kerana bimbang menyanggah tuntutan agama sentiasa menunda niatnya. Oleh itu, novel Tirani dikesani masih tegar kepada kekuatan dan kebenaran agama Islam yang syumul dalam setiap rungkaian komplikasi watak-wataknya.

Tirani sebuah novel yang benar-benar mengupas nilai sebuah pemikiran yang kritis dan sinis dalam mempersoalkan makna sebenar kecantikan seseorang wanita. Kerakusan dan ketaasuban naluri wang mahu memiliki segala kesempurnaan fizikal nyata tidaklah menjanjikan sebuah kebahagiaan. Kecantikan wanita mudah menggugah naluri lelaki, malah mengalpakan dirinya. Lantaran itu, persahabatan Waheeda dengan Bazilah tergugat apabila Dr. Zahid mula prihatin terhadap Waheeda.

“Betullah kecantikan itu tirani. Sudah menjadi lumrah alam, manusia lebih tertarik pada kecantikan daripada kebijaksanaan”, Waheeda meraup perasaan serba salah dan muak dan kesal dengan sikap lelaki, apatah lagi jika yang bermata keranjang.

Begitulah takdir hidup Waheeda, walaupun berjaya "menipu” atau mengubah asal kejadian diri tetapi kuasa Yang Maha Pencipta (Allah) sukar dibatasi. Rumah tangga yang dibina atas dasar saling mencintai nyata mudah tergugah kerana cemburu akan suaminya, Zahid, dan akhirnya menemui kehancuran selepas kelahiran anak pertama (Izzati) mereka.

Tertib kepengarangan juga nyata telus dalam pengolahan ceritanya, justeru kronologi ceritanya yang bersifat realisme seperti lazimnya kebanyakan novel. Barangkali pengaruh pembawaan diri pengarang yang tergolong dalam kalangan pendidik. Maka tidak janggal jika ditakrifkan bahawa pengarang banyak mencorakkan nilai-nilai murni dan memberi impak etika yang baik dalam Tirani.

Tema dan Persoalan


Tema dan persoalan yang digarap lebih menyeluruh kepada pergolakan dalam diri, terutama perspektif naluri kewanitaan. Hal ini cukup terkesan dalam watak Waheeda, Raidah (ibu Waheeda) dan Bazilah (rakan baik Waheeda). Watak dan perwatakannya juga sesuai dengan jalinan penceritaan sehingga ia berupaya memberi kesan rasa dan pemikiran yang telus dalam pembacaan.

Gaya Bahasa


Gaya bahasanya biasa tetapi tetap mempunyai nilai-nilai kontemporari. Pemakaian istilah saintifik dan susuk frasa daerah turut terjalin dalam sintaksisnya. Paling ketara dengan penggunaan istilah dan susuk frasa seperti rinoplasti, blefaroplasti, rhytidectomy, lidocaine, ketupat leas, ketupat periuk kera, bubur pedas, pansuh manok, mereya, tekol, tajau, jong sarat dan banyak lagi.Penyerapan istilah dan frasa tersebut memaknakan lagi olahan penceritaan, terutama tentang pemvisualan latar budaya dan resam.

Pelukisan flora yang pelbagai turut melatari beberapa bahagian plot penceritaan dalan Tirani. Misalnya, ru laut (casuarinas), purple bauhinia, weeping willow, orkid merah jambu, Vanda Miss Joaquim dan lain-lain.

Keseluruhan naskah Tirani nyata berupaya memberi urna dalam memaknakan kehidupan yang akrab dengan budaya dan resam setempat menerusi proses kreatif prosa yang penuh estetika. Pengarang sesekali bijak bertamsil tentang keindahan alam.

Membaca naskah Tirani persis menaakul ke dunia psikologi wanita yang mahu mencapai kecantikan (kesempurnaan) menyeluruh dalam hidupnya. Wanita yang sentiasa gigih menongkah arus modenisasi dan futuristik. Malah tetap bertekad memelihara dan melindungi segala peradaban dan susila budaya bangsanya walau berada di mana sahaja. Pengarang mengaspirasikan suatu nilai yang cukup murni dan berjiwa dalam Tirani, khusus kepada kaum wanita masa kini.

#sinopsis novel tirani komsas tingkatan 5 2016 #tema dan persoalan novel tirani #gaya bahasa novel tirani #watak dan perwatakan novel tirani #kupasan lengkap novel tirani komsas tingkatan 5 2016

Sumber : Dewan Budaya Jun 2008

6 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78