Pengikut

Isnin, 19 November 2018

Pengalaman Penulis Berjualan Buku Terus kepada Pembaca

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



Temu Mesra Bersama Penulis ini memberikan pengalaman berharga kepada saya berkaitan beberapa perkara. 

Sebelum acara, saya telah membuat persediaan seadanya. Pertamanya, saya menyemak stok buku yang berbaki. 

Yalah, kalau nak jual buku, tidak mungkin nak pamerkan sebuah buku sahaja seolah-olah memberikan gambaran yang saya tidak bersungguh-sungguh untuk menjual buku. 

Oleh itu, saya letakkan tiga naskhah setiap judul, kecuali Kartunis Muda 10 naskhah, Bila Ayah Berkaca Mata Hitam - lima naskhah dan Gadis dan Cermin Masa Depan - lima naskhah. 

Saya meletakkan diri saya sebagai pembeli. Saya pun berasa tidak puas hati jika hanya dapat membelek-belek kulit depan dan kulit belakang buku sahaja. 

Jadi, saya buka plastik pembalut buku bagi setiap judul untuk memudahkan pengunjung membelek halaman buku. 

Keduanya, saya tolak tambah, bahagi dan darab untuk menentukan harga jualan buku. Memandangkan sasaran saya dan tempat jualan saya di sekolah, pengunjungnya ibu bapa dan murid, saya menjual buku dengan harga mampu milik. Biarpun ada buku yang dijual hanya memberikan keuntungan beberapa sen sahaja. 

Saya perhatikan setiap meja jualan buku, mejanya beralas dengan kain. Jadi, saya pun apa lagi, belilah kain alas. Kemudian, saya beli kad untuk ditulis harga jualan, bekas letak duit, plastik dan tapak mempamerkan harga promosi. Mengenangkan perkara itu, terasa lucu pula.

Tidak cukup setakat itu, saya meminta rakan guru untuk mereka gegantung promosi. Bukan main besar lagi gegantung yang memaparkan wajah saya.
Seawal pagi saya menyusun buku-buku yang hendak dijual. Kemudian, saya meminta bantuan murid saya untuk membantu saya menjaga meja jualan ketika saya bertugas sebagai AJK Protokol. 

Saya dapat membayangkan perasaan peniaga apabila barang jualan tidak laku kerana pada hari pertama hanya seorang sahaja yang membeli buku saya, itu pun rakan guru. 

Alhamdulillah, pada hari kedua ada peningkatan dan saya boleh mengukir senyuman bermakna.

Sewaktu saya di meja jualan, saya dapat perhatikan pelbagai gelagat pengunjung. Ada yang sekadar lalu namun hanya melirik manja sahaja. 

Ada yang datang menjengah dan memerhati susunan buku di atas meja. Ada juga yang memegang dan membelek buku yang dipamerkan. Bahkan, ada yang membelek gegantung promosi (barangkali tertanya-tanya, siapalah penulis ni?). 

Tidak dinafikan, ada juga pengunjung yang tidak tertarik pun untuk melirik apatah lagi singgah untuk melihat-lihat buku yang dijual. Dengan kata lain, buku bukanlah magnet yang bertindak sebagai daya penarik.

Walau bagaimanapun, saya berpeluang bertemu dengan editor majalah KUNTUM yang datang menjengah dan berbual-bual tentang majalahnya dan mendengar perkongsian saya tentang hal penulisan dengannya. 

Saya gembira kerana saya berjaya mencabar diri melakukan sesuatu yang tidak pernah saya jangkakan yang saya mampu lakukan. Bermula daripada seorang pembaca, penulis dan kini penjual buku secara langsung kepada pembaca. 

Ayuh, rakan-rakan penulis, jika bukan penulis yang mempromosikan dan menjual hasil karya kita, siapa lagi yang kita mahu harapkan? 

Mohd Helmi Ahmad
Secebis Pengalaman daripada Penulis Muda

1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78