Assalamualaikum.
RAMPAI SARI PEDOMAN UNTUK REMAJA: Ulasan Buku
Madu di Tangan Karya Mohd Helmi Ahmad
oleh Nimoiz T.Y
nimoizty@gmail.com
“...Remaja adalah satu peringkat tertentu di dalam kehidupan
manusia yang bermula di sekitar usia 13 tahun dan berlanjutan sehingga sekitar
21 tahun...”
Yusuf Zaky Yacob (1979)
Menurut pandangan alim ulama seperti yang dijelaskan K. H. Ali
Yafie (1997), terdapat tujuh tahap usia perkembangan manusia. Usia-usia yang
dimaksudkan ialah (1) Usia bayi, (2) Usia kanak-kanak, (3) Usia remaja, (4)
Usia dewasa muda, (5) Usia dewasa matang, (6) Usia tua dan (7) Usia pikun. Usia
yang paling getir dan penuh dengan duri cabaran ialah usia remaja. Berdasarkan
etimologi, istilah remaja berasal dari bahasa latin iaitu ‘adolensence’
yang bermaksud menuju ke arah kematangan atau tumbuh menjadi dewasa. Menurut
Hurlock (1992), istilah ini melangkaui definisi yang lebih luas termasuklah
kematangan mental, emosi, sosial dan fizikal. Secara umumnya, usia remaja
adalah antara umur 12 hingga 21 tahun dengan beberapa batasan iaitu remaja awal
(12 hingga 15 tahun), remaja pertengahan (15 hingga 18 tahun) dan remaja akhir
(18 hingga 21 tahun). Atau menurut Yusuf Zaky Yacob, batasan remaja adalah
antara umur 13 hingga 21 tahun.
Dunia remaja adalah dunia yang penuh dengan duri pancaroba.
Justeru, pemilihan rakan-sebaya yang betul dapat menyelamatkan diri remaja dari
terjebak ke kancah yang boleh membawa kemusnahan kepada diri. Pergaulan tanpa
batasan tentu sahaja akan menyebabkan remaja senang terdedah dengan kes-kes
juvana yang menjadi barah dalam sistem sosial masyarakat. Remaja ibarat gelas
kaca yang senang jatuh, retak atau terus berderai di atas lantai kehidupan.
Sebagai pengenalan, diperturunkan puisi “Madu di Tangan” (m.s 23) sepenuhnya
yang diangkat menjuduli kumpulan ini, selaras dengan usia remaja yang ibarat
madu dalam genggaman.
MADU DI TANGAN
Menghirup secangkir madu
di taman bunga
dengan gelas kaca permata
aku perlu berhati-hati
dan waspada
agar madu tidak tumpah
berlinang
gelas tidak pecah
terburai.
Pada jejari yang mencangkuk gelas
diingatkan harus lembut
dan sopan
kerana madu bisa menjadi racun
pabila bersatu
dalam derai butir-butir kaca.
Kumpulan Puisi Remaja: Madu di Tangan karya
Mohd Helmi Ahmad merupakan antara buku puisi tuntas khusus untuk golongan
remaja. Buku ini memuatkan nasihat-nasihat yang berguna sebagai panduan dan
pedoman dalam mengharungi kehidupan yang serba mencabar. Sebagaimana petikan
pada kulit buku; “...nasihat dan getusan rasa dalam puisi ini tidaklah
berlebih-lebihan, sebaliknya bersifat sebagai suntikan nilai tambah dalam
pembentukan sahsiah remaja...” Karya-karya penulis muda ini banyak
menghiasi ruangan kreatif akhbar dan majalah seperti Mingguan Malaysia,
BH, Harian Metro, Dewan Sastera, Tunas Cipta, Dewan Siswa, URTV dan
lain-lain. Ini termasuklah puisi, cerpen dan esei. Mohd Helmi Ahmad banyak
memenangi hadiah penulisan termasuklah Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU).
Selepas tersiarnya puisi pertama berjudul “Berdiri di Atas Kaki Sendiri”
(2009), beliau terus tekun mengasah mata pena. Beliau merupakan anak jati Alor
Setar, Kedah Darul Aman. Sebagai seorang penulis yang pernah melalui alam
remaja, hidup di negeri jelapang padi, beliau banyak menungkapkan puisi-puisi
yang bertemakan kampung halaman selain perjuangan, bahasa, kekeluargaan,
kemanusiaan, hubungan ibu ayah dan jati diri remaja. Mengimbas susur-galur
kenangan remaja, penulis mengungkapkan zaman itu dalam puisi “Layang-layang
Silam” (m.s 11) sebagai kenangan-kenangan yang penuh dengan hembusan ingatan
kepada asal-usul diri.
Aku merindui saat
menjadi kanak-kanak lelaki
dalam sawah warisan
lewat musim panen
menerbangkan layang-layang kertas
menarik tali tangsi terus berlari
dengan azam membara.
