Pengikut

Isnin, 20 Oktober 2014

Buku Panduan Menulis Novel, Cerpen dan Puisi

Assalamualaikum.



Menulis bukanlah satu kerja mudah. Menulis juga perlukan ilmu. Ilmu yang bagaimanakah yang diperlukan untuk menulis? Apakah ada buku berkaitan ilmu penulisan? Pada awal pembabitan saya dalam bidang penulisan, saya tidak banyak membaca buku panduan menulis. 

Seingat saya, hanya sebuah dua sahaja yang pernah saya ada. Sebab itulah, saya tidak dapat menyenaraikan dengan lebih panjang apabila ada calon penulis yang bertanyakan pada saya tentang buku panduan menulis novel, cerpen dan puisi yang boleh beliau gunakan untuk menulis. 

Saya lebih suka menjadikan karya siap tidak kiralah novel, cerpen dan puisi sebagai "buku" panduan yang terbaik untuk saya mempelajari sesuatu daripada karya tersebut. Melalui karya tersebut, penulis boleh menganalisis tentang tema, persoalan, watak dan perwatakan, gaya bahasa, nilai dan pengajaran, malah pemikiran yang hendak disampaikan. Jauh daripada itu, banyak yang boleh dipelajari oleh calon penulis mahupun penulis muda apabila membaca karya yang tersiar atau sudah terbit tidak kira dalam bentuk buku ataupun eceran. 

Walau bagaimanapun, adalah lebih baik dan perlu kepada calon penulis yang baru berjinak-jinak dalam bidang penulisan untuk mendapatkan buku panduan menulis untuk memberi serba sedikit tentang ilmu menulis dan bentuk penulisan novel, cerpen dan puisi

Dalam kesempatan itu, setelah hampir enam tahun menulis kini saya berpeluang untuk mendapatkan beberapa judul buku panduan menulis yang termasuklah novel, cerpen dan puisi. Biarpun saya tidak menulis novel, namun saya katakan tidak rugi untuk saya mendapatkan ilmu. Bentuk dan langgam novel dan cerpen tidak banyak perbezaannya berbanding puisi. Siapa tahu suatu hari nanti saya mampu menerbitkan novel pula. 

Pada satu ketika buku panduan menulis novel, cerpen dan puisi banyak diterbitkan untuk membantu calon penulis menulis. Buku panduan menulis itu pula ditulis oleh penulis yang mahir dalam bidang tersebut. 

Antara penulis yang banyak menerbitkan buku panduan menulis ialah Allahyarham Othman Puteh. Setelah pemergian beliau, seolah-olah dunia kesusasteraan negara agak suram terutama dalam pengembangan bakat-bakat remaja dan penerbitan buku panduan menulis. Allahyarham lebih cenderung dalam pengembangan sastera remaja

Buku panduan menulis novel, cerpen dan puisi yang sempat saya miliki ialah, Persediaan Menulis Novel, DBP cetakan 1992, Penulisan Cerpen-Visi dan Langgam, DBP cetakan 1993, Persediaan Menulis Cerpen, DBP cetakan 1988 dan 1991. Selain itu, calon penulis juga boleh mendapatkan buku Persediaan Menulis Sajak, DBP, 1987 oleh Rahman Shaari dan buku Kreativiti dalam Penciptaan Karya Sastera, DBP 1996 oleh Hizairi Othman. 

Sememangnya agak sukar untuk mendapatkan buku terbitan lama ini. Namun begitu, boleh diikhtiarkan untuk mencarinya. Boleh juga mencari buku panduan menulis novel, cerpen dan puisi terbitan baharu dalam pasaran. Selamat membaca dan selamat menulis!

3 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78