Pengikut

Selasa, 20 November 2012

Rak Buku yang Semakin Sesak


Lihatlah rak buku saya yang semakin sesak. Gambar diambil sebelum hari raya Aidiladha. Mulanya sekadar simpanan, tetapi apa salahnya saya berkongsi di sini. 

Sebelum ini, rak buku ini kelihatannya tidak sebegini lagi. Kerananya apabila saya menulis, saya akan menarik segala buku yang memberi semangat kepada saya untuk berdamping di meja tulis. Walaupun sekadar hanya dibelek-belek. Itulah tabiat saya. Kemudiaannya bertimbun di atas meja, hingga sesak untuk saya melakukan kerja-kerja rujukan. 




Rak buku ini, sudah bersusun dua lapis. Ada selonggok lagi majalah yang tidak tahu hendak disusun di mana. Rasanya perlu membeli rak baharu. Sebenarnya saya tidak suka rak begini. Ruang yang direka tidak sesuai dengan ketinggian buku. Jika boleh dibuat sendiri atau ditempah alangkah lebih baik. Boleh mengikut cita rasa yang dikehendaki.


Koleksi buku yang ada di rak ini saya kumpul semenjak saya di zaman universiti lagi. Sehingga kini, alhamdulillah dalam senarai bahan bacaan yang saya buat, sudah ada kira-kira 200 buah. 

Kata adik saya sudah boleh dibuka perpustakaan mini. Tetapi saya sayang akan buku saya. Cara saya membelainya tidak sama dengan orang lain. Saya takut ia akan rosak. Ada di antaranya sudah dibalut. Kemudian, usaha itu tergendala. Malas. Hendak sambung kembali agak sukar.


Kalau diikutkan tidaklah banyak sangat. Tetapi saya cukup berbangga dengan koleksi ini. Jangan tanya buku yang paling saya sayang. Semestinya saya akan menjawab, semua yang berada di rak adalah buku kesayangan saya. 

Saya tahu apabila ada buku yang ditarik keluar oleh tangan-tangan lain. Jadi, cepat saya dapat mengesan, buku apa yang hilang. Jadi, jangan cuba-cuba hendak mengambil keluar daripada raknya, tanpa pengetahuan saya. Itu bukan amaran tetapi peringatan. 

Sebenarnya di dalam bilik saya mempunyai dua buah rak buku. Sebuah lagi saya tempatkan buku-buku persekolahan lama, fail dan buku rujukan. Rak itu juga sudah sesak.

Petang tadi saya ke kedai buku lagi. Insyaallah, akan saya ceritakan, buku apa yang telah menarik minat saya. Perbelanjaannya hampir RM90.00. Entahlah, bila tabiat ini akan terus menghantui diri ini. 

6 ulasan:

  1. Wah, entri ini mengingatkan rak buku di rumah yang juga mencari ruang bernafas. Inilah harta yang akan diwariskan kepada pewaris nanti :)

    * harus segera kumpulkan pula koleksi cerpen eceran kamu. Biar boleh diletakkan dengan selesa dirak itu.

    BalasPadam
  2. Salam.
    Rasanya sdr helmi perlu tukar warna untuk teks......biarlah kontra dgn warna latar. Hi hi...mata tua makcik tak dapat bacala...he....

    BalasPadam
  3. Jamilah, sebenarnya saya ternanti-nanti komen atau catatan daripada anda. Sudah lama rasanya Jamilah tidak tinggalkan komen di sini. Rindu sangat. bagi saya sekiranya pembaca membaca entri di blog saya dan meninggalkan komen pula, alangkah seronoknya. Seolah-olah catatan saya itu berharga sangat.

    Ya, inilah harta yang saya ada. Tidak tahulah, akan diwarisi kepada siapa. Ahli keluarga saya seolah-olah tidak berminat.

    *sebenarnya saya sudahpun kumpulkan 20 buah cerpen dan sudah disunting hampir 60-70 peratus. Namun, semangat itu tiba-tiba hilang. Setelah saya membacanya, cerpen tersebut biasa-biasa saja, walaupun 3 buah daripadanya 2, menang hsku dan 1 tersenarai ke peringkat akhir hsku. Saya akui, saya tidak pandai memilih cerpen untuk dimuatkan dalam kumpulan cerpen tersebut. Setelah dipilih, kemudian buang pula. Saya mengumpulkan cerpen remaja sebenarnya. Bersemangat pula apabila melihat karya-karya penulis lain sehari demi sehari diterbitkan oleh ITBM. Terima kasih atas pertanyaan itu.

    BalasPadam
  4. Salam, Kak Rositah.

    Terima kasih atas cadangan. Rasanya bukan hal warna tapi tulisannya agak kecil kot. Tua ke? Saya tengok muda lagi. hehehehehe

    BalasPadam
  5. Wah, tiada apa-apa yang hendak diungkap melainkan kekaguman!

    Di asrama IPG, sudah tidak tahu kawasan yang sesuai untuk diletakkan buku-buku yang dibaca. Dua buah rak buku sudah pun penuh dan pernah sekali katil menjadi tempat sementara.

    Oh, betapa nikmat bergelumang dengan buku-buku yang ada! Sehingga terhimpap dengan buku sendiri sewaktu tidur.

    BalasPadam
  6. Huhuhu, dua buah rak buku? Banyak tu.

    Memang nikmat kalau tidur dengan buku. Senang sikit, bila hendak baca, capai saja. Tapi kalau kena hempap dengan buku tu, no komen...

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78