Pengikut

Khamis, 30 Mac 2017

Kenapa Penulis Perlu Membaca?

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



Saya bukanlah jenis yang banyak mengikuti bengkel penulisan. Oleh hal yang demikian, untuk mempelajari sesuatu dan meningkatkan mutu penulisan, saya gunakan pendekatan MEMBACA. 

Buku apakah yang saya baca? 

Adakala saya membaca buku panduan menulis. Namun begitu, lebih banyak yang saya baca ialah karya eceran dalam majalah dan akhbar dan buku; kumpulan cerpen, puisi dan novel. 

Mengapakah penulis perlu membaca? 

Dengan membaca saya dapat: 

1. Memperkaya perbendaharaan kata dan istilah.

2. Mempelbagaikan teknik memulakan karya dan mengakhiri karya. 

3. Meningkatkan mutu garapan karya agar lebih efektif.

4. Memerhati cara penulis "mengupas" dan "mempersembahkan" subjek cerita. 

5. Menganalisis subjek cerita atau aspek lain yang belum disentuh oleh penulis.

6. Mempelajari gaya dan cara penulis menggayakan perkataan dan istilah. 

7. Mempelajari teknik penulis mengembangkan plot dan konflik. 

8. Meningkatkan teknik membina watak dan memperagakan perwatakan dengan tepat mengikut situasi.

9. Mempelajari cara penulis menyulam emosi, tindakan dan "menjelmakan" latar tempat dan masa dengan berkesan. 

10. Memperoleh idea baharu untuk menghasilkan karya baharu. 

11. Memperoleh dan menambahkan ilmu tentang subjek yang ditulis.

Lain-lain. 

Setahu saya, tidak ada penulis yang tidak suka membaca. Hal ini demikian kerana membaca juga boleh dianggapkan proses "perbengkelan" kepada seorang penulis untuk memperbaiki yang kurang dan meningkatkan yang lebih. 

Mohd Helmi Ahmad
Pembaca kepada Penulis
Penulis kepada Pembaca

Rabu, 29 Mac 2017

Keputusan Pemenang Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi Musim Keempat

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera

Keputusan pemenang Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi Musim Keempat telah diumumkan pada 28 Mac 2017 yang lalu.


Sayembara ini menawarkan hadiah pertama RM15,000, kedua RM10,000 dan ketiga RM5,000. Manakala RM1,000 setiap satu untuk tiga hadiah penghargaan.


Pemenang Musim Keempat
Pertama
Nafkhatul Faza - Rosli Mohamad Ali

Kedua
Katalis Neurogenesis - Rosli Mohamad Ali
Ketiga
Dunia Hanyalah Pentas - Muhtadi Mahsun
Sagu hati
Kuantum dalam Jemala - Muz Ahmad
Perang Homosapian - Idris Boi
Yang Diselindung Samudera - Azida Ishak, Ted Mahsun dan Fadli Al-Akiti.





Pemenang Musim Pertama
Kala Yuda - Amer Hmzah L. Kadir
Kronikel Bumi - Nurul Izwazi Mohd Nor
Tawanan Komander Caucasus - Ruzaini Yahya
Petaka Bakteria - Mohd Kasim Mahmud
Rawan - Hafizah Iszahanid

Pemenang Musim Kedua
Equilibria - Sri Rahayu Mohd Yusop
Detik - Sh. Mohd Saifudden Sh. Mohd
Bekamorfosis - Hj Jali Hj Kenoi
Di Sebalik Dinara - Noor Aziza Sulaiman
ID - Amer Hmzah L. Kadir
Timpani - Faridah Abdul Hamid

Pemenang Musim Ketiga
Transgenik Sifar - Sri Rahayu Mohd Yusop
Leksikon Ledang - Nor Azida Ishak dan Fadli Al-Akiti
Klon - Idris
Ajal - Ruhaini Matdarin
Kronikal Mikrob - Wan Salmah Wan Hassan
Puranakila - Saadiah Ibrahim

Syabas dan tahniah kepada semua pemenang.

Sabtu, 25 Mac 2017

Karya Mohd Helmi Ahmad Mula Menjadi Bahan Kajian

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



Sewaktu saya mula menulis, tujuan saya menulis adalah untuk melihat karya saya disiarkan dalam akhbar dan majalah sahaja. Apabila karya saya disiarkan dalam media cetak, bermakna akan lebih ramai membaca karya tersebut.

Hasil daripada menulis secara eceran, kini saya telah berjaya menerbitkan tiga buah buku.

1. Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa
2. Kumpulan Puisi Remaja: Madu di Tangan
3. Kumpulan Cerpen: Bila Ayah Berkaca Mata Hitam 


Kini saya tidak menjangkakan apabila karya saya itu menjadi kajian dan bahan bengkel penulisan pula.
Saya berasa teruja apabila ada yang memaklumkan bahawa:

"Cikgu, saya telah membaca buku cikgu. Buku cikgu dijadikan bahan perbengkelan sewaktu saya mengikuti bengkel penulisan."

"Cikgu, saya nak minta izin untuk menggunakan buku cikgu untuk Projek Ilmiah Tahun Akhir saya."

"Cikgu, saya nak temu ramah cikgu berkaitan buku cikgu untuk tugasan saya."

"Cikgu, izinkan saya gunakan cerpen cikgu untuk pertandingan bercerita."

"Cikgu, izinkan saya gunakan buku cikgu untuk dijadikan bahan kajian jurnal saya!"

"Cikgu, izinkan saya gunakan buku cikgu untuk tugasan saya!"

Bagi saya adab mereka meminta izin sebelum menggunakan karya saya amatlah terpuji. Sebagai penulis, saya amat terharu apabila karya saya baik yang eceran mahupun buku dipilih dan digunakan untuk kajian ilmiah dan seumpamanya.

Selalunya saya mengizinkannya dengan syarat setelah siap mereka memberikan kepada saya satu salinan tugasan tersebut untuk saya simpan sebagai dokumentasi.

Mohd Helmi Ahmad
Terima Kasih kerana Memilih Karya Saya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78