Semalam dan hari ini terasa sungguh letih. Namun memikirkan ilmu yang dibawa balik dari PKG Kalumpang membuatkan saya berasa sangat berbaloi. Puas hati. Kursus Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) dan Perealisasian Item SJK (C) dan SJK (T) anjuran PPD Hulu Selangor telah banyak memberi input yang berguna kepada saya sebagai guru baru. Kursus yang bermula dari pukul 8 pagi hingga 4 petang melibatkan guru-guru bahasa Melayu SJK daerah Hulu Selangor.
Di IPG dahulu pun saya ada belajar tentang JSU ni tetapi sukar untuk memahami apatah lagi untuk mengaplikasikannya. Setelah dibimbing oleh guru-guru cemerlang dan melakukan praktikalnya dengan membina sendiri JSU dan 40 soalan objektif barulah saya mula memahaminya sedikit demi sedikit. Kata mereka guru yang baik adalah guru yang bukan sahaja boleh mengajar, memeriksa soalan tetapi juga mampu membina soalan yang berkualiti. Selain itu juga, sedikit sebanyak saya tahu pola soalan yang ditanya. Soalan yang dibina haruslah mengandungi 20 soalan aras rendah, 12 aras sederhana dan 8 aras tinggi. Hal ini memberi peluang kepada murid yang mempunyai pelbagai kecerdasan dan kemahiran menjawabnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan