Pengikut

Ahad, 21 Ogos 2016

Mohd Helmi Ahmad: Guru yang Menulis, Penulis yang Mendidik

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Lama saya meninggalkan blog ini tanpa khabar berita. Rasa kebersalahan itu membuatkan saya kembali menjenguk ke blog yang menjadi medium awal saya mengasah pena dan berkongsi rasa. Rindu untuk kembali menulis di sini. Kepuasan menulis di blog tidak sama seperti menulis di media sosial Facebook.

Untuk permulaan ini saya kongsikan dahulu kisah saya yang pernah disiarkan dalam akhbar Sinar Harian pada 15 Ogos 2016 lalu. Saya mengucapkan terima kasih kepada wartawan Sinar Harian yang sudi menemu ramah saya dan memberi peluang kepada saya untuk berkongsi cerita dengan pembaca surat khabar pula.



Cikgu Helmi cabar diri buat dua kerja sehingga akhirnya dia..
Mempunyai dua kerjaya - penulis dan guru - memberi 1001 kepuasan buat Mohd Helmi Ahmad.

Tambahan pula, kedua-dua profesion itu membawa konsep yang lebih kurang sama iaitu mendidik.

"Sebagai penulis, pastinya matlamat penciptaan karya adalah untuk mendidik akal budi pembaca.

"Menjadi guru pula, menawarkan saya dengan pengalaman menarik supaya boleh diterjemahkan di dalam karya," katanya.

Pun begitu, pendidik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Batang Kali, Selangor ini mengakui dua kerjaya itu mempunyai cabaran yang berbeza.

"Sudah pastilah sebagai guru, saya menghadapi kekangan masa dalam memperuntukkan waktu khas untuk menulis.

"Jika saya membiarkan kekangan ini terus membelenggu, sudah pastilah minat dan bakat ini akan berkubur begitu sahaja," katanya.

Kata beliau, atas dasar itu, disiplin menulis yang tidak mengira waktu menjadi amalan saya demi memastikan lakaran pena terus menari," katanya.

Cikgu Helmi ketika menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014.

Pupuk minat sastera, buku

Mohd Helmi mengakui guru turut memainkan peranan penting dalam memperkenalkan karya sastera kepada murid.

Bahkan, lelaki berusia 30 tahun ini yakin pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) turut membantu dalam melahirkan murid celik sastera.

Menurutnya, pelbagai aktiviti di sekolah turut membantu dalam memupuk dan menyuburkan minat murid sekali gus menambah pengalaman kendiri.

"Sebagai guru Bahasa Melayu, saya mempunyai peluang yang luas untuk membuka minda murid saya mengenali karya sastera.

"Contohnya, saya pernah menjadikan majalah Dewan Pelajar sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas," ujarnya.

Selain itu, katanya, guru juga bertindak sebagai ikon membaca bagi murid.

"Saya punya cara dalam mendidik murid agar mereka lebih dekat kepada buku.

"Selalunya, saya akan jadikan buku sebagai hadiah kepada mereka yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Jadi, melalui kaedah ini, murid akan lebih teraspirasi untuk mendekati buku," katanya.

Jelasnya, usaha memupuk amalan membaca perlu dimulakan sejak dari akar umbi lagi. Hasil buku kanak-kanak Mengimbas kembali, Mohd Helmi memberitahu, pembabitannya dalam
bidang penulisan bermula selepas karya pertamanya, 'Nyanyuk Si Mentua' tersiar di majalah Harmoni pada 2008.

Mengorak langkah, anak kelahiran Kedah ini turut bertuah apabila menerima bimbingan daripada dua tokoh sastera, Profesor Madya Dr Lim Swee Tin dan Dr Kamariah Kamarudin ketika mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Alhamdulillah, ia pengalaman yang sangat berharga. Dua tokoh ini yang bertanggungjawab mencungkil bakat seterusnya mencorak lakaran pena saya.

"Berkat daripada tunjuk ajar, akhirnya saya mampu menempatkan diri dalam dunia penulisan negara kita," katanya.

Setakat ini, Mohd Helmi sudah memiliki tiga buku iaitu Kumpulan Cerpen Remaja: 'Tetamu Istimewa', Kumpulan Puisi Remaja: 'Madu di Tangan' dan Kumpulan Cerpen: 'Bila Ayah Berkaca Mata Hitam' yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) sejak dari 2014 hingga 2016.

Katanya, memandangkan 'dunianya' lebih dekat dengan murid dan sekolah, Mohd Helmi lebih selesa menulis karya kanak-kanak dan remaja. Sebab itu, Mohd Helmi sering
menekankan aspek didaktik dalam setiap karya yang dihasilkan.

"Aspek didaktik bermaksud karya yang memberikan pengajaran dan panduan kepada pembaca untuk diamalkan dalam kehidupan.

"Itu tidak bermakna setiap karya yang tercipta itu kelihatan kaku dan seperti direka-reka," jelasnya.

Justeru, menurutnya, adalah menjadi harapannya agar dapat menerbitkan karya kanak-kanak, suatu hari nanti.

"Bagi saya, menghasilkan karya kanak-kanak dan remaja tidak kurang mencabarnya.

"Oleh sebab itu, bukan semua penulis mampu menulis karya kanak-kanak dan remaja dengan baik,"katanya.


PROFIL
Nama: Mohd Helmi Ahmad
Umur: 30 Tahun
Tempat Lahir: Alor Setar Kedah
Kerjaya: Guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Batang Kali, Batang Kali Selangor

Pendidikan:
- Ijazah Sarjana Muda Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu)
- Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLISR), Pengajian Bahasa Melayu

Pencapaian/Anugerah:
- Memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil (HSKU), Kategori Cerpen Remaja pada 2010, 2011 dan 2012
- Cerpen 'Kuih Bakul Limau Mandarin' dipilih menjadi teks antologi Komponen Sastera (KOMSAS) Tingkatan 1 mulai 2015
- Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa, ITBM-2014 memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM)2014

Hasil Karya:
- Kumpulan Cerpen Remaja: 'Tetamu Istimewa' (ITBM 2014)
- Kumpulan Puisi Remaja: 'Madu di Tangan'(ITBM 2015)
- Kumpulan Cerpen: 'Bila Ayah Berkaca'Mata Hitam' (ITBM 2016)

2 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78