Assalamualaikum & Selamat Sejahtera.
APA YANG SAYA TULIS SEPANJANG TAHUN 2008 HINGGA 2018?
1. Saya mula memasuki bidang penulisan kreatif melalui karya eceran. Saya menulis cerpen, puisi dan artikel. Karya ini saya hantar untuk dipertimbangkan oleh editor akhbar dan majalah.
2. Setelah cerpen pertama saya, "Nyanyuk Si Mentua" disiarkan dalam majalah Harmoni pada tahun 2008, saya tidak menoleh ke belakang lagi. Saya melangkah dan cuba menembusi akhbar dan majalah lain pula.
3. Pada tahun 2009 pula, saya dimaklumkan bahawa puisi pertama saya, "Berdiri di Atas Kaki Sendiri" telah disiarkan dalam akhbar Bacaria. Puisi ini telah dibukukan dalam Kumpulan Puisi Remaja: Madu di Tangan.
4. Setelah beberapa tahun kemudian, saya tergerak hati untuk mengumpulkan karya saya yang tersiar itu untuk dibukukan. Hasrat itu lebih kuat apabila saya terbaca satu berita bahawa kerajaan telah menyuntik dana melalui ITBM untuk menerbitkan buku karya asli penulis muda.
5. Hasil daripada bertanya rakan-rakan penulis cara menyusun manuskrip dan beberapa hal berkaitan serta membuat kajian ringkas, akhirnya saya mengemukakan manuskrip "Tetamu Istimewa" kepada ITBM untuk dinilai dan setahun selepas itu, lulus diterbitkan.
6. Pada tahun 2014, terbitlah buku pertama saya. Ketika itu tak tergambar perasaan berbaur rasa itu. Tidak terduga sama sekali, apabila buku pertama saya ini diberikan pengiktirafan dalam HSPM pada tahun 2014 kategori Kumpulan Cerpen Remaja.
7. Setahun selepas itu, saya memberanikan diri untuk mengumpulkan puisi pula. Setelah menimbangkan beberapa perkara, saya menyusun manuskrip kumpulan puisi remaja. Manuskrip ini pada asalnya saya hantar 80 buah lebih puisi. Namun setelah dinilai, panel memutuskan untuk penerbitan kumpulan puisi remaja, hanya 50 buah puisi sahaja.
8. "Madu di Tangan" terbit pada tahun 2015. Sebahagian puisi tersebut pernah disiarkan dalam majalah dan akhbar. Menerusi HSPM 2015/2016, buku ini telah dinobatkan sebagai Kumpulan Puisi Remaja terbaik. Tidak terjangka saya apabila kali kedua saya naik ke pentas HSPM.
9. Kali pertama nama saya terselit sebagai pemenang HSKU (saya tidak hadir) pada edisi 2010. Cerpen "Bunga Telur Kenduri Kahwin", telah meletakkan cerpen remaja saya itu untuk menumpang pentas yang gah berdirinya penulis mapan. Sebagai penulis baharu, saya berasa amat kerdil sekali. Selepas itu, pada tahun 2011 dan 2012, dua tahun berturut-turut cerpen remaja saya berjaya meloloskan diri untuk diiktiraf sebagai pemenang, walaupun hanya hadiah penghargaan. Cerpen "Kuih Bakul Limau Mandarin" yang turut memenangi HSKU telah dipilih dijadikan teks KOMSAS pelajar Tingkatan 1 mulai tahun 2015.
10. Tidak berhenti di situ sahaja, saya yang turut menulis karya dewasa cuba menyusun manuskrip kumpulan cerpen dewasa pula. "Bila Ayah Berkaca Mata Hitam" menghimpunkan 18 cerpen dewasa. Dua cerpen saya yang pernah memenangi Sayembara Cerpen ASASI dan Sayembara Cerpen ANIS turut dimuatkan dalam buku ini. Buku ini diterbitkan pada tahun 2016.
11. Pada awalnya banyak kali saya berfikir sama ada perlu atau tidak saya menerbitkan kumpulan cerpen remaja kedua. Antara yang bermain-main di fikiran saya, adakah buku ini lebih baik daripada Tetamu Istimewa? Walau bagaimanapun, saya berhak juga memberikan peluang kepada pembaca untuk menilai daripada kaca mata mereka. Akhirnya, "Gadis dan Cermin Masa Depan" berjaya juga sempena PBAKL 2018 lalu.
12. Keempat-empat buku saya ini diterbitkan oleh ITBM. Bagi saya, ITBM merupakan sebuah syarikat penerbitan yang mempunyai nama yang besar dalam industri penerbitan buku sastera yang berkualiti. Saya sangat berterima kasih kepada ITBM yang mempercayai karya-karya saya.
13. Cabaran sebagai penulis yang menulis karya eceran sebelum dibukukan tetap ada. Tinggal lagi kita sebagai penulis perlu bijaksana menanganinya. Empat buku saya ini hanyalah sebilangan kecil karya yang "terpilih". Di sebalik kejayaan mengangkat dan mengumpulkan karya tersebut, seberapa banyak karya ditolak, seberapa banyak karya yang disisihkan, biarlah saya sahaja yang tahu.
14. Saya berharap perjuangan saya dalam bidang penulisan ini tidak akan berhenti di sini sahaja. Besar harapan saya agar dapat melihat buku genre kanak-kanak saya pula diterbitkan selepas ini.
15. Rakan-rakan yang berhasrat untuk menulis (calon penulis) atau penulis baharu teruskan usaha. Bina kredibiliti, tingkatkan mutu karya, insya-Allah pada masa hadapan kita akan dapat menuai hasilnya yang ada kala kita sendiri tidak menjangkakannya.
Mohd Helmi Ahmad
Catatan Pengalaman Penulis Marhaen
Tiada ulasan:
Catat Ulasan