Pengikut

Jumaat, 15 Mei 2015

Belasungkawa Rahimidin Zahari Penyair Sejati

Assalamualaikum.

Sebulan lebih saya "berehat" tanpa menerbitkan sebarang entri. Namun, sesekali saya menjengah juga blog ini. Alhamdulillah, biarpun tiada sebarang entri kala tempoh hibernasi itu, paparan pageviews Tetamu Istimewa masih mencatatkan kedatangan pembaca yang barangkali membuat rujukan bagi entri-entri tertentu. 

Hari ini saya terpanggil untuk berkongsi dan mencatat sesuatu dalam blog ini. Biarpun cerita dan kisahnya mengundang air mata dan sebak, namun hakikatnya hanya satu, kebenaran - mati itu pasti.


Sesungguhnya saya tidak mengenali penulis yang bernama Rahimidin Zahari secara dekat. Dengan kata lain, saya tidak pernah berjumpa dan bercakap dengan beliau. Saya hanya mengenali beliau melalui lewat puisi-puisi yang diterbitkan dalam media eceran dan buku.

Saya tidak "berkawan" dengan Rahimidin, tetapi saya berkawan dengan sepupunya yang juga merupakan rakan guru di sekolah saya. Melalui sepupunya setidak-tidaknya saya dikenalkan dengan sosok penulis yang hebat ini.

Katanya, Rahimidin Zahari menanam minat dalam bidang penulisan sejak daripada kecil lagi. Rahimidin suka duduk di sebuah pondok di tengah sawah. Mungkin ini dikatakan proses perenungan dan pencarian ilham. Kemudian, selepas beliau pulang ke rumah akan terciptalah karya.

Seingat saya pula, beliau pernah membalas komen saya pada satu status tentang pengumpulan karya Allahyarham Azizi Hj Abdullah. Ketika itu saya bertanya, kenapa tidak diterbitkan buku yang memperkatakan Azizi Hj Abdullah seperti yang pernah diselenggarakan dan diterbitkan oleh ITBM tentang Shahnon Ahmad dan A. Samad Said. Katanya, beliau pernah mengusahakan tetapi ketika itu hanya beberapa tulisan tentang Azizi yang diterimanya. Barangkali, usaha itu tertangguh begitu sahaja. Selepas ini saya berharap akan ada pula usaha penerbit, penulis dan rakan-rakan yang mengenalinya mengusahakan sebuah buku memperkatakan tentang sosok penulis bernama Rahimidin Zahari.

Saya sangat terkesan dengan sosok penulis yang mendarah daging dengan kecintaannya terhadap sastera negara.

Memetik Prakata dalam kumpulan puisi Sehelai Daun Kenangan, ITBM-2015, "Setelah 30 tahun, saya terus menulis. Saya tidak peduli sangat, sama ada saya diterima sebagai penyair atau tidak. Saya masih menyimpan beratus-ratus puisi yang masih belum disiarkan atau diterbitkan di mana-mana media penerbitan. Saya simpan dan simpan. Ada yang saya hantar dan ada yang saya terus menyimpannya. Pada saya, seorang penulis itu setiap hari harus menulis. Tanpa menghasilkan karya dan menerbitkan buku, apakah maknanya seorang penulis?"

Oleh itu adakah karya-karya yang masih tersimpan itu akan terus tersimpan, ataupun ada penerbit yang tampil untuk menerbitkan setidak-tidaknya sejumlah karya itu dalam bentuk buku yang bakal menjadi khazanah persuratan negara?



Sepanjang saya mengenali dan berada dalam dunia penulisan sempat saya menelaah beberapa naskhah hebat karnyanya. Antaranya, Sekepal Tanah, Bayang Beringin, Pewaris, Laut Tujuh Gelombang Buih dan Sehelai Daun Kenangan.

Rahimidin Zahari merupakan penulis puisi Anak Laut yang pernah menjadi teks Komponen Sastera (KOMSAS). Sekarang ini, cerpen Air Mata Dalang turut terpilih menjadi teks pembelajaran pelajar sekolah menengah.

Saya akhiri tulisan ringkas ini dengan sebuah puisi yang dipetik dalam Sehelai Daun Kenangan:

Ketika Bibirku 
Kehilangan Kata

musibah apakah yang Engkau kirimkan, sehingga
hamba-Mu yang hina dan penuh dosa ini 
kehilangan kata. hamba-Mu ini amat gementar 
dan takut hingga tak sekeping foto pun dirakamnya 
sehinggalah badai itu berakhir ke laut.

kembali menatapi sisa-sisa lumpur dan kehidupan
yang berserpihan - bahawa hidup ini hanya
kesementaraan dan yang abadi hanya Engkau

kami tunduk berserah.

Wallahuaklam
Al-Fatihah.

2 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78