Assalamualaikum semua. Alhamdulillah, hari ini sudah masuk hari yang kelapan kita berpuasa.
Sebenarnya saya jarang menerbitkan cerpen saya di blog ini. Namun begitu, ada permintaan rakan blogger yang meminta saya berkongsikan cerpen saya yang pernah disiarkan di media cetak. Jadi, saya bermurah hati di bulan Ramadan ini untuk memenuhi permintaan itu. Cerpen ini sekadar rekaan semata-mata. Oleh itu, contohilah yang baik dan hindarilah yang kurang baik. Selamat membaca.
MABUK CINTA KELADI
P
|
ERTEMUAN saya dengannya memang secara kebetulan sahaja. Tidakpun dirancang
sama sekali. Semasa saya berjalan-jalan ke bazar Ramadan dia ada di situ.
Kelihatannya dia agak sibuk sedikit. Saya tidak mahu mengganggunya.
Saya tidak
mengenalinya. Namanya pun saya tidak tahu. Bahkan lagilah di mana tempat
tinggalnya. Tetapi hati saya terasa benar untuk menegurnya. Apabila memikirkan kembali yang saya sudah
beristeri lantas perasaan itu patah. Saya sangat sayang akan isteri saya. Dia
adalah cinta pertama saya. Tidak tegar untuk saya melukakan hatinya. Sekiranya
dia dapat tahu yang saya bermiang di luar tentu sekali hatinya akan remuk.
Hajat saya
hanyalah untuk mengajaknya minum-minum sahaja. Tidak lebih daripada itu.
Mahukah dia berbual dengan saya? Saya tidak tahu sama ada dia sudah berpunya
ataupun tidak. Sudah berkahwinkah dia? Saya juga tidak tahu. Rasanya mahu juga
tahu. Tidaklah dikemudian hari ada yang cemburu. Ada yang marah. Apabila sudah
berkenalan nanti tahulah saya.
Petang itu
cuaca agak redup. Matahari tidak segarang petang-petang sebelum ini. Hanya
sekadar bersinar lemah. Pengunjung ketika itu semakin bertimpa-timpa. Keadaan
semakin sesak. Sehinggakan untuk menapak kaki pun susah.
Hati saya
berdebar-debar seketika langkahan saya semakin dekat dengannya. Jiwa saya
diburu resah. Gelojak jiwa berbalam-balam menyerbu. Pada ketika itu mahu saja
saya berpatah kembali. Tidak mahu lagi saya berhadapan dengannya. Namun hasrat
saya untuk berkenalan dengannya semakin kuat.
Suaranya
serak basah. Barangkali terlalu memekik. Dia terpaksa melaung sekuat hati.
Sesekali saya mencuri pandang wajahnya. Perasaan saya juga mengatakan dia juga
mencuri lihat wajah saya. Kami masing-masing sudah memandang antara satu sama
lain.
“Mari… mari…
sayur keladi. Sedap dan lazat!”
kredit foto dari tongpenghulu.blogspot.com |
Oh, baru
saya tahu selama ini dia menjual sayur keladi! Kenapa dia menjual sayur keladi
mengapa tidak menjual sayur yang lebih untung? Mengapa dia harus menjual?
Mengapa dia harus bekerja? Tidakkah dia reti berduduk diam? Sekiranya dia
berkahwin tentu dia tidak perlu melakukan kerja-kerja itu. Membiarkan suaminya
yang bekerja. Sementara dia hanya perlu duduk di rumah sahaja. Menanti suami
pulang.
Argh…
mengapa saya harus mempersoalkannya? Saya dan dia tidak ada bersangkutan
langsung. Apa hak saya untuk menghalangnya? Siapa tahu yang dia mahu membantu
suaminya meringankan beban. Tidaklah suaminya berseorangan sahaja bekerja.
Ternyata dia seorang yang ringan tulang. Bertuah lelaki yang dapat
memperisterikan dia. Dia seorang isteri yang solehah.
