Pengikut

Ahad, 9 Disember 2018

Karya Penutup Tahun 2018

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



Karya penutup tahun 2018. Alhamdulillah, ada dua karya saya yang disiarkan dalam majalah terbitan DBP, Bil. 12/2018.

1. Galeri Sastera: Pelancaran Buku Siri Anekdot dan Cerita Kehidupan - Tunas Cipta.

- Berita ini saya tulis bagi menghargai dan menyebarluaskan cerita tentang penerbitan buku siri anekdot dan cerita kehidupan terbitan Wacana MBM.

2. Reaksi: Plagiarisme, Etika dan Akta Hak Cipta Belum Selesai? - Dewan Sastera.

- Reaksi ringkas ini telah lama saya tulis dan hantar, namun baru berkesempatan disiarkan.

- Reaksi tentang kes plagiarisme yang berlaku pada bulan Februari 2018.

- Reaksi etika penulis sebelum menghantar karya, semasa karya dalam tempoh penilaian dan selepas karya disiarkan. (Saya dapati penulis masih salah faham tentang tempoh "idah" menyiarkan karya selepas karya tersiar. Bukan pagi karya tersiar, petang atau malam sudah boleh disiarkan secara penuh dalam media sosial).

- Reaksi etika editor menguruskan karya yang diterima.

- Reaksi Akta Hak Cipta 1987, keseriusan penulis membawa kes plagiarisme ke muka pengadilan.

Reaksi ringkas ini tidak cukup untuk menjelaskan semua perkara kepada penulis dengan sejelas-jelasnya. Oleh itu, suka saya menyarankan kepada penulis untuk membaca dan merujuk buku dan pelbagai sumber lain untuk membantu penulis memahaminya.

Terima masih kepada editorial Tunas Cipta dan Dewan Sastera yang menyiarkan kedua-dua penulisan saya ini.

#KaryaTersiar #GaleriSasteraTunasCipta #ReaksiDewanSastera
 
 

Selasa, 27 November 2018

Koleksi Sampul Surat Seorang Penulis

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera. 

No automatic alt text available.




Ini bukan sampul surat cinta. Ini bukan sampul surat edisi khas tetapi sampul surat ini setiap satunya merakamkan sejarah penting dalam bidang penulisan saya.

Sampul-sampul ini terpilih daripada puluhan sampul yang saya terima sejak dari tahun 2008 hingga 2018 yang mewakili pelbagai penerbit akhbar, majalah dan buku. 







Perincian setiap sampul adalah seperti berikut: 

1. Karangkraf
Sampul surat yang berisi surat makluman tentang bayaran honorarium untuk karya saya yang disiarkan dalam majalah Mingguan Wanita. 

2. New Straits Times Press
Sampul surat yang berisi surat makluman tentang bayaran honorarium untuk karya saya yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian.

3. Berita Publishing Sdn
Sampul surat yang berisi cek bayaran honorarium untuk karya saya yang disiarkan dalam majalah Jelita.

4. Dewan Bahasa dan Pustaka
Sampul surat ini paling banyak saya terima. Sampul surat ini berisi surat makluman tentang bayaran honorarium untuk karya saya yang disiarkan dalam majalah terbitan DBP. Karya saya pernah disiarkan dalam semua majalah DBP kecuali Dewan Kosmik dan Dewan Ekonomi. 
Selain itu, surat yang diterima berkaitan penerbitan buku, HSPM dan lain-lain.

5. Utusan Publication & Distributor
Sampul surat yang berisi cek pembayaran royalti KOMSAS, surat undangan ke majlis HSKU, penerbitan buku audio dan beberapa perkara rasmi yang lain.

6. Utusan Melayu Malaysia Bhd
Sampul surat yang berisi slip pembayaran honorarium untuk karya saya yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia dan Utusan Melayu Mingguan. 

7. Institut Terjemahan & Buku Malaysia
Sampul surat yang berisi surat berkaitan penerbitan buku seperti surat penerimaan manuskrip, surat makluman keputusan penilaian manuskrip dan beberapa perkara rasmi yang lain.

8. Utusan Karya Sdn Bhd
Sampul surat yang berisi cek pembayaran honorarium untuk karya saya yang disiarkan dalam majalah Harmoni, Wanita dan URTV. 

Sampul surat ini akan kekal menjadi kenangan kepada penulis yang pernah melalui zaman ini.
Jika ada kesempatan, saya berhasrat untuk membingkaikan sampul surat ini.

#catatanseorangpenulis #sampulsurat

Jumaat, 23 November 2018

Galeri Penulis Mohd Helmi Ahmad

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera. 

Sebelum balik ke Batang Kali, saya mengambil kesempatan untuk membersihkan habuk dalam almari yang menempatkan buku, sijil dan piala ini. Buku saya yang baru diterbitkan juga telah saya susun di dalam almari ini.

Sesungguhnya saya bukanlah penulis sayembara. Saya juga bukan penulis antologi bersama. Selalunya saya akan "memperkenalkan" diri saya sebagai penulis karya eceran. 

Boleh dibilang dengan jari sayembara yang pernah saya sertai. Tak sampai lima sayembara pun. Begitu juga dengan penyertaan saya untuk penerbitan antologi bersama. Menuju ke penghujung tahun, barulah saya berjinak-jinak dengan projek anekdot. 

Tanyalah saya, majalah mana yang saya tidak pernah hantar karya? Akhbar nyamuk mana yang saya tidak belek. Pernah satu tahun, lebih 40 buah cerpen saya pernah disiarkan dalam akhbar dan majalah. Oleh sebab itu, saya selesa menulis karya eceran. 



Dalam almari serba sederhana ini saya tempatkan buku perseorangan dan antologi bersama yang memuatkan karya saya. Senarainya adalah seperti berikut: 


ANTOLOGI PEMENANG HSKU/SAYEMBARA PENULISAN

1. Aku Datang, UP&D (2011) - antologi ini memuatkan cerpen "Bunga Telur Kenduri Kahwin", HSKU 2010.

2. Cerita Akhir Tahun, UP&D (2012) - antologi ini memuatkan cerpen "Kuih Bakul Limau Mandarin", HSKU 2011.

3. Sejujur Manggis, UP&D (2013) - antologi ini memuatkan cerpen "Rombongan Masuk Jawi", HSKU 2012. 

4. Layang-layang Impian, ASASI (2011) - antologi ini memuatkan cerpen "Akhir Sebuah Doa" (pemenang tempat kedua) dan tiga buah puisi yang memenangi sagu hati Sayembara ASASI.



KUMPULAN PERSEORANGAN 

5. Tetamu Istimewa, ITBM (2014) - kumpulan cerpen remaja yang memuatkan 15 buah cerpen, HSPM 2014.

6. Madu di Tangan, ITBM (2015) - kumpulan puisi remaja yang memuatkan 50 buah puisi, HSPM 2015/2016.

7. Bila Ayah Berkaca Mata Hitam, ITBM (2016) - kumpulan cerpen yang memuatkan 18 buah cerpen. 

8. Gadis dan Cermin Masa Depan, ITBM (2018) - kumpulan cerpen remaja yang memuatkan 15 buah cerpen.


ANTOLOGI BERSAMA 

9. Surat Waktu, Kursus BBK 3401 (2006) - antologi ini memuatkan puisi saya yang berjudul "Basikal".

10. Kartunis Muda, DBP (2017) - antologi ini memuatkan tiga cerpen kanak-kanak saya. 

11. Rimbun Kehidupan, Wacana MBM (2018) - antologi anekdot dan cerita kehidupan.

12. Rencah Kehidupan, Wacana MBM (2018) - antologi anekdot dan cerita kehidupan.


ANTOLOGI SELENGGARAAN 

13. Karya daripada Diari Rahsia, DBP (2018) - antologi ini memuatkan catatan kepengarangan saya yang bertajuk "Dimensi Penulis Eceran kepada Penulis Buku".
Lain-lain 

14. Direktori Penulis Utara - buku ini memuatkan biodata diri dan bidang penulisan.

Saya tidak mempunyai bakat dalam bidang sukan, nyanyian atau lakonan. Jadi, buku-buku inilah yang menjadi kebanggaan saya dan keluarga. Doakan saya terus istiqamah untuk berjuang dalam bidang penulisan ini.

#catatanseorangpenulis #koleksibuku #dokumentasiperibadi #motivasidaninspirasi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78