Pengikut

Sabtu, 9 Januari 2016

Laporan Panel HSPM 2014 tentang Kemenangan Tetamu Istimewa

Assalamualaikum.

Ahli panel telah dilantik oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menilai dua katergori iaitu kategori sastera remaja dan kategori sastera kanak-kanak. Untuk sastera remaja beberapa genre telah dinilai iaitu novel remaja sebanyak 46 buah kumpulan cerpen remaja sebanyak 13 buah. Kumpulan puisi remaja 12 buah dan cerpen eceran remaja sebanyak 10 buah. Sementara untuk kategori kanak-kanak, panel telah menilai 10 buah novel kanak-kanak, 2 buah kumpulan cerpen, 44 buah cerita bergambar dan 5 buah kumpulan puisi kanak-kanak. Jumlah bagi kategori remaja sebanyak 81 buah, kategori kanak-kanak 61 buah. Jumlah keseluruhan sebanyak 142 yang  telah dinilai terdiri daripada berbagai genre.

KUMPULAN CERPEN REMAJA



TETAMU ISTIMEWA KARYA MOHD HELMI AHMAD

Kumpulan cerpen Tetamu Istimewa mengandungi 15 buah cerpen yang mesejnya berkisar kehidupan keluarga, guru dan masyarakat. Isu tentang masalah ibu bapa dengan anak-anak: anak yang suka berfoya-foya, menghabiskan harta ibu bapa, pengorbanan ibu bapa demi pelajaran anak-anak, bagi keluarga Tionghua, sikap membenci anak perempuan kerana dianggap membawa sial kepada keluarga diolah dengan kreatif dengan memberi penyelesaian yang menginsafkan. Kepentingan pendidikan agama kepada anak-anak ditonjolkan dalam buku ini.

Selain dari itu hubungan antara guru atau pensyarah dengan murid dan pelajarnya juga  menjadi isu yang diangkat oleh pengarang. Kisah seorang guru yang membenci muridnya kerana suka ponteng sekolah akhirnya berasa insaf kerana muridnya yang miskin membantu neneknya yang telah tua. Soal kemiskinan murid juga membawa konflik antara guru dan murid yang tidak bercita-cita tinggi. Akhirnya setelah diselidik didapati murid itu bekerja menangkap ikan haruan membantu ayahnya sehingga murid tersebut selalu ponteng sekolah.

Dalam kehidupan bermasyarakat pengarang juga mengangkat isu ini. Cerpen yang menggambarkan semangat gotong royong di kalangan masyarakat kampung yang telah diwarisi sejak turun temurun, terutama mengerjakan kenduri kahwin. Kumpulan cerpen Tetamu Istimewa seperti yang dinyatakan di atas, menampilkan penceritaan yang boleh dikatakan mantap dengan tema yang pelbagai dan plot yang menarik dan meyakinkan pembaca. Tema yang banyak mendedahkan kehidupan berkeluarga, hubungan guru/pensyarah dan hubungan dengan masyarakat,  pengarang ingin memaparkan manusia yang bertanggungjawab mendidik anak-anak, para pelajar dan masyarakat desa. Jelas bahawa cerpen-cerpen yang dipaparkan banyak  menekankan persoalan pembelajaran dan pendidikan. Institusi pendidikan iaitu ibu bapa, guru dan pensyarah merupakan institusi penting bagi mendidik generasi muda.

Oleh yang demikian ahli panel bersetuju kumpulan cerpen Tetamu Istimewa karya Mohd. Helmi Ahmad menerima HSPM 2014.

Khamis, 7 Januari 2016

Kupasan Novel Tirani Komsas Tingkatan 5 2016

Assalamualaikum.


Novel Tirani merupakan novel Komsas Tingkatan 5 yang mula digunakan pada tahun 2016. Novel hasil karya Beb Sabariah ini merupakan terbitan DBP. Novel ini digunakan di  ZON 2 : NEGERI SELANGOR, NEGERI SEMBILAN, WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR & PUTRAJAYA


Sinopsis Tirani karya Beb Sabariah


Oleh: Rosani Hiplee

Novel Tirani karangan Beb Sabariah tidak sekadar sebuah novel yang sarat dengan penceritaannya tetapi lebih daripada itu. Pengarang turut menyelitkan warna budaya dan resam masyarakat setempat khususnya etnik Sarawak. Keunikan etnik Sarawak diketengahkan oleh pengarang menerusi usaha gigih watak utamanya, Waheeda dalam mempromosikan industri pelancongan negeri Sarawak di mata dunia.

Lumrahnya, kebanyakan novel akan menjalurkan pelbagai permasalahan semasa, terutama dalam skema hubungan interpersonal, seperti persahabatan, rumah tangga, ukhuwah, agama dan kekeluargaan. Watak-watak dalam novel Tirani nyata tidak terkecuali mengutarakan persoalan seumpama itu. Malah, pengarangnya bijak memanipulasikan gaya bahasanya bagi membangkitkan inti pati penceritaannya walaupun dengan menggunakan frasa daerah dan istilah saintifik yang sesuai.

Membaca novel Tirani juga persis menaakul dunia kehidupan manusia yang agak luas. Justeru pengarangnya berupaya membawa pembaca melangkau batas geografi dan budaya setempat.

Watak dan Perwatakan

Malah watak dan perwatakan (walaupun sekadar watak sampingan) turut digarap dengan pelbagai urna bangsa, selari dengan jalan cerita yang banyak menyorot dalam industri pelancongan antara Sarawak (Tajau Emas), Singapura (Flamingo Resort), dan berakhir di Kuala Lumpur (Calet Aya-Sajinah). Selain itu, Tirani juga seperti mencitrakan jati diri kewanitaan yang mahu diungguli pengarangnya menerusi watak Waheeda.

Kecantikan selalunya disinonimkan dengan wanita. Waheeda, wanita terpelajar dan tersenarai dalam kelompok wanita korporat masih diasak rasa tidak wajar akan fizikalnya yang yang bermata kuyu dan berhidung pesek. Imbasan digunjing rakan-rakan semasa zaman kanak-kanak sering menghantui emosinya. Tetapi keyakinan bahawa setiap kekurangan itu harus ditangani dengan wajar selalu dipupuknya dalam diri sehingga beroleh kejayaan yang lain.

“Kekurangan yang disedari secara bijaksana dapat menjadi pendorong yang tidak terduga.” Tiba-tiba Waheeda menyuarakan satu ungkapan kata-kata hikmat daripada diari Muslimah miliknya, yang sering ditatap, disimpan dan menjadi perangsang kepadanya.

Keterujaannya mahu menjadi wannita tercantik dan sempurna melalui proses pembedahan plastik sentiasa meluap-luap. Tetapi halangan kedua orang tuanya kerana bimbang menyanggah tuntutan agama sentiasa menunda niatnya. Oleh itu, novel Tirani dikesani masih tegar kepada kekuatan dan kebenaran agama Islam yang syumul dalam setiap rungkaian komplikasi watak-wataknya.

Tirani sebuah novel yang benar-benar mengupas nilai sebuah pemikiran yang kritis dan sinis dalam mempersoalkan makna sebenar kecantikan seseorang wanita. Kerakusan dan ketaasuban naluri wang mahu memiliki segala kesempurnaan fizikal nyata tidaklah menjanjikan sebuah kebahagiaan. Kecantikan wanita mudah menggugah naluri lelaki, malah mengalpakan dirinya. Lantaran itu, persahabatan Waheeda dengan Bazilah tergugat apabila Dr. Zahid mula prihatin terhadap Waheeda.

“Betullah kecantikan itu tirani. Sudah menjadi lumrah alam, manusia lebih tertarik pada kecantikan daripada kebijaksanaan”, Waheeda meraup perasaan serba salah dan muak dan kesal dengan sikap lelaki, apatah lagi jika yang bermata keranjang.

Begitulah takdir hidup Waheeda, walaupun berjaya "menipu” atau mengubah asal kejadian diri tetapi kuasa Yang Maha Pencipta (Allah) sukar dibatasi. Rumah tangga yang dibina atas dasar saling mencintai nyata mudah tergugah kerana cemburu akan suaminya, Zahid, dan akhirnya menemui kehancuran selepas kelahiran anak pertama (Izzati) mereka.

Tertib kepengarangan juga nyata telus dalam pengolahan ceritanya, justeru kronologi ceritanya yang bersifat realisme seperti lazimnya kebanyakan novel. Barangkali pengaruh pembawaan diri pengarang yang tergolong dalam kalangan pendidik. Maka tidak janggal jika ditakrifkan bahawa pengarang banyak mencorakkan nilai-nilai murni dan memberi impak etika yang baik dalam Tirani.

Tema dan Persoalan


Tema dan persoalan yang digarap lebih menyeluruh kepada pergolakan dalam diri, terutama perspektif naluri kewanitaan. Hal ini cukup terkesan dalam watak Waheeda, Raidah (ibu Waheeda) dan Bazilah (rakan baik Waheeda). Watak dan perwatakannya juga sesuai dengan jalinan penceritaan sehingga ia berupaya memberi kesan rasa dan pemikiran yang telus dalam pembacaan.

Gaya Bahasa


Gaya bahasanya biasa tetapi tetap mempunyai nilai-nilai kontemporari. Pemakaian istilah saintifik dan susuk frasa daerah turut terjalin dalam sintaksisnya. Paling ketara dengan penggunaan istilah dan susuk frasa seperti rinoplasti, blefaroplasti, rhytidectomy, lidocaine, ketupat leas, ketupat periuk kera, bubur pedas, pansuh manok, mereya, tekol, tajau, jong sarat dan banyak lagi.Penyerapan istilah dan frasa tersebut memaknakan lagi olahan penceritaan, terutama tentang pemvisualan latar budaya dan resam.

Pelukisan flora yang pelbagai turut melatari beberapa bahagian plot penceritaan dalan Tirani. Misalnya, ru laut (casuarinas), purple bauhinia, weeping willow, orkid merah jambu, Vanda Miss Joaquim dan lain-lain.

Keseluruhan naskah Tirani nyata berupaya memberi urna dalam memaknakan kehidupan yang akrab dengan budaya dan resam setempat menerusi proses kreatif prosa yang penuh estetika. Pengarang sesekali bijak bertamsil tentang keindahan alam.

Membaca naskah Tirani persis menaakul ke dunia psikologi wanita yang mahu mencapai kecantikan (kesempurnaan) menyeluruh dalam hidupnya. Wanita yang sentiasa gigih menongkah arus modenisasi dan futuristik. Malah tetap bertekad memelihara dan melindungi segala peradaban dan susila budaya bangsanya walau berada di mana sahaja. Pengarang mengaspirasikan suatu nilai yang cukup murni dan berjiwa dalam Tirani, khusus kepada kaum wanita masa kini.

#sinopsis novel tirani komsas tingkatan 5 2016 #tema dan persoalan novel tirani #gaya bahasa novel tirani #watak dan perwatakan novel tirani #kupasan lengkap novel tirani komsas tingkatan 5 2016

Sumber : Dewan Budaya Jun 2008

Selasa, 5 Januari 2016

Contoh RPH Bahasa Melayu Tahun 6 KSSR 2016

Assalamualaikum.



Contoh Rancangan Pelajaran Harian (RPH) Bahasa Melayu KSSR Tahun 6 2016. 
Tema 1: Istimewanya Keluargaku
Unit 1: Bakat Istimewa





BAHASA MELAYU

6  BESTARI

8:10 – 9:10










Tema / Tajuk

1.      Istimewanya Keluargaku – Sayangi Keluarga


Standard Kandungan                           
 1.2  Mendengar, mengecam dan menyebut bunyi bahasa, iaitu abjad,  
        suku kata, perkataan, frasa dan ayat dengan betul.


Standard Pembelajaran

1.2.6 Mendengar, memahami, dan menyebut jenis ayat dan ragam ayat       dengan struktur binaan ayat yang betul dan tepat.


Objektif  Pembelajaran
Pada akhir pengajaran, murid-murid diharapakan dapat :
a.  Mendengar dua dialog yang berbeza yang mempunyai empat jenis  
     ayat  dan ragam ayat yang dilafazkan oleh murid dan guru.
b.  Menyebut  empat jenis ayat yang dituturkan dengan intonasi yang
     betul dan sebutan yang jelas dan ragam ayat dengan struktur binaan
     ayat yang betul.
c.  Berdialog menggunakan empat jenis ayat dan ragam ayat.



Aktiviti  P d  P   
1. Mendengar satu arahan dan memberi respons terhadap arahan yang
    diberikan oleh guru.
2. Mendengar dua dialog yang berbeza daripada rakan.
3. Memberi respons terhadap empat jenis ayat dalam dialog yang   
    berbeza dan ragam ayat secara lisan dengan struktur binaan ayat  
    yang betul.
4. Melafazkan empat jenis ayat dengan intonasi yang betul dan sebutan
    yang jelas serta ragam ayat dengan struktur binaan ayat yang betul.
5. Aktiviti kumpulan : Berdialog berdasarkan situasi yang diberikan
    menggunakan empat jenis ayat dan ragam ayat.
6. Menyatakan dua cara murid menghargai bakat Istimewa ahli
    keluarga. ( KBAT )
7. Pengukuhan – Membina empat jenis ayat berdasarkan gambar
    tunggal.
8. Pemulihan – Menyalin empat jenis ayat dan ragam ayat dengan betul
    dan kemas.



Pengisian Kurikulum
Ilmu                     -   Pendidikan Moral
Nilai                     -   Kasih sayang
KBAT                   -   Aplikasi
KB                       -   Mengecam
KP                       -   Interpersonal
BBM   
Buku Teks

Penilaian P d P
1.
2.

Impak/ Refleksi                      
1.

2.


Kredit Sumber daripada Cikgu Rohana. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78