Pengikut

Khamis, 11 Januari 2018

Menjadi Pengacara Majlis Apa yang Perlu Diberikan Perhatian?

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



Hakikatnya saya seorang yang pemalu.Tidak petah berkata-kata di hadapan orang ramai. Apatah lagi tidak termimpi oleh saya untuk menjadi pengacara majlis. Sebolehnya saya menolak tugas ini.

Apabila menjadi seorang guru Bahasa Melayu, pernah pula memegang Ketua Panitia, saya dilihat seorang yang terampil untuk memikul tanggungjawab ini berbanding guru lain. Mahu tidak mahu, pada mulanya saya "terpaksa" menerimanya.

Tanpa pengalaman dan tanpa ilmu yang cukup, saya beranikan diri memikul tugas ini. Kali pertama saya diamanahkan menjadi pengacara program terbesar di sekolah iaitu Majlis Kecemerlangan, pada tahun 2013. Selepas itu, tiga tahun berturut-turutlah saya memegang jawatan ini. 

Seterusnya, bagaikan tiada nokhtah, saya terus diberikan tanggungjawab menjadi pengacara Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PIBG dan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah. Selain majlis kecil yang lain seperti persaraan guru dan lain-lain.

Benarlah kata orang, belajar daripada pengalaman lebih mudah memahami dan dipraktikkan daripada belajar secara teori. Daripada situ, saya membina keyakinan diri.

Walau bagaimanapun, ilmu yang ada perlu ditambah dari semasa ke semasa sama ada secara berguru ataupun pembacaan.

Apabila saya mendapat tahu bahawa Cikgu Tok Mat ataupun Mohamad Musip menerbitkan "Modul Pemantapan Tatabahasa & Seni Bahasa dalam Pengacaraan", saya tidak berfikir panjang lagi untuk memilikinya. Terima kasih cikgu, buku telah selamat saya terima.

Sebelum ini saya telahpun memiliki "Koleksi Teks Pengacaraan Majlis Rasmi Sekolah" yang ditulis oleh Cikgu Absha Atiah Abu Bakar dan "Rahsia Pengacaraan Hebat" oleh Azimin Bin Daud.

Sebagai guru yang selalu dilantik mengacarakan program di sekolah, sudah pastilah buku yang menjurus kepada contoh atau panduan teks pengacaraan program yang dijalankan di sekolah akan dicari.

Berdasarkan pengalaman, saya lebih suka membuat skrip pengacaraan sendiri berbanding menyalin daripada mana-mana sumber. Apabila kita membuat sendiri skrip tersebut, kita akan lebih faham. Dikatakan, kelancaran sesuatu program terletak juga kepada seorang pengacara.

Apabila saya menjadi pengacara, perkara yang saya dititikberatkan:

1. Salutasi dan protokol

2. Atur cara majlis

3. Seni bahasa: pantun pembuka, pantun ucapan dan pantun penutup

4. Elakkan kesalahan bahasa yang ketara

5. Gaya penyampaian boleh dipelajari dari masa ke masa

Pengalaman ialah guru terbaik untuk proses pembelajaran.

1 ulasan:

  1. Salam singgah abang Helmi.
    Menjadi pengacara majlis memang seronok, apatah lagi sesudah majlis selesai dan semuanya berjalan lancar. Lagi seronok apabila terlibat dalam bahagian protokol dan penyediaan teks pengacara majlis.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78