Koleksi Karya

Rabu, 25 Januari 2012

Persada Aksara Menemui Penonton

Saya masih ingat yang saya pernah membaca entri di blog Nisah Haron berkenaan pengambaran rancangan ini. Namun saya sudah lupa agaknya sama ada rancangan ini sudah disiarkan ataupun belum lagi. Petang tadi adik saya mengatakan yang dia sedang menonton rancangan yang membicarakan tentang penulis novel Karipap-Karipap Cinta. Saya pula bertanya rancangan apa. Dia cakap tak tahu. Lantas perasaan ingin tahu menyebabkan saya memperuntukkan masa untuk menunggu siaran itu berlangsung yang ketika itu berhenti rehat untuk iklan. Masa yang ketika itu kira-kira sudah menjengah 3.45 petang. Saya fikir masih berbaki. Selepas rancangan itu bersiaran pula pengacaranya Fahrin Ahmad sedang bercakap mengenai karya Kemala dan puisinya 'Jangan Berduka Melaysiaku' yang akan dideklamasikan oleh Rosyam Nor. Saya rasa tidak puas untuk menonton lagi.

Seperti biasa saya melayari internet selepas rancangan tersebut dan terjumpa satu artikel berkenaan rancangan tersebut. Saya petik artikel tersebut dari blog  http://www.budiey.com/program-persada-aksara/

Kenali Tokoh Penulis Dan Sasterawan Tersohor Negara Menerusi 13 Episod Program Persada Aksara Di TV1

Mungkin sebahagian besar daripada kita cukup kenal dengan karya-karya tokoh penulis dan sasterawan yang menghasilkan karya genre puisi atau penulisan prolifik termasuklah Dato’ Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), Norhayati Berahim, Sharifah Abu Salem, Nisah Baron, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin, Ramlee Awang Murshid, Zakaria Ariffin, Siti Jasmin Ibrahim, Samsiah Mohd Nor, Aleya Aneesa, Amaruszati Noor Rahim, Meen Zulaikha dan Seniman Negara Yang Ke-10, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan. Namun mungkin ada yang tidak mengenali wajah-wajah seniman tersohor negara ini.

Justeru Radio Televisyen Malaysia (RTM) membuka peluang kepada peminat setia penulis-penulis tersohor tanah air ini mengenali mereka dengan lebih dekat lagi menerusi program majalah profil bertajuk “Persada Aksara” yang disiarkan mengisi slot Aspirasi mulai 25 Januari 2012, setiap Rabu, jam 3.30 petang di TV1.
Menampilkan pengacara Fahrin Ahmad, program ini mengetengahkan empat segmen berbeza termasuklah Tamu Kita, Dari Rak Buku, Suara Hati dan Kuiz, sepanjang setengah jam siarannya, ia memaparkan kisah tokoh-tokoh penulis tersohor pelbagai genre seperti Dato’ Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali dengan nama penanya Kemala, Sharifah Abu Salem, penulis novel dan skrip drama televisyen yang terkenal, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin, seorang penulis puisi dan ramai lagi.

Tamu Kita memberikan penghormatan kepada tokoh penulis dan sasterawan yang menghasilkan karya genre puisi atau penulis prolifik termasuklah Dato’ Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), Norhayati Berahim, Sharifah Abu Salem, Nisah Baron, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin, Ramlee Awang Murshid, Zakaria Ariffin, Siti Jasmin Ibrahim, Samsiah Mohd Nor, Aleya Aneesa, Amaruszati Noor Rahim, Meen Zulaikha dan Seniman Negara Yang Ke-10, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan yang dikenali sebagai penulis novel dan cerpen selain drama pentas, puisi serta esei.

