Pengikut

Selasa, 16 Oktober 2012

Menulis Itu Seperti Menukang Rumah



Pengenalan
Ramai yang menganggap menulis itu satu kerjaya yang paling mudah di dunia ini. Hanya perlu duduk merenung atau berkhayal di suatu tempat dengan memegang sebatang pen dan kertas lalu mencoretkan beberapa rangkap puisi mahupun baris ayat. Kemudiannya menghantarnya kepada editor penerbitan untuk disiarkan dan bernasib baik tersiar, dalam masa yang sama akan dibayar honorarium. Berbanding susahnya kerja sebagai seorang nelayan yang turun ke laut seawal pagi berhadapan dengan gelombang ombak.

Sebelum pelayaran dibuat pelbagai kerja yang terpaksa dilakukan. Perkara yang paling utama adalah memastikan keadaan bot, pukat dan kelengkapan berlayar yang lain sentiasa cukup dan berada dalam kondisi yang baik. Sedar atau tidak, tanggapan lapuk itu harus diubah serta merta. Tiada kerja yang senang dan tiada kerja yang susah di dunia ini melainkan pekerjaan itu ditukangi sambalewa dan tidak serius. Semuanya terletak kepada jati diri seorang pekerja itu sendiri.

Bidang penulisan menuntut kepada perubahan. Cabaran yang terpaksa dihadapi bukan calang-calang. Adanya menulis itu seperti menukang karya. Apabila menyebut perkataan menukang nescaya persoalan pertama yang timbul adalah dalam bidang penulisan perlukah alat pertukangan dan wujudnya alat tukangan dalam bidang penulisan tidak seperti menukang sebuah rumah? Hakikatnya, mentaliti masyarakat belum cukup terbuka dan mencakupi semua bidang. Sebenarnya, inilah perubahan yang dituntut. Jikalau seorang tukang rumah memerlukan tukul, gergaji, pahat, dan sebagainya begitu juga dengan seorang penulis harus memiliki alat-alat tukangannya. Dalam bidang penulisan alat tukangan yang harus disediakan ialah:

i. komputer/laptop/mesin taip
ii. bahan rujukan
iii. kamus
iv. alat-alat lain

Komputer
Penulis yang lahir pada zaman siber ini sedikit sebanyak tidak menghadapi masalah untuk menggunakan komputer. Berbanding dengan penulis generasi lama yang sudah sinonim dengan mesin taip. Hal ini kerana, komputer bukan lagi suatu alat yang dianggap memenuhi kehendak tetapi sekarang ini lebih menjurus kepada keperluan dalam bidang penulisan tidak terkecuali bidang-bidang lain.

Revolusi dunia penulisan telah meletakkan bidang penulisan pada tahap yang lebih tinggi yang mana kemasukan teknologi komputer sebagai alat pemprosesan karya telah diakui lebih efisyen. Dengan kemudahan yang serba canggih telah memudahkan setiap karya dihasilkan dengan lebih kemas, teratur, serta tersusun. Malahan, karya-karya yang dihasilkan dapat dikemaskini dengan lebih mudah tanpa perlu menyalin semula. Barangkali penambahbaikan ini memudahkan pihak editor untuk menyiarkan karya mereka dalam masa yang sama kerja-kerja penyuntingan dan pensisteman data akan lebih mudah. 

Diharap selepas ini tidak ada lagi rungutan-rungutan daripada pihak penulis apabila karya yang dihantar tidak disiarkan walaupun didakwa mempunyai kekuatan dan kematangan isi yang diketengahkan. Kegagalan yang dikenal pasti hanya kerana tulisan yang digunakan kabur dan tidak dapat dibaca.

Bahan Rujukan
Bahan rujukan di sini merujuk kepada bahan-bahan bantu yang mampu mengukuhkan lagi idea pokok. Bahan rujukan ini boleh terdiri daripada dua sumber. Sumber pertama terarah kepada sumber bercetak seperti buku, jurnal, surat khabar, majalah dan sebagainya. Sementara sumber kedua lebih kepada rujukan yang berlegar di persekitaran seperti temu bual, pengalaman, internet dan sebagainya. Karya kreatif sebenarnya bukanlah karya yang memaparkan khayalan dan imaginasi penulis semata-mata tetapi mempunyai mesej tersirat mahupun tersurat. Penambahbaikkan dengan ilmu-ilmu bantu ini nescaya mampu memikat khalayak untuk terus membaca dan menjadikannya sebagai hidangan santapan setiap masa.

Karya Faisal Tehrani seperti ‘Manikam Kalbu’, ‘Ketupat Cinta’, ‘Bedar Sukma Bisu’ yang diketahui menghidangkan santapan yang lazat dengan maklumat-maklumat tentang pakaian, makanan dan perkapalan yang dijalinkan dengan sulaman kreativiti dan fakta yang menarik. Nescaya dalam merealisasikan matlamat ini memerlukan sumber rujukan yang cukup dan mantap agar setiap pemaparan fakta itu tepat dan betul. Setelah maklumat itu diperolehi terpulanglah kepada penulis untuk menyaring dan menghidangkan kepada pembaca dengan kreativiti tersendiri agar karya yang terhasil bukanlah karya saduran kepada fakta semata-mata tetapi juadah inovasi yang kreatif dan kritis.

Seseorang penulis harus sedar bahawa setiap maklumat yang dibawa itu adalah untuk berkongsi dengan pembaca dan bukannya membodohkan pembaca dengan maklumat yang difikirkan tidak kukuh dan menyalahi fakta. Kerananya melalui karya sastera begini pembaca dapat belajar sesuatu yang baru secara tidak langsung membolehkan mereka berfikir, memerhati dan menilai sesuatu isu yang diketengahkan itu.

Kamus
Menyebut akan hal kamus tentu sekali ramai yang mengaitkannya dengan aktiviti merujuk maksud atau makna sesuatu perkataan. Hanya sekadar itukah peranan kamus? Kamus bukan sahaja dicipta untuk membuat rujukan maksud tetapi juga sebagai panduan untuk memeriksa ejaan yang betul dan sebagainya. Peranan kamus lebih dominan dalam penulisan rencana, artikel, cerpen dan novel. Barangkali ramai penulis menyifatkan kesalahan ejaan adalah kesalahan biasa dan tugas editor selepas itu adalah menyunting kembali.

Sekiranya kesalahan itu tidak diambil kisah dan seringkali dilakukan secara tidak langsung mencerminkan bahawa kredibiliti penulis dalam aspek penguasaan bahasa amat lemah. Dan situasi ini akan menjejaskan peluang seseorang penulis itu mendapat tempat di sesuatu media penerbitan. Sebagai contoh, apa yang dimaksudkan di sini adalah dengan sistem penggunaan perkataan yang menggunakan dua k, g, dan sebagainya seperti, menggelepar, menggeletar dan menunjukkan. Yang mana perkataan-perkataan ini menggunakan dua k dan g bukannya satu. Walaupun nampak mudah tetapi jika tidak diambil berat seringkali terlihat dalam hasil penulisan. 

Kepelbagaian penggunaan istilah pula sebenarnya mampu meningkatkan kreativiti seseorang penulis. Misalnya Keris Mas dalam novelnya Rimba Harapan. Lihat bagaimana penulis mengemukakan kemajmukan istilah bagi menggambarkan cara penangkapan ikan. Istilah-istilah yang digunakan seperti menjala, memancing dan menangguk menceritakan keunikan dalam mengungkapkan perbuatan menangkap ikan. Walaupun caranya bertujuan untuk mendapatkan ikan tetapi alat yang digunakan ternyata berbeza kerana menjala (menangkap ikan dengan menggunakan jala), memancing menangkap ikan (dengan menggunakan pancing) ; mengail dan menagguk (menangkap (ikan) dengan tangguk). Tidak terkecuali juga karya-karya yang menggunakan istilah asing perlulah mendapat rujukan yang tepat sebelum digunakan.

 Seorang penulis yang peka dan sensitif dalam berkarya tidak sepatutnya memandang enteng dalam hal ini dan seharusnya mereka sedaya upaya memperbaikinya. Sebarang kesilapan akan penggunaan peribahasa dan perkataan sinonim dan antonim umpamanya boleh menyebabkan kecacatan terhadap karya yang baik. Justeru, seorang penulis yang berjaya haruslah memiliki pelbagai kamus untuk dijadikan panduan. Di pasaran kini terdapat banyak kamus yang boleh dimiliki antaranya Kamus Dewan, Kamus Dwibahasa, Kamus Inggeris-Melayu Dewan, Kamus Perancis-Melayu Dewan, Kamus Peribahasa Melayu-Mandarin, Kamus Besar Arab-Melayu Dewan, Kamus Am Bahasa Malaysia, Kamus Istilah, Kamus Sinonim, Kamus Antonim dan sebagainya. Alat-alat tukangan yang lain seperti pen, kertas dan sebagainya yang difikirkan perlu boleh disediakan penulis dalam membantu proses berkarya.

Kesimpulan
Oleh itu, untuk menjadi seorang penulis yang baik persediaan awal dalam menukang karya perlu dilakukan. Aspek ini sekiranya tidak diambil kira bukan menjadi masalah tetapi sekiranya dititikberatkan mampu memberi impak yang besar kepada hasil karya seseorang penulis. Bukan sahaja penyediaan idea yang kreatif malahan aspek-aspek teknikal juga perlu diambil kira. Kerana itulah, sebuah rumah yang telah siap nanti tidak akan terdengar lagi pahat berbunyi.


*Artikel ini sudah lama ditulis - sekitar tahun 2010. Ketika itu ghairah untuk berkongsi. Pernah juga dihantar ke media penerbitan tetapi alahai saya tahu banyak kekurangannya. Walau bagaimanapun saya perturunkan di sini sekadar untuk perkongsian. Di sini saya jelaskan bahawa artikel ini sekadar pendapat saya, masih boleh ditambahbaikkan lagi. Tidak ada niat pun untuk menunjuk-nunjuk atau menjadi guru kepada sesiapa kerana saya juga masih dalam proses belajar. Jika tersalah, terkurang mohon beri tunjuk ajar. Saya sedia menerimanya.

2 ulasan:

  1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi berkunjung ke Relaks Minda dan menghantar entri ini sebagai Entri Pilihan Terbaik anda untuk dikongsikan dalam segmen Komen Entri.
    Semoga sedikit ulasan dan perkongsian anda ini dapat memberi manfaat dan kebaikan bersama. Terima kasih sekali lagi...Selamat Haru Guru! ikuti komen entri anda di sini : http://relakssminda.blogspot.com/2014/05/seorang-blogger-adalah-penulis.html

    BalasPadam
  2. kak anim tertinggal entry ini. berpeluang melihatnya melalui segmen di blog BM. tahniah dan terima kasih helmi

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78