Daripada zaman kanak-kanak, menjadi remaja, seterusnya melangkah
ke alam mahasiswa, beliau kini merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan
Batang Kali, Selangor. Sebelum ditempatkan sebagai seorang guru terlatih,
beliau pernah mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah dalam bidang Pengajian
Bahasa Melayu. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Sastera (Bahasa dan Linguistik
Melayu) dari UPM, beliau banyak menulis puisi dan cerpen dalam bahasa Melayu.
Hal ini selaras dengan minatnya akan bahasa Melayu seiring dengan Perkara 152
Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa
Kebangsaan. Justeru, golongan remaja sentiasa perlu diberi peringatan akan
perkara ini. Tambahan, ada segelintir pihak cuba menyangkal kedudukan bahasa
Melayu, sekali gus lebih mengutamakan bahasa Inggeris dalam kehidupan harian.
Antara puisi-puisi yang menyentuh tentang bahasa Melayu ialah “Memilih Bahasa
Ibunda”, “Pedang Kata” dan “Memeta Kegemilangan Bahasa”.
Sebagai peringatan, Mohd Helmi Ahmad memulakan kumpulan ini dengan
puisi “Memilih Bahasa Ibunda”. Beliau mengusulkan beberapa peringatan kepada
remaja supaya sentiasa memelihara dan memulihara bahasa Melayu walaupun
menyambung pengajian di luar negara. Dalam rangkap akhir puisi ini, penulis
memberi penegasan bahawa: Biarpun kaulahir nanti \ di tengah kota raya
\ berjiran dengan warga asing \ yang menghantarmu ke sekolah \ kenderaan
berjenama pelbagai nama \ usah ragu dan bimbang \ tetaplah memilih bahasa
Melayu \ bahasa ibunda menjulang martabat bangsa. (m.s 1). Puisi
tentang bahasa juga ada ditegaskan lagi dalam puisi “Memeta Kegemilangan
Bahasa” (m.s 18). Dalam puisi ini, penulis mengajak remaja untuk terus
mempertahan dan memartabat bahasa Melayu seantero dunia. Remaja sebagai calon
pemimpin masa hadapan serta pewaris bahasa ibunda perlu sentiasa memahat tekad
untuk terus meletakkan martabat bahasa melayu di takhta tertinggi. Hal ini
supaya bahasa Melayu tidak hilang ditelan modenisasi. Kata penulis: Bahasa
Melayu dalam sejarah dunia \ memeta kegemilangan \ meletakkan satu pertimbangan
\ takkan hilang ke akhir zaman.
Malah, sekali lagi penulis memperkukuh lagi ingatan akan
tajamnya bahasa dan kata-kata dalam puisi “Pedang Kata”. Ungkapan seperti
‘takut nanti ada yang terluka’, ‘andai kawan tidak betah mengendalikannya’,
‘andai kawan tidak betah mengendalikannya’, ‘tajamnya melebihi taming sari’,
‘sekiranya kawan tidak tahu merawatnya’ dan ‘silap langkah termakan diri’ jelas
sebagai tamsilan bahawa kata-kata bukan main-main. Kata-kata ibarat pedang yang
bisa memancung sesiapa sahaja. Yang terluka, susah tentu sesiapa sahaja yang
terkena libasan pedang kata. Perhatikan:
Jangan kawan bermain pedang kata
takut nanti ada yang terluka.
Jangan kawan bermain pedang kata
andai kawan tidak betah mengendalikannya.
Jangan kawan bermain pedang kata
tajamnya melebihi taming sari.
Jangan kawan bermain pedang kata
sekiranya kawan tidak tahu merawatnya.
Jangan kawan bermain pedang kata
silap langkah termakan diri.
Alam remaja adalah alam yang sangat menyeronokkan. Alam remaja
menghantar seseorang dengan pengalaman yang berbeza untuk diteroka. Dalam zaman
teknologi yang serba mencabar ini, golongan remaja senang terjebak dengan
kancah jenayah seperti pembunuhan, seks luar pernikahan, rompakan, rogol,
sumbang-mahram, jenayah siber, penagihan dadah, ragut, samseng jalan raya,
pecah rumah, bohsia, dan vandalisme. Antara nasihat yang sangat berguna ialah
akan amaran tentang rokok dalam puisi “Tuan” (m.s 57). Walaupun puisi ini
khusus untuk pemerintah, namun madu hikmahnya sangat berguna untuk diteliti
oleh remaja. Kerana, bermula dengan rokoklah kebanyakan remaja terjebak dengan
kancah penagihan dadah yang boleh merosakkan sistem tubuh.
Di hospital terlantar ramai pesakit
di penjara terperosok ramai pesalah
di mindaku terlonggok persoalan
semakin ramai masyarakat perokok
semakin kaya-rayakah negara tuan?