Membicarakan novel-novel terkini sama ada dari genre puisi, cerpen, novel dan drama pentas, menyusul segmen Dari Rak Buku yang mengajak penonton menghayati karya sastera baharu antaranya Karipap-Karipap Cinta hasil tulisan Nazri M.Annuar, Dan Cinta Pun Tersenyum (Nora Ismail), Rindu Di Awan Biru (Meen Zulaikha), Rayyan Fantasi (Ramlee Awang Murshid), Dari Kerana Mata serta Dan Hujan Pun Tersenyum (Norhayati Berahim), Aku Cinta Dia (Sharifah Abu Salem), Mengapa Aku Jadi Pengetua, Mengapa Aku Maih Jadi Pengetua, Mengapa Aku Rela Menjadi Pengetua dan Zara Misi Mustahi (Kusyi Hirdan), Stanza Memorabilia (Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin), Bila Sena Kembali Berbunga 2 (Amaruszati Noor Rahim), Hingga Ke Akhirnya (Siti Nur Dhuha), Sangkar (Samsiah Mohd Nor), Harga Sebuah Cinta (Hani Fazuha) dan Tanpamu Aku Rindu (Aleya Aneesa).

Nantikan juga segmen Suara Hati yang menarik kerana penonton berpeluang menyaksikan bakat artis tersohor tanah air untuk mendeklamasikan sajak karyawan terkenal. Antara artis yang terlibat menjayakan segmen ini, Rosyam Nor dengan puisi berjudul Jangan Berduka Malaysiaku hasil karya Dato’ Kemala, Datuk Aziz Sattar hasil tulisan Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin dan Erra Fazira menyampaikan puisi berjudul Manusiamu Wanita hasil karya Habsah Hassan dengan caranya yang tersendiri.

Sebagai menghargai penonton Persada Aksara, segmen Kuiz akan memberikan hadiah buku-buku terbitan Grup Buku Karangkraf, NBKara, Samsiah Mohd Nor dan PTS kepada 5 penonton yang bertuah dengan menjawab soalan yang diberikan.

Menerusi episod pengenalan pada 25 Januari ini, Persada Aksara mengetengahkan segmen pertama Tamu Kita yang memberikan penghormatan kepada sasterawan yang menghasilkan karya genre puisi yang tidak asing lagi, Yang Berbahagia Dato’ Dr. Ahmad Kamal Abdullah, atau lebih dikenali dengan nama penanya, Kemala. Selain daripada puisi, Dato’ Kemala juga menulis dalam genre cerpen, drama pentas dan esei/kritikan. Manakala dalam segmen kedua, Dari Rak Buku pula membicarakan novel- novel terkini sama ada dari genre puisi, cerpen, novel atau drama pentas. Kita akan sama-sama menghayati sebuah karya sastera baharu, yang masih panas berjudul Karipap-karipap Cinta, hasil tulisan Nazri M. Annuar.

Suara Hati yang mengisi segmen ketiga akan memaparkan sebuah puisi yang berjudul Jangan Berduka Malaysiaku, hasil karya Dato’ Kemala. Puisi ini akan dideklamasikan oleh pelakon tersohor tanah air yang tidak asing lagi, Rosyam Nor, dengan caranya yang tersendiri. Ia akan diakhiri segmen Kuiz untuk memberikan hadiah buku- buku terbitan Grup Buku Karangkraf, NBKara, Samsiah Mohd Nor dan PTS kepada 5 penonton yang bertuah dengan menjawab soalan yang diberikan.

* Sebuah rancangan yang baik. Bukan sahaja memaparkan kisah penulis, sasterawan negara malah mengangkat seni sastera/persuratan ke satu tahap yang lebih tinggi. Saya kira sebelum ini belum ada rancangan seperti ini yang khusus untuk penulis berkongsi ilmu, pengalaman mereka. Secara tidak langsung dapatlan peminat-peminat mereka ini melihat wajah penulis kesayangan mereka selain memercikkan motivasi kepada penulis yang masih baru belajar seperti saya untuk terus memperjuangkan martabat sastera negara.

2 ulasan: