Pengikut

Selasa, 15 Disember 2015

Membaca Tanggapan: Kumpulan Cerpen Remaja

Assalamualaikum.



Setelah membaca Inspirasi Cinta yang diterbitkan pada tahun 2012, saya menyimpan hasrat untuk memiliki kumpulan cerpen remaja juga. Inspirasi Cinta merupakan kumpulan cerpen remaja pertama yang diterbitkan oleh ITBM. Buku ini juga merupakan kumpulan cerpen remaja pertama terbitan ITBM yang memenangi HSPM kategori kumpulan cerpen remaja pada tahun 2012.

Hasrat saya tidak berhenti di situ saja. Oleh itu, saya mula menyusun manuskrip. Pengalaman yang cetek tidak menghalang untuk saya merealisasikan impian memiliki buku pertama. Di samping itu, saya ada juga bertanya kepada kenalan penulis cara menyusun dan menghantar manuskrip yang betul.

Alhamdulillah, Tetamu Istimewa berjaya diterbitkan pada tahun 2014. Dalam tempoh 2012-2013 tiada kumpulan cerpen remaja lain yang diterbitkan oleh ITBM. Hal ini demikian bermakna, Tetamu Istimewa menjadi buku kedua kumpulan cerpen remaja yang diterbitkan oleh ITBM.

Bertambah menariknya, apabila Tetamu Istimewa turut memenangi HSPM 2014 kategori kumpulan cerpen remaja. Dengan kata lain, Tetamu Istimewa juga turut menjadi kumpulan cerpen remaja kedua yang diterbitkan oleh ITBM memenangi HSPM.

Selepas itu barulah kumpulan cerpen remaja yang lain diterbitkan. Pada tahun 2014, antara lain seperti Janji Delila, Pari-pari Syurga, Dunia Papionini, Ralat dan Sarang Tempua di Taman Ayah.

Tidak berhenti di situ saja, 2015 penerbitan kumpulan cerpen remaja oleh ITBM disemarakkan lagi dengan penerbitan Teratak Berjasa, Tasbih Cinta Si Tua, Insan Mulia (tiada dalam gambar) Kek Keju Bersira Nasi dan diakhiri dengan Makhluk Kecil Tuhan.

Farahana Hussain menjadi penulis tunggal setakat ini yang berjaya menerbitkan dua kumpulan cerpen remaja dengan ITBM.

Saya telah membaca semua kumpulan cerpen remaja yang diterbitkan oleh ITBM. 12 judul termasuk Tetamu Istimewa, saya mendapati masing-masing ada kekurangan dan kelebihannya sendiri.

Menyentuh mengenai cerpen remaja, saya dapati masih terdapat kelonggaran yang boleh diperbaiki terutama perlabelan cerpen tersebut sebagai cerpen remaja.

1. Jika dilihat daripada satu per satu secara eceran, terdapat kumpulan cerpen yang aspek keremajaannya tidak begitu menunjang. Dengan kata lain, cerpen itu boleh berdiri sebagai cerpen dewasa atau umum. 
2. Ada juga cerpen yang jauh daripada lingkungan keremajaan.
3. Terdapat juga cerpen yang mengutarakan watak yang terlalu dewasa, tetapi tidak terkait dengan subjek keremajaan hingga menghilangkan rasa untuk dilabelkan sebagai cerpen remaja.

Bagaimanapun, setelah cerpen-cerpen ini bersatu dalam sebuah buku (kumpulan cerpen), setidak-tidaknya, memberikan keberagaman idea yang ditawarkan dan mampu mengusulkan nilai tambah kepada remaja memperoleh pengajaran.

Saya yakin dan pasti, tahun 2016 akan ada lagi kumpulan cerpen remaja yang diterbitkan. Bersama-samalah kita menyemarakkan penulisan dan penerbitan karya sastera remaja yang bermutu.

1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78