PULUT DURIAN SANTAN KELAPA
Bera
marah kepada penjual durian belum lagi reda kini anak-anak pula buat hal. Abang
Syawal menarik muka cemberut. Darahnya menyerbu ke muka. Jangan-jangan ada yang
hendak tegur. Nanti dibaliknya maki hamun. Abang Syawal memang orangnya panas
baran. Macam orang yang makan durian. Cepat saja panas badan. Tapi ada caranya
menghilangkan kepanasan itu. Petua ayah, ambil kulit durian yang dimakan dan
masukkan sedikit air dalam pangsa kulit durian itu. Kemudian minum. Harap-harap
panas menjaram di dalam badan hilang tidak pun kurang.
Kebetulan
ketika itu aku singgah sebentar di rumahnya sebelum aku pulang ke kampung
menjenguk ibu dan ayah. Dengar aku mahu pulang ke kampung Abang Syawal mahu
kirimkan sesuatu kepada ibu dan ayah. Sebab itulah aku singgah sebentar di
rumahnya untuk mengambil pesanan itu. Abang Syawal kalau dah berleter
mengalahkan perempuan. Kak Seri pun kalah. “Tak guna punya penjual durian,
ditipunya aku hidup-hidup. Dahlah dicekeknya darahku.”
Mulanya aku sekadar
menelinga. Biarlah Abang Syawal menghabiskan rasa tidak puas di hatinya yang
menimbun bukit itu. Tetapi lama kelamaan carutan Abang Syawal semakin
menjadi-jadi pula seperti orang yang tidak ada iman. Bukankah amarah itu api
syaitan. Maka sebagai seorang Islam kekuatan iman adalah sebagai pendindingnya.
Ayah selalu menasihati kami adik-beradik. “Jangan dilawan jangan dituruti
nafsu syaitan itu. Pergilah berwuduk secepat mungkin. Segala
kekeruhan akan segera terluntur bersama jirusan wuduk itu.”
“Dahlah.
Mungkin itu rezekinya. Rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.” Aku menghulur
air penyeyuk. Moga-moga hati yang mengelodak panas setidak-tidaknya menjadi
suam.
“Rezeki,
rezeki juga. Takkan nak bagi makan anak bini dengan duit yang haram. Mana nak
cari keberkatannya.” Abang Syawal masih tidak mengaku kalah.
“Satu
kilo RM 10. Kalau tiga biji itu beratnya dah lima kilo mahu tak RM 50 harganya. Kata durian dari baka cantik. Apa gunanya kalau duri saja cantik tapi
isi di dalam tak sehebat secantik kulitnya.” Pedas. Tajam. Kata-kata Abang
Syawal mengandung sindiran. Kerana anak-anaklah dia sanggup membeli buah durian
itu. Kalau tidak tunggu musim durian jenuh barulah Abang Syawal berkira-kira
mahu membelinya. Pada masa itu harga durian akan jatuh. Sudah sehabis ikhtiar
Abang Syawal menahan nafsunya untuk menikmati durian. Bukannya tidak tahu,
Abang Syawal memang hantu durian. Pantang nampak durian, sebiji dimakannya
habis.
“Dalam
satu biji durian itu tak semua pangsanya elok. Macam juga dalam sebuah
keluarga, anak-anak tak sama perangainya. Ada yang jenisnya mahukan belaian
manja, ada yang nakal, ada yang bijak, ada pula yang kurangnya. Kita sebagai
ibu bapalah yang harus bijak mencoraknya. Sabun yang dipegang di tangan jangan
terlalu kuat, jangan pula terlalu lembut. Nanti terlepas jatuh.” Cakap-cakapku
masih berlapik-lapik. Aku tidak mahu Abang Syawal terasa hati.
“Aku
cakap fasal durian. Dah kau pergi melalut sampai ke sabun itu buat apa? Bukan
senang aku nak cari duit nak beli durian tu. Anak-anak bukannya faham. Sekarang
bukan musim durian sebenarnya lagi. Durian masih tak jenuh di pasaran. Mahalnya
bukan main. Itu tak bermakna penjual mengambil kesempatan dengan menjual dengan
harga yang tinggi. Bila dah tiba musim durian, jenuh di pasaran masa itu mereka
melalak, merayu tak cukup suara. Ada yang sangup jual serendah RM 0.50
sekilogram. Masa itu barulah mereka mengelabah. Durian dah tak jadi duit.
Bersepah saja di dusun. Pekebun pun tepuk dahi. Tupaipun dah muak nak kerjakan
setiap hari.”
“Itulah
lumrah kehidupan. Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Adakala kita di
atas adakala kita di bawah. Jadi kenalah sediakan payung sebelum hujan. Sebab
orang kita malas berfikir. Bukankah Allah bagi akal kepada manusia untuk
berfikir. Ada hesmisfera kanan ada hemisfera kiri. Durian itu bukan sahaja
boleh dimakan begitu sahaja. Banyak lagi produk yang boleh dihasilkan dengan
menggunakan durian. Misalnya tempoyak yang popular di Perak. Kenapa kita tak
komersialkan hingga ke peringkat antarabangsa? Selain itu, dodol perasa durian,
lempok, jem, gula-gula perasa durian, aiskrim dan banyak lagi yang boleh
menjadi nilai tambah bagi mengurangkan lambakan durian di pasaran.”
Tiba-tiba
sahaja kenangan musim durian menjengah tiba.
“Abang
ingat lagi tak peristiwa 20 tahun lalu (rupa-rupanya zaman kanak-kanak sudah
berlalu 20 tahun). Masa itu ayah ada bawa balik seuncang plastik hitam buah
durian ke rumah. Masa tu bukan main seronok lagi kita adik-beradik.
Meloncat-loncat kita. Ibu awal-awal lagi dah siap tanak pulut bila ayah
beritahu dia keluar untuk membeli durian di pekan. Bukan senang nak makan durian.
Setahun sekalipun susah. Iyalah kita bukan dari keluarga senang. Nak cari
sesuap nasipun kena kerah tenaga sampai meleleh-leleh peluh turun.”
“Belumpun
lagi durian sampai ke rumah kita dah tunggu di depan tangga di halaman rumah.
Bila nampak saja kelibat ayah mengayuh basikal di batas bendang kita berlari
sekuat habis ke arah ayah. Batas bendang yang lecah tidak kita pedulikan lagi.
Apa yang penting kenikmatan menikmati durian menjadi idaman.”
“Kau
ingat lagi, masa tu kau menangis sebab tak dapat makan duriankan? Durian yang
ayah beli semuanya buruk. Hanya beberapa biji saja yang elok. Ada pula yang
busuk, masam. Hidup-hidup penjual itu tipu ayah. Tipu kita sekeluarga.
Sampaikan pulut yang ibu tanak kita terpaksa makan dengan ikan kering. Walhal
pulut itu sedap kalau dimakan dengan durian bersama santan yang lemak itu.
Lepas itu letak sedikit gula. Wah, lazatnya tak tergambar. Meleleh air liur…”
“Haha…
hahah…hahah.”
“Tapi,
ayah ada cakap selepas tu. Bukan salah penjual durian tu. Ayah yang pilih nakkan
durian tu. Sebab durian tulah harga yang paling murah. Yang lain dijual kira
timbang kilo. Mana nak ada duit kalau beli yang timbang kilo. Iyalah satu kilo
dah berapa ringgit. Jadi pilihan terakhir ayah beli yang sudah dilonggok ke
tepi. Untung-untung elok. Tapi ayah bersyukur sebab dalam banyak-banyak yang
ayah beli ada sebiji dua yang elok. Yang kita makan. Ayah dan emak tak makan
pun yang elok tu. Semuanya kita makan sampai licin. Mereka hanya tengok kita
makan. Katanya biarlah anak-anak yang makan dulu. Hati mereka puas dan senang.
Sampaikan durian yang terakhirpun mereka tidak menunjukkan minat untuk
menjamah. Selagi anak-anak tak menjilat jari selagi itu jangan-jangan mereka
nak merasa. Ayah dengan emak makan yang masam sahaja. Itu sudah memadai. Emak
dan ayah tak pernah merungutpun sebab durian yang masam masih boleh dimakan.
Masih boleh dibubuh dalam asam cabai. Sedap. Boleh jadi lauk sepinggan dua
makan dengan nasi.”
Abang
Syawal pandang ke bakul sampah yang terperosok di sudut paling hujung di ruang
dapurnya. Kak Seri berada tidak jauh dari kami. Dia sibuk melayan kerenah
anak-anaknya. Dalam bakul sampah itulah Abang Syawal membuang buah durian yang
masam. Sebenarnya Abang Syawal bukan sahaja telah membuang buah durian itu tapi
telah membuang nilai kesyukuran sekali ke dalam bakul sampah itu. “Kita harus
bersyukur. Kita masih punya makanan. Makanan itu masih memberi tenaga kepada
kita untuk teruskan kehidupan, mengerjakan suruhan Allah SWT. Di luar negara,
di Bosnia, Afganistan, Somalia mereka hidup dalam kebuluran, kemiskinan yang
melampau hinggakan meragut nyawa. Kehidupan mereka sangat papa. Mereka bekerja,
mencari makan untuk hidup. Tapi orang kita, hidup untuk makan. Hinggakan ada
yang mati kerana terlebih makan. Itu semua penyakit kronik yang dihidapi oleh
orang kita bukan kerana apa-apa tapi kerana cara pemakanan kita yang tidak
dikawal. Kerana terlebih gula kita diserang kencing manis. Terlebih garam, kita
diserang darah tinggi. Obesiti di negara kita menjadi-jadi. Bukan kerana apa,
tapi hanya keinginan yang meluap-luap, pengawalan nafsu yang lemah.” Nasihat
ayah masih bergema-gema di corong telinga.
Abang
Syawal bangun meninggalkan aku yang berada di dapur. Dia terus ke ruang tamu.
Kak Seri memandang ke arahku. Selepas itu matanya mengekori langkahan Abang
Syawal. Abang Syawal membuka laci almari yang menempatkan album gambar.
Dikeluarkan album gambar. Lalu dihenyakkan punggungnya ke sofa. Abang Syawal
tenggelam dalam kenikmatan berada di ruang yang selesa dan nyaman.
Aku
mengikuti Abang Syawal ke ruang tamu. Aku mengambil tempat sofa yang mengadap
hadapannya. “Kenapa?”
“Ini
kau cuba lihat. Gambar semasa kita berniaga di pasar malam.”
Aku
bangun dan mendekati Abang Syawal. Aku cuba mengingati kenangan manis itu. Ya
memang benar itu gambar ketika kami curi-curi mengikut Pak Sidek berniaga di
pasar malam. Kerana curi-curi berniaga itulah kami telah menipu ayah dan emak.
Kami cakap kami nak ke rumah kawan ulangkaji pelajaran. Tapi sebenarnya kami ke
pasar malam untuk menolong Pak Sidek menjual buah durian. Abang Syawal bijak
matematik. Jadi dialah yang tolong Pak Sidek mengira. Pada malam itu Abang
Syawal menjadi akautan tak bertauliah buat seketika. Aku pula tolong-tolong
bersihkan kulit durian dengan berus. Dan tugasku lagi melaung-laung menarik
hati pelanggan untuk singgah ke gerai kami untuk membeli durian. Kata Pak Sidek
aku bijak bermain kata. Sebab itu dia terima aku untuk bekerja dengannya. Sejak
itu setiap minggu kami boleh menikmati durian. Ada juga yang kami bawa balik.
Mula-mula ayah tidak mengesyaki apa-apa tapi setelah lama juga kami sembunyikan
perkara itu akhirnya terbongkar juga. Ayah kecewa sebab dia tidak pernah
mengajar anak-anaknya menipu. Tapi setelah kami jelaskan kepada ayah, ayah
memaafkan kami. Dan kami janji tidak akan menipu lagi.
“Kau
nak balik ke kampung bila?”
“Esok
pagi.”
“Balik
naik apa?”
“Bas.
Tiket dah ambil. Pukul 7 pagi. Itulah kalau Abang tak ada apa-apa kerja
boleh tolong hantarkan saya ke Hentian Pudu Sentral!”
“Oh,
sebelum terlupa abang suruh saya datang ke rumah abang katanya ada benda yang
nak dikirimkan. Mana bendanya?”
“Esok
pagi saja abang berikan.”
Azan
subuh berkumandang. Selepas membersihkan diri, mengambil wuduk aku bersujud ke
atas hak pemilik bumi ini. Pada Dialah kuserahkan segala amalanku.
Beg
siap dikemas. Aku keluar dari bilik. Abang Syawal dan Kak Seri masih berkurung
di dalam bilik. Aku menuju ke bilik mereka. Tanganku sedia mengetuk pintu
bilik. Baru mahu mengangkat tangan tiba-tiba Abang Syawal membuka daun pintu.
Abang Syawal mengheret sebuah beg. Barangkali itulah barang yang hendak
dikirimnya. Entah apa isi di dalamnya. “Takkan abang masukkan buah durian ke
dalam beg dan nak kirim ke kampung. Besar sangat beg tu.” Selorohku.
“Bukan
setakat buah durian yang abang nak kirimkan, kalau boleh dengan pokok-pokoknya
sekali. Ada-ada saja adik abang ni. Sebenarnya abang nak kirim Kak Seri dan
anak-anak abang beserta abang sekali ke kampung. Setelah kami berbincang.”
“Saya
tak faham.”
“Eh,
belajar tinggi-tinggi pun tak faham lagi. Cakap ambil jurusan bahasa takkan
ayat mudah macam tu pun tak faham.”
“Hee….”
“Sebenarnya
kami nak ikut adik pulang ke kampung. Nak jenguk ayah dan ibu. Rasa rindu
pula.” Terang Kak Seri.
“Elok sangatlah tu. Nanti dalam perjalanan kalau ada
orang yang menjual durian di tepi jalan kita singgah beli. Dah lama tak makan
pulut durian santan kelapa. Dah tiba masanya kita bagi ayah dan mak makan
durian baka yang terbaik.” *Pertama kali terbit di BERITA MINGGU, AHAD, 6 MEI 2012
YEY! TAHNIAH CIKGU :)
BalasPadamTerima kasih hanna.
BalasPadamsama-sama kasih :)
BalasPadamterima kasih menjemput saya ke teratak indah ini, saya tak makan durian, tapi saya suka melihat ramai yang menunggu musimnya.. :)
BalasPadamSama-sama. Saya harap cerpen ini akan meninggalkan kesan positif kepada pembaca.
BalasPadamItulah penangan Raja Buah.
saya sukakan durian, dan saya sukakan penulisan saudara. saya harap saya boleh menulis seperti saudara. terima kasih kerana menjengah rumah saya dan tinggalkan komen.
BalasPadamTerima kasih kembali deksnami kerana sudi memenuhi undangan saya. Harap saudara memperoleh sesuatu untuk dibawa pulang setelah menikmati Pulut Durian Santan Kelapa.
BalasPadamInsyaallah, jika ada kemahuan, disiplin yang tinggi pasti saudara juga boleh menulis.
Tahniah.....
BalasPadamTerima kasih ayahanda.
BalasPadam