Menjadi seorang penulis walaupun duduk berkurung dalam dunianya sendiri (bilik untuk menulis) seseorang penulis itu juga perlu bergaul dengan orang luar. Mencari rakan-rakan untuk bertukar-tukar cerita dan pandangan.
Bercerita tentang rakan penulis, sudah lama saya hendak berkenalan dengan penulis ini
MOHD ADID AB RAHMAN. Seorang penulis yang cukup prolifik. Sekiranya anda menyedari, dan jika anda rajin menyelak majalah atau surat khabar pasti namanya akan jelas terpampang. Beliau terlibat dalam penulisan puisi dan pernah suatu ketika dulu menulis rencana agama.
Oleh itu, pelbagai usaha telah saya lakukan. Akhirnya, Allah mempertemukan juga saya dengan beliau walaupun secara maya, iaitu melalui e-mel. Terima kasih juga kepada
IDANRADZI yang turut berusaha mempertemuka kami. Saya perturunkan di sini detik-detik perkenalan kami. Ada antaranya telah saya murnikan untuk tatapan pembaca.
"Assalamualaikum wr wb
Alamat emel ini saya peroleh dari seorang
sahabat Tuan Idanradzi, lalu saya terus menulis dalam rangka menambah
rakan penulis.
Sdr. Helmi boleh panggil saya dengan menyebut 'nama' pun tak kisah,
'ustaz' pun boleh, 'abang' pun sesuai, 'Pakcik' juga tak ada masalah. Tapi 'tuan', seolah-olah "besar sangat ke aku ni?". Umur saya pun
sudah tua. Sdr. Helmi saya tengok
gambarnya masih muda belia. Masih panjang lagi waktu untuk menulis dan
mempertingkat mutu penulisan. Saya minat cerpen, tapi bila menulis tak
pernah jadi. Saya dalam hal ini, mahu juga belajar dengan Helmi di
mana cerpen-cerpennya ada-ada saja yang terbit.Tahniah, dan teruskan usaha yang baik
ini.
Puisi saya yang sudah tersiar sudah lebih 200 buah. Saya kumpulkan
dalam beberapa buah fail. Layak puisi-puisi saya hanyalah berada dalam
fail bukan antologi. Satu bulan sajak saya tersiar paling kurang 3
buah. Kalau setahun 36 buah.
Biasanya saya tahu karya tersiar melalui telefon rakan-rakan
penulis seperti Ami Masra, Ehsan Jamily, Pena Mutiara, Aladin Mohamad,
Leo AWS, Mahad Abu Bakar dan lain-lain. Kadang-kadang saya ke kedai,
belek-belek majalah atau akhbar yang berkenaan saja. Kena marah dengan
penjual itu sudah biasa, "kalau nak baca, pergi ke perpustakaan!"
ucapan begini pernah saya alami. Rasa tebal muka. Bukan belek saja,
saya beli juga sebenarnya walaupun tak ada puisi saya. Begitulah nasib
seorang penulis seperti saya. Dewan Sastera November 2012, saya tahu
ada sajak saya tersiar adalah melalui rakan-rakan saja. Majalah
tersebut belum lagi saya memilikinya.
Saya menulis sejak 1984 hingga sekarang dan puisi pertama tersiar di
RTM Angkasapuri dalam rancangan Bunga Bangsa tajuknya 'Pak Tani' jika
tidak silap, kemudian rancangan Sudut Sastera di RTM Kawasan Timur
(saya berasal dari Kelantan), majalah Mastika, Aktual, Al-Kiblat,
Utusan Zaman,Sarina, Dian dll (semua majalah tersebut sudah mati
kecuali Mastika tapi isinya sekarang dalam bentuk cerita-cerita misteri
bukan ilmiah). Di samping puisi saya juga menulis artikel agama pernah
tersiar di Berita Harian, Dewan Siswa, Siasah, Dewan Falsafah dan Agama
(sudah mati) dll.
Seperti Helmi, saya juga guru di SMK Selandar. Tugas guru sekarang
semakin banyak, telah membataskan usaha menulis artikel agama. Sejak
awal 2012 ini, saya berhenti menulis artikel agama yang memerlukan masa
dan bahan rujukan. Cerpen? Bahagian ini saya angkat tangan. Rasanya
Helmi lebih layak. Saya tetap menyokongnya. Teruskan, jangan persia kebolehan
anugerah Allah SWT."
Inilah puisi pertama beliau yang saya baca. Ketika itu saya menjangkakan beliau merupakan seorang pelajar sekolah kerana di akhir puisinya tertera nama sekolah. Rupa-rupanya nama sekolah tempat beliau bertugas. Puisi ini disiar sekitar tahun 2009.
PERJALANAN INI
Mawar itu leka bermain
dengan wanginya sendiri
Seperti kanak-kanak yang
belum berdosa
Ketika pagi mengejutkan
burung-burung yang lelap
Lalu terbang tinggal dahan
Mengarahkan diri ke padang
rezeki
Sebuah kesenangan berbunga
Di sela-sela putaran hidup
Memang menjadi mimpi agung
semua orang.
Perjalanan ini
Mencari kesenangan hakiki
Bertahun-tahun
Akhirnya kutemukan
Setelah iman bertunas subur
di jiwa.
Karya,
Mohd Adid Ab Rahman
SMK Selandar, Melaka.
P/S: Emel ini telah mendapat kebenaran daripada penulis sebelum dikongsikan dengan pembaca semua. Harap, jika hendak mengopinya perlulah beritahu saya dahulu dan mengkreditkan kepada tuan punya blog.