“Abang beli
sayur keladi bang. Tentu isteri abang suka nanti.”
Ya…Allah.
Saya menjadi gugup. Kaki saya terketar-ketar. Saya telan liur berkali-kali.
Saya berhenti di tepi sedikit. Tidaklah jauh daripada meja dia menjual sayur
keladinya. Dia terlebih dahulu menegur saya. Dia telah mempelawa saya untuk
membeli sayur keladinya. Ternyata dia bukanlah seperti yang saya fikirkan. Dia
bukan seorang perempuan yang pemalu. Lemah lembut. Dia mempunyai keberaniaan.
Dia begitu ramah.
Lebih
memeranjatkan saya lagi daripada mana dia tahu saya sudah beristeri. Setahu
saya kami tidak pernah berbual. Kami tidak pernah duduk semeja untuk bercerita
hal peribadi masing-masing. Dan saya tidak pernah memberitahunya akan status
saya. Diapun tidak pernah menanyakan hal itu. Setelah dia mendapat tahu yang
saya sudah berkahwin mahukah dia berkenalan dengan saya? Sambil memikirkan
statusnya pun adalah isteri orang. Tentu sekali impian itu akan berkubur.
“Nak berapa
bungkus bang?”
Saya sama
sekali kaget. Dia mengasak saya. Saya tidak berani memandang tepat ke arah
wajahnya. Dari jelingan alur mata saya, saya dapat mengesan serba sedikit
bagaimana dia menata hias wajahnya. Gincu di bibirnya agak tebal. Merah jambu
warnanya. Keningnya hitam dan lebat. Dia memakai maskara. Pipinya diletakkan
bedak alas kemerahan sedikit. Nampaknya dia memang suka berhias. Agaknya mahu
menjaga penampilan diri. Saat dia bertanyakan saya, akan jumlah bungkusan yang
saya mahu, saya masih lagi terkebil-kebil. Seolah-olah dia memberi layanan
istimewa kepada saya. Pada ketika itu masih terdapat dua tiga orang pelanggan
yang mahukan sayur keladinya. Mereka terlebih dahulu datang sebelum saya.
Sebaliknya perhatiannya masih kepada saya. Adakah ini permulaan baik bagi kami
berkenalan?
“Saya tak
memaksa.”
Dia sekali
lagi bersuara. Seolah-olah dia dapat membaca apa yang saya fikirkan. Bukan saya
tidak mahu membeli. Tetapi saya dan isteri saya tidak pandai memakannya. Belum
pernah sekalipun isteri saya memasak sayur keladi. Tentu dia juga seperti saya
tidak pandai untuk memakannya.
Saya hanya
membuka senyuman. Dia membalasnya. Di situ lesung pipitnya terukir. Agak dalam.
Saya menggaru-garu kepala. Senyumannya manis. Senyumannya sungguh memikat. Dia
melayan pelanggannya dengan baik.
“Maaf bang
sudah habis. Lain kali sahaja abang membelinya.”
Begitu cepat
jualannya habis. Agaknya sayur keladi yang dijual memiliki ramuan tersendiri.
Begitu bisa habis dalam beberapa minit saya berdiri di hadapannya. Dia menyuruh
saya datang esok-esok sahaja. Tetapi saya tidak mempunyai masa itu. Saya
berkerjaya. Lagipula kali itu kedatangan saya hanya untuk mencukupkan waktu
sebelum menunggu masa berbuka. Isteri saya sudah memasak yang enak-enak di
rumah. Saya tidak pernah membawa balik sejenis lauk pun untuk dia. Dan dia
tidak pernah menyuruh saya membelinya. Dia tidak suka membazir. Dia lebih rela
memasaknya sendiri.
Peluang saya
untuk berbicara lebih lama dengannya mati di situ sahaja. Dia kelihatan sibuk
mengemas barang-barangnya. Mahukah saya menolongnya mengemas? Di rumah saya
tidak pernah menolong isteri saya mengemas. Tentu sekali sebentar sahaja lagi
suaminya akan datang menjemputnya. Suaminya akan menolongnya mengemas. Suaminya
akan mengangkat segala periuk besar dan meja naik ke dalam van atau kereta.
Sejurus selepas itu mereka akan berjalan pulang bersama-sama. Dan saya hanya
mampu melihat daripada jauh sahaja. Apabila difikirkan akan suasana dan keadaan
yang tidak mengizinkan itu saya mengatur langkah meninggalkannya.
Sebelum saya
melelapkan mata pada malam itu, wajah perempuan itu sering muncul dalam benak
fikiran saya. Dia seolah-olah mahu mendekati saya. Seperti ada perkara yang
hendak diberitahu. Tiap kali dia mahu membuka mulutnya, ada seorang lelaki
menghampirinya lalu perempuan itu terus lenyap.
Malam itu
saya hanya terlelap dengan cerita dongeng itu. Mimpi hanyalah mainan tidur.
Pagi itu isteri saya mengejutkan saya untuk bersahur. Seperti biasa saya dan
isteri saya sahaja yang bersahur. Sekiranya emak saya atau ibu isteri saya yang
datang tentu sekali dapat meramaikan keadaan. Tidaklah kami berdua sahaja. Kami
berbual rancak. Maklumlah pada siang hari tidak berkesempatan. Di akhir
perbualan isteri saya telah mengusulkan satu cadangan yang tidak pernah saya
menyangkanya.
“Abang, Mira
terasa benar ingin makan sayur keladi.”
Saya tidak
beriaksi pada masa itu. Wajah saya sugul. Apa benar yang saya dengarinya.
Isteri saya mahu makan sayur keladi. Mungkin saya tersalah dengar. Isteri saya
mengulanginya lagi. Tentulah betul. Dia mahu makan sayur keladi. Tetapi kenapa
ketika itu? Ketika saya baru sahaja berjumpa dengan perempuan itu semalam.
Ketika saya dan perempuan itu baru mula-mula mengenali isi hati masing-masing?
Mungkin ini hanya satu perangkap bagi memerangkap segala tindakan saya sebelum
ini. Seolah-olah dia tahu apa yang berlaku petang semalam. Dia mahu menguji.
Dia mahu memastikan siapa perempuan itu. Kesetiaan saya digugatnya.
kredit foto dari www.flickr.com |
Pada pagi
itu saya mahu bertanyakan dia sekali lagi apa betul dia mahu makan sayur keladi
dan bukannya sayur lain, tetapi pertanyaan itu kaku. Tidak keluar dari mulut
saya. Untuk apa saya mahu menanyakan dia. Tidak baik berburuk sangka. Isteri
saya dalam hamilan. Tentu sekali dia mengidam. Perempuan yang hamil selalu
meminta yang bukan-bukan. Justeru, saya mengangguknya. Saya menaiki mobil dan
terus ke tempat kerja.
Seperti
biasa pada waktu rehat di pejabat saya, tidak ramai yang keluar. Hanya staf
yang berbangsa Cina sahaja yang keluar. Yang lainnya sekadar berborak kosong
sahaja. Jam ditangan saya baru menunjukkan pukul 2 petang. Masih berbaki 3 jam
untuk kami bekerja. Waktu belum lagi melewati pukul 4 petang. Tumpuan saya
ketika itu terarah kepada perempuan penjual sayur keladi itu. Bibirnya yang
mungil kemerahjambuan itu telah hadir dalam igauan saya. Terasa syahdu apabila
dapat berjalan berpimpinan tangan dengannya. Kulit tangannya tentu sekali halus
dan licin. Begitu mesra untuk diusap perlahan-lahan. Tentu sekali terasa
bangga. Berjalan dengan seorang perempuan yang cantik dan ayu. Apabila melalui
sebuah tasik kami akan berhenti. Kami menikmati keindahan air tasik yang dingin
itu. Tatkala itu, perempuan itu akan melentokkan kepalanya ke dada saya. Lalu
saya akan membelai rambutnya. Lamunan saya tersentak ketika itu. Kawan-kawan
sepejabat sudah masuk. Mereka bising-bising di luar.
“Man kau nak
ikut serta dengan kita orang tak petang ni? Kami cadang nak berbuka puasa
bersama-sama.”
Masa itu
saya tidak persis membuat jawapan secepat mungkin. Saya memerlukan masa. Dalam
fikiran saya ketika itu sayur keladi. Perempuan yang menjual sayur keladi. Saya
mahu membeli sayur keladi kepada isteri saya. Saya tidak mahu melukakan
hatinya. Dalam pada itu bolehlah sambil menyelam minum air.
“Kau ni Man,
susah sangat nak ajak kau keluar semenjak kau kahwin ni.”
“Maaflah,
aku ada hal sikit.”
“Tak
habis-habis hal kau.”
“Baiklah…
lain kali tak ada alasan lagi.”
Saya
beristighfar panjang. Fikiran saya telah diracuni nafsu kotor. Saya cepat-cepat
mengemas meja. Saya mengambil anak kunci yang berada di dalam laci almari lalu
keluar mendapatkan mobil saya. Saya menghidupkan mobil lalu memecut laju ke
bazar Ramadan yang mana perempuan menjual sayur keladi itu berada. Saya tidak
menoleh ke kiri ke kanan lagi saya terus menuju ke tempat perempuan itu berada.
Dia berada di hujung sana itu. Sememangnya dia masih di situ. Dia masih menjual
sayur keladi.
“Mujur abang
cepat. Ada sebungkus sahaja lagi.”
Belum
apa-apa lagi perempuan itu membungkuskan saya sebungkus sayur keladi. Saya
hairan masakan dia boleh membaca fikiran saya. Saya belum lagi memberitahunya
dan dia belum lagi menanyakannya. Saya tidak berfikir panjang lagi. Saya
mengambilnya lalu menghulurkannya RM10. Pada masa itu saya tidak punyai duit
kecil untuk diberi kepada perempuan itu. Dia mahu memulangkan bakinya tetapi
saya tidak mahu mengambilnya. Saya menyuruhnya simpan sahaja. Saya kasihan
dengan perempuan itu. Kalau boleh saya mahu menolongnya. Tentu sekali dia dan
keluarganya memerlukan duit lebih untuk menyara keluarga.
Saya membawa
pulang sayur keladi itu. Isteri saya bersungguh-sungguh menjamahnya. Dia memuji
tuan punya yang membuat sayur keladi itu. Katanya sedap dan lazat. Wah! ajukan
isteri saya persis perempuan yang menjual sayur keladi itu. Sedap dan lazat.
Saya cuba memakannya. Apa memang betul seperti apa yang dikatakan mereka
berdua. Ternyata betul sedap dan lazat. Lain kali bolehlah saya membelinya
lagi.
Keesokannya
saya kembali lagi ke bazar tersebut. Saya mahu membelinya sayur keladi. Saya
mencari kelibat perempuan itu. Tetapi puas mata saya merayapi segenap bazar
Ramadan itu tetapi tidak dijumpainya. Ke mana dia pergi? Sudah bertukar
tempatkah dia? Saya masih lagi tidak berputus asa. Saya bertanyakan
penjual-penjual lain. Mereka memberitahu bahawa dia tidak datang. Khabarnya dia
ada hal mustahak. Tetapi tidak diberitahunya kenapa.
Masa semakin
suntuk. Keesokannya sudah sampai ke penghujung Ramadan. Esoknya akan raya. Saya
tidak dapat menemuinya lagi. Perkenalan saya denganya belum sampai takah
kemesraan. Hanya kenal begitu sahaja. Namanya belum saya ketahui. Sebelum saya
berangkat pulang seorang perempuan yang menjual murtabak menghampiri saya.
“Encik
Lokman?”
“Ya… saya.”
Saya sekali
lagi dipanjat kehairanan. Ada juga sedikit rasa terkejut. Dari mana perempuan
menjual murtabak itu mengenali nama Lokman itu. Entah-entah satu bazaar Ramadan
ini mengenali nama Lokman itu. Saya terperasan sendiri. Mulalah muka merah
menahan malu.
Perempuan
yang menjual murtabak itu memberikan saya sesuatu. Saya menggenggaminya lalu
memasukkan ke dalam kocek baju. Lalu saya beredar.
Kepulangan saya
disambut oleh isteri. Dia menunggu saya di hadapan pintu. Sebelum ini jarang
sekali dia menungu saya. Tetapi hari itu dia melakukannya. Malah dia melayan
saya dengan baik.
“Abang ada
beli sayur keladi?”
Saya tidak
tahu bagaimana untuk menjawapnya. Sebenarnya jawapannya ada. Tetapi alasan itu
tidak kukuh untuk saya memberitahunya. Saya perlu memikirkan alasan lain. Lalu
saya memberitahu isteri saya bahawa tidak elok menjamah sayur keladi hari-hari.
Tidak baik untuk kandungan. Betul atau tidak hanya Tuhan saja yang tahu. Apa
mahu saya memberitahunya yang sayur keladi tidak dijual oleh perempuan itu.
Tentu sekali dia tidak mempercayainya. Tidak adakah orang lain yang menjualnya
hari itu? Adakah penjual sayur keladi mogok atau cuti serentak? Saya fikir masak-masak.
Alasan yang saya beri itu sudah betul.
Kami tidak
pulang berhari raya di kampung. Hanya sekadar di bandar sahaja. Kami sudah
menghubungi ibu bapa masing-masing. Saya mengambil tempat di kerusi malas. Saya
melihat isteri saya. Dia masih di dapur sedang mengemas. Saya membuka lipatan
kertas yang diberikan perempuan di bazar itu tadi.
“Datanglah ke rumah saya pada hari raya
pertama. Ada majlis sikit.” Aina
Sekarang
barulah saya tahu siapa nama perempuan itu. Manis nama Aina itu. Semanis
tuannya. Jemputan Aina ke rumahnya tentu sekali membuatkan saya teruja. Adakah
dia mahu kenalkan saya dengan kedua orang tuanya? Aina sangat berharap agar
saya dapat datang ke rumahnya esok. Tentu sekali saya akan ke rumahnya esok.
Tetapi dengan siapa saya mahu ke rumahnya?
“Jangan lupa bawa isteri dan anak-anak sekali.”
Pelawaan
Aina itu sangat mengkucarkacirkan lapangan tenang saya. Ternyata Aina telah
banyak mengetahui hal peribadi saya. Jadi saya tidak punya pilihan lain untuk
bersikap jujur dengannya yang saya ini sudah berkahwin. Bukankah lelaki boleh
membuka empat cawagan?
Saya tidak
punyai kebarangkalian lain selain membawa isteri dan anak dalam kandungan
isteri saya sekali.
kredit foto dari nloven1502.blogspot |
Di halaman
rumah perempuan itu kelihatan banyak sekali mobil-mobil yang dipakir. Majlis
hari raya sampai disambut begitu rupa sekali. Meriah. Tentunya
saudara-saudaranya dijemput semuanya. Saya membawa isteri saya masuk. Saya
memberi salam kepada mereka. Saya bertanyakan adakah betul itu rumah Aina.
Mereka mengiyakan lalu menyeru kami masuk. Hati saya sungguh gementar ketika
itu. Perasaan malu menyelubungi diri saya. Anggapan saya tentu keluarganya
menunggu kehadiran saya.
Kelihatanya
Aina sungguh berseri. Pakaian sepersalinannya putih dan bersih. Dia tidak
melihat saya. Tetapi saya sudah dapat melihatnya. Sebentar kemudian seorang
lelaki yang memakai sepersalinan sama seperti Aina masuk ke halaman rumah. Dia
diiringi oleh seorang pengapit. Dia berjalan menuju ke arah saya yang masih
berdiri tidak jauh daripada muka pintu. Dia menyalami saya. Tanpa kawalan,
mulut saya terluncur mengucapkan Selamat Pengantin Baru. Saya masih
kebingungan. Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya. Saya
kembali menimbang ucapan selamat saya tadi. Sepatutnya saya memberi ucapan
Selamat Hari Raya dan bukannya ucapan pengantin baru. Fikiran saya ligat berfikir.
Isteri saya
cekatan menyalami Aina tanpa memasang wasangka buruk.
Patutlah
Aina beriya-iya menyuruh saya datang ke rumahnya. Ternyata majlis yang
dimaksudkan Aina dalam surat itu adalah majlis pernikahan mereka. Pelangi yang
saya harapkan mampu digapai rupanya hanya satu khayalan sahaja. Saya menyedari
perbuatan saya selama ini tidak manis dipandang dan dikenang. Biarpun begitu
saya mengharapkan pertemuan kami hanya kami berdua sahaja yang tahu. Saya
mendoakan Aina dan suaminya berbahagia selamanya.
Mohd Helmi Ahmad
Perempuan, Bil 263-Julai 2012
best plk baca cerpen kat sni..:)
BalasPadamTerima kasih.
Padammenarik ceritanya...terima kasih sharing
BalasPadamTerima kasih sudi membaca. Sama-sama. Apa salahnya, barangkali ramai yang belum pernah baca cerpen saya. Jadi, saya kongsikanlah.
Padambahasa melayu tinggi abg pakai ni. :)
BalasPadamTak adalah syuk, selalunya kalau saya tulis cerpen beginilah. Saya cuba gunakan bahasa yang betul.
PadamSeronok baca cerpen ni...ada unsur suspen kat situ...dan perasaan ingin tahu selanjutnya...nice..tahniah...
BalasPadamTerima kasih. Saya menulis sekadar yang termampu. Seboleh-bolehnya saya ingin mengajak pembaca menghayatinya hingga ke akhir cerita. Kalau BUNDA berkata begitu, maknanya saya telah berjaya.
PadamOh, cerpen tahun lepas ni. Terima kasih. Cerpen biasa-biasa saja. Kisah kehidupan yang pernah berlaku dalam masyarakat kita di malaysia.
BalasPadamSy sudi menawarkn diri utk terbitkn cerpen ni...
BalasPadamNak terbitkan di mana? Sebenarnya cerpen ini pernah disiarkan buat pertama kali di majalah Perempuan tahun lepas.
Padamwalaupun sibuk..hamba gagahi jua menghabiskan bacaan dek ingin mengetahu pengakhirannya..huhu
BalasPadamTerima kasih. Kesungguhan anda sangat saya hargai. Harapan saya berpuas hatilah ya.
Padamserious best cerita nie :) penulisan yang baik :) jalan cerita yang ba
BalasPadamjalan cerita yang baik , kalau ada lagi share la lagi cikgu
BalasPadamTerima kasih sudi baca. Insya-Allah, jika ada permintaan akan saya kongsikan lagi nanti.
PadamTerima kasih krna sudi membuat entri cerpen ini. Suka gaya bahasa & teknik penceritaan cerpen.
BalasPadamTerima kasih sekali lagi :) lepas ni kalau ada cerpen awk diterbitkan di majalah, harus beli ni.
Terima kasih sudi baca. Sama-sama, sekadar perkongsian.
PadamOh, jangan mengharap sangat. Kadangkala saya tulis cerpen ni tak sama gaya bahasa bagi setiap cerpen. Ikut tema yang dibawa.
WAH!! syokla baca cikgu helmi..pertemuan yg tak di sengajakan..dan..perasaan yang lahir secara tiba2..hehehe..=D
BalasPadamTerima kasih sudi baca ya.
PadamSaya pun dah lupa dari mana saya dapat idea nak tulis cerpen ni. Perasaan tu sangat misteri. Harap-harap tak ada yang bocorkan rahsianya.
hakhak.. suspen je baca cerpen ni..ingatkan apalaahh.. termimpi2 tuh macm ada bawak maksud tertentu
BalasPadamTerima kasih sudi baca sampai habis.
PadamOh, tak ada apa-apa maksud pun. Selalunya sebelum tidur kalau kita fikirkan sesuatu pasti terbawa-bawa dalam mimpi. Kalau tak percaya, cubalah malam ni.
ingat kisah benar tadi ... hehe
BalasPadamSeperti yang saya katakan di awal, ia cuma kisah rekaan. Tapi, kalau berlaku di dunia sebenar, mungkin secara kebetulan.
Padamterima kasih kongsi cerpen sdra untuk santapan mata para pengunjung disini..:)- memang menarik dan telah dibaca dengan sekali nafas je..hhehh..
BalasPadamtahniah, kalau ada lagi cerpen yang nak dikongsi, bolehlah CM baca lagi..:)-
Terima kasih juga kepada CK yang sudi baca. Saya fikir cerpen ini panjang dan pasti ada yang lompat-lompat ketika membaca. Ternyata tidak ya.
PadamInsya-Allah.
Wah jalan cerita yg menarik.. xdak sambungan ker?? hehehe ;p
BalasPadamTerima kasih sudi membaca. Oh, tidak ada sambungannya. Itu sajalah penamatnya.
Padamwah best lah, menarik !
BalasPadamTerlebih dahulu saya ucapkan terima kasih sudi membaca. Masing-masing ada pandangannya, jika KA kata menarik! alhamdulillah, saya amat hargai.
Padamoo rmai org suka cerpen ni.. terbaik cikgu
BalasPadamAlhamdulillah, tidak sangka pula mendapat sambutan.
PadamTeringin saya mengetahui bagaimanakah tuan berilham mendapat idea penulisan? Saya selalu terinspirasi membaca bagaimana penulis mendapat idea dan bila masa mereka mula menulis.
BalasPadamJangan jawab di sini. Boleh kongsi bersama di entri baru?
On, terima kasih Wong. Insya-Allah, saya akan cuba usahakan.
PadamBest la cerpen ni cikgu ^^ bahasanya mudah difahami. Boleh saya tanya, apa beza perkataan gejolak & gelojak??
BalasPadamTerima kasih sudi baca. Oh, saya ingatkan saya silap tulis. Sama saja maksudnya, cuma perkataannya berbeza. Boleh rujuk kamus Dewan edisi keempat muka surat 450.
PadamBest cerita ni :)ilham dari kisah sebenar ke atau idea cikgu sendiri?
BalasPadamOh, soalan cepu cemas ni. Terima kasih sudi membaca cerpen saya. Nak kata cerita saya, saya belum berkahwin, huhuhu...sebenarnya imaginasi saya. Mungkin juga berbantukan pemerhatian, pembacaan dan sebagainya.
PadamBest jalan ceritanya :-)
BalasPadamTerima kasih sudi baca. Alhamdulillah, sekadar penglahiran idea untuk berkongsi dengan pembaca.
Padamsangat menarik cerpen ni.. ada moral yang hendak disampaikan.. :D
BalasPadamTerima kasih Aiza, sudi baca. Ya, selain pemikiran yang hendak disampaikan, nilai murnilah yang harus digabungjalinkan dalam sesebuah karya.
BalasPadamcerpen yg cukup menarik dibaca......
BalasPadamada gaya dlm penulisan cerpen cikgu....amat menarik......
BalasPadamTerima kasih sudi baca. Oh, cerpen tentang kehidupan biasa saja.
PadamTerima kasih atas perkongsian!
BalasPadamSama-sama. Moga terhibur ya.
PadamSalam ziarah. Cerpen yang menarik! Kisah lelaki yang bergelut dengan perasaan sendiri.
BalasPadam