Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.
BAGAIMANA SAYA MULA MEMBACA BUKU?
Saya suka membaca pengalaman orang lain mula membaca. Pengalaman tersebut mampu mencetuskan inspirasi dan motivasi untuk saya tekal membaca.
Kali ini saya petik pengalaman rakan-rakan bagaimana mereka mula membaca. Pengalaman begini amat berharga dan wajar dikongsikan. Oleh itu, saya kumpul dan susunkan semula untuk dikongsikan bersama.
Ketika umur saya 6 tahun, saya terkena demam campak. Jadi saya dikuarantinkan dan duduk di rumah sahaja padahal ketika itu hujung tahun (cuti sekolah) semua kawan bermain setiap hari di luar. Saya bosan. Suatu hari bapa pulang dengan beberapa buah buku yang dipinjamnya daripada perpustakaan awam untuk saya baca.
2. Mawaddah MN
Seingat saya, saya mula membaca di kedai buku. Selalu dibawa oleh abah ke kedai buku. Lokasi wajib singgah setiap hujung minggu. Bermula dengan membelek gambar-gambar ilustrasi buku yang cantik, kemudian beralih membacanya setelah mula boleh membaca. Jarang-jarang dapat pergi ke perpustakaan. Seingat saya belum ada perpustakaan awam di tempat saya ketika itu.
3. Suri Noor
Saya suka berkunjung ke kutubkhanah ketika darjah 4. Petang balik dari sekolah, saya wajib ke sana. Saya baca buku macam-macam. Saya rindu bau buku-buku dalam kutubkhanah dan juga rindu pada muka buku dulu-dulu.
Tok sedara saya simpan buku-buku sekolah anak-anaknya dalam satu almari. Setiap kali cuti penggal, saya pergi ke rumahnya baca novel Inggeris klasik.
5. Shahrul Ahlami Tukiran
Pada satu hari, pihak sekolah saya menjemput seorang penulis buku datang ke sekolah untuk sebuah program. Penulis itu memberi galakan dan dorongan kepada para pelajar untuk menanam minat membaca ke dalam diri masing-masing. Penulis itu juga mempromosikan buku-buku yang ditulisnya di samping menjual buku-buku yang ditulis oleh penulis lain. Pada masa itu, dengan sumber kewangan yang terhad, saya hanya mampu membeli sebuah komik bertajuk Misi 8A.
Selain itu, penulis juga ada mempromosikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang bakal berlangsung pada tahun tersebut. Pihak sekolah juga ada membuat program lawatan ke PBAKL itu. Alhamdulillah, saya berkesempatan untuk menyertai program tersebut.
Oleh sebab saya berasa masih belum puas semasa mengikuti program lawatan ke pesta buku yang dianjurkan oleh pihak sekolah, saya mengajak pula abang dan kakak saya untuk pergi ke pesta buku tersebut pada hujung minggu.
Bermula daripada itulah, saya semakin bertambah minat membaca dan teruja untuk terus menghadiri ke mana-mana pesta buku yang berdekatan. Selain itu, saya juga berasa seronok setiap kali menjejakkan kaki ke dalam mana-mana kedai buku walaupun saya tidak membeli apa-apa buku.
Kakak saya tak gemar belikan saya dan abang alat permainan jadi dia gantikan dengan membeli komik. Minat membaca timbul bila lihat komik-komik yang kakak belikan dan buku-buku cerita kanak-kanak lupusan dari perpustakaan yang berikan oleh kawan ayah.
Rasa rugi menjadi buta huruf ketika itu kerana tak mampu menikmati kesemua bahan bacaan menarik itu maka saya pun bersungguh-sungguh belajar mengeja dan membaca.
8. Emalina Aema
Sewaktu di bangku sekolah, saya telah terpilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan bercerita peringkat daerah. Selepas waktu pengajaran dan pembelajaran, saya akan menghafal skrip cerita sementara anak-anak lain sudah sibuk di rumah. Sejak dari itu, membaca adalah sebahagian daripada diri Emalina dan masih terus menikmatinya.
Ketika di peringat menengah, saya aktif mewakili sekolah dalam pertandingan pantun, forum remaja, Bahas Ala Parlimen sampai peringkat negeri Sabah. Terlibat secara aktif begini memang menjadikan saya seorang pembaca yang aktif.
9. Ahmad Faizal
Saya bermula dengan komik pada zaman kanak-kanak. Pada usia remaja, daripada suka membaca komik, saya beralih kepada novel remaja dan novel thriller. Masuk usia pertengahan 20-an, pembacaan saya mula terarah kepada buku-buku yang lebih berat seperti politik, sains dan keagamaan.
Mak ayah dulu kongkong saya. Tak bagi saya keluar ke mana-mana. Lepas sekolah, wajib balik rumah dan berkurung sampailah esok hari untuk ulang rutin yang sama. Itu menyebabkan saya mencari sesuatu untuk saya isi 'kekosongan' yang ada dan apa yang saya temui adalah buku!
Berbondong-bondong buku saya pinjam daripada pusat sumber. Novel remaja paling kerap saya ulang pinjam. Makin lama apabila makin berusia, bacaan saya juga berubah; kepada novel thriller dan berat. Saya menghabiskan novel RAM pertama ketika saya menginjak usia 12 tahun.
Begitulah cerita bagaimana buku menjadi penyelamat saya.
terima kasih, cikgu. menarik!
BalasPadamMasa kecil dulu suka sangat membaca buku tapi kenapa bila semakin berusia, kerajinan tu agak berkurangan. Banyak membaca di screen hp pula. Penyakit apakah ini...hehee...
BalasPadamMoga bertambah minat membaca trhdap diri ini .
BalasPadam