Pengikut

Selasa, 31 Januari 2012

Kujumpai Sesuatu yang Telah Lama Kunanti

Sebelum saya pulang ke Batang Kali saya ada menjengah sebentar di kedai buku Toko Buku Cahaya Baru, Jalan Langgar. Kedai yang menawarkan bahan bacaan yang terbaik terutama dari terbitan Dewan Bahasa dan Pusataka. Rasanya berkali-kali saya pergi ke kedai ini sering kali saya menjumpai bahan bacaan yang menarik perhatian saya. Entahlah selalunya orang terkejar-kejar mencari buku baharu, sementara saya pula lebih gemar mengeledah buku lama. Walau bagaimanapun buku-buku itu masih relevan kerana kualiti gagasan yang dibawa penulisnya meletakkan buku itu seperti baru diterbitkan.

Hajat sebenar saya berkunjung ke kedai buku itu adalah untuk mendapatkan majalah terbitan DBP yang sudah lama tidak saya miliki dan baca. Saya kira dari edisi November hinggalah penghujung Januari 2012. Pada hari itu saya dapat merasakan yang majalah tersebut sudah ada di kedai tersebut. Tanpa terlebih dahulu menelefon kedai tersebut saya dengan pasrahnya ke kedai tersebut untuk mendapatkan majalah itu. Melangkah sahaja masuk ke kedai tersebut saya sudah dapat melihat kulit majalah yang berwarna merah. Lega rasanya. Saya dapat mengagak itu adalah majalah Tunas Cipta edisi Januari. Tanpa lengah-lengah lagi saya pun mendapatkannya. Bukan sahaja Tunas Cipta, malahan Dewan Sastera dan Dewan Siswa juga saya beli. Kepada sesiapa yang tinggal di Kedah, sekitar Alor Setar bolehlah dapatkan majalah terbitan DBP edisi Januari 2012 di kedai buku Toko Buku Cahaya Baru, Jalan Langgar. 

 Kredit gambar dari Portal DBP 
Kredit gambar dari Portal DBP

Apabila sudah di kedai buku mulalah mata merayap-rayap melihat buku yang disusun dirak-rak. Dan mata saya pun tertangkap pada beberapa buah buku seperti Perjalanan Z (kumpulan cerpen, Shapiai Mohd Ramly,) Kawah Gelombang (kumpulan cerpen, Jamaludin D.), kilabreT (kumpulan cerpen, Ahmad J.Husein) dan beberapa buah majalah Dewan Sastera terbitan lama.  Ada yang  diterbitkan pada tahun 1999. Yang menjadi saya tertarik untuk membelinya adalah  di dalamnya Arwahyarham Azizi Hj Abdullah menjadi karyawan bulan ini.

Isnin, 30 Januari 2012

Menipu dan Tertipu

Sebelum saya meneruskan catatan ini saya ingin merakamkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana  memberkati perjalanan saya dari Kedah ke Batang Kali. Pelbagai kisah yang berlaku sebenarnya. Bermula dari stesen Shahab Perdana lagi. Bayangkan tiket yang saya beli mencatatkan jadual perjalanan pada pukul 9.15am dan saya terpaksa menunggu hingga jam 11.00 am sebelum bas berlepas. Saya rasa tertipu dengan janji-janji yang ditaburkan oleh penjual tiket tersebut. Apabila ditanya bila bas hendak sampai, dikatakannya bahawa bas lewat sedikit dan akan sampai sebentar lagi. 

Saya pun dengan rasa bersabar menunggu dengan penuh percaya yang bas tersebut akan tiba dalam masa terdekat. Setelah menunggu hampir 1 jam saya pun pergi bertanya lagi di kaunter katanya bas dalam perjalanan. Namun saya rasa itu hanyalah ayat-ayat untuk melepaskan diri. 

Saya yang bersama ayah saya ketika itu tidak boleh bertahan lagi. "Kalau tak boleh tepati janji jangan jual tiket bas. banyak lagi bas lain yang ada." Begitulah lebih kurang ayah saya menghamburkan kemarahan. Datang pula seorang lagi. "Kak, bila bas nak datang, saya ada kerja di Kuala Lumpur ni." Itulah antara runggutan. 

Namun setelah bertengkar di kaunter bas itu, penjual tiket itupun mengatakan bas sudah sampai. Dia memanggil penumpang mengikut nombor bas yang telah diberikan pada awalnya. Malangnya katanya bas asal mengalami kerosakan. Hanya digantikan dengan bas persiaran. Argh sekali lagi saya dan penumpang-penumpang lain ditipunya. Sudahlah harga tiket RM 45.00. 

Semasa awal saya membeli tiket penjual tiket itu sendiri memberitahu yang bas itu akan berjalan terus tanpa berhenti dan mengambil penumpang di mana-mana. Namun sebaliknya bas ini berhenti di Sungai Petani untuk mengambil penumpang. Saya rasa bas ini tangkap muat saja untuk mencari keuntungan. Janji hanya sekadar janji. Ini bukanlah luahan perasaan semata-mata. Saya berharap semua pihak yang bertanggungjawab dapat memikirkan sesuatu cara untuk melindungi kami pihak pengguna yang merasakan tertipu. 

Saya sampai di Pudu Raya lebih kurang pukul 6.00 petang. Setelah mengambil LRT dari Plaza Rakyat ke Bandaraya saya mengambil Komuter pula dari Bank Negara ke Rawang dan meneruskan perjalanan ke batang Kali. Walau bagaimanapun syukur alhamdulillah sekali lagi saya sampai dengan selamat.

Sabtu, 28 Januari 2012

Cuti Berakhir Kembali Pulang Bertugas

Setelah pulang ke Kedah selama seminggu bercuti sempena Tahun Baru Cina, esok saya akan pulang ke Batang Kali, Selangor semula untuk memulakan tugas. Agak berat untuk saya pulang ke Batang Kali meninggalkan keluarga di Kedah. Demi tugas saya gagahkan hati untuk kembali menyambung tugas, mendidik anak bangsa.

Seperti biasa tiket untuk pulang sempena Tahun Baru Cina tidak kiralah ketika hendak pulang ke Kedah atau kembali ke Kuala Lumpur harga tiket pasti melambung. Dengan harga RM 45.00 saya akan menaiki bas menuju ke Pudu Raya. Mulanya hendak turun di Tanjung Malim, dekat sikit dengan Batang Kali tidak perlulah ke Pudu Raya, alangkah tidak bertuahnya saya apabila bas yang hendak ke Tanjung Malim hanya ada pada waktu malam dan sebuah saja yang berjalan dalam satu-satu masa. Jadi saya ambil keputusan untuk turun di Pudu Raya. Harap-harap tidaklah berlaku kekangan kesesakan jalan seperti ketika saya pulang ke Kedah seminggu lepas.

Doakan saya sampai dengan selamat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78