Assalamualaikum.
Wah, seminggu saya tidak menerbitkan sebarang entri! Bukan tidak dijenguk blog ini, tetapi tiada apa yang hendak dikongsikan. Namun, hari ini saya rajinkan jemari untuk mencoret sebarang kisah untuk perkongsian bersama.
Saya pasti, mood untuk berhari raya semakin dirasai. Saya pun begitu. Berkira-kira untuk pulang ke kampung untuk berjumpa keluarga, berbuka bersama dan menyambut Aidilfitri. Bagaimanapun, kami warga pendidik masih dalam dilema sama ada hari Jumaat ini sekolah dberi cuti ataupun tidak. Pada mulanya, khabar angin mengatakan cuti, namun sehingga hari ini hitam putihnya belum dikeluarkan. Oleh itu, hari Jumaat ini sesi persekolahan perlu diteruskan.
Menyentuh tajuk entri kali ini, seperti terakam satu nostalgia bagi saya setiap kali menyambut Aidilfitri. Saya pernah menulis sebuah cerpen berjudul Ketupat Palas Nasi Himpit. Cerpen ini disiarkan di majalah Era Muslimah pada tahun lepas kalau tak salah. Mengisahkan pasangan kembar dari sebuah keluarga yang mengidam untuk menikmati ketupat palas. Sedangkan ibunya tidak tahu untuk menganyam ketupat palas. Puncanya, generasi kini yang tidak pernah hendak belajar untuk menganyam ketupat palas. Biarpun si ibu cuba belajar daripada video di internet, sememangnya amat sukar hendak dipraktikkan.
Keduanya, pastilah konflik sampingan yang saya wujudkan adalah perselisihan faham antara anak dengan ibu menyebabkan (perkahwinan yang tidak direstui) telah membawa haluan anak mengikut suami. Namun, pengahirannya, saya pertemukan semula si anak dengan si ibu yang akhirnya menyebabkan pasangan kembar dapat menikmati ketupat palas (nenek).
Di tempat saya, sememangnya ketupat palas menjadi juadah wajib untuk disediakan. Kemudian, kari daging dijadikan pencecahnya. Ada juga yang menyediakan serunding. Oh, nikmatnya mengecurkan liur!
Beberapa hari menjelang hari raya, ayah akan membeli daun palas di pasar hari. Kemudian, mak saya akan membuka daun palas lebih awal (menganyam kelongsong ketupat). Saya turut membantu. Pada sehari sebelum hari raya, mak akan menanak pulut separuh masak yang telah diadun dengan santan dan dimasukkan sedikit garam. Kerja saya pula mengeluarkan pulut tersebut daripada periuk lalu diletakkan di atas talam (dulang) besar agar pulut itu sejuk. Hal ini penting supaya kerja-kerja menyumbat pulut dalam kelongsong mudah dilakukan. Setelah siap dianyam, saya akan menggunting tangkai ketupat yang panjang sebelum dimasukkan ke dalam periuk untuk direbus.
Bagi saya ketupat palas penyeri hari raya. Tak ada ketupat palas macam tak raya pula.