Pengikut

Rabu, 28 November 2012

Mari Berkenalan dengan Rakan Penulis

Menjadi seorang penulis walaupun duduk berkurung dalam dunianya sendiri (bilik untuk menulis) seseorang penulis itu juga perlu bergaul dengan orang luar. Mencari rakan-rakan untuk bertukar-tukar cerita dan pandangan.

Bercerita tentang rakan penulis, sudah lama saya hendak berkenalan dengan penulis ini MOHD ADID AB RAHMAN. Seorang penulis yang cukup prolifik. Sekiranya anda menyedari, dan jika anda rajin menyelak majalah atau surat khabar pasti namanya akan jelas terpampang. Beliau terlibat dalam penulisan puisi dan pernah suatu ketika dulu menulis rencana agama.

Oleh itu, pelbagai usaha telah saya lakukan. Akhirnya, Allah mempertemukan juga saya dengan beliau walaupun secara maya, iaitu melalui e-mel. Terima kasih juga kepada IDANRADZI yang turut berusaha mempertemuka kami. Saya perturunkan di sini detik-detik perkenalan kami. Ada antaranya telah saya murnikan untuk tatapan pembaca.



"Assalamualaikum wr wb


    Alamat emel ini saya peroleh dari seorang sahabat Tuan Idanradzi, lalu saya terus menulis dalam rangka menambah rakan penulis.

    Sdr. Helmi boleh panggil saya dengan menyebut 'nama' pun tak kisah, 'ustaz' pun boleh, 'abang' pun sesuai, 'Pakcik' juga tak ada masalah. Tapi 'tuan', seolah-olah "besar sangat ke aku ni?".  Umur saya pun sudah tua. Sdr. Helmi saya tengok gambarnya masih muda belia. Masih panjang lagi waktu untuk menulis dan mempertingkat mutu penulisan. Saya minat cerpen, tapi bila menulis tak pernah jadi. Saya dalam hal ini, mahu juga belajar dengan Helmi di mana cerpen-cerpennya ada-ada saja yang terbit.Tahniah, dan teruskan usaha yang baik ini.


    Puisi saya yang sudah tersiar sudah lebih 200 buah. Saya kumpulkan dalam beberapa buah fail. Layak puisi-puisi saya hanyalah berada dalam fail bukan antologi. Satu bulan sajak saya tersiar paling kurang 3 buah.  Kalau setahun 36 buah.
    Biasanya saya tahu karya tersiar melalui telefon rakan-rakan penulis seperti Ami Masra, Ehsan Jamily, Pena Mutiara, Aladin Mohamad, Leo AWS, Mahad Abu Bakar dan lain-lain. Kadang-kadang saya ke kedai, belek-belek majalah atau akhbar yang berkenaan saja. Kena marah dengan penjual itu sudah biasa, "kalau nak baca, pergi ke perpustakaan!" ucapan begini pernah saya alami. Rasa tebal muka. Bukan belek saja, saya beli juga sebenarnya walaupun tak ada puisi saya. Begitulah nasib seorang penulis seperti saya. Dewan Sastera November 2012, saya tahu ada sajak saya tersiar adalah melalui rakan-rakan saja. Majalah tersebut belum lagi saya memilikinya.

    Saya menulis sejak 1984 hingga sekarang dan puisi pertama tersiar di RTM Angkasapuri dalam rancangan Bunga Bangsa tajuknya 'Pak Tani' jika tidak silap, kemudian rancangan Sudut Sastera di RTM Kawasan Timur (saya berasal dari Kelantan), majalah Mastika, Aktual, Al-Kiblat, Utusan Zaman,Sarina, Dian dll (semua majalah tersebut sudah mati kecuali Mastika tapi isinya sekarang dalam bentuk cerita-cerita misteri bukan ilmiah). Di samping puisi saya juga menulis artikel agama pernah tersiar di Berita Harian, Dewan Siswa, Siasah, Dewan Falsafah dan Agama (sudah mati) dll.

    Seperti Helmi, saya juga guru di SMK Selandar. Tugas guru sekarang semakin banyak, telah membataskan usaha menulis artikel agama. Sejak awal 2012 ini, saya berhenti menulis artikel agama yang memerlukan masa dan bahan rujukan. Cerpen? Bahagian ini saya angkat tangan. Rasanya Helmi lebih layak. Saya tetap menyokongnya. Teruskan, jangan persia kebolehan anugerah Allah SWT."

Inilah puisi pertama beliau yang saya baca. Ketika itu  saya menjangkakan beliau merupakan seorang pelajar sekolah kerana di akhir puisinya tertera nama sekolah. Rupa-rupanya nama sekolah tempat beliau bertugas. Puisi ini disiar sekitar tahun 2009.

PERJALANAN INI

Mawar itu leka bermain
dengan wanginya sendiri
Seperti kanak-kanak yang 
belum berdosa
Ketika pagi mengejutkan
burung-burung yang lelap
Lalu terbang tinggal dahan
Mengarahkan diri ke padang
rezeki
Sebuah kesenangan berbunga
Di sela-sela putaran hidup
Memang menjadi mimpi agung
semua orang.

Perjalanan ini
Mencari kesenangan hakiki
Bertahun-tahun
Akhirnya kutemukan
Setelah iman bertunas subur
di jiwa.

Karya,
Mohd Adid Ab Rahman
SMK Selandar, Melaka.

P/S: Emel ini telah mendapat kebenaran daripada penulis sebelum dikongsikan dengan pembaca semua. Harap, jika hendak mengopinya perlulah beritahu saya dahulu dan mengkreditkan kepada tuan punya blog.

2 ulasan:

  1. Suka keratan e-mel ini; agar kita menjadi rakan penulis yang intim; tak sangka Ustaz Adid ni kirim puisi dalam rancangan Bunga Bangsa di radio; puisi sy pun pernah mendapat tempat di tahun 70an... tak silap 77 semasa saya menunggu keputusan MCE; tajuknya Sampai Bilakah?... ianya mendapat perhatian pendengar sampai dua tiga minggu nama sy diuar-uar melalui ulasan pendengar; sy juga suka menulis coretan pendek (nak kata cerpen macam tak kena)untuk rancangan Kenangan di radio sekitar tahun 80an.

    BalasPadam
  2. Terima kasih, Tuan Idan kerana sudi singgah dan meninggalkan komen. Ya, jika kita tidak berkongsi pandangan sudah tentu kisah ini tidak diketahui sesiapa.

    Tahniah juga kepada Tuan Idan.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78