Pengikut

Ahad, 16 Disember 2018

Catatan Pengalaman Penulisanku dari Tahun 2008 hingga 2018

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



2008: Saya hanya fikir, saya nak menulis dan hantar karya kepada editor akhbar dan majalah sahaja. Saya mahu melihat karya saya disiarkan. Seronoknya tidak terkata. Ketika itu, saya pulun menulis dan menghantar karya. Ada kala, setiap bulan pasti ada karya saya yang disiarkan sehinggakan pada tahun 2012 sebanyak 45 buah cerpen saya disiarkan.

2013: Saya meniti tahun demi tahun sebagai penulis karya eceran. Pada tahun 2013, tergerak hati saya untuk membukukan karya saya yang pernah disiarkan dalam akhbar dan majalah. Bertitik tolak daripada itulah, saya menyusun manuskrip buku sehinggalah lahirnya buku pertama saya pada tahun 2014. Setelah buku pertama terbit, saya mula berasa seronok dan teruja. Lantas, saya susun manuskrip buku seterusnya. Maka, terbitlah buku kedua saya pada tahun 2015, buku ketiga pada tahun 2016 dan buku keempat pada tahun 2018.

2015: Terus terang, sebelum ini saya kurang berminat untuk menyertai mana-mana projek buku antologi. Sebab itulah, boleh dikira dengan jari, bilangan antologi yang saya terlibat. Tidak ada. Detik permulaannya apabila Pak Cu Hamidi mempelawa saya untuk menyertai projek antologi cerpen kanak-kanak. Projek itu bakal diterbitkan oleh DBP memandangkan cerpen kanak-kanak yang terpilih ialah cerpen yang disiarkan dalam majalah Dewan Pelajar. Maka, terbitlah buku tersebut pada tahun 2017. Kemudian, pada tahun 2018 saya memenuhi pelawaan Cikgu Mohamad Musip untuk menyertai projek anekdot dan cerita kehidupan yang diterbitkannya.

2016: Daripada menulis secara eceran, memiliki buku perseorangan dan terlibat dalam projek antologi, kini saya cuba menyelenggara buku pula. Hasil daripada lontaran idea untuk membukukan artikel Bicara Tunas dan Buah Pena Alumni MPR, maka Pak Cu Hamidi dan saya bertindak sebagai penyelenggara. Banyak yang saya belajar kerja dan proses penyelenggaraan daripada pak cu. Proses menerbitkan buku dengan DBP bukanlah mudah apatah lagi melibatkan 20 orang penulis dan karya pernah tersiar. Akhirnya, terbitlah buku tersebut pada tahun 2018.

2018: Saya langsung tidak terfikir untuk bergerak sejauh ini. Daripada sebagai penulis, penyelenggara, kini saya berjinak-jinak sebagai penolong editor/pembaca pruf. Terima kasih saya ucapkan kepada Wacana MBM yang memberikan peluang dan mempercayai kerja saya. Walau bagaimanapun, saya perlu meningkatkan ilmu dan kemahiran sistem bahasa dan aspek penyuntingan lagi untuk menghasilkan kerja yang lebih murni.

*Ada satu lagi tugas yang diamanahkan kepada saya selain yang dikongsikan di atas, namun saya simpan dahulu.

Saya petik kembali kata-kata saya, "Sejauh mana keazaman anda untuk menjadi penulis? Mungkin sekadar meniti di bibir dan kemudiannya lesap begitu sahaja? Mungkin juga terus tumbuh bagaikan benih yang disemai, dibaja, disiram, diasuh hinggalah mengakar tunjang dalam diri." - Tunas Cipta.

Oleh itu, jadilah penulis yang berazam tinggi, cekal menongkah cabaran dan sabar menyelami denyut keperitan industri penerbitan tanah air.

#CatatanPenulisMHA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78