Pengikut

Ahad, 16 Oktober 2016

Kenali Media Penerbitan Sebelum Menghantar Karya

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera.



MAHU MENJADI PENULIS?
- KENALI MEDIA PENERBITAN


Seorang penulis eceran perlulah mengenali terlebih dahulu media penerbitan sebelum menghantar karya.
Terdapat pelbagai media penerbitan baik surat khabar dan majalah yang menyediakan ruangan puisi, cerpen dan artikel. Sudahkah anda bersedia untuk menjadi penulis eceran? Kepada calon penulis, sudahkah anda mengenali media penerbitan? Jika belum, apakah tindakan anda?

Sebagai penulis yang bijaksana, beliau akan menganalis dan mengenali media penerbitan terlebih dahulu sebelum menghantar karya. Bukan sebaliknya dengan mencuba nasib ataupun mengharapkan untung sabut timbul.

Maka, sebagai perkongsian secara ringkas saya akan berkongsi jenis media penerbitan yang boleh anda menghantar karya.

SURAT KHABAR
Berita Harian
- BH menyediakan ruangan puisi dan cerpen pada hari Ahad.
- Sebuah cerpen dan dua atau tiga buah puisi untuk setiap kali keluaran.

Mingguan Malaysia
- MM menyediakan ruangan puisi dan cerpen pada hari Ahad.
- Sebuah cerpen dan tiga hingga lima buah puisi untuk setiap kali keluaran.

Sinar Harian
- SH menyediakan ruangan puisi dan cerpen pada hari Sabtu.
- Sebuah cerpen dan lima hingga tujuh buah puisi untuk setiap kali keluaran.

Utusan Malaysia
- UM menyediakan ruangan puisi dan cerpen pada hari Sabtu.
- Dua buah cerpen dan tiga hingga empat buah puisi untuk setiap kali keluaran.
- Selalunya tema penyiaran dalam surat khabar berkaitan hal-hal semasa kerana khalayak pembacanya umum. Hal-hal lain seperti kehidupan, kekeluargaan, pendidikan, budaya boleh juga dihantar tetapi biarlah garapannya kemas dan segar.

MAJALAH
Terbitan DBP
(1) Dewan Bahasa dan Pelita Bahasa
- Kedua-dua majalah ini berkaitan tentang bahasa. Walau bagaimanapun, majalah DB lebih terarah kepada perjuangan bahasa secara umum. Manakala, PB lebih menjurus ke arah pendidikan bahasa di sekolah.
- DB membuka peluang untuk penulis menghantar karya berupa artikel dan sebuah puisi setiap keluaran.
- PB turut membuka peluang untuk penulis menghantar karya berupa artikel, puisi dan cerpen. Tiga buah puisi akan dipilih untuk mengisi ruangan Simfoni Bahasa dan sebuah cerpen setiap keluaran. Ruangan artikel pula pelbagai seperti Sastera dalam Bahasa, Cemerlang Pelajar, Warisan Bahasa dan beberapa lagi.

(2) Dewan Sastera
- Penulis beranggapan satu karya yang disiarkan dalam DS tidakkan sama dengan 10 buah karya yang disiarkan dalam media penerbitan lain. Hal ini menunjukkan betapa prestijnya karya yang disiarkan dalam DS.
- DS menyediakan pelbagai ruangan menarik seperti puisi, cerpen dan artikel.
- Setiap keluaran, DS menampung 12 hingga 16 buah puisi, manakala untuk cerpen empat buah sahaja.
- Turut menyediakan ruangan Surat kepada Editor, Ujana Klasik, Sastera Antarabangsa, Ulasan Buku yang membuka peluang kepada penulis untuk menyumbangkan karya.

(3) Tunas Cipta
- Jika DS kebanyakannya menampung karya penulis mapan, calon penulis ataupun penulis muda yang baru hendak mula menulis, bolehlah cuba menghantar karya kepada TC.
- TC menyediakan 11-13 buah puisi untuk setiap kali keluaran. Manakala untuk cerpen hanya empat buah sahaja.
- Selain ruangan Sejambak Ilham (puisi) dan Nukilan Pena (cerpen) TC turut menyediakan ruangan Luahan Minda, Puisi Tradisional, Ulasan Buku, Galeri Sastera, Ilham Kembara, Bicara Tunas.

(4) Dewan Siswa
- DS menyediakan bahan sisipan pembelajaran untuk pelajar PT3 dan SPM.
- DS turut menyediakan ruangan cerpen iaitu Cerpen daripada Siswa dan Cerpen untuk Siswa. Sebuah cerpen untuk setiap ruangan akan disiarkan.
- Puisi Siswa turut membuka peluang kepada pelajar universiti dan sekolah menengah untuk menghantar puisi. Kebiasannya lapan hingga sembilan buah puisi akan disiarkan dalam setiap keluaran.
- Pelajar sekolah menengah yang berminat untuk menulis pendapat bolehlah hantar ke DS menerusi ruangan Cetusan Pendapat. Kebiasaannya, tiga buah pendapat akan dipilih.

(5) Dewan Pelajar
- DP menyediakan bahan sisipan pembelajaran untuk murid sekolah rendah - UPSR.
- DP menyediakan ruangan Puisi Untukmu. Kebiasasnnya enam buah puisi akan dipilih pada setiap keluaran.
- Kepada murid yang berminat untuk menulis cerita atau karangan bolehlah menghantar karya tersebut kepada DP.
- Kisah Bulan Ini dan Cerita Rakyat kebiasannya ditulis oleh penulis dewasa.

Selain majalah yang dibincangkan di atas, DBP turut menerbitkan majalah Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Dewan Kosmik, Dewan Tamadun Islam dan Dewan Ekonomi.

(6) Majalah ASUH turut menyediakan ruangan cerpen dan puisi kepada kanak-kanak yang berminat untuk menghantar karya.

(7) Majalah Mingguan Wanita turut menyediakan ruangan cerpen pada setiap minggu.

(8) Majalah WANITA menyediakan ruangan cerpen dan puisi. Setiap keluaran sebuah cerpen dan tiga atau empat buah puisi.

Majalah dan akhbar yang sudah menggugurkan ruangan karya kreatif ialah Harmoni, Jelita, URTV dan Utusan Melayu Mingguan.

Sebenarnya, ada beberapa lagi majalah yang menyediakan ruangan karya kreatif. Begitu juga dengan akhbar tabloid yang lain. Walau bagaimanapun, majalah dan surat khabar yang dikongsikan di atas merupakan media penerbitan utama di negara kita yang menampung penyiaran karya eceran penulis tempatan.

Mohd Helmi Ahmad
Penulis Eceran Akhbar dan Majalah
Penulis Buku Tetamu Istimewa
Penulis Buku Madu di Tangan
Penulis Buku Bila Ayah Berkaca Mata

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78