Pengikut

Rabu, 21 Disember 2011

Sambungan Nikmat Sepotong Kasih


NIKMAT SEPOTONG KASIH
Aku menggalas beg yang terisi buku-buku latihan dan buku-buku teks di belakangku. Badanku membongkok sedikit. Kakiku menghala ke pintu pagar sekolah. Kereta Waja putih tidak kelihatan. Aku mencari bangku duduk. Pelajar lain sudah pulang. Jam di tangan sudah pun menunjukkan pukul 3.00 petang. Barangkali mereka sudah berehat bersama keluarga sambil makan tengah hari.
Aku terpaksa menunggu dan terus menunggu. Rutin menunggu sudah terbiasa bagiku. Tiap-tiap hari aku terpaksa menunggu kereta Waja putih. Selagi kereta Waja itu tidak menjemputku aku tidak dibenarkan mengikut sesiapa untuk pulang ke rumah. Kadang-kadang penantian itu satu penyiksaan.
Kenderaan bertali arus melintasi hadapanku yang menghadap jalan raya. Aku menoleh ke kiri dan ke kanan. Masih tidak menampakkan kereta ayahku. Aku duduk diam-diam. Bagi menghiburkan hatiku aku menyanyikan sebuah lagu. Lirik lagu itu begitu terkesan di hatiku. Pernahkah kau bermimpi/ seketika berada di tempatku/ membayangkan.… Dalam dengar tak dengar deria dengarku menangkap sebuah enjin motosikal yang mendekatiku. Aku berhenti bernyanyi. Aku melihat di kawasan sekolah. Pak Salleh tidak kelihatan. Sekiranya berlaku apa-apa kepadaku dengan siapa aku mahu minta tolong. Cikgu-cikgu sudah pulang. Aku perhati lelaki itu. Lelaki itu membuka topi keledarnya. Dia memandang tepat ke arahku. Hatiku bingkas curiga. Ketakutan melamar diriku.
 “Natrah binti Sulaiman kan? Ayah adik tidak dapat menjemput adik. Dia suruh abang jemput. Jomlah naik!” Lelaki itu seperti memujuk. Aku keliru. Bagaimana dia tahu namaku. Juga nama ayahku. Aku merasakan dia mahu menipuku. Dia sudah melihat tag nama yang melekat di bajuku ini mungkin.
“Adik jangan risau. Abang bukan orang jahat. Jom!”
Aku panjat motosikal EX5nya. Dia menyuakan aku topi keledar. Keselamatanku dititikberatnya. Aku merasa selamat menaiki motosikalnya. Aku meluncur laju di atas jalan raya bersama lelaki yang tidak kukenali. Cuma atas dasar permintaan ayahku suruhnya menjemput aku gagahi juga. Dalam masa yang sama aku merasakan ayahku seorang yang pentingkan diri sendiri. Dia lebih pentingkan kerjanya daripada anak sendiri. Itukah tuntutan semasa aku dewasa nanti? Berkejaran mengumpul harta. Ah, aku masih kecil! Tidak perlu merumitkan kepala untuk memikirkannya.
“Abang nak bawa saya ke mana?” Aku bertanya selepas merasakan lelaki itu menuju arah yang salah. Ternyata lelaki itu bukanlah lelaki yang baik. Sangkaan aku betul. Lelaki itu mahu menculikku. Ketika itu aku mahu melompat daripada motosikalnya. Biar dia tahu aku bukanlah kanak-kanak yang boleh dipermainkan. Boleh diculik sesuka hati. Kalau dia melawan. Aku akan melawannya kembali. Sekiranya perlu aku akan membuka bunga-bunga silat gayung yang aku pelajari di sekolah.
“Abang dah salah jalan.” Aku menegaskan sekali lagi. Aku merasakan lelaki itu sengaja buat tidak dengar dengan omelanku. Aku mahu menjerit. Meminta tolong. Tetapi suaraku garau. Suara sekecil itu mudah ditelan deruan enjin motosikal yang membingit.
“Oh, abang nak balik ke rumah sekejap! Nak hantar barang. Isteri abang tengah tunggu di rumah.” Bersahaja lelaki itu menjawab.
Mendengar penjelasan lelaki itu aku mengikutnya sahaja. Aku menyakinkan diri bahawa alasan yang diberi adalah betul. Dengan cara itu sedikit sebanyak dapat memadamkan ketakutan yang menghantui fikiranku. Tawakalku hanya kepada Allah.
Kami menyusuri sebuah kampung di pinggir hutan. Bunyi enjin kenderaan ditelan sunyi. Disahut dengan burung-burung yang menghuni hutan itu. Tubuhku digigit dingin. Aku memandang keliling. Pohon-pohon hijau berdiri di sepanjang jalan masuk ke rumah yang dikatakan lelaki itu. Masakan ada rumah di pinggir hutan begitu. Aku tidak pasti. Tetapi itulah yang diberitahu. Sudah lama ibu dan ayahku tidak membawaku pulang ke kampung nenek. Suasana begini hanya di kampung sahaja dapat dirasai.
Namun, tidak lama kemudian kelihatan sebuah pondok usang berada di hadapan. Aku merasakan itulah rumah yang dimaksudkan. “Kita dah sampai,” lelaki itu memberitahuku.
Aku turun daripada motosikalnya lalu aku berdiri di sisi motosikalnya. Lelaki itu turun lalu mencapai bungkusan yang berada di dalam raga hadapannya.
“Adik tak nak masuk? Kalau tak nak masuk adik tunggu sekejap.”
Lelaki itu membelah masuk ke dalam rumahnya. Aku dengar. Aku dengar ada suara budak perempuan. Tetapi kurang jelas antara suka atau jeritan meminta tolong. Kenapa? Apa yang telah berlaku di dalam rumah itu? Milik siapa suara itu? Perasaanku sepantas kilat berubah. Hatiku diketuk guntur wasangka. Barangkali juga, rumah itu adalah tempat persembunyiannya. Aku akan ditempatkan di situ. Ya Allah tolonglah hambamu ini! Keputusan dibuat. Aku beranikan diri menghampiri rumah itu. Dari ruang pintu yang terbuka aku dapat melihat seorang budak perempuan sebesar aku terlonjak-lonjak di tengah rumah. Seorang perempuan dewasa berada berhampiran. Budak perempuan itu mencium pipi lelaki itu. Budak perempuan itu memegang sebatang gula-gula lolipop. Hanya kerana mendapat lolipop yang beberapa sen itukah dia melonjak gembira. Barangkali itulah sebabnya.
“Natrah. Masuklah!” Lelaki itu mempelawaku.
“Mari masuk Natrah!” Seorang perempuan dewasa yang tidak kukenali mempelawaku masuk. Budak perempuan itu mengerlingku. Aku masih kaku di hadapan pintu. Apa maksud semua ini? Lantas lelaki itu menghala ke arahku. “Mari masuk. Rumah abang taklah sebesar rumah Natrah. Cuma pondok kecil saja.”
Tiba-tiba hatiku dirundum sayu. Pondok yang usang itu dikatakan rumah. Ternyata lelaki itu bukanlah daripada golongan berada. Rumah yang didiami lelaki itu bila-bila masa sahaja akan roboh. Memandangkan tiangnya yang reput dimamah anai-anai. Dindingnya terkopak-kapik. Sekali angin ribut melanda, nescaya rumah itu akan roboh. Alangkah malangnya hidup lelaki itu. Bagaimana mereka mengharungi kehidupan yang serba daif itu.
“Ha… ni abang kenalkan, isteri abang, namanya Zainab.” Lelaki itu memegang bahu isterinya. “Ni pula anak abang Siti. Siti Nurhaliza. Bukan penyanyi popular tu.” Lelaki itu mengusap-usap kepala budak perempuan itu. Aku tersipu sendirian. Masakan di dalam dunia ini punya nama persis Dato’ Siti Nurhaliza. Penyanyi pujaannya. Lainlah kalau mukanya iras-iras seseorang. Kerana kata ayahnya di dunia ini ada pelanduk dua serupa. 
“Natrah dah makan?”
Aku hanya menggelengkan kepala.
“Tunggu kejap. Kita makan sama-sama. Abang Zamri pun belum makan lagi.” Lembut tutur kata isterinya. Lelaki itu dan isterinya meninggalkan aku bersama anaknya. Mereka ke dapur.
Aku tidak betah bercakap. Aku seorang yang pendiam. Pendiam semenjak tidak ada orang yang mahu berbual denganku di rumah. Aku mengambil keputusan untuk menunggu. Kalau Siti bertanya aku akan menjawab. Tetapi Siti juga pendiam. Siti memegang sebatang pencil. Menulis sesuatu di atas kertas. Aku mengerling dari jauh. Aku tidak mahu Siti mengesyaki aku sedang mengintainya. Satu persatu perkataan yang ditulis aku amati. Pernahkah kau bermimpi/ seketika berada di tempatku/ membayangkan pahit manis berlalu. Aku hairan. Dahiku berkerut. Bagaimana Siti mampu menulis lirik lagu itu? Adakah kerana dia bernama Siti Nurhaliza dan dia tahu menulis bait-bait lirik Biarlah Rahsia? Adakah dia punya impian sepertiku? Adakah perasaannya sama sepertiku? Bertubi-tubi pula persoalan yang bersarang di fikiranku.
 “Jom Natrah mari kita makan!” kecil suara yang keluar dari mulut Siti.
Aku dilayan seperti tetamu. Biarpun umurku sebaya dengan anaknya Siti, 12 tahun. Aku sudah lama tidak merasai suasana begitu. Makan bersama-sama. Aku punyai ibu. Aku punyai bapa. Masing-masing sibuk dengan kerja masing-masing. Kadang-kadang jarang sekali aku dapat bertemu dengan mereka. Apabila aku pulang ke sekolah mereka belum lagi pulang. Apabila mereka pulang aku pula sudah tidur.
“Maaflah Natrah. Ini saja lauk yang ada.” Mengapa setiap kali Zainab meminta maaf aku merasakan suara hati itu begitu tulus sekali. Aku memandang lauk-lauk di hadapanku. Cuma yang ada ikan goreng, sayur goreng dan kicap. Sebelum kami menikmati hidangan yang serba sederhana itu Zamri membaca doa makan.
“Abang dah telefon ayah Natrah. Katakan yang Natrah balik lewat sikit.” Aku tidak menyuruhnya. Tetapi lelaki itu merasakan dia bertanggungjawab. Walaupun sekejap di rumah lelaki itu aku dapat merasai erti kasih sayang yang terlalu mendalam.
Sejurus selepas makan abang Zamri menghantarku pulang. Sesampai sahaja di rumah kira-kira pukul 7.00 petang kereta Waja belum lagi berada di halaman rumah. Jikalau ku tahu itulah keadaannya mahu sahaja aku duduk di rumah abang Zamri sampai ke malam.

2 ulasan:

  1. Anaknda, ayahnda telah membaca cerpen LOCENG KRISMAS. Cerpen menarik membawa unsur dakwah yang hebat. Kisah bermula dari AKU (MELL)yang begitu tertekan kerana ibu bapanya kaki botol. Mujur ada Mak Yah, penganut agama Islam, sentiasa mendampingi AKU dan membantunya dalam setiap masalah. Pada mulanya kita tidak tahu apa penyakit AKU. Diakhir kisah baru kita diberitahu bahawa AKU sebenarnya mengalami penyakit buah pinggang. Mak Yah menjadi pendermanya...mulianya hati seorang wanita Islam. Semoga AKU memeluk agama Islam...

    BalasPadam
  2. Ya Allah betapa anakanda sangat teruja dan berbesar hati apabila ayahanda sudi memberi komen. Komen yang sangat membina. Terima kasih ayahanda. Anakanda juga berharap cerpen ini dapat diterima baik oleh pembaca dan mendapat manfaat dari mesej yang hendak disampaikan. Anakanda juga berharap AKU itu dapat menerima hidayah-Nya untuk emmeluk Islam. Begitu juga agar ibu bapanya akan tersedar akan sikap mereka itu. Pengorbanan Mak Yah sangat mulia.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78