Pengikut

Rabu, 12 Disember 2018

Kesusasteraan Kanak-kanak Tidak Dihargai?

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.



Sejauh manakah kita menghargai buku kanak-kanak? 

Benarkah penulisan genre kanak-kanak diletakkan pada tempat yang sepatutnya dalam kesusasteraan tanah air? 

Apakah dalam penilaian anugerah sastera, kesusasteraan kanak-kanak diberikan merit sama rata dengan kesusasteraan dewasa/umum? 

Berapa banyakkah buku panduan penulisan kanak-kanak yang telah diterbitkan?

Adakah penulis yang menulis karya kanak-kanak dipandang sebelah mata sahaja?

Adakah tugas mencungkil bakat dan peluang kanak-kanak menulis cukup pada kertas peperiksaan dan sewaktu mereka bersekolah rendah sahaja?

Tepuk dada, tanyalah diri sendiri.

...



Saya terbaca perkongsian rakan penulis tentang buku belajar menulis cerita anak terbitan Indonesia.

Wah, barangkali penerbitan buku panduan menulis cerita kanak-kanak di sana, serancak buku panduan menulis karya dewasa?

Lantas, saya mendekati rak buku saya lalu membelek-belek koleksi buku yang ada.

Saya tarik buku Siri Asas Penulisan Kecil ITNM yang diterjemahkan daripada karya Nancy Loewen. Ada 10 judul yang diterbitkan berserta ilustrasi yang sangat memikat.

Buku tersebut merangkumi panduan menulis buku cerita bergambar, penulisan cerita lucu, cerita seram, cerita dongeng, puisi, laporan penyelidikan, surat, jurnal, drama dan novel. Langkah demi langkah diajarkan dan disertakan dengan contoh. Buku-buku ini sangat sesuai untuk dijadikan panduan oleh kanak-kanak yang minat untuk menulis.

...


Saya tidak pasti sama ada kita mempunyai senarai yang panjang atau tidak untuk dirujuk tentang buku panduan menulis karya kanak-kanak.

Dalam simpanan saya hanya ada dua buku sahaja, iaitu Tip Mengarang Buku Cerita Berilustrasi, ITBM (2013) oleh Umi E.Na dan Seronoknya Menulis Cerita, DBP (2018) oleh Marsli N.O.

Barangkali ada lagi buku yang diterbitkan, namun saya terlepas pandang. Jika ada, bolehlah kongsikan dengan saya. Manalah tahu, masih ada stok bolehlah saya beli dan baca.

Menulis karya kanak-kanak mencetuskan kepuasan yang tersendiri.

#KoleksiBukuMHA #MalaysiaMembaca #PanduanMenulisKaryaKanakkanak

Ahad, 9 Disember 2018

Karya Penutup Tahun 2018

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



Karya penutup tahun 2018. Alhamdulillah, ada dua karya saya yang disiarkan dalam majalah terbitan DBP, Bil. 12/2018.

1. Galeri Sastera: Pelancaran Buku Siri Anekdot dan Cerita Kehidupan - Tunas Cipta.

- Berita ini saya tulis bagi menghargai dan menyebarluaskan cerita tentang penerbitan buku siri anekdot dan cerita kehidupan terbitan Wacana MBM.

2. Reaksi: Plagiarisme, Etika dan Akta Hak Cipta Belum Selesai? - Dewan Sastera.

- Reaksi ringkas ini telah lama saya tulis dan hantar, namun baru berkesempatan disiarkan.

- Reaksi tentang kes plagiarisme yang berlaku pada bulan Februari 2018.

- Reaksi etika penulis sebelum menghantar karya, semasa karya dalam tempoh penilaian dan selepas karya disiarkan. (Saya dapati penulis masih salah faham tentang tempoh "idah" menyiarkan karya selepas karya tersiar. Bukan pagi karya tersiar, petang atau malam sudah boleh disiarkan secara penuh dalam media sosial).

- Reaksi etika editor menguruskan karya yang diterima.

- Reaksi Akta Hak Cipta 1987, keseriusan penulis membawa kes plagiarisme ke muka pengadilan.

Reaksi ringkas ini tidak cukup untuk menjelaskan semua perkara kepada penulis dengan sejelas-jelasnya. Oleh itu, suka saya menyarankan kepada penulis untuk membaca dan merujuk buku dan pelbagai sumber lain untuk membantu penulis memahaminya.

Terima masih kepada editorial Tunas Cipta dan Dewan Sastera yang menyiarkan kedua-dua penulisan saya ini.

#KaryaTersiar #GaleriSasteraTunasCipta #ReaksiDewanSastera
 
 

Selasa, 27 November 2018

Koleksi Sampul Surat Seorang Penulis

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera. 

No automatic alt text available.




Ini bukan sampul surat cinta. Ini bukan sampul surat edisi khas tetapi sampul surat ini setiap satunya merakamkan sejarah penting dalam bidang penulisan saya.

Sampul-sampul ini terpilih daripada puluhan sampul yang saya terima sejak dari tahun 2008 hingga 2018 yang mewakili pelbagai penerbit akhbar, majalah dan buku. 







Perincian setiap sampul adalah seperti berikut: 

1. Karangkraf
Sampul surat yang berisi surat makluman tentang bayaran honorarium untuk karya saya yang disiarkan dalam majalah Mingguan Wanita. 

2. New Straits Times Press
Sampul surat yang berisi surat makluman tentang bayaran honorarium untuk karya saya yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian.

3. Berita Publishing Sdn
Sampul surat yang berisi cek bayaran honorarium untuk karya saya yang disiarkan dalam majalah Jelita.

4. Dewan Bahasa dan Pustaka
Sampul surat ini paling banyak saya terima. Sampul surat ini berisi surat makluman tentang bayaran honorarium untuk karya saya yang disiarkan dalam majalah terbitan DBP. Karya saya pernah disiarkan dalam semua majalah DBP kecuali Dewan Kosmik dan Dewan Ekonomi. 
Selain itu, surat yang diterima berkaitan penerbitan buku, HSPM dan lain-lain.

5. Utusan Publication & Distributor
Sampul surat yang berisi cek pembayaran royalti KOMSAS, surat undangan ke majlis HSKU, penerbitan buku audio dan beberapa perkara rasmi yang lain.

6. Utusan Melayu Malaysia Bhd
Sampul surat yang berisi slip pembayaran honorarium untuk karya saya yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia dan Utusan Melayu Mingguan. 

7. Institut Terjemahan & Buku Malaysia
Sampul surat yang berisi surat berkaitan penerbitan buku seperti surat penerimaan manuskrip, surat makluman keputusan penilaian manuskrip dan beberapa perkara rasmi yang lain.

8. Utusan Karya Sdn Bhd
Sampul surat yang berisi cek pembayaran honorarium untuk karya saya yang disiarkan dalam majalah Harmoni, Wanita dan URTV. 

Sampul surat ini akan kekal menjadi kenangan kepada penulis yang pernah melalui zaman ini.
Jika ada kesempatan, saya berhasrat untuk membingkaikan sampul surat ini.

#catatanseorangpenulis #sampulsurat

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78