Justeru, didikan agama dan moral seharusnya diberi sesempurna
mungkin sebagai benteng untuk menghalag anasir-anasir jahat dari terus meresap
ke jiwa remaja. Remaja ibarat rebung yang perlu dilentur seawal mungkin. Sebab
itulah pepatah Melayu pernah menyebut, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.
Dalam puisi “Rebung Remaja” (m.s 37), Mohd Helmi Ahmad cuba menyampaikan buah
fikir akan pentingnya melentur buluh di awal rebung supaya remaja tidak mudah
terpengaruh. Kata penulis; Rebung remaja perlu dilentur seawal usia \
sebelum menjadi buluh keras \ di sekitarnya dedalu teknologi \ cepat menjalin
sarang \ memerangkap lalat-lalat liar menerawang \ tanpa haluan tanpa pegangan.
Pegangan yang cuba disampaikan oleh penulis sudah tentu didikan agama yang
sempurna sedari awal kanak-kanak sebelum menjengah remaja.
Seorang remaja akan bergerak dalam lingkungan ahli keluarga. Ini
termasuklah ibu, ayah dan adik-beradik yang lain. Di sekolah, Universiti atau
kolej, lingkungan kehidupan remaja ialah guru, pensyarah, rakan-sebaya dan
rakan-rakan lain. Manakala di luar, remaja sentiasa berada dalam lingkungan
manusia dan kemanusiaan. Remaja perlu sentiasa menghormati ibu dan ayah kerana
tanpa mereka siapalah kita. Ibu dan ayah sentiasa membanting tulang empat kerat
mencari rezeki halal demi kelangsungan hidup. Untuk itu, remaja tidak
seharusnya melupakan jasa-jasa dan pengorbanan orang tua. Di mana-mana sahaja,
ibu dan ayah perlulah sentiasa diingati. Dalam puisi “Teratak Kasih Seorang
Ayah” (m.s 40), penulis mengajak remaja untuk kembali mengingati jasa dan
pengorbanan seorang ayah untuk anak yang tercinta. Setiap marah, pukulan kecil,
dan tingkah lakunya adalah tidak lain tidak bukan sebagai pendidikan berguna: Teratak
kasih seorang ayah \ ada anak-anak yang menghuni \ ada isteri yang memayungi \
segala suka duka dikongsi bersama \ menjadikan teratak ini terus kukuh memasak
bumi. Puisi-puisi tentang pengorbanan seorang ayah turut diterjemahkan
dalam “Tanah Bapa Masih Kontang”, “Aku, Ayah, Semangat” dan “Teori Ayah”.
Tentang pengorbanan seorang ibu pula, hal ini turut diungkapkan dalam puisi
“Pinggan di Rumah Ibu, Retak Seribu”, Manakala tentang ibu dan ayah dalam puisi
“Pelekat Bapa Batik Ibu”. Perhatikan ungkapan dalam puisi “Pelekat Bapa Batik
Ibu” (m.s 35): ...luntur warnanya mewarnai jalinan kehidupan \ ada suka
– ada duka, mengalir bak sungai \ tak henti selagi belum sampai ke hilir.
Seterusnya adalah konsep dan tanggungjawab menuntut ilmu
pengetahuan. Imam Syafie pernah menegaskan bahawa ilmu itu umpama binatang
buruan. Manakala tulisan itu pula ikatan. Jadi, ikutlah binatang buruan itu
dengan kuat supaya tidak dapat lari. Remaja sentiasa dituntut untuk terus
menimba ilmu bagai melengkapkan diri menjadi seorang manusia yang kamil. Antara
sumber-sumber ilmu sudah pastilah Al-Quran, As-Sunnah, Akal dan Pancaindera
serta Ilham. Untuk itu, setiap remaja perlu berguru supaya tidak tersesat di
tengah jalan. Dalam puisi “Bacakan Kami Sebidang Ilmu” (m.s 19), penulis
berkongsi rasa akan peri pentingnya ilmu dan jasa seorang guru yang tidak
pernah mengenal jemu mendidik pelajar. Untuk mendapat keberkatan ilmu, pelajar
perlulah sentiasa menghormati dan mendengar nasihat guru.
Bebaskan kami dari lingkaran dedalu duri
sering terpijak mengganggu emosi
esok mendatang mahu kami berlari
di padang saujana penuh keindahan
menangkap rerama kasih menyentuh
lengkungan pelangi pertiwi
dari siraman keringat saktimu
memantul ke spektrum ilmu
yang terentang di dada kami.
Hal yang sama turut dirangkumkam dalam puisi “Kerana Dia Seorang
Guru” (m.s 26). Definisi Guru menurut Mok Soon Sang (1990) ialah seorang ahli
masyarakat yang mempunyai perhubungan sosial yang saling berkait rapat dengan
masyarakat berstatus. Guru, cikgu, pendidik, murabbi, pensyarah semuanya
bertanggungjawab menyampaikan ilmu yang berguna kepada pelajar. Malah, Usman
Awang pernah menulis puisi bertajuk “Guru Oh Guru” (1979) sebagai dedikasi
kepada guru. Dengan nada yang hampir sama,” Mohd Helmi Ahmad menulis:
Bahawasanya menjadi seorang guru
harus tahu membaca cuaca perasaan
yang sering berlegar dalam kegetiran
musim anak-anak menimba ilmu
acap kali bertukar namun guru
setia dengan sebuah buku sebatang kapur
mencoret haluan melentur peribadi
seperti yang diinginkan kejayaan.
Ungkapan ‘setia dengan sebuah buku sebatang kapur’ membawa
konotasi maksud yang sangat mendalam. Tentang kesetiaan dan pengorbanan seorang
guru. Berpuluh-puluh tahun, seorang guru mungkin masih berulang-alik ke sekolah
dengan motosikal buruk yang sama. Sedangkan, pelajarnya semakin menempa
kejayaan dengan kereta besar, rumah besar dan pendapatan yang mewah.
Demikianlah jasa seorang guru yang sentiasa berbangga dengan kejayaan yang
diperolehi oleh pelajarnya tanpa sekelumitpun rasa cemburu.
Demikianlah ulasan ringkas daripada 50 buah puisi yang dimuatkan
dalam kumpulan ini. Selain beberapa puisi yang dibincangkan, terdapat banyak
lagi puisi menarik yang perlu dibaca dengan penuh penghayatan oleh pembaca. Ini
termasuklah “Berjalan di Hadapan Bayang”, “Laut Sejarahnya”, “Berdiri di Depan
Cermin”, “Kita Bukanlah Hakim Terlantik”, “Anugerah Sunyi”, “Dalam Subur”,
“Srikandi”, “Layang-layang Silam”, “Mempertaruhkan Nasib”, “Derhaka di Tanggang”,
“Sepak Bola di Kampung Kami”, “Api Amarah”, dan “Menunggu Siang”. Kekuatan
utama puisi-puisi Mohd Helmi Ahmad ialah kebolehannya bermain dengan bahasa
figuratif termasuklah personifikasi, metafora, simile dan hiperbola. Antaranya
ialah ‘memacu di lebuh kemajuan’, ‘bermain pedang kata’, ‘melentur peribadi’,
‘mesin-mesin pengalaman’, ‘sijil-sijil pengetahuan’, ‘bangku tawakal’ dan
banyak lagi.
Fitri Rahmawati (2015) dalam bukunya Jurus Kilat
Menguasasi Sastra Indonesia telah menggariskan beberapa fungsi sastera
dalam masyarakat. Antaranya ialah Fungsi Rekreatif, Fungsi Didaktik, Fungsi
Estetis, Fungsi Moralitas dan Fungsi Religius. Kumpulan Puisi Remaja Madu
di Tangan (ITBM, 2015) karya Mohd Helmi Ahmad hampir melengkapi
kelima-lima fungsi ini. Fungsi didaktik misalnya banyak dimuatkan dalam buku
ini khusus untuk mengarah dan mendidik remaja kerana nilai-nilai kebenaran yang
terdapat di dalamnya. Semoga buku ini akan menjadi panduan berguna dalam
membentuk jati diri remaja selaras dengan hasrat asal penulis. Memetik prakata
penulis: “Kumpulan puisi remaja ini adalah usaha kecil saya sebagai
penulis muda dalam memperkayakan khazanah persuratan negara terutama untuk
pengisian bacaan para remaja”.
Akhirul kalam, diperturunkan rangkap dua puisi “Gelas Perpaduan”
(m.s 17) sebagai ingatan supaya remaja sentiasa menghargai perpaduan yang
menjadi teras keharmonian Malaysia. Dengan perpaduan yang utuh, negara akan
terus mengorak maju dalam arus globalisasi.
Gelas perpaduan
harus dipelihara
kerana di dalamnya
mengandungi
keharmonian
kesaksamaan
kemanisan
madu-madu kebahagiaan.
***************
Sebagai penulis, saya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan seorang pengulas, penulis dan pengkritik sastera yang memilih kumpulan puisi remaja ini untuk dibawa ke pentas pendiskusian secara disiplin dan tuntas. Moga resensi yang dipertandingkan dalam Peraduan Ulas Buku ITBM ini menampilkan satu kewibawaan bahawa ulasan ini boleh dipertanggungjawabkan bagi memartabatkan kesusasteraan remaja. Tahniah kepada penulis dan semoga berjaya.
Sumber: Peraduan Ulas Buku ITBM